Monday, May 2, 2011

cerpen

RELEVANKAH AKU DI HATIMU?

Bab 1

April 1999

Aku memandang ke langit. Aku lihat kepulan awan-awan hitam mulai menutupi ruang angkasa padang bola jarring bumi SERATAS yang tercinta. Ah. mungkinkah akan...

"Satu, dua, tiga..."

Sebaik sahaja kiraan tiga aku tamat, hujan gerimis dengan malu-malunya turun dari langit. Setitik demi setitik... dan akhirnya ribuan mungkin jutaan titik-titik hujan yang keluar dari perut awan-awan yang sarat mengandungkan wap-wap air.

Aku tersengih. Entah mengapa sejak dua minggu ini aku rasa aku telah menjadi peramal kaji cuaca tidak bertauliah yang berjaya. Berkat pemerhatian yang berterusan ke atas perubahan dan bentuk-bentuk awan, angin dan sebagainya, ramalan aku hampir benar belaka. Tidak sia-sia ilmu geografi dan sains yang dipelajari sewaktu di sekolah menengah rendah dulu.

Aku menebarkan pandangan ke padang bola jaring ini. Ternyata hujan yang kian menggila tidak melunturkan semangat penyokong kedua-dua belah pasukan untuk terus setia menyaksikan perlawanan pada separuh masa kedua pula. Ada di antara mereka berteduh di bawah khemah yang disediakan dan ada juga yang berpayung. Kain-kain rentang masih terpacak walaupun telah basah kuyup ditimpa hujan.

Tiba-tiba aku rasa fikiran ini begitu serabut macam kabel elektrik yang berselirat. Mungkin kerana terlalu memikirkan prestasi pasukan aku pada separuh masa pertama tadi yang agak kurang memberangsangkan.

Lontaran bola tidak begitu kemas dan lancar hinggakan senang saja dipintas oleh pihak lawan. Wani, goal shooter (GS) juga tidak memberikan persembahan seperti yang diharapkan. Jaringan `sipi-sipi nak masuk` dan `golek-golek atas jaring` si Wani itu membuatkan hati aku berbulu. Ishh budak ni. Kalo iya pun, aim lah betul-betul! Alahai Wani...

"Akasyah, are you ok girl?" sapa satu suara dari belakangku.

Aku tidak menjawab. Bukan kerana Bahasa Inggeris aku lemah. Cuma aku malas melayan pertanyaan dari sesiapa waktu ini. Sebagai pemain tengah atau lebih dikenali sebagai `center`, aku perlu bijak memainkan peranan aku selepas ini. Strategi... Strategi... Come on Akasyah! Think!

Bagaimana pasukan lawan boleh bermain begitu lincah dan bertenaga pada petang ini? Setahu aku, mereka tidaklah sehebat mana. Selama ini pasukan itu boleh disiflikasikan sebagai pasukan `biasa-biasa aja` atau lebih tepat lagi pasukan belasahan. Ops! Bukan maksudku hendak memperkecilkan kemampuan pihak lawan. Mungkin mereka telah berjaya menemui formula luar biasa yang membuatkan aku sendiri tercungap-cungap menjaga pemain tengah mereka. Tak padan dengan kecil tapi macam lipas kudung. Ligat betul. Atau aku sendiri sudah pancit!

Aku bangun untuk membetulkan urat-urat yang mula terasa sengal. Aik! Orang itu masih ada rupanya. Dia memerhatikan gerak-geriku. Kenapa ya? Ah, biarkanlah luncai terjun dengan labu-labunya. Biarlah orang itu meng`usya` aku. Tidak luak sedikit pun. Kepala yang tidak gatal digaru berkali-kali.

Eh! Mengapa pula pandangan aku berpinar-pinar? Aku tidak dapat melihat wajah orang menyapa aku tadi dengan jelas. Mungkin mata aku juga perlukan rehat. Lalu aku pejamkan mata sebentar sambil itu tangan kananku memicit lembut dahi yang terasa berat.

Aku mengimbas kembali perlawanan yang kami tempuh sebentar tadi. Macam pernah aku lihat corak permainan pasukan itu. Tapi di mana dan bila?


Februari 1997

"Akasyah... Kalau kamu fikir kamu sudah bergelar pemain terbaik negeri, kamu tidak perlu turun latihan. Kamu sudah silap. Kamu..."

Maka bermulalah sesi bebel-membebel Puan Looi, jurulatih pasukan bola jaring sekolah kami. Alasan aku untuk diberi pelepasan dari menjalani latihan setiap petang membuatkan mulut Puan Looi yang comel itu mengomel pagi ini. Gelombang suaranya memberi tekanan hebat ke atas gegendang telingaku.

Nak tak nak aku tadahkan jua cuping telinga mendengar setiap butiran katanya. Namun satu pun tidak melekat di fikiran aku. Seperti pepatah melayu, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sepuluh minit kemudian Puan Looi melepaskan aku pergi. Dengan penuh sopan-santun, aku pun keluar dari bilik guru tersebut.

Aku memandang jam tangan. Sudah 10:30 pagi rupanya. Cis! Habis masa rehat aku. Dari semalam aku sudah bercadang untuk memulangkan sebuah novel yang kupinjam sejak dua minggu yang lepas. Nampak gayanya aku kena bayar denda lagi kali ini. Lewat sehari 20 sen! Kayalah Pusat Sumber Sekolah jika ada sepuluh orang lagi macam aku.

Aku dapat bayangkan senyuman Aidid, pengawas pusat sumber bila menerima ufti dari aku nanti. Kurang ajar kau, Aidid!

Aku masih ingat lagi. Bulan lepas dengan penuh bergaya Aidid mengabadikan nama aku dalam buku log yang tertulis 'LEWAT'. Muka seposen yang sengaja kubuat tidak sedikit pun melembutkan hatinya. Malah dia pula buat aku makin sakit hati dan bertambah meluat!

"Nurul Akasyah Binti Othman, kan?" tanya Aidid sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

"Ermm.." jawabku ringkas. Malas nak melayan lelaki yang satu ini. Cepat-cepat aku keluarkan beberapa keping duit syiling dari poket baju kurungku.

"Berapa juta?"

"Sejuta je," balasnya masih tersenyum kambing.

Kalau ada pertandingan 'Sengih 24 jam' di sekolah ini gerenti mamat ni boleh menang punya. Sememangnya Aidid terkenal dengan jolokan 'Mat Sengih'. Dia pun jenis happy go lucky. Aku tak pernah melihat dia bermuram durja. Apalagi marah-marah orang. Pendek kata dia ini sentiasa cool dan ceria.

Tanpa membuang masa, aku meletakkan duit syiling emas RM 1 di atas kaunter lalu beredar dari situ.

Itu kes bulan lepas. Kali ini berapa pula jumlah wang caruman aku dalam akuan Pusat Sumber. Alahai Akasyah! Sejak akhir-akhir ini virus pelupa kau makin menjadi-jadi pula. Bikin poket kering saja. Petang nanti kau mesti pulangkan novel itu, Kalau tidak, buku 'LEWAT' itu akan penuh dengan nama kau seorang saja.

Puan Looi pun satu hal. Asyik nak marah aku saja. Aku tahu dia sedang berbadan dua sekarang. Tapi janganlah moody memanjang. Angin tak ada, ribut tak ada, aku dapat lecture free hari ini. Entah-entah dia mengandungkan anak perempuan kot. Orang tua-tua kata, kalau orang pregnant marah-marah itu tandanya mengandung anak perempuan. Sejauh mana kebenarannya aku sendiri tidak pasti.

Yang Berbahagia Datin Seri Looi Yee Peng yang patik sayang! Untuk apa patik meredah panas dan hujan, berlatih separuh mati, setelah patik berjaya menyandang gelaran 'Pemain Terbaik Negeri Bawah 15 Tahun'. Patik sendiri mahu berehat setelah penat berhempas-pulas mengerah kudrat patik selama ini sukan yang patik cintai ini.

Sudah tiba masanya patik berehat buat seketika. Sekarang giliran pemain-pemain baru pula berlatih di bawah tunjuk ajar Yang Berbahagia Datin Seri yang bengis. Patik tidak bermaksud hendak bermegah-megah dengan gelaran yang baru disandang. Sebaliknya patik hanya mahu menumpukan lebih perhatian terhadap bidang akademik pula. Al-maklum sajalah... dalam masa beberapa purnama lagi patik dan rakan-rakan pelajar Tingkatan 3 akan menghadapi peperiksaan besar Penilaian Menengah Rendah (PMR). Jadi itulah menjadi keutamaan patik sekarang.

Aku tidak sanggup diperli oleh ayah. Asyik benar dengan bola jaring sampai pelajaranku seolah-olah dipinggirkan. Katanya, masa aku lebih banyak terloncat-loncat di padang daripada mengadap buku pelajaran.

Pada aku semua itu tidak benar. Selama ini aku tidak pernah sama sekali mengabaikan pelajaran aku walau sesibuk mana aku dengan bola jaringku. Aku akan cuba pastikan kedua-dua seiring dan berjaya.

Minat terhadap bola jaring telah berputik sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Kalau tidak silap perkiraan, waktu itu aku masih dalam tahun tiga. Segalanya bermula dari pelawaan Cikgu Fariza yang merupakan guru Pendidikan Jasmani kelas aku.

Seperti kanak-kanak lain yang seusia denganku, aku boleh dikategorikan sebagai seorang yang lincah. Barangkali kelincahan aku itu menarik minat Cikgu Fariza untuk menyerapkan aku ke dalam pasukan bola jaring sekolah.

Bermula sebagai pemain simpanan kemudian aku tersenarai antara tujuh pemain utama.

Aku tersenyum sendiri apabila mengenangkan kembali zaman kanak-kanak yang telah aku tinggalkan. Kadangkala teringin kembali ke zaman itu. Tidak perlu fikirkan tentang tanggungjawab dan sebagainya. Pada aku, kehidupan sebagai kanak-kanak penuh dengan adventure.Banyak kenangan manis yang tercipta. Lompat getah, main masak-masak, main cikgu-cikgu, polis sentri, batu serembam, ting-ting, aci kejar dan banyak lagi permainan pada zaman itu. Agaknya 10, 20 tahun akan datang masih wujudkah permainan sedemikian?

Seperti yang dirancang, aku pergi ke Pusat Sumber Sekolah selepas tamat waktu persekolahan untuk hari itu. Pintu utama Pusat Sumber aku buka. Aku menjenguk ke arah kaunter 'Pemulangan dan Peminjaman Buku'. Tiada siapa di situ. Nampaknya Mat Sengih tak on duty petang ini.

Aku melangkah masuk perlahan-lahan. Waktu begini tak ramai sangat orang. Tentu saja pelajar-pelajar lain terus pulang mencari periuk nasi di dapur rumah masing-masing. Perutku juga sudah berbunyi minta diisi. Aku segera memegangnya dengan harapan ia akan berhenti dari mendendangkan irama yang sumbang. Sabar sikit ye sayang!

Langkah kuhalakan ke hadapan kaunter yang tidak jauh dari pintu utama tadi. Aku berdiri di situ. Jari-jemariku yang mulus mengetuk-ngetuk meja kaunter sementara mataku liar mencari kelibat pengawas yang bertugas.

"Ermm... awak nak pulangkan buku ke?" sapa satu suara yang entah dari mana.

"Ya," jawab aku sedikit terkejut. Mata aku tercari-cari tuan empunya diri. Tiba-tiba muncul seorang lelaki dari meja kaunter. Pada tika dan saat itu rasa nak terjojol biji mata apabila menatap wajahnya yang cukup sempurna pada mata aku. Sempat aku membetulkan tudung yang dirasakan sudah senget sedikit.

Aku meneliti lelaki itu dari atas ke bawah. Kagum dengan wajah yang dimilikinya dan juga cara penampilannya yang berkarisma. Biarpun sekadar memakai uniform seperti
pengawas pusat sumber yang lain, ketampanannya menjadi bonus untuk kelihatan lebih menonjol daripada orang lain.

Agaknya dialah pengawas baru yang digembar-gemburkan sejak kebelakangan ini. Kecoh satu sekolah pasal pelajar Tingkatan 4 yang baru bertukar ke sekolah kami. Wajahnya dikatakan persis Yusri KRU. Dengar-dengar cerita, dia anak saudara kepada guru disiplin kami, Cikgu Faizal. Nampak gayanya Cikgu Faizal juga bakal menjadi bapa
saudara aku pula 10 tahun akan datang.

"Aaa..." Aku cuba menyatakan sesuatu. Ternyata aku masih terkejut dengan kehadirannya pengawas baru itu. Entah mengapa lidah aku kelu saat itu. Hanya tangan aku yang pantas bertindak. Novel yang aku pinjam dulu sudah pun berpindah tangan.

"Nama awak?" tanya sambil tersenyum simpul.

Aku terpana buat kali kedua. Aku menarik nafas panjang, cuba mengumpul semangat untuk melontarkan suara.

"Nurul Akasyah!" sahut satu suara yang cukup aku kenali.

Baru saja nak buka mulut ada orang yang begitu prihatin tolong jawabkan bagi pihak aku. Siapa lagi kalau bukan Mat sengih itu. Entah dari mana dia datang. Ada saja mamat ini deh! Malas aku nak melayannya. Nanti makin menjadi pula dia.

Mata aku yang sememangnya nakal menyapu bersih seraut wajah kuning langsat di hadapanku ini. Dia yang tidak sedar dirinya diperhatikan sekadar beraksi macho mencari kad pusat sumber milik aku. Aku cuba pula memfokuskan pandangan pada tag nama jejaka yang masih belum diketahui namanya ini.

"Mohd Firdaus bin Mohd Alif." Aidid bersuara lagi tanpa dipinta. Sengihannya makin melebar seakan meraikan kejayaan yang berjaya menghidu perbuatan nakalku tadi.

Jejaka yang bernama Firdaus itu memandang Aidid dengan wajah yang berkerut. Dia kelihatan keliru dengan apa yang berlaku.

Kemudian pandangannya beralih pada diriku. Matanya yang redup seolah-olah cuba menikam jantung hatiku. Perlahan-lahan senyuman terukir di bibir merahnya. Alahai... manisnya senyumanmu itu, Encik Firdaus. Aku terpukau. Ingin rasanya membalas senyuman itu tetapi aku mengambil keputusan untuk berlagak selamba sahaja. Walhal hati ini diamuk gelisah dan rasa indah.

Firdaus kembali meneruskan tugasnya yang tergendala tadi. Di kesempatan itu, aku melemparkan senyuman kelat pada insan yang bertanggungjawab meng'kantoi'kan aku sebentar tadi. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku jegilkan mata pada Mat Sengih tu. Tetapi kehadiran Firdaus di situ mematikan niatku. Aku tidak mahu dia terlihat tingkah lakuku yang sedkit kasar. Imej juga perlu dijaga bukan!

Ah! Abaikan mereka berdua. Nanti Aidid ingat aku sudah jatuh hati pada Firdaus. Oh please! Tak kuasa akak tau. Tak pasal-pasal nanti nama aku dijaja satu sekolah.Siapa juga yang akan mendapat malu? Mereka dan keluarga mereka juga.Aku tidak bisa lama-lama di situ. Setelah selesai urusan pembayaran, aku bergegas pulang ke rumahku yang hanya sepelaung dari sekolah.

Sepanjang perjalanan pulang, aku tidak putus-putus tersenyum seperti orang dilamun cinta. Alangkah malunya jika ada yang melihat aku saat ini. Nanti dibilangnya aku sudah hilang akal. Biarkanlah. Kenapa aku perlu ambil pusing dengan kata orang.

Yang aku pasti kehadiran Firdaus bakal mencetuskan fenomena baru dalam hidup aku. Senyuman lelaki itu bagaikan menari-nari di ruang mata ini. Rasa hangat menyimbah muka aku waktu ini. Aku termalu sendiri kerana terlalu memikirkan tentang dia. Padahal aku baru mengenalinya hari ini. Tetapi masa bukan menjadi kayu pengukur sesebuah perhubungan.

Tak sabar nak ke sekolah esok! Jerit hati kecilku. Serentak itu aku melompat keriangan.


Bab 2

Keesokan harinya, aku bangun lebih awal daripada biasa. Sebaik sahaja aku terjaga, terus aku berdoa.

"Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku yang berpagi-pagi."

Aku berhenti seketika sebelum menyambung semula.

"Segala puji bagi Allah yang menghidupkan setelah mematikanku, dan kepada-Nyalah tempat kembali. " Aku meraup wajah dengan kedua belah telapak tanganku.

Begitulah rutinku setiap pagi. Sejak dari kecil aku dididik supaya berdoa sebaik sahaja terjaga dari tidur. Kita sedia maklum yang tidur adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Justeru itu kita perlu mensyukurinya. Maka sebaik sahaja kita bangun pagi hendaklah kita mengucapkan doa sebagai tanda kesukuran kita kepada yang memberikan nikmat itu.

Aku melompat keluar dari katil usangku lantas melakukan sedikit regangan badan. Setelah itu aku mencapai tuala lalu pergi ke bilik mandi. Elok saja aku sampai ayahku keluar dari bilik mandi. Setelah menyumbangkan dua, tiga buah lagu dan melakonkan beberapa babak ringkas petikan dari filem yang terkini, lima minit kemudian aku keluar dari bilik mandi dengan wajah yang segar-bugar. Adik lelakiku, Anas sudah terpacak di luar pintu dengan hanya berkain pelekat dan berselempangkan tuala di bahu menanti gilirannya untuk bersiram.

"Syah! Siap cepat! Boleh solat sama-sama." Ayah aku melaung dari ruang tamu.

Cepat-cepat aku masuk ke dalam bilik. Menyarung kain biru tua dan t-shirt biasa. Kemudian aku menyarung kain telekung dan mencapai sejadah. Aku segera ke ruang tamu. Di situ mak dan ayah duduk berteleku di atas sejadah menantiku.

Ayah bangun melaungkan azan dan iqamat. Kemudian dia mengimamkan solat subuh pada Jumaat itu. Setelah memberi salam, kami berwirid dan akhirnya menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Minta ampuni segala dosa, diiterangkan hati, diimurahkan rezeki dan sebagainya. Amin...

Lantas kukucup tangan mak dan ayah. Rasa tenang dan damai menyelubungi jiwa ini. Moga-moga mereka memaafkan segala kesalahanku.

Aku minta diri kembali ke bilik. Wah! Adik perempuanku masih dibuai mimpi. Aku menggoncangkan jari kakinya beberapa kali. Tiada menunjukkan tanda-tanda dia
terjaga.

Aku terdengar bunyi periuk belanga di dapur . Mesti mak! Aku merajinkan diri ke dapur. Membantu apa yang patut. Segan pula membiarkan mak kelam-kabut di dapur seorang.

"Kita masak nasi goreng ye."

Aku mengangguk. Aku membawa keluar ikan bilis dan beberapa jenis sayur-sayuran dari peti sejuk. Tangan aku pantas mencapai pisau dan memotong sayur-sayuran tadi. Selepas itu aku gaul nasi lebihan semalam dengan garam secukup rasa.

Nasi goreng sudah siap dimasak. Masih terlalu awal jika mahu bersarapan. Jadi aku mengambil keputusan mencuri masa yang ada untuk membuat sedikit ulangkaji. Waktu lepas subuh begini otak masih segar sebab baru bangun dari tidur.

Beberapa ketika kemudian, mak mengajak aku bersarapan Kami sekeluarga duduk semeja. Anas membaca doa makan. Yang lain mengaminkan.

Setelah selesai makan, aku bersiap-siap untuk pergi ke sekolah. Jam hampir menunjukkan jam 7 pagi. Mak dan ayah kehairanan melihat kerajinan aku hari ini. Aku hanya tersengih. Aku mengucup tangan mak dan ayah sebelum bergerak ke sekolah.

Aku menyanyi-nyanyi kecil. Indah sungguh pagi Jumaat ini. Cahaya mentari menyuluh alam buana. Burung-burung berkicau riang. Embun di rumput masih tak hilang.

Tidak sampai lima minit aku sudahpun sampai ke dalam kawasan sekolah. Aku masuk melalui pintu pagar belakang yang berhampiran dengan tempat letak basikal. Sedang aku berjalan, tiba-tiba...

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam." Aku segera menoleh.

Firdaus! cetusku dalam hati. Hati aku berbunga riang. Bestnya! Pagi-pagi dah dapat menatap wajah manis dia. Langkah kanan aku hari ini.

"Nurul bertugas ke hari ini?" Firdaus menyoal. Dia tahu gadis di hadapannya ini seorang pengawas sekolah berdasarkan warna uniform yang dipakainya.

"Nurul?" Aku agak terkejut. Sebelum ini tak pernah sesiapapun memanggil aku dengan nama itu. Terasa ayu pula.

"Oh, tak. Saya bertugas hari Selasa dan Khamis."

Dia menggangguk. Sebuah senyuman terukir di bibirnya.Aku membalas. Kemudian masing-masing menyepi.

"Okey, Nurul. Saya minta diri dulu ya. Bye." Akhirnya dia bersuara.

"Okey. Bye.

Firdaus melangkah ke kelasnya yang tidak jauh dari situ. Aku melintas parkir kereta guru. Sebaik sahaja berjalan di tepi blok pelajar Tingkatan Enam, aku tiba di kantin sekolah. Kemudian berjalan di bawah laluan beratap di bangunan utama sekolah yang bertentangan dengan dataran perhimpunan.

Tugas yang dimaksudkan oleh Firdaus tadi ialah menjadi jaga pintu pagar sekolah dan peronda kawasan sekolah. Kami akan dibahagikan kepada lima kumpulan bersamaan lima hari persekolahan. Setiap kumpulan dikehendaki melaksanakan tiga tugas utama.

Yang pertama, mengawasi pelajar yang keluar masuk ke kawasan sekolah. Ada tiga pintu pagar di sekolah aku ini iaitu pintu pagar utama di hadapan, pintu berhampiran dengan tempat letak basikal dan satu lagi pintu kecil yang berdekatan dengan Taman Hijau. Aku cukup tak suka bila ditugaskan ke pagar di Taman Hijau tu. Banyak nyamuk!!

Di antara tugas seorang 'jaga' ialah memastikan setiap pelajar mematuhi kod etika berpakaian yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Setiap pelajar wajib memakai stokin putih, tag nama di sebelah kiri. Kemudian, yang lelaki mesti berambut pendek tidak memcecah bahu dan bertali pinggang. Pelajar perempuan pula tidak dibenarkan memakai barang kemas ke sekolah. Yang tidak bertudung dan berambut panjang, dikehendaki mengikatnya dengan pengikat rambut yg berwarna gelap sahaja. Pintu pagar sekolah akan ditutup pada jam 7.30 pagi. Oleh itu, pelajar yang datang lewat akan diberi amaran dan dicatat namanya.

Tugas 'peronda' pula ialah meronda kawasan sekolah semasa perhimpunan berlangsung. Kami akan melawat kehormat ke kelas-kelas dan setiap penjuru sekolah. Pelajar-pelajar yang didapati cuba escape perhimpunan pagi akan diberi amaran dan akan di'escort' ke dataran perhimpunan.

Akhirnya aku sampai ke kelas aku yang best, 3 Anggerik.Kawan-kawanku yang tinggal di Gopeng dan Malim Nawar sudah lama sampai. Kelihatan beberapa orang sedang membersihkan kelas. Ada yang mengelap tingkap, ada yang menyapu sampah dan ada yang membetulkan kedudukan kerusi meja.

"Assaamualaikum." Aku masuk dari pintu belakang.

"Syah? Apa pasal kau awal hari ni? Duty ke?" tanya Diana, budak Gopeng yang juga pengawas sekolah sepertiku.

"Saja je awal hari ni. Mood tengah baik." Aku mengangkat kening sambil mengibas-ngibas tangan berlagak seperti mak datin.

Diana terkekeh-kekeh melihat gelagat aku itu.

"Pelik bin ajaib. Kalau bukan hari kau duty, lima minit sebelum loceng berbunyi baru nampak muka. Ermmm... pagi ni muka ko nampak terlebih ceria. Haa... ini mesti ada apa-apa kan." Aisyah cuba memasang perangkap.

"Ala.. Macam tak pernah-pernah pula kita datang awal. Korang ni takde kerja lain ke. Pagi-pagi dah usik orang." Aku mencebik bibir.

Sejak dulu lagi, aku membahaskan diri aku 'kita' apabila berbual dengan orang. Bukannya 'saya' atau 'aku'. Memang ramai yang keliru pada awalnya. Kalau yang nakal tu,akan mengajuk caraku bercakap. Lama-kelamaan mereka yang rapat denganku dapat membezakannya.

"Syah! Kau dah siap latihan matematik yang Cikgu Hasan beri semalam. Meh aku nak bandingkan dengan jawapan aku sat." Azizah berdiri di sebelahku. Tangannya ada sebatang pensel 2B.

"Nah! Kalau ada jawapan kita yang pelik-pelik, tolong bulatkan ye. Nanti kita nak semak semula." Aku menyerahkan kertas latihan matematik semalam pada Azizah.

"Okey."

"Opss! Beri laluan. Beri laluan. Orang nak sapu sampah."

Aku bingkas bangun. Azizah kembali ke tempat duduknya.

"Sori Di. Tak perasan."ujarku.

Diana membalas mengenyit mata kirinya. Setelah tugasnya selesai, dia beralih ke meja lain pula.

"Terima kasih, Cik Diana." Sengaja aku memanggilnya begitu.

"Sama-sama, Cik Akasyah." Diana menjuihkan bibirnya.

Ketawaku terburai. Kawan-kawan yang turut mendengar perbualan kami pun turut sama ketawa.

"Lagi lima minit loceng nak berbunyi. Jom pergi berbaris sekarang." Fizah, penolong ketua kelas kami mengajak semua yang ada beredar ke dataran.

Aku dan yang lain-lain menurut saja. Aku jalan beriringan dengan Diana. Kami melintasi tangga yang menghubungkan pusat sumber yang berada di tingkat atas. Sekumpulan pelajar lelaki lalu di sebelah kami. Aku dan Diana memperlahankan langkah.

Bila aku menoleh ke arah kumpulan pelajar tersebut, aku terperasan ada seseorang juga sedang memandang ke arah kami berdua. Siapa lagi kalau bukan Firdaus, hero pengawas pusat sumberku. Aku dan dia sekadar berbalas senyuman.

Waktu rehat pada hari itu, sekali lagi aku dipertemukan dengan dirinya. Waktu itu aku sedang berbaris untuk membeli minuman. Sebaik sahaja tiba giliranku,

"Kak, air oren dua!" Serentak itu lelaki di sebelahku yang memesan minuman yang sama dengan menggunakan ayat yang sama.

Aku segera menoleh. Sedikit terkejut. Kemudian tawa kecil meletus dari mulut masing-masing. Hanya kami yang mendengarnya. Akhirnya aku tersenyum jua apabila melihat Firdaus juga tersenyum kepadaku.


Saat itu aku dapat rasakan debaran di hati ini. Cepat-cepat aku matikan angan-angan indah yang mula bermain di fikiran.

Indahnya waktu itu...


Bab 3

Suatu hari, aku mendapat tahu bahawa pada petang itu ada satu perlawanan bola jaring akan berlangsung di padang sekolah. Nasib baik aku lalu di depan papan kenyataan selepas tamat kelas tambahan hari itu. Hati aku melonjak keriangan tapi hanya untuk seketika.

Apabila mengetahui pasukan kami akan bertembung dengan pasukan yang cukup digeruni dan disegani di negeri Perak, hati aku tersentap. Rasa terkilan, kecewa dan marah menjalar di segenap tubuhku. Sungguh mendukacitakan apabila mendapati nama aku tidak tersenarai langsung. Puas aku meneliti berulang kali untuk kepastian. Kenapa tiada seorang pun memaklumkannya kepadaku? Hampir sahaja air mata aku tumpah di situ. Masakan Puan Looi melupakan anak buahnya yang seorang ini!

Aku gagahkan diri ke padang bola jaring sekolah. Sudah ramai berkumpul di situ. Aku mengambil tempat bersama penyokong yang lain. Sebaik sahaja perlawanan dimulakan, hati aku diasak rasa sayu. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan saat ini.

Keesokan harinya...

"Maaf Puan. Boleh saya tahu kenapa saya tidak ada dalam senarai pemain untuk perlawanan semalam?" Aku menyuarakan rasa tidak puas hati kepada jurulatihku itu. Bilik komputer yang selalunya dingin terasa berbahang saat ini.

"Saya tahu awak busy sejak akhir-akhir ini. Saya tidak mahu ganggu awak belajar." Sesekali guru yang sarat lima bulan itu mengerling ke arahku. Selebihnya tumpuan beliau difokuskan pada monitor komputer. Jari-jarinya lincah menaip sesuatu di papan kekunci.

Aku terkedu. Memang aku inginkan sedikit kelonggaran daripada mengikuti latihan setiap petang tapi perlawanan dengan Sekolah Convent semalam amat penting bagiku.

Setahun aku menantikan saat ini untuk membelasah pasukan itu setelah kami tumpas di tangan mereka dalam kejohanan tahun lalu. Tidak kusangka apabila peluang tersebut datang, nama aku pula tercampak keluar dari senarai pemain. Alahai...

"Tapi puan. Saya tak adalah busy sangat." Aku cuba meraih simpati dengan harapan Puan Looi akan berubah fikiran. Jika ada perlawanan selepas ini, aku akan turut bersama bermain.

"Sebenarnya tuan pengetua baru keluarkan arahan. Minta kurangkan penyertaan pelajar yang menghadapi peperiksaan besar seperti awak ini. Lagipun kita ada ramai pemain muda yang berbakat. Saya rasa tidak salah kalau kita beri mereka peluang untuk menunjukkan kemampuan mereka. Saya percaya dengan potensi yang mereka pamerkan sepanjang tahun lepas dan sesi latihan awal tahun ini. Awak sendiri lihat bukan. Semalam pasukan kita menang!," terang Puan Looi dengan panjang lebar.

Bersemangat betul Puan Looi ini! Kata-katanya penuh yakin dan disokong dengan hujah yang mantap. Memang ada benarnya. Aku sendiri tahu ada dua, tiga orang pemain baru yang berkebolehan besar. Jika diberi bimbingan yang sewajarnya, mereka mampu pergi lebih jauh lagi.

Masa terus berlalu. Aku menyibukkan diri dengan buku-buku sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan PMR yang bakal menjelma tidak lama lagi. Walaupun keputusan percubaan aku agak memberangsangkan, namun aku masih perlu tingkatkan usaha supaya lebih cemerlang dari yang sebelumnya. Ulangkaji, latih tubi, kelas tambahan dan kelas tuisyen menghiasi jadual harianku.

Di sebalik kesibukan seharian, aku tidak lupa kewajipanku pada yang Maha Esa. Aku cuba melatih diri melakukan solat malam. Sebelum tidur aku berniat untuk bangun malam. Dengan berniat sahaja sudah dikira sebagai kebaikan dan mendapat pahala. Rasulullah S.A.W sendiri ada mengatakan,"Sesungguhnya setiap orang akan memperoleh apa yang diniatkan." Alangkah beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W.

Pada awalnya, memang liat untuk bangun semula sekitar jam tiga pagi. Kadangkala jam loceng sudah terjerit-jerit hilang anak tekak, aku masih tak terjaga. Selalunya kita boleh bangun semula untuk mengadap buku pelajaran atau menonton perlawanan bola sepak di kaca televisyen. Tapi mengapa begitu payah sekali hendak mengadap Tuhan?

Nabi Sulaiman ibn Daud pernah berkata,"Wahai anakku! Jangan tinggalkan solat malam. Sesungguhnya, meninggalkan solat malam membuat orang menjadi fakir di akhirat kelak."

Aku insaf. Sedar yang selama ini aku terlalu memanjakan diri sendiri. Lalai dan leka mengejar tuntutan duniawi. Astaghaghfirullah hal azim...

Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Cuaca agak panas kebelakangan ini. Daun-daun pokok bertukar menjadi kuning dan keperangan. Bila ditiup angin, ada yang jatuh berguguran ke bumi. kaki aku menguis-nguis daun yang jatuh. Cantik sungguh pemandangan waktu itu. Bagaikan berada dalam musim luruh di luar negara. Mungkin suatu hari nanti aku akan berpeluang melanjutkan pelajaran di negeri orang. Ingin kugenggam salji yang memutih lalu kubentuk menjadi bebola lalu melemparkannya ke arah... Firdaus!

Suatu petang, sedang leka mengulangkaji bersama beberapa orang teman, telinga ini menangkap gelak tawa dari padang bola jaring di hujung sana. Keceriaan mereka menarik perhatianku. Ahh! Rindunya pada bola. Pada tiang gol. Rindu juga pada Puan Looi!

"Syah?"Salah seorang teman sedar yang aku sudah belayar jauh dari tujuan kami berkumpul di situ.

Aku tersentak. Fikiranku kembali ke alam realiti.

"Maaf, " bisikku perlahan. Nasib baik yang lain tak perasan.

Aku perlu meneruskan perjuangan yang masih belum selesai. Hanya tinggal dua minggu saja lagi sebelum tarikh keramat itu. Bak kata pepatah, genggam bara biar sampai jadi api!


Bab 4

Alhamdulillah! Aku berjaya mendapat 8A dalam peperiksaan PMR yang lalu. Setinggi-tinggi kesyukuran kupanjat pada Ilahi. Terima kasih mak, ayah, cikgu-cikgu, dan teman-teman semua. Kalian adalah pencetus kejayaanku ini. Tanpa doa restu dan sokongan kalian, mana mungkin aku mampu melakukannya.

Keputusan PMR yang cemerlang tempoh hari melayakkan aku menjejakkan kaki ke dunia sekolah berasrama penuh yang penuh glamor. Aku sering mengimpikan kehidupan sebagai budak hostel. Akhirnya apa yang aku idamkan menjadi kenyataan. Pernah suatu ketika dahulu aku menangis kerana gagal mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh kerajaan untuk kemasukan Tingkatan 1. Kali ini nasib menyebelahi aku.

4 Februari 1998 merupakan detik bermulanya kehidupan aku sebagai warga SERATAS. Sejak pagi lagi kami sekeluarga sudah bertolak dari rumah. Perjalanan ke sekolah yang bertentangan dengan Zoo Taiping itu mengambil masa dua setengah jam. Sepanjang perjalanan hati aku berdebar-debar.

Keadaan jalan raya menjadi sesak sebaik saja kami menghampiri kawasan Taman Tasik Taiping. Kereta berbaris panjang di sepanjang Jalan Taman Tasik. Aku rasa mereka juga menuju ke destinasi yang sama.
Tiba-tiba Proton Iswara yang dipandu oleh ayah membelok. Bila terpandang pintu gerbang sekolah yang tertulis

"Daulat Tuanku", aku mula tak senang duduk.

Kereta kami mula bergerak masuk ke perkarangan sekolah. Bermula dengan pondok jaga di sebelah kanan di laluan masuk utama, kemudian flat berwarna biru yang sederhana tinggi di sebelah kiri. Mungkin flat biru itu kediaman para guru. Di hadapannya seperti... padang bola jaring! Bestnya! Aku terus tersenyum. Gelanggang bola keranjang pun ada. Di sebelah kananku pula terhampar luas sebuah padang sekolah yang menghijau.

Deretan pokok-pokok menyambut kami di sepanjang kiri dan kanan jalan. Jiwaku rasa tenang melihat persekitaran hijau yang sebegini. Sekolah ini tempat sesuai untuk menuntut ilmu. Sungguh mendamaikan. Mataku meliar memerhati suasana sekolah baruku hingga pada satu saat aku terpegun dan terpesona dek panorama yang sungguh mengasyikkan. Bangunan-bangunan yang berlatarkan Bukit Larut yang tersergam megah, indah bagai dalam lukisan.

Hari pertama pendaftaran yang berlangsung di dewan besar sekolah yang sudahpun dipenuhi dengan pelajar-pelajar baru bersama keluarga masing-masing. Kelihatan kanak-kanak berlarian di sana sini. Suasana hingar-bingar memenuhi dewan tersebut bagaikan suatu pesta keramaian. Mana tidaknya, yang nak mendaftar, nak bersekolah seorang saja tapi yang datang menghantar hampir satu batalion!

Selesai saja pendaftaran, pelajar-pelajar dan ibubapa mendengar taklimat dari tuan pengetua di dewan kuliah yang serba baru. Beliau mengalu-alukan kedatangan pelajar baru yang datang pada hari ini. Beliau juga meluahkan rasa gembiranya kerana kebanyakan pelajar Tingkatan 4 yang baru ini datangnya dari sekolah agama. Beliau berharap mereka ini dapat menghidupkan suasana Islam di bumi SERATAS.

Selepas itu, aku dan ahli keluarga yang lain bergerak ke asrama puteri untuk melihat suasana dorm dan menyimpan barang-barangku di dalam loker yang tersedia. Kemudian, kami sekeluarga pergi ke bandar taiping untuk makan tengah hari. Kami kembali ke asrama dua jam kemudian. Mak dan adik perempuanku tolong aku berkemas apa yang patut.

Dan akhirnya, tibalah masa untuk kami berpisah. Mak memeluk aku. Terus hati aku menjadi sayu diperlakukan begitu. Aku bersalaman dengan ahli keluarga yang lain.

Ayah sempat berpesan "Syah! Jangan tinggal sembahyang.Rajin-rajin baca quran. Ingat tu." Aku mengangguk.

Proton Iswara merah ayah mula meninggalkan perkarangan asrama puteri. Semua yang di dalam kereta melambai ke arahku. Aku membalas sehinggalah mereka hilang dari pandangan. Saat itu juga rasa sunyi mencengkam diri.

Ya Allah, berikanlah aku ketenangan dan permudahkanlah aku dalam menuntut ilmu, pintaku dalam hati.

Orentasi pelajar baru bermula pada malam itu di dewan besar. Program yang akan berlangsung selama satu minggu itu dikendalikan oleh Majlis PerWakilan Pelajar SERATAS.

Pelbagai aktiviti dijalan antaranya ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK), sukan dan permainan, lawatan ke sekitar sekolah dan bandar Taiping. Di asrama puteri pula, aku dan pelajar baru yang lain dikehendaki mendapatkan tandatangan kesemua pelajar senior perempuan yang merupakan acara tradisi bagi pelajar yang baru masuk. Tujuannya supaya kami dapat kenal muka pelajar-pelajar senior di sini. Kami diberi masa seminggu. Pelajar senior yang aku jumpa kebanyakannya tidak banyak songeh. Mereka sekadar meminta aku menyanyi, dan menari atau berlakon sebelum diturunkan tandatangan. Program orentasi sampai ke penghujungnya. Malam terakhir diserikan dengan persembahan dari setiap kumpulan. Sungguh menghiburkan.

Isnin minggu berikutnya, aku dan yang lain-lain memulakan sesi pembelajaran seperti seperti biasa. Cuma bezanya di sini segala-segalanyanya masih baru bagiku.

"Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah,"bisikku perlahan. Aku menyebutnya berulang kali dalam hati. Pasti bumi SERATAS (Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah) ini bakal mencoret 1001 kenangan yang akan mewarnai diari hidupku.


Bab 5

Aku bergiat aktif dalam pasukan bola jaring di SERATAS. Namaku sebaris dengan pemain senior yang sedia. Gelaran `pemain terbaik negeri` yang dimiliki mejadikan aku cepat popular di kalangan pemain junior. Ada antara mereka datang minta diajar pelbagai teknik dan skil. Aku melakukannya dengan senang hati. Mungkin itu yang membuatkan pemain senior menjeling tajam apabila ada pemain junior berdampingan denganku.

"Akasyah!"

Apa lagi? Tolong jangan ganggu aku yang tengah tension ni, jeritku dalam hati.

Teringat aku pada suatu hari, semasa bercanda di bawah pohon bambu sambil itu aku mentelaah pelajaran. Dia sedang berlatih hoki di padang astroturf. Mar atau nama penuhnya Mohd Ammar Iskandar, pemain hoki terbaik sekolah yang menjadi idola ramai. Aku salah seorang ahli kelab peminatnya. Tiada yuran tahunan, majalah kelab atau annual dinner bersama ahli-ahli yang lain. Kalian hanya boleh `usya` dia dari jauh. Alim orangnya. Bersandarkan muka yang tampan dan otak yang bergeliga Mar merupakan antara pelajar lelaki yang paling top dan hot di sini.

Sedang aku asyik memandangnya tak semena-mena dia berjalan ke arahku. Kelenjar tiroid (1) aku mula memainkan peranannya. Alamak! Nak buat apa ni? Aku mula gelisah.

Maintan ayu, Syah! Hatiku berkata-kata. Aku cuba berlagak selamba sedangkan jantungku sudah memecut selaju 300 kilometer sejam. Kalah Ribut Greg di Sabah. Kalah ombak di Selat Melaka. Kalah juga shinkansen di Jepun!

Langkahnya semakin pantas sementara aku di sini seperti glasier yang mencair akibat pancaran ultra ungu. Terasa diri ini mengecil. Honey, I shrunk the kids. Eh! Silap! I`m shrinking. Mar semakin dekat. Fobiaku dalam bahaya!

Dia membongkokkan diri satu meter di hadapanku sambil tangannya mengambil sesuatu. Apa? Dia datang semata-mata hendak mengambil bola hoki yang kebetulan melantun ke arahku. Tak mengapa. Mungkin lain kali kita boleh berkenalan, pujuk hati kecilku. Aku menundukkan muka menahan rasa kecewa yang mula beraja di kalbu.

"Study ke?"Tiba-tiba satu suara menerjah pendengaranku. Aku segera mendongak. Mar!

Luruh bronkial dan bronkus aku tatkala mendengar suaranya itu. Terhenti sebentar ginjalku. Aku buat muka macam Fei Mau (2) . Hodoh rasanya wajah aku saat itu. Adakah aku bermimpi? Betulkah kata-kata itu terlontar dari mulutnya? Apa pula bibir aku yang comel ini nak jawab? Aku bertanya pada diri sendiri. Akasyah, nak buat apa ni? Jawab soalannya atau tidak? Buat selamba saja atau maintain ayu? Apakah kebarangkalian yang bakal kuambil?

Dia masih tercegat di situ menantikan balasan dari aku. Aku masih dalam mood terkejut kerana inilah pertama kali dia menegurku.

"Nurul Akasyah?" sapa Mar lagi. Tak dengarkah gadis ini?

Aku kaget. Dia tahu nama aku. Lantas aku tersenyum malu.

"Study elok-elok ya." Mar mula mengatur langkah setelah dilihatnya aku hanya diam membisu.

Tidak! Jangan pergi! Aku menjerit dalam hati. Istana Taj Mal yang kurancang dalam kepala ini musnah dilenyek oleh bulldozer dalam sekelip mata sebaik sahaja melihat Mar berlalu meninggalkan aku. Sejak kali pertama melihat Mar beraksi di padang, aku sudah mula menyimpan angan-angan untuk bertegur-sapa dengannya. T-square, set square dan french curve aku hampir patah-riuk menjadi korban angan-anganku itu. Projek Taj Mahalku musnah!

Kau kejam Mar! Langsung tak berhati perut. Hatiku merintih hiba. Aku bingkas bangun. Segera kubersihkan baju kurung yang dipakai dari rumput-rumput yang terlekat padanya. Mar yang menyedari perbuatanku segera dia berpaling dan memandangku.

"Ya?"Dia mengangkat kening.

Waduh, lembut benar suaranya menuturkan bicara.

"Kenapa baru hari ni awak nak tegur saya?"luahku. Padahal hampir setiap petang saya di sini. Ayat yang terakhir hanya bermain di hujung bibir. Tidak berani aku menyatakannya.

"Oh!" Dia ketawa kecil. Lesung pipit terbentuk di pipinya yang licin tanpa sekelumit jerawat. Kacak dia saat itu. "Awak tunggu saya tegur ke?"soal Mar setelah tawanya reda.

"Mana ada saya tunggu. Awak jangan nak perasan." Aku menarik muka masam.

"Saya cuma tanya saja," sambungku perlahan. Aku melarikan pandangan ke arah lain.

"Saya pun tanya saja," balasnya sambil tersenyum.

Aku mencapai buku Fizik di atas rumput lalu mendakapnya ke dada.

"Saya balik dulu ya."

"Kenapa perlu minta izin dari saya?"

Aku menbeliakkan mata. Bagaikan tidak percaya Mar Iskandar di hadapanku ini yang bertanya sebegitu. Jejaka yang dikatakan sukar beramah mesra dengan pelajar puteri
itu pandai juga mengusik. Akhirnya kami sama-sama ketawa.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam." Mar mengangguk lalu kembali ke tengah astroturf mendapatkan kawannya yang telah lama menanti.

Aku meninggalkan kawasan itu lalu berjalan menuju ke asrama puteri dengan hati riang. Kicauan beburung menyemarakkan lagi suasana bahagia ini. Mereka bagai turut sama gembira dengan peristiwa tadi.

Mungkin ini menjadi titik tolak persahabatan aku dan Mar. Ya... mungkin.



Bab 6

"Bangun!" Ketua kelas 5 Gamma, Qhairul bersuara apabila dilihatnya Mr Yee, guru Fizik melangkah masuk ke dalam kelas.

"Good Morning Sir!" Ucapnya lagi. Yang lain turut sama menyahut.

"Good morning. Kamu semua boleh duduk." Mr Yee memerhatikan wajah anak didiknya satu-persatu. Matanya tertumpu pada dua buah meja di belakang yang kosong tidak berpenghuni.

"Mana dua orang itu pergi?" Dia menyoal Qhairul.

"Saya tak tahu, Sir." Qhairul mengangkat bahu.

Mr Yee berdengus keras apabila mendengar jawapan dari Qhairul tadi. Dia tidak suka pelajar masuk lewat ke kelasnya.

Sementara itu, Akasyah dan Izza terkecoh-kecoh menuruni tangga. Sebentar tadi mereka berjumpa dengan guru penasihat Kelab Fotografi. Mereka ingin meminta jasa baik Cikgu Naim mengambil gambar sewaktu perlawanan kami pada minggu hadapan di S.M.K Convent Taiping.

"Habislah. Dah lewat ni. Mesti Mr Yee dah masuk kelas." Aku meluahkan rasa bimbang. Izza yang di sebelah turut resah. Sampai saja di kelas, kami mendapati Mr Yee sedang berdiri di muka pintu. Lemah sendi-sendi aku waktu itu.

"Kenapa lambat?" Wajah garang Mr Yee menyambut kami di muka pintu. Dia mencekak pinggang.

"Saya pergi jumpa Cikgu Naim tadi, Sir." Bibir aku mengeletar ketakutan. Kecut perutku melihat wajah menyinga guru Fizik tinggi lampai itu.

"Kelas saya pukul 10.30 pagi. Sekarang sudah 10.35 pagi." Dia membelek-belek jam di tangannya."Nak jumpa cikgu boleh... tapi 10.30 mesti ada dalam kelas!"Tegas guru berkaca mata itu.

"Sekarang awak berdua berdiri di luar. Jangan masuk selagi saya tak benarkan." Mr Yee mengarahkan kami berdiri di tepi pintu kelas.

Aku dan Izza tergamam. Dalam usia begini masih didenda seperti budak kecil membuatkan wajahku terasa tebal waktu itu. Malunya bukan kepalang. Aku sempat memandang kawan-kawan yang berada di kelas. Ada yang menunjukkan wajah simpati dan tak kurang juga yang tersengih-sengih mengejek. Aku melarikan pandangan ke bangunan tiga tingkat hadapan kami. Kelihatan ada yang menjenguk-jenguk dari tingkap. Sibuk pulak tengok-tengok. Macam tak pernah tengok orang kena denda. Pergi belajarlah!

Aku berharap janganlah si Mar lalu waktu ini. Dan bagaikan mengetahui apa yang tersirat dalam hati, tiba dua orang pelajar putera datang dari arah kiri dalam keadaan tergesa-gesa. Aku menoleh dan didapati salah seorangnya adalah Mar!

Pandangan kami berlaga. Dia hanya memandang kami sekali imbas. Tersenyum pun tidak, masam pun tidak. Mungkin dia juga mengejar masa dan terlewat seperti aku. Dari raut wajahnya tergambar ketenangan seperti selalu.

Sementara itu Mr Yee ingin memulakan pengajarannnya untuk hari itu tetapi ada sesuatu yang membuatnya terasa tergganggu.

"Awak!" Mr Yee menuding jari pada Azmi yang sejak dari tadi dilihatnya ketawa kecil.

Azmi tersentak apabila namanya tiba-tiba dipanggil. Segera dia menyahut.

"Kenapa awak pandang mereka di luar itu? Kenapa awak ketawa? Awak juga pergi berdiri di luar."Aku dan Izza yang di luar terpinga-pinga kehairanan. Agaknya mood Mr Yee kurang baik hari ini.

Dalam keterpaksaan Azmi melangkah keluar dari kelas. Dia menjeling tajam pada kami berdua. Aku membalas.

"Ini semua kau punya pasal." Azmi menyalahkan aku. Suaranya perlahan tetapi aku dapat merasakan dia tidak berpuas hati dengan tindakan Mr Yee itu.

"Siapa suruh kau gelak. Padan muka!" Aku tersenyum puas. Itu balasan untuk orang yang suka ketawakan orang. Nah, sekarang sama-sama kena denda.

Azmi berdengus kasar. Marah agaknya dengan jawapanku itu. Biarkanlah...


Tidak lama kemudian Mr Loh membenarkan kami bertiga masuk. Aku merungut-rungut dalam hati. Lepas Mar lalu baru nak bagi masuk. Macam saja nak malukan aku depan si Mar hari ini. Si Mar pun satu. Banyak lagi jalan lain dalam sekolah ini. Depan kelas aku juga dia nak lalu tadi. Bengangnya aku!

Masa Fizik tamat juga akhirnya. Bab yang diajar tadi agak payah. Berasap juga kepala dibuatnya. Aku terdengar keluhan dari teman-teman yang lain. Kebanyakannya masih kurang faham. Mr Yee sudah berjanji untuk menjelaskannya sekali lagi minggu hadapan.

Tiba-tiba Azmi dan rakan-rakannya ketawa terkekeh-kekeh. Entah apa lucunya. Aku tidak ambil pusing tetapi apabila terdengar nama aku disebut-sebut telinga aku terasa panas. Pantas aku menoleh dan menghadiahkan renungan tajam kepada mereka. Namun ianya sia-sia malah makin giat mereka memperkatakan peristiwa tadi. Siap melakonkannya semula. Hati aku bertambah berang tapi mengenangkan diri ini sudah dewasa aku cuba bersabar.

Waktu riadah petang itu, aku membawa diri ke Taman Herba yang terletak di hadapan bengkel Kemahiran Hidup. Tangan aku lincah mencabut rumput-rumput yang tumbuh meliar di dalam pasu. Peristiwa memalukan pagi tadi menyesakkan kepala aku ditambah pula gelagat Azmi dan konco-konconya yang menyakitkan hati.

Aku memilih cara ini bagi meredakan kemarahan. Pasti ada yang merasa pelik tapi ianya benar. Tabiat luar biasa ini bermula sewaktu aku dalam Tingkatan Dua. Guru Matematik aku selalu meminta aku dan kawan-kawanku mencabut rumput di taman herba sekolah. Aku memberontak kerana asyik kami saja disuruh membuat kerja-kerja begitu. Aku yang tengah marah-marah pantas mencabut apa saja yang dicapai oleh tangan. Pokok kekacang yang ditanam turut menjadi mangsa kemarahanku. Teman-teman cuba menyabarkan aku tapi aku terus dengan amarahku. Darah muda katakan. Sampai satu ketika aku mendengar suara dari guru Matematikku itu.

"Jangan cabut pokok kacang itu. Cabut rumput saja." Selamba guru berbangsa Tonghua itu menegur aku dalam pelat-pelat cinanya.

Waktu itu aku rasa hendak cabut semua pokok kacang yang ada. Ya Allah! Sabar sajalah!

"Assalamualaikum." Tiba-tiba ada seseorang memberi salam. Sayup-sayup bunyinya. Aku kembali ke alam nyata. Aku tidak membalas, memandang tuan empunya suara jauh sekali. Mood aku tidak berapa baik saat itu.

"Tak jawab berdosa," sambung orang itu lagi.

Aku mengeluh panjang. Siapa agaknya mahu mengusik aku lagi hari ini. Makin pantas aku mencabut rumput yang cuba mencuri vitamin dan garam galian dari pokok lidah buaya yang ditanam oleh pak cik Ishak, tukang kebun sekolah.

Aku ada terbaca dalam satu laman web. Lidah buaya atau nama saintifiknya Aloe vera (L) Burm F dari keluarga Liliaveae dianggap sebagai ubat mentah yang penting dalam sejarah perubatan yang masih diguna secara meluas dalam perubatan moden mutakhir ini.

Ia mengandungi sebatian aspirin yang dapat melegakan sakit, menyembuhkan kecedaraan kerana melecur, luka dan lain-lain selain kaya dengan nutrien serta mengandungi lebih 200 komponen aktif vitamin, mineral, asid amino, enzim dan bahan kimia tumbuhan lain yang dapat dimanfaatkan untuk menguat, mengekal dan menggalak aktiviti sel dalam tubuh manusia.

"Assalamualaikum." Sekali lagi salam diberi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Salamnya kusambut.

"Mar..." Bibir aku lancar menutur sebaris nama yang makin mendapat tempat di dalam hatiku. Mar tersenyum lebar. Dia memeluk tubuh dan bersandar di tiang laluan beratap yang tidak jauh dari aku.

"Apa awak buat tu?" Mar menyoal.

"Basuh kain." Aku menjawab bodoh. Rabunnya agaknya dia.

Mar tersenyum. "Tadi jadi jaga pintu, sekarang jadi tukang kebun pula?" soalnya lagi dalam nada bergurau.

Darjah kemarahan aku melonjak tiba-tiba. Kata-kata Mar bagaikan cuba menguji kesabaran aku tika itu. Angin puting beliung yang berpusat dalam hatiku mula bergerak menyerang sistem-sistem badan yang lain. Ia cuba memusnahkan deria rasional aku.

"Kalau datang setakat nak perli-perli orang, baik awak pergi dari sini!" Aku meninggikan suara. Ingatkan boleh tenangkan fikiran tapi sebaliknya yang berlaku. Mahu saja aku baling pasu yang ada ke mukanya. Ya Allah! Kenapa aku marah sangat pada dia?

Mar agak terkejut. Wajah Akasyah yang berkerut seribu dipandangnya dalam-dalam. Mungkinkah dia tersinggung dengan kata-kataku tadi?

"Maaf! Saya cuma bergurau saja tadi. Saya tak bermaksud apa-apa. " Seribu kekesalan terpancar di wajah lelaki itu.

"Bergurau kata awak? Sudahlah. Tak payah cakap banyak. Kalau awak tak nak pergi, biar saya yang pergi!" balasku agak kasar. Aku mula mengangkat kaki beredar dari situ. Entah mengapa hati ini mudah benar terguris petang itu.

"Saya minta maaf," tutur Mar lembut. Dia mengikut aku dari belakang. Aku mempercepatkan langkahku.

"Maaf ya?" ulangnya lagi.

Saat itu terbayang wajah-wajah mereka yang mengejekku tadi, Mr Yee yang marah-marah. Kata-kata Mar yang menghiris hatiku. Gelak tawa dan senyuman mengejek mereka bermain di fikaran. Semuanya bersatu menjadi satu. Tanpa kusedari, air mata ini menitis.

Prep malam esoknya sebaik saya aku tiba dari perpustakaan dengan Izza aku dapati ada sesuatu atas mejaku. Aku berasa pelik. Sebelum aku keluar tadi aku telah mengosongkan meja itu. Aku menghampiri meja dengan perasaan curiga. Beg plastik yang tertulis The Store Taiping.

"Siapa punya ni?"Aku menjulang beg plastik itu ke udara sambil memerhati sekeliling.

"Atas meja kau. Mestilah kau yang punya."Sahut Qhairul.

"Siapa pula nak kenakan kita ni." Aku merungut. Bungkusan itu aku letakkan ke meja sebelah.

"Tak baik kau buat macam tu. Penat orang tu pergi beli petang tadi."Qhairul menambah lagi.

Orang tu? Siapa? Perasaan ingin tahu menyerbu fikiran. Dengan pantas aku mengambil semula bungkusan itu dan membukanya perlahan-lahan. Coklat! Aku tersenyum lebar. Memang itu kegemaranku. Mata aku tertumpu pada sekeping kertas biru kecil yang terlipat dua. Segera aku membacanya.

Nurul Akasyah,
Maaf di atas keterlanjuran kata-kata saya petang semalam. Tak sangka gurauan saya mengundang kemarahan awak.Percayalah... saya tidak berniat begitu. Harap awak dapat maafkan saya!

Ikhlas dari,
Mohd Ammar Iskandar

Rasa bersalah menghimpit diriku. Teringat semula waktu Mar berkali-kali pinta dirinya dimaafi . Sedikit pun aku tak endahkan. Terus saja aku kembali ke asrama puteri.

"Soalan yang kau tanya tadi. Saya dah cuba buat. Memang berbelit-belit sikit." Suara itu biasa pada pendengaran aku. Aku segera menoleh. Mar! Dia duduk di sebelah Zaim sambil menerangkan sesuatu. Sejak bila dia berada di situ? Aku sendiri tidak sedar. Cepat-cepat aku masukkan bungkusan plastik itu ke dalam laci mejaku. Dalam pada itu aku membelek-belek coklat `Picnic` bersampul kuning itu. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan di cari!

Sekali lagi aku menoleh ke belakang. Kali ini kebetulan Mar juga memandangku. Aku menghadiahkan sekuntum senyuman. Semoga dia mengerti yang aku sudah memaafkannya. Aku juga tak ingin menyimpan dendam terhadap orang yang aku kagumi.

Mar membalas. Sinar matanya menyatakan dia juga mahu peristiwa semalam dilupakan. Aku menarik nafas lega. Pertengkaran kami berakhir malam itu. Kelas menjadi sepi semula. Hanya kedengaran hembusan angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Lembut ia membelai wajahku saat itu bagaikan cuba memadamkan api yang marak di hati.

Damainya waktu itu...

Sambil menikmati coklat `Picnic` aku tersenyum. Sepuluh kali kunyah, sepuluh kali senyum. Cikgu sains aku pernah berkata, apabila kita senyum hanya memerlukan 14 otot manakala apabila kita masam 63 otot di bahagian muka terpaksa digerakkan. Kalau berkerut dahi saja sudah melibatkan 40 otot. Bayangkanlah!

Teringat pula sebuah lagu iklan yang agak popular suatu ketika dulu. Lagu ini tersenarai antara lagu favourite aku untuk berkaraoke.

Senyum seindah suria
Yang membawa cahaya
Senyumlah dari hati
Duniamu berseri

Senyum umpama titian
Dalam kehidupan
Kau tersenyum
Ku tersenyum
Kemesraan menguntum

Senyum... kepada semua
Senyumanmu... amatlah berharga

Senyum... membahagiakan
Dengan senyuman
Terjalinlah... ikatan...

Coklat yang diberi oleh Mar tadi aku kongsi bersama teman-teman rapatku. Mereka ini tahu aku meminati pemain hoki sekolah itu. Masing-masing gembira dapat merasa secubit seorang coklat karamel itu. Memang begitu caraku sejak dulu, segala kegembiraan akan dikongsi bersama.

Kesusahan, kepayahan, kesedihan... biarlah aku telan seorang. Tidak sampai hati rasanya menyusahkan orang dengan masalah aku. Ada antara teman-teman yang kurang senang dengan prinsipku itu tapi aku punya alasan tersendiri.

"Makan pun comot. Macam budak-budak." Bahiah mencuit bibirku. Pantas aku mengesat mulut dengan belakang tanganku berkali-kali. Bahiah ketawa melihat aku begitu. Terus aku malu sendiri.

"Tak tidur malamlah cik kak kita ni. Cik abang belanja coklat." Usiknya lagi sambil tersengih-sengih kesukaan.

Aku menjegilkan mata lalu tertawa kecil.

"Tidur tetap tidur." Aku mengenyitkan mata. Baki coklat yang terakhir dimasukkan ke dalam mulut dan dikunyah perlahan-lahan. Kenangan tadi berputar semula di fikiran.

"Saya minta maaf." Mar muncul di hadapan aku sedang aku dan Izza dalam perjalanan pergi ke surau untuk menunaikan solat Isyak selepas tamat prep malam itu.

Aku mengurut dada. Kus semangat! Dalam gelap-gelap tiba-tiba ada yang menegur. Mahu tercabut jantungku kalau tak kena caranya.

"Lupakanlah pasal hari tu. Kita sama-sama macam budak-budak. Maaf sebab tinggikan suara pada awak."

"Kira 0-0 la ye."

"Lain kali jangan buat macam tu lagi."Aku pura-pura marah.

"Tak berani saya. Garang juga anak pak cik Othman ni. Serik dah saya." Raut wajahnya terpancar keikhlasan.

"Ehem..." Izza mencelah perbualan kami. Aku dan Mar tersipu-sipu malu. Terlupa kehadiran Izza di situ.

"Hah!" Tiba-tiba peha aku ditepuk kuat. Aku tersentak. Bahiah!

"Tersenyum-senyum. Baru dapat coklat sebiji dah angau. Belum lagi Mar hantar rombongan meminang"

"Mana ada. Takkan nak senyum pun tak boleh." Aku mencebik bibir.

"Meh sini aku bagi senyum puas-puas." Pantas Bahiah menggeletek aku. Aku menjerit kegelian. Gelak tawa kami memecah keheningan malam. Akhirnya aku mengangkat tangan tanda mengalah. Air mata turut mengalir kerana terlalu banyak ketawa. Malam itu terus berlalu meninggalkan seribu keceriaan di lubuk kalbuku.






Bab 7

Perlawanan persahabatan dengan SMK Convent Taiping semalam berakhir dengan kemenangan di pihak kami. Walaupun kami menang tipis pada pasukan lawan, aku dan pemain lain menarik nafas lega. Namun begitu jurulatih kami, Cikgu Nadya menegur beberapa orang pemain termasuk aku sendiri.

"Saya lihat ada antara kamu seperti hilang tumpuan pada perlawanan hari tadi. Kita nyaris-nyaris tewas pada pasukan lawan dalam separuh masa kedua." Cikgu Nadya memandang wajah kami satu-persatu.

Aku setuju dengan kata-kata jurulatihku itu. Sememangnya aku memikirkan hal lain waktu itu.

Masa terus berlalu. Aku melupakan bola jaring buat seketika untuk memberi laluan kepada ujian penilaian bulan Mac yang bakal menjelma tidak lama lagi. Prinsipku mudah saja. Walaupun aktif bersukan jangan sampai pelajaran tercicir. Lagipun hendak bawa ke mana bola tu kome!

Bila ditanyakan soal pelajaran, ramai yang pelajar form 4 dan form 5 sekolah ini yang menggeleng. 10 subjek hendak dipulun. Silap-silap haribulan boleh berasap kepala macam kepala keretapi. Mujur tak keluar asap betul-betul!

Pada aku, study setakat yang termampu tapi jangan sampai tak study langsung. Kalau stay up sampai subuh sekalipun tidak ada maknanya jika satupun tidak direkodkan dalam kepala. Kalian hanya menyumbang kepada pertambahan bil elektrik sekolah saja.

Jika ada perkara yang tidak difaham, jangan malu jangan segan untuk bertanya. Kalau sudah malu sangat, boleh berjumpa dengan AJK Biro Akademik Majlis Perwakilan Pelajar. Insya-allah masalah itu akan cuba diselesaikan. Pengerusi, naib pengerusi dan AJK biro yang mantap dan berkaliber akan sedia memberi bantuan 24 jam. Mereka sudah berhempas-pulas memikirkan aktiviti biro sampai gugur rambut, pecah serebelum, serebrum dan medula oblongata. Jadi pandai-pandailah memanfaatkannya.

Aku mempunyai study groupku sendiri. Cara ini yang kupraktikkan sejak dulu kerana merasakan ianya lebih efektif dan menjimatkan masa. Selalunya aku akan mengulangkaji subjek elektif bersama temanku yang setia, Carl Duke Adam yang lebih dikenali dengan nama Kaduk. Nasib baik bukan kodok!

"Carl Duke Adam? Mesti mix ni" Aku meneka bila pertama kali mendengar nama yang meniti bibir pelajar puteri. Satu hari aku memberanikan diri berjumpa dengan tuan empunya diri walaupun aku sudah mendengar dari penglipur lara freelance sekolah.

"Papa orang Belanda. Mama Melayu Banjar," jawabnya ringkas bila ditanya tentang asal-usulnya.

Aku mengangguk seperti burung belatuk. Sesiapa yang memandangnya pasti menoleh dua, tiga kali. Tangkap leleh wa cakap lu. Renungan matanya seperti Johnny Depp. Tajam menikam. Gaya rambutnya seperti Beckham di awal pembabitannya dalam pasukan MU. Hidungnya mancung seperti siapa ya? Pinocchio? Aku sekadar bergurau.

Walaupun dia memegang jawatan sebagai Ketua Pelajar, ia tidak sekali membataskan pergaulannya. Sikap ramah-tamah Kaduk membuatkan sesiapa saja berasa seronok apabila disampingnya. Aku bertuah kerana dia sudi berkawan denganku walaupun aku pelajar baru di sekolah menengah sains ini.

Kadangkala Kaduk sibuk dengan latihan bola sepaknya. Kesian betul headboy yang seorang itu. Pagi petang siang malam sibuk 24 jam. Lagaknya tidak ubah seperti Orang Besar-Besar. Apalagi headgirl? Tolonglah headboy kita. Teamwork is important. Takkan aku pula nak tolong. Ishh..

Suatu petang sedang aku sedang khusyuk menyiapkan latihan Matematik Tambahan di dalam kelas, tiba-tiba ada yang datang menyapa.

"Syah, awak sibuk ke sekarang?"

Aku rasa sedikit terganggu. Tak nampakkah buku yang bertimbum macam Gunung Everest atas mejaku waktu ini? Dengan malas-malas aku mengangkat muka.

Oh, jejaka idamanku rupanya. Ingatkan siapakah gerangan yang menegur hamba tadi. Matamu bersilika-silika, Mar. Hebat benar panahan asmaramu itu. Kanta optik mana yang tuan hamba gunakan? Kanta cembung, kecung atau dwi cekung. Aku cuba bersandiwara ala bangsawan dengan diri sendiri. Secara automatik aku membetulkan tudung. Maintain body language, Syah!

"Pukul lapan malam ni kita jumpa kejap boleh? Ada hal penting saya nak cakap."

Cepat saja aku mengangguk. Mar tersenyum. Belum sempat aku menanyakan tujuannya dia sudah berlalu pergi.

Malam itu di dorm F218...

Muka aku yang langsung tiada iras Siti Nurhaliza ini ditouch up dengan bedak alas. Kemudian pemerah pipi dan sebagainya. Pulun aku buat announcement memanggil Mak Andam satu Asrama untuk memastikan kejelitaanku terserlah malam ini. Kalau tak cun, bak balik duit aku! Perfume habis 6 setengah botol.

"Kak Syah, melaram ye,"tegur junior yang rapat denganku.

Aku hanya membalas dengan senyuman saja. Mak Andam yang aku jemput dari merata-rata dorm datang memberikan komen.

"Baju tak padan dengan tudunglah." Mak Andam dari dorm sebelah mengerut dahi.

"Kasut tu tak sesuai."Yang seorang lagi memandang kasut hitamku yang sudah lusuh.

"Keronsang yang kau pakai kecil sangat." Lantas aku memilih keronsang yang besar sedikit.

"Make up tak cukup tebal. Kena tambah lagi ni."Segera aku membelek wajahku. Tak ubah macam pelakon opera Cina. Tak cukup lagikah?

Akhirnya aku naik bosan. Banyak pula komennya. Menyesal aku memanggil mereka datang.

"Siapa yang nak pergi dating sebenarnya? Kita ke korang? Melampau sungguhlah. Dah 16 setengah kali kita tukar baju. Ingat ni model ke? Takkanlah satu pun tak padan."Kataku hampir menjerit. Terus aku berbaring di atas katil kepenatan.

Mak Andam yang dijemput mempamerkan gigi masing-masing. Tidak ubah seperti model iklan ubat gigi.

"Eh, dah jam berapa sekarang?" Aku melihat jam di tangan. Walkie talkie yang baru kupinjam petang tadi dicapai lalu menghubungi kapten pasukan bola keranjang yang bertindak sebagai ketua peninjau.

"Hello! Hello! Calling menara kawalan. Sila beri laporan. Over. Target sudah muncul atau belum?" .

"Target sedang bergerak dengan kadar perubahan jarak teradap masa yang agak perlahan. Masih ada masa untuk meneruskan persiapan. Over." Lampu merah walkie talkie berkelip-kelip. Mata ketua peninjau turut sama berkelip.

"Berita diterima. Roger and out!" Aku mencium walkie talkie di tangan. Sempat lagi nak bersiap, bisik hatiku.

"Mak Andam!"

Tepat jam lapan malam Mar sudah tercegat di perkarangan asrama puteri. Macho betul dengan berbaju Melayu merah macam Mak Ngah. Bahagianya aku...

Aku menuruni tangga asrama puteri. Langkahku diatur satu-persatu supaya tidak sumbang iramanya. Di tepi koridor puluhan mata mengiringi pemergianku. Mereka bakal menjadi saksi pertemuan Mar dan aku malam ini. Aku yang ditemani oleh teman baikku, Izza menghampiri Mar di bawah laluan beratap di hadapan perkarangan asrama puteri. Dia juga membawa seorang teman bersama.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam."

"Maaf sebab terpaksa curi masa awak sekejap."

"Tak apa."Jangankan curi masa. Curi hati pun boleh! Hormon gatalku terbebas dengan sendirinya saat itu.

Dia memerhatikan aku dari atas ke bawah. "Lawa-lawa ni nak jumpa buah hati ke lepas ni?" Soalnya tiba-tiba.

"Tak adalah. Mana ada buah hati pun." Aku tertunduk malu tetapi mataku sempat merenung nakal lelaki di hadapanku ini. Segak dia berbaju melayu teluk belanga, berkain pelekat. Sejak berada sekolah asrama ini aku mula menyukai lelaki yang berkeadaan begitu. Nampak macho. Seperti lelaki melayu terakhir. Kupiah putih di atas kepalanya. Mungkin baru balik dari musolla. Aku pula bendera merah hari ini. Baru aku terperasan tangan kanannya seperti memegang sesuatu yang terlindung di sebalik badannya. Entah apa agaknya yang disoroknya itu.

Bungakah? Coklat lagikah? Aku mula tidak sabar menanti tindakannya selepas ini. Keadaan menjadi hening tiba-tiba.

"Ada hadiah untuk awak."Mar bersuara kembali.

"Hadiah?" Aku pura-pura terkejut.

Mar mengangguk. "Tapi sebelum tu awak kena pejam mata dulu,"sambungnya lagi sambil tersenyum malu-malu kucing.

Aku mengerut dahi. Lain benar perangainya malam ni. Buang tabiat agaknya.

"Baru suprise sikit."Jelasnya seakan tahu persoalan yang berlegar dalam fikiranku. Baru aku mengerti. Lalu aku pejamkan mata seperti diminta. Hati aku berbunga-bunga keriangan. Romantik benar Mar sejak akhir-akhir ini.

"Nah!"

Senyumku lebar sampai ke telinga. Sebaik saja hadiah itu menyentuh telapak tangan terus aku membuka mata.

"Fail biro?!"Mulutku terlopong. Aku cukup kenal fail merah itu. Lain yang dicita, lain yang kudapat. Rasa kecewa menerpa hatiku. Ringan saja tangan aku hendak menumbuk tubuhnya yang sasa itu. Buat ponat eden jo. Sapo nak bayar Mak Andam yang ramai-ramai tu.

"Tolong buat laporan pasal perlawanan dengan Convent hari tu ye. Cikgu Faizal minta."Aku terus tersedar yang Mar ini pengerusi Biro Sukan Majlis Perwakilan Pelajar. Cikgu Faizal pula guru penasihatnya. Alahai...

Aku mengangguk lemah. Mar berpuas hati dengan kesediaanku menyiapkan laporan itu. Kemudian dia dan kawannya meminta diri kembali ke asrama putera. Aku pula sepantas The Flash meluru masuk ke asrama puteri. Waktu itu terasa satu asrama gelakkan aku. Waaa... tragisnya! Buat kedua kalinya Projek Taj Mahal aku musnah! Pekerja-pekerja indonesia semua sudah lari menyelamatkan diri sebelum mati digelek oleh bulldolzer.

Aku berguling-guling di atas katil. Cuba mencari posisi yang paling baik untuk melelapkan mata. Ingin aku lupakan tragedi tadi. Aku membenamkan muka ke bantal. Malu semalu-malunya. Malu dengan sikapku yang mudah sangat perasan. Mungkin aku terlalu banyak menonton televisyen. Inilah akibatnya. Nasib baik Mar tidak tahu.

Kalau tidak pasti aku menjadi bahan ketawanya.

Akhirnya aku belayar jauh. Bertemankan mimpi indah bersama-sama Mar.



Bab 8

"Nurul Akasyah!" Tiba-tiba satu suara mengganggu lenaku.

Cukup! Berapa kali perlu aku beri amaran pada korang? Tak reti bahasa ke? Orang tengah tidur ni. Nak aku cakap dalam tulisan pepaku orang Sumeria, Cuneiform? No hal. Nah! Ambil ni...

YYML[if{^`YYML[if{^`YYML[if{^`YYML[if{^`YYML[if{^`YYML[if{^`YYML[if{^`YYML

"Nurul! Hey, bangunlah!" Terasa badanku digoncangkan oleh seseorang. Aku membuka mata perlahan-lahan. Namun pandanganku berpinar-pinar. Aku menggosok mata berkali-kali.

Cikgu Nadya!

"Masya Allah budak ni. Macam mana boleh tertidur." Cikgu Nadya mengucap panjang. Dia meninggalkan aku yang masih terpisat-pisat.

"Okey girls. Get ready. Ada lima minit lagi sebelum masuk masa kedua." Jurulatih beranak dua mengingatkan anak buahnya.

Aku terpukul. Rasa macam seketul meteor jatuh dari langit menimpa kepalaku. Lama betul aku mengelamun. Entah ke planet mana aku pergi. Mungkin ke planet Kripton, kampung halaman Superman! Oh abang Clark Kent hero kesayanganku! Adik Akasyah ini Lois Lane abang.

Jangan nak perasan lagi, Syah!

Sibuk sajalah. CK kepunyaanku. Tengok mulut aku betul-betul. He`s mine!

Fine. Tapi cuba tengok CK kau yang seorang lagi tu.

Mana?

Di bawah pokok sana tu.

Apa?!!

Hatiku kecilku mempersendakan aku. Dan waktu itu di bawah pancaran mentari kelihatan Mar sedang berborak-borak dengan salah seorang pemain pasukan lawan. Mesra semacam. Gelak sana, gelak sini. Melampau sungguh dia. Saja hendak menguji kesabaranku. Dengan budak perempuan sekolah sendiri hendak membuka mulut pun susah.

"Wani! Mari sini!" Macam komando aku memanggil GS pasukan kami. Junior itu datang terkedek-kedek menghampiriku.

"Kau nampak jaring tu?"Wani mengangguk.

"Lepas ni Kak Syah nak kau aim betul-betul. Sumbat seberapa banyak gol selagi boleh. Kita mesti menang hari ini." Mata Ziana Zainku menjeling juling ke arah pasangan yang berbual di bawah pokok rendang yang biasanya menjadi tempat istirehat keluarga Bedah, kucing kesayangan pelajar sekolah ini.

"Ziat! Tolong bawakan gergaji Pak Ishak ke mari. Ada dalam beg aku tu." Jari aku menuding ke arah ploy beg pink yang kubawa ke hulu ke hilir.

Ziat yang sedang minum tersedak. Mengigau agaknya Akasyah ni? Bangun-bangun terus minta gergaji. Haru sungguh!

Pritt...

Wisel dibunyikan memanggil pemain ke tengah padang semula. Aku memakai `bit` dan berlari ke posisiku di bahagian tengah. Aku perlu lebih lincah selepas ini. Kemesraan Mar dengan netballer sekolah lawan tadi membakar semangatku. Aku tidak perlu kepada karbohidrat, lemak dan yang seumpama dengannya. Perisi dan pengawet tambahan juga aku tolak ke tepi.

Siap kau netballer sekolah lawan. Tahulah nanti langit tinggi atau rendah. Akan kujulang piala kemenangan nanti di depan mata Mar. Yang paling penting aku mesti buktikan pada semua yang pasukan kami memang hebat.

"Come on girls. Try our best!" Aku melaungkan kata-kata peransang untuk pemain yang lain termasuk diriku sendiri. Aku harap semangat `Go go power rangers` akan terion dalam diri masing-masing.

Kaduk sudah berjanji akan memberi ais krim Cornerto untuk setiap pemain jika pasukan SERATAS menang. Aku bayangkan taburan badam di atas lapisan coklat. Kecur air liurku. Sudah lama aku mengidam ais krim itu.

Ding.. ding.. ding...

Eh! Macam dalam supermarket pula.

"Kepada semua pemain, anda hanya mempunyai 30 saat sebelum permainan tamat." Pengumaman tersebut tertera pada skrin elektronik.

Wah! Kelas betul sekolah aku! Sempat aku memuji.

PERHATIAN!
Para pembaca diminta memakai tali pinggang keselamatan yang terselit di sisi kerusi masing-masing. Laraskan gear suara anda ke tahap paling maksimum. Sila baca perenggan seterusnya dengan kelajuan tinggi. Start countdown... 5.. 4.. 3.. 2.. 1...

Syah menghantar bola ke GA tetapi berjaya ditepis oleh GD lawan. Syah cuba mencari ruang. Nampaknya pihak lawan cuba bertindak extreme. Syah melompat dan membuat flying over. "Wani, ambil bola ni." wani menyambut. Dengan gaya shoot 6 1/2 darjah Wani membuat jaringan terakhir. Dan akhirnya golllll...... !!!

Berhenti. Terima kasih di atas kerjasama anda.

Serentak itu pelajar SERATAS bersorak. Aku turut melompat keriangan. Wani dijulang. Dialah penyelamat kami. Keputusannya pasukan SERATAS menang besar pada masa kedua sekaligus melayakkan diri ke kejohanan akhir.

Aku mencari kelibat Mar. Dan bagaikan mengetahui apa yang tersirat dalam hati, tiba-tiba muncul lelaki itu di sebalik celah-celah manusia yang ramai. Dia berjalan ke arahku. Aku membayangkan setiap langkah diiringi rentak lagu Kuch Kuch Hota Hai. Indahnya saat itu...

Sekotak ais krim Cornerto diberikan padaku. Kemudian dia menuding ke arah sesuatu. Aku melihat Kaduk mengenyitkan mata dari jauh. Aku membalas.

Terima kasih Kaduk! Kau memang teman yang paling memahami diri ini.


Bab 9

"Nurul Akasyah!"

Lelaki mana pula main jerit-jerit nama aku ni? Masa aku belajar ada saja gangguannya. Segera aku menoleh ke kiri kanan, ke depan dan belakang. Tiada siapa pun. Aku mula rasa tak sedap hati.

"Cak!"

"Apocot!" Terperanjat dugong aku.

Carl Duke ketawa berdekah-dekah. Gembira agaknya kerana berjaya membuat aku melatah petang-petang begini.

"Teruklah kau ni. Buat orang terkejut je." Aku menarik muka masam. Kaduk pula tersenyum seperti kerang busuk.

"Rajin cik adik kita hari ini." Kaduk mengusik. "Kalau hari-hari macam ni sure result nanti flying colours."sambungnya lagi.

"Kita tak pandai macam kau. Kenalah rajin sikit," ujarku sedikit merajuk. Aku tahu niatnya hanya mahu mengusik. Cepat-cepat aku padamkan rasa negatif yang mula bertunas di dalam hati ini.

Kaduk merupakan salah seorang penghuni kelas 5 Alfa, kelas elit. Mereka yang terpilih memasuki kelas itu adalah berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun semasa tingkatan empat lalu. Pastinya hanya pelajar cemerlang sahaja yang layak. Dan selebihnya akan dibahagikan sama rata antara tiga kelas lain.

"Kau pun pandai juga."Katanya seakan memujuk. Aku termakan pujiannya itu. "Pandai berangan." Kaduk menjelir lidah. Masih mahu mengusik aku.

Aku membeliakkan mata. Kaduk ketawa lagi. Pantas aku mencapai buku dan meneruskan pembacaanku. Malas berlawan kata dengannya lagi. Nanti aku boleh jadi gila!

Kaduk tersengih. Faham benar dengan perangai temannya yang satu ini. Jika dia sudah mengalah, pasti dia akan diam membisu. Buat bodoh saja. Akhirnya Kaduk sendiri yang geram kerana Akasyah tidak memberi respon.

Kaduk menggaru kepala. Kebisuan Akasyah membuatkan dia terasa sunyi rasanya tika itu. Kakinya menguis pasir. Sesekali dia mengerling ke arah Akasyah yang khusyuk. membaca hingga tidak menghirau kehadirannya di situ. Akhirnya dia mendapat suatu idea.

Tiba-tiba Kaduk berlari meninggalkan aku dalam keadaan terkecoh-kecoh. Aku dapat rasakan sesuatu akan berlaku nanti. Kenal benar dengan Kaduk yang kuat mengusik itu.

Sementara itu, Kaduk menghala ke astroturf. Sekumpulan pemain sedang berlatih di situ. Matanya mencari kelibat Mar di antara pemain yang ada.

"Mar! Mar!" laung Kaduk sebaik saja dia tiba di sana. Mar mengangkat tangan lalu berlari mendapat Kaduk.

"Ada apa?" tanya Mar kehairanan melihat Kaduk yang termengah-mengah.

"Syah... Syah..." Nafas Kaduk turun naik. Penat berlari tadi masih belum hilang. Hendak berkata-kata pun dirasakan payah. Tersekat-sekat.

"Kenapa dengan dia?" Mar mula tidak sabar.

"Padang netball." Dia menuding jari ke arah tempat dia bertemu Akasyah tadi. Oleh kerana terlalu letih berlari, Akhirnya Kaduk terduduk.

Mar tersentak. Tanpa membuang masa Mar bergegas ke padang bola jaring. Hatinya diamuk resah. Dia menjangkakan sesuatu yang buruk telah berlaku. Jika tidak masakan Kaduk termengah-mengah begitu. Harap Akasyah tidak apa-apa, pohonnya dalam hati.

"Nurul!"

"Masya-allah." Aku meletakkan buku di atas rumput. Cobaan... Hai.. Mambang tanah, mambang air, mambang segala mambang. Yang mengacau aku pun mambang juga. Mambang tiga suku!

Aku menggenggam pasir. Kali ini aku nekad. Biar hari ini Kaduk makan pasir berulam rumput. Dari tadi asyik mengacau aku saja. Kala itu aku dapat rasakan Kaduk semakin menghampiriku. Dengan putaran di bawah enam setengah darjah dan dimantapkan dengan stail ala Elregina (atlit gimrama negara) aku melemparkan pasir tadi ke arah mambang tiga suku.

"Mar..."Nama itu terpacul dari mulutku. Pasir tadi tepat mengenai jersi hokinya. Maafkan aku, Mar!

"Awak ok ke, Syah?" Soalnya sambil menyapu bahagian yang terkena pasir. Aku cuma mampu mengangguk. Sesal menghantui diriku. Kenapa mesti dia? Mana perginya Kaduk tadi?

"Awak tension ke? Sampai baling-baling pasir. Marah pada siapa?"Bibirnya tidak putus-putus menguntumkan senyuman. Itu yang buat aku makin suka padanya. Senyumannya yang tak pernah lekang di bibir. Sikapnya yang tenang dan pandai memujuk. Bukan macam si Kaduk. Asyik mengenakan orang saja kerjanya. Nama saja headboy. Perangai macam budak tingkatan satu lagi. Macam mana boleh dia terpilih dulu ya?

"Mamat itu datang buat onar tadi."Aku menuding jari ke arah Kaduk yang tersengih-sengih berjalan ke arah kami. Mar ketawa kecil. Dia faham dengan perangai Kaduk. Bila perangai gila-gilanya datang, teruk Akasyah dibuatnya. Nasib baik gadis ini jenis tahan lasak. Kalau dia geram dia akan buat serangan balas seperti tadi. Jika tidak, dia akan jadi patung bernyawa, tiada perasaan. Sikap yang tidak banyak songeh membuatkan dia senang berkawan dengan anak pakcik Othman ini.

"Mengumpat aku ya."Kaduk melemparkan pandangan sinis padaku. Aku sengaja buat-buat tidak nampak.

"Maaflah Syah. Aku bukannya apa. Rindu nak usik kau. Sejak ada Mar ni kau tak layan aku macam dulu lagi," ucapnya lagi dengan nada sedih yang dibuat-buat. Sengaja mahu memancing simpatiku. "Bak kata pepatah, habis madu sepah dibuang." Ada nada lucu bila Kaduk berkata begitu.

Aku yang dari tadi cuba menahan diri daripada tawa akhirnya kalah juga. Mungkin aku melupakan lelaki itu sejak akhir-akhir ini. Tapi semuanya kerana dia sudah punya kekasih sekarang. Aku tidak mahu keakraban kami menimbulkan rasa tidak senang hati pada orang lain. Jadi biarlah aku menjauhkan diri. Tapi tidak sangka rindu juga lelaki itu pada aku...


Bab 10

Hari ahad merupakan hari rasmi aku mendobi. Sebaldi besar baju kubawa ke bilik dobi di tingkat bawah. Basuh pun ala kadar saja sebab bukannya kotor mana pun. Sekadar menghilangkan bau peluh. Kain yang disiap diberus kemudiannya dibilas dengan air paip.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Perhatian kepada semua ahli majlis pelajar dan pengawas sekolah. Anda diminta datang ke bilik gerakan sekarang juga. Sekian, harap maklum." Suara macho Kaduk keluar melalui corong pembesar suara di asrama puteri.

"Hai, cuti-cuti pun ada meeting?" Aku mengomel sendirian. Tanganku ligat menyidai kain di ampaian belakang asrama. Bersyukur aku kerana jadi orang biasa. Tidak punya jawatan besar.

Aku terpandang sepupuku, Azimah yang melangkah penuh lemah-gemalai ke bilik air di tingkat atas. Idea nakalku bermain di fikiran.

"Ima! Ooo... Ima!"Aku melaung Ima yang berada di tingkat satu asrama.

Ima yang masih dalam mood tidur terpinga-pinga. Lalu dia terpandang seorang yang berbungkus kepalanya menjerit-jerit memanggil namanya.

"Kak Ngah rupanya. Ada apa kecoh-kecoh pagi ini?"

"Ada projek sikit. Nak ikut sama tak?"

"Projek?" Ima tersengih. Aku tahu dia pasti berminat. "Tunggu Ima mandi dulu ya." Aku mengangguk lantas tersenyum. Sesuatu yang menarik akan berlaku di pagi ahad ini!


Bilik Gerakan, 11 pagi.

Carl Duke Adam selaku ketua pelajar merangkap pengerusi majlis mesyuarat pada hari itu mula mengatur bicaranya. Anak buahnya khusyuk mendengar setiap butiran kata yang dilontarkan.

"Masalah rokok semakin meluas di kalangan pelajar sekolah ini. Saya mendapat maklumat bahawa terdapat sebilangan pelajar menjadi pembekalnya. Mereka inilah mastermindnya..."

Tiba-tiba saja suara Carl Duke berubah menjadi garau seperti suara Dark Vader dalam filem Star Wars.

"Ima ! Apa dah jadi ni?" Aku memandang Ima yang terkebil-kebil.

"Bateri lemah agaknya." Ima menggaru kepala.

"Ntah-ntah kau bedal bateri second hand ni. Kata nak jadi SB." Aku mencebik bibir. Otakku mula ligat berputar. Mesti cari sumber lain. Waktu itu aku terpandang suis elektrik yang berdekatan. Mesti boleh jalan ni, aku meyakini diri sendiri.

Ima yang melihat perbuatanku segera menegah. "Jangan Kak Ngah! Nanti over loaded!!" Tapi ternyata dia agak terlewat.

Boom...

"Aaaa!!" Aku dan Ima sama-sama menjerit. Satu letupan kecil berlaku. Nasib baik tidak punah-ranah sekolah ini dikerjakan kami berdua.

"Bunyi apa bising-bising di luar tu?" Beberapa orang pengawas bertanya antara satu sama lain. Masing-masing mengangkat bahu.

"Okey. Kita tangguh dulu majlis ini dengan tasbih kifarah dan surah wal-asr."ujar Carl Duke.

Aku dan Ima terkecoh-kecoh menyembunyikan diri sebaik sahaja ternampak pintu bilik gerakan terbuka. Aku memerhatikan mereka dari jauh. Pandangan aku tertumpah pada Kaduk yang keluar paling lewat. Wajahnya muram sahaja seperti menanggung masalah dunia.


Bab 11

Lokasi: Aspura (asrama putera)

Tiga lelaki melangkah macho menuju ke Dorm xxx. Sekali pandang macam The Three Musketeers pula. Cuma kostum mereka saja berbeza.

"Betul ke ni, Cikgu? Takkan dia buat benda tu kot."kata Cikgu A yang agak was-was.

"Kita mesti check dulu."Cikgu B cuba meyakini yang lain. Tanpa rasa ragu-ragu, daun pintu Dorm xxx ditolak perlahan-lahan.

Krekk...�@Berbunyi seperti sudah berzaman engselnya tidak disentuh gris.

"Cikgu! Itu katilnya." Cikgu C menuding ke arah katil milik pelajar yang dimaksudkan berdasarkan nama yang tertera pada palang katil tersebut.

Mereka bertiga memeriksa katil itu. Loker pelajar itu juga turut diperiksa.

"Cikgu!" Lelaki berkumis lebat menayangkan kotak benda itu ke udara.

Cikgu A menggelengkan kepala. Bagaikan tidak percaya pelajar harapan sekolah melakukan kesalahan begitu. Dia tokoh pelajar.Dahi masing -masing mula membentuk medan magnet yang tiada taranya. Kronik. Panik.

Seminggu kemudian...

Pagi-pagi lagi seorang pelajar junior menemui Kaduk di kelas 5 Alfa.

"Abang, pengetua nak jumpa di bilik dia sekarang."

"Sekarang?" Soal Kaduk kehairanan. Junior itu mengangguk. Setelah Kaduk mengucapkan terima kasih junior itu berlalu. Selepas meninggalkan pesanan pada teman semejanya, Kaduk menuju ke bilik pengetua dengan perasaan penuh tanda tanya.

Kaduk gelisah. Sebaik sahaja dia masuk tadi, wajah serius tuan pengetua, guru disiplin dan warden menyambutnya. Hatinya rasa kurang enak. Bagai ada perkara buruk akan berlaku sebentar lagi.

"Carl Duke Adam, awak tahu kenapa awak dipanggil ke mari?"Suara tuan pengetua memecah kesunyian. Kaduk menggeleng tidak mengerti.

"Awak didapati menjual rokok di kawasan sekolah."ujar tuan pengetua dengan tegas.

"Apa?" Kaduk tersentak. Bibirnya sendiri tidak pernah menyentuh benda itu, apalagi hendak menjualnya kepada pelajar lain.

"Dan ini bukti."sampuk guru disiplin. Beberapa kotak rokok dilambakkan di depan matanya. "Semua ini dijumpai dalam katil dan loker awak."

"Semua ini fitnah cikgu. Ada orang cuba sabotaj saya."Kaduk cuba membela diri.

"Kami ada bukti yang sah. Oleh itu pihak lembaga disiplin sekolah telah memutuskan supaya awak digantung persekolah selama enam minggu berkuatkuasa esok hari. Kami sudahpun maklumkan kepada keluarga awak. Mereka akan datang petang nanti."jelas tuan pengetua.

"Ya Allah." Kaduk terpempam. Dia yakin dirinya tidak bersalah. Jadi mengapa harus dihukum sebegitu rupa. Buntu fikirannya saat itu. Perkara yang mengaibkan telah menimpa dirinya. Apa kata mama dan papanya nanti? Pasti mereka kecewa. Dan tentu reputasinya sebagai ketua pelajar turut terjejas.

Arghhhhh! Tidakkkkkkkkkkkkk! Hatinya menjerit.



Bab 12

Kaduk meninggalkan bilik pengetua dengan hati yang sayu.Dia memikirkan pelajarannya yang akan tercicir selama enam minggu yang akan datang. Rugi benar rasanya. Tapi apakan daya. Hukuman sudahpun dijatuhkan. Dia tiada pilihan lain. Kembalinya ke sekolah nanti peperiksaan percubaan SPM akan bermula.

Secara kebetulan Kaduk bertembung dengan Ima yang baru turun dari kelasnya 4 Beta. Ima melemparkan senyuman tetapi dibalas oleh wajah masam mencuka Kaduk.

Pagi-pagi sudah moody? tanya hati Ima. Pelik melihat Kaduk berkeadaan begitu.

Keesokan harinya heboh satu sekolah mengatakan Kaduk dibuang sekolah. Aku tidak percaya pada khabar angin sebegitu. Lantas aku bertanyakan pada teman rapat Kaduk.

"Dia kena gantung sekolah tapi sebabnya aku tak tahu. Dia diam saja bila aku tanya."jelas Sudin dengan wajah yang sugul.

Ini sudah dikira kes berat. Seorang ketua pelajar digantung persekolahannya tanpa sebab. Aku mesti buat sesuatu.

Dar al-Noor
Kawasan perumahan mewah
Lembah Beringin, Selangor

Kring! Kring!

Jeritan telefon memecah kesunyian banglo mewah dua tingkat milik keluarga Dato` Soufi. Gadis kecil persis anak Bosnia berkejar ke ruang tamu mendapatkan telefon yang tidak henti-henti berdering.

"Achik! Kak Akasyah telefon!" Jerit Aleidia, adik Kaduk yang berusia 9 tahun. Kaduk melompat kegirangan. Dia bergegas ke ruang tamu. Gagang telefon kini beralih tangan.

"Hello! Prince Carl Duke Adam, Lord of Buckingham is on the line."Kata Kaduk dengan pelat Bristishnya yang sengaja dibuat-buat.

Aku di asrama ini rasa hendak termuntah. Perasan sungguh! "Tolong ler Kaduk. Kite letak telefon ni karang,"cabar aku.

Kedengaran Kaduk ketawa di hujung talian. "Aku bergurau saja. Sekolah macam mana?"

"Bosan. Sebab kau tak ada."jelasku tanpa berselindung. Sesungguhnya aku merindui lelaki kacukan itu. Kalaulah dia tahu...

Kaduk ketawa kecil. Dia juga agak bosan kerana terpaksa terperap di rumah sewaktu kawan-kawan yang lain belajar. Hanya Tuhan saja tahu perasaanya waktu ini. Nasib baik papanya memanggil seorang guru peribadi datang mengajarnya di rumah.

"Bila kau nak balik?"Soal aku bila menyedari Kaduk menyepi.

"Lama lagi, Syah."tuturnya perlahan. "Tapi Mar kan ada. Dia boleh temankan kau." Tiba-tiba suara bertukar ceria.

Mar? Lelaki itu hanya tahu berkepit dengan buku dan kayu hokinya siang dan malam. Mana dia ada masa hendak memikirkan tentang aku. Entah-entah aku tidak pernah terlintas di fikirannya.

Telefon awam ini sudah menjerit minta ditambah duit. Aku meraba poket mencari duit syiling. Kosong. "Kaduk, kite sembang lain kali ya." Aku terpaksa mengakhiri perbualan kami.

"Terima kasih sebab susah-susah telefon aku. Sampaikan salam aku pada kawan-kawan yang lain." Aku dapat merasakan kesedihannya saat ini. Sabarlah teman! Kebenaran pasti terserlah jua.

Mission Imposible #1

"Awak sudah kumpulkan data-data yang kita perlukan, Ima?"

"Semuanya sudah sedia, bos,"jawab Ima Scully.

"Dengan lafaz bismillah, kita mulakan misi kita sekarang,"kataku sambil menekan punat jam G-Shock biru di pergelangan tangan. Tepat jam 4 pagi.

Dua `women ini black` menyelinap masuk ke aspura. Pintu pagar utama dibuka dengan jayanya. Penghuni aspura masih lena diulit mimpi. Dengkuran hodoh mereka dapat kami dengar dari koridor. Seluar pendek lelaki megah tergantung di palang-palang tingkap. Suatu pandangan yang meloyakan. Kalau nak sidai pun pilihlah tempat sikit. Tak reti nak cover langsung, aku sempat mengomel dalam hati.

"Dah sampai." Ima Scully mencuitku.

Dorm xyz dipercayai menyembunyikan pengkhianat yang dikehendaki. Menurut sumber yang aku perolehi, pelajar lelaki itu telah lama menyimpan dendam terhadap Kaduk kerana pernah ditangkap oleh Kaduk semasa dia dan konco-konconya sedang enak menghisap rokok di dorm mereka.

"Cari lokernya,"arah aku, Syah Mulder pada pembantuku yang setia.

Loker milik pelajar itu telah ditemui. aku meminta Ima mencari bukti-bukti yang relevan dengan kes ini. Bahan bukti yang dijumpai dirakam menggunakan kamera milik Ima.

"Kita dah berjaya."kata Ima Scully sebaik saja kami melangkah keluar dari aspura.


Mission imposible #2

<1100> Projek Mission Imposible 2 bermula. Tapi kenapa malam ini aku rasa tak sedap hati?

<1110> Aku, Syah Mulder dan Ima Scully selamat tiba di dewan besar sekolah.

<1120> Aku rasa kami sedang diekori. Aku ternampak kelibat orang itu tadi. Rupa-rupanya orang itu adalah Mar. Aku terus memberitahu Ima Scully.

<1130> Lampu suluh Mar melilau seperti mencari sesuatu. Mungkin kami yang dicarinya. Kami merapatkan diri ke dinding. Bahagian atas dewan ini sungguh gelap. Namun begitu kami dapat melihat puntung rokok bertaburan di sana sini. Ada lebih kurang 10 minit sebelum kami beredar.

<1135> Ima terus mengambil gambar untuk kes kami. Aku bimbang cahaya dari kamera itu dapat dikesan oleh Mar yang berada di bawah.

"Apa yang kamu berdua buat ni hah?" Mar menyergah kami.

"Kami jalan-jalan." Aku memandang Ima. Saat itu dia mengenyitkan menandakan tugas kami sudahpun selesai.

"Mari saya hantar kamu pulang. Nanti jalan-jalan sampai melencong ke aspura pula."

Aku dan Ima Scully tergelak. Memang kami pernah melencong ke sana!

Gambar yang diambil tempoh hari telah siap dicuci. Segala bahan bukti yang berkaitan dimasukkan ke dalam sampul surat dan diserahkan kepada guru disiplin. Semua itu sebagai bukti yang Kaduk sama sekali tidak terlibat dalam kegiatan penjualan dan pengedaran rokok sekolah ini.

Beberapa hari kemudian, sebuah mercerdes hitam meluncur masuk ke perkarangan aspura. Aku memerhatikannya dari hujung koridor aspuri. Kemudian seseorang yang amat aku kenali keluar dari perut kereta tersebut. Akhirnya dia kembali! cetus hatiku riang. Keceriaan terpancar di wajahnya. Aku menarik nafas lega. Nampaknya usaha aku, Ima dan teman-teman rapat Kaduk membuahkan hasil. Agaknya jika aku ingin menyertai agensi penyiasat persendirian selepas ini diterima atau tidak?







Bab 13

Diam tak diam, persinggahan aku di SERATAS telah tiba ke penghujungnya. Dua minggu pelajar Tingkatan Lima seluruh Malaysia bergelumang dengan peperiksaan SPM. Perjuangan selama dua tahun berakhir semalam dengan kertas terakhir iaitu kertas Matematik Moden. Masing-masing menarik nafas lega. Selepas ini hanya perlu menanti keputusannya yang akan keluar lebih kurang dalam bulan Mac tahun hadapan. Cabaran seterusnya adalah untuk mendapatkan tempat di universiti kerajaan mahupun swasta.

Mereka yang tergolong sebagai bijak pandai sudah awal-awal lagi disambar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Semalam Kaduk, Mar dan dua orang lagi pelajar telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan syarikat minyak gergasi Malaysia iaitu Petronas. Sebagai kawan, aku tumpang gembira dan bangga di atas kejayaan mereka semua. Namun di sebalik itu terselit jua rasa cemburu. Ahh! Rezeki masing-masing. Esok lusa aku pula.

Sebaik sahaja berita itu sampai ke telingaku, aku terus mencari kelibat mereka dari jauh. Keceriaan terpancar di wajah masing-masing. Aku menatap wajah Kaduk dan Mar silih berganti. Sedih rasanya hendak berpisah dengan dua orang lelaki yang cukup istimewa dalam hidupku selama ini. Seorang teman rapat yang menjadi tok guru aku bertanya itu ini. Dan seorang lagi insan yang bertahta di hati aku. Adat pertemuan pasti ada perpisahannya. Aku harus menerima kenyataan itu. Sesungguhnya aku akan merindui mereka bila mereka tiada di tanahair nanti.

Petang semalam Kaduk datang menemuiku dan mengajak aku ke Taman Tasik Taiping keesokan harinya. Hendak bergambar kenang-kenangan katanya.

"Kita berdua saja?" Awal Ramadhan sudah diajaknya ke taman tasik. Kurang manis dipandang orang. Lagipun aku bukan jenis yang begitu.

"Mar dan kau."Jawabnya ringkas. Aku kehairanan. Sandiwara apa yang cuba dia mainkan kali ini? Aku tidak membalas kata-katanya sebaliknya termenung jauh memikirkan apakah motif dia mengajak Mar bersama.

"Bila kau nak luahkan perasaan pada Mar?"tuturnya perlahan.

"Perasaan apa?" Aku mengerut dahi. Pelik. Tiba-tiba Kaduk berbicara soal hati dan perasaan aku. Selalunya hanya berkisar tentang pelajaran. Selama ini jika dia mengenakan aku dengan Mar sekalipun, ianya nampak seperti gurauan semata.

"Tepuk dada, tanya hati."Kaduk memeluk tubuh.

Aku membelakangkan dirinya. Segera menepuk dada. "Sakit!" Aku ketawa dan berpaling padanya semula.

Kaduk menggeleng. "Aku tanya elok-elok kau masih nak buat main-main lagi. Agaknya bila kau nak serius, Syah? "keluhnya perlahan.

"Kite tak pernah serius selama ini?" AKu kurang senang dengan tanggapannya itu. Kadang-kadang aku sedang serius dan cuba untuk serius tetapi orang menganggap aku berjenaka. Mungkin ekspresi muka aku gagal memaparkan perasaaan aku yang sebenar. Lalu menimbulkan salah faham pada orang lain.

Soalan aku dibiarkan begitu saja. Mungkin dia marah kerana jawapan yang kuberi tidak memenuhi skema jawapannya. Biarkanlah... Akhirnya masing-masing menyepi melayan perasaan. Aku bosan dengan keadaan begitu lalu mengangkat punggung untuk beredar.

"Jadi tak esok?" Kaduk bersuara kembali.

Aku memikirkan jawapan yang terbaik yang harus kuberikan. "Malaslah. Kau dengan Mar sajalah pergi. Apapun terima kasih sebab ajak." Aku cuba untuk tersenyum walaupun terasa janggal.

"Kalau aku nak bergambar dengan Mar saja, buat apa aku susah-susah ajak kau sekali. Aku inginkan sesuatu sebagai tanda kenangan kita bertiga,"tegas Kaduk.

Aku mengeluh panjang lalu meraup muka. Degil benar anak uncle Soufi ini. Akhirnya aku mengalah jua pada pendebat terbaik sekolah itu. Aku pun malas bertekak di bulan yang mulia ini. Lagipun sukar juga aku menidakkan permintaan Kaduk yang satu itu. Selama ini dia tidak pernah menolak apabila aku minta ajarkan sesuatu sekalipun aku tahu dia sedang letih tahap maksimum. Dia masih gagahkan diri untuk memberi tunjuk ajar meskipun aku sudah menyatakan ianya boleh dilakukan lain hari sahaja.

"Esok lusa pun boleh."Aku kasihan melihat wajahnya yang kepenatan itu.

"Kalau boleh ajar hari ini, kenapa perlu tangguh esok."Jawapannya itu buat aku terharu.

Selama ini dialah tempat aku meluahkan segala kekusutan yang terbuku di hati lebih-lebih lagi masalah berkaitan akademik. Entah mengapa aku mudah percaya padanya. Sedangkan sebelum ini aku kurang rapat dengan pelajar lelaki apatah lagi untuk berkongsi masalah dengan mereka. Mungkin kerana dia sentiasa di sisiku menjadi pendengar paling setia. Dia tidak pernah lokek memberi nasihat demi nasihat dan sentiasa memberi kata-kata semangat agar aku tidak mudah berputus asa. Terima kasih, teman!







Bab 14

Waktu menunjukkan jam 9:30 pagi. Kaduk dan Mar yang berpakaian sukan sudah terpacak di pondok jaga. Aku berlari-lari anak mendapatkan mereka berdua. Terlewatkah aku? Janjinya jam 9.45 pagi. Kebetulan pula masing-masing datang awal.

"Baru balik dari jogging." Jelas Kaduk tanpa dipinta. Aku mengangguk. Patutlah mereka berpakaian sedemikan.

Kaduk mendahului langkah ke Taman Tasik meninggalkan aku dan Mar di belakang. Nampak sangat dia hendak memberi peluang pada aku. Nakal juga teman aku itu. Aku dan Mar membuntutinya dari belakang. Pertama kali aku jalan beriringan dengan lelaki pujaan hati aku ini mengundang debar di hati. Pertemuan kami sebelum ini sering berlaku dalam keadaan yang tidak diduga dan dia datang di waktu aku tidak ingin bertemu dirinya. Kali ini pasti lebih manis!

Sejak dari semalam aku memikirkan tajuk perbualan antara aku dan Mar pagi ini. Nampak sahaja batang hidung dia tadi terus terkunci ideaku. Point yang kurangka semalam terbang dibawa angin. Mungkin aku jadi begini kerana kata-kata Kaduk semalam. Tiba-tiba dia menekankan soal aku dan Mar membuatkan aku berfikir panjang malam tadi. Di manakah kesudahannya hubungan kami selama ini? Adakah cukup dia menjadi teman biasa ataupun teman luar biasa? Aku sendiri tidak pernah memikirkan sejauh itu. Ingatkan cukup sekadar minat-minat sahaja. Pabila sudah cukup dewasa nanti barulah difikirkan soal teman hidup dan yang sewaktu dengannya. Rasanya aku masih mentah untuk membicarakan soal ini. Tunggulah bila sampai waktunya.

Aku memerhatikan Mar yang tenang seperti biasa. Setenang angin semilir yang berhembus pagi ini. Sesiapa yang berjaya memiliki cinta Mar pasti bahagia. Orang memang memenuhi ciri-ciri seorang suami yang soleh. Melihatnya sahaja sudah terpikat tambahan pula dengan ketinggian budi bahasa. Dia juga boleh diajak bergurau. Selama aku mengenali lelaki itu, dia pandai menjaga hati orang. Jika dia hendak memberi teguran sekalipun ianya secara berhemah.

Mar yang terasa dirinya diperhati. Dia memandang ke arahku. "Rajin pagi ni. Awal-awal lagi dah pergi berjogging." Terkeluar juga ayat pertamaku.

"Si Kaduk lah. Pagi-pagi lagi dah datang ke dorm." Kaduk menoleh ke belakang bila namanya disebut tetapi segera memandang semula ke hadapan. "Risau benar saya tak sedar. Biasalah pagi-pagi begini susah nak berpisah dengan selimut."

Wajahku merona kemerahan. Hangat. Kata-katanya tepat mengenai diriku. Meskipun ianya bukan ditujukan kepada aku. Tetapi aku yang tergigit cili dan rasa pedasnya. Keadaan menjadi hening semula. Sesekali kicauan burung yang keluar mencari rezeki menceriakan suasana. Terdengar juga suara binatang dari dalam zoo. Monyet, harimau, gajah... ada belaka.

Aku mencari ayat seterusnya. "Tahniah!" Mar memandang dan menanti bait ayatku yang seterusnya.

"Tahniah sebab berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kita dah jangka. Mesti kau orang dapat offer punya," kataku penuh semangat. Kaduk di hadapan turut menoleh dan meleretkan senyuman.

"Alhamdulillah. Rezeki Tuhan nak beri. Bersyukur seadanya," ujar Mar tenang.

"Dah beritahu keluarga di kampung? Mesti mereka gembira," ujarku lagi sambil memerhatikan Kaduk yang dari tadi menyepi. Apalah difikirkannya saat ini.

"Habis saja kertas Matematik semalam terus cari telefon. Dapat bercakap dengan Ummi saja waktu itu. Dia gembira sangat," balas Mar dengan wajah yang ceria. Seorang ibu pasti tersenyum puas apabila anak-anaknya mencapai kejayaan. Segala penat-lelah dirasakan berbalas.

"Dalam keluarga, Mar yang pertama dapat tawaran belajar ke luar negeri?" soalku. Datang juga idea hendak bersembang.

"Kalau dalam keluarga saya, termasuk saya ini dua oranglah jadinya. Saudara-mara yang lain ada juga." Aku mengangguk. Aku baru sahaja ingin membuka mulut untuk bertanya lebih lanjut tetapi dipintas oleh Kaduk.

"Kita ambil gambar di sini dulu ya." Kaduk yang berjalan di hadapan berhenti. Yang lain turut sama berhenti. Kaduk mengeluarkan kamera dari poketnya.

"Sini pun cantik juga," komen Mar. Aku turut sama menikmati panorama indah di taman tasik ini. Aku cukup suka melihat pokok besar yang memayungi sepanjang jalan di sekitar taman tasik ini. Ia memberikan suatu suasana berbeza, terasa diri dekat dengan alam. Keindahan yang sukar dicari dan ditafsirkan dengan mata kasar. Hanya mereka gemar dan cintakan keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan yang merasainya.

Pada fikiranku, usia pokok-pokok tersebut pasti sudah melebihi 50 tahun. Batangnya sahaja sudah sebesar dua pemeluk. Dahan-dahannya yang melunjur ke jalan penuh dengan nilai artistik. Bila dedaunnya gugur, aduh romantiknya! Ditambah pula dengan landskap semulajadi yang berbukit-bukau membuatkan taman tasik ini tampak menarik. Rumput hijau menutupi hampir seluruh kawasan di sini sesuai dijadikan alas aksi guling-guling ala filem hindustan. Tasik buatan kesan tinggalan lombong bijih timah melengkapi tema sebuah taman. Sesiapa yang melihat pasti terpesona. Tempat ini sesuai dijadikan lokasi pengambaran filem atau klip video jika pengarah sinematografinya pandai bermain dengan lensa kamera mengabadikan taman ini dari pelbagai sudut yang menarik. Tentu menjadi suatu karya yang menakjubkan!

Sayang sekali kecantikan yang dimiliki kurang dihargai oleh segelintir pengunjung. Lihat sahaja sampah-sarap boleh dilihat di mana-mana. Masing-masing ingin mengambil jalan mudah. Bukannya tiada tong sampah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Taiping. Sebaliknya tiada kesedaran sivik untuk menjaga kebersihan setempat. Agaknya di rumah sendiri pun begitu juga lakunya. Ternyata kesedaran masyarakat negara ini berkaitan kebersihan masih di tahap rendah. Berbeza benar dengan negara-negara maju seperti Jepun sebagai contohnya.

Dengar ceritanya, negara matahari terbit itu cukup menitikberatkan soal kebersihan di tempat awam. Agaknya sudah menjadi satu budaya bagi orang Jepun sendiri sejak zaman-berzaman. Mereka telah dididik sejak dari kecil supaya berdisiplin dalam segala hal. Menjaga kebersihan sudah menjadi tanggungjawab bersama. Masing-masing memainkan peranan dan tidak sekadar menunggu pekerja majlis perbandaran melakukannya. Patutlah negara mereka maju. Bila agaknya masyarakat Malaysia akan mencapai tahap itu? Aku menanti saat itu kunjung tiba.

"Syah!" Suara garau Kaduk mengejutkan aku. Terus aku tersipu-sipu malu. Terang-terangan aku mengelamun jauh sebentar tadi.

"Pergi berdiri di sebelah Mar tu," arah Kaduk selamba. Aku yang di sini terpinga-pinga. Mahukah Mar bergambar berduaan denganku? Takut pula timbul fitnah di kemudian hari nanti. Mar bukannya calang-calang orang. Dia dihormati kerana ketinggian pengetahuan agamanya dan akhlaknya. Aku memandang Mar dengan perasaan yang berbelah bahagi.

"Cepatlah, Syah. Berdiri sebelah saya ni," pelawa Mar tanpa segan-silu. Aku bagaikan tidak percaya. Darah gemuruh menyerbu setiap rongga tubuhku.

"Senyumlah sikit, Syah." Aku cuba berbuat demikian tetapi rasa gemuruhku mengatasi segalanya. Ya Allah, hentikan debaran ini!Silauan flash kamera menyakitkan mataku. Kaduk ligat mengambil gambar kami berdua dari pelbagai sudut dan latar belakang yang berbeza. Sesekali kami bergilir menjadi modelnya. Habis satu taman tasik kami pusing. Hampir segenap penjuru kami jelajahi. Sepanjang perjalanan Kaduk tidak sudah-sudah mengusik aku dan Mar. Ada sahaja akalnya. Mar tidak membalas, lagaknya
bersahaja seperti biasa. Jadi tugas akulah melayan gurau-senda Kaduk. Kasihan pula melihat Kaduk cuba daya-upaya menimbulkan suasana ceria antara aku dan Mar.

Dalam perjalanan pulang Kaduk bersaing denganku. Sengaja dia menjarakkan kedudukan kami dengan Mar di hadapan.Dia asyik mengerlingku dengan pandangan yang penuh bermakna.

"Bila nak beritahu dia?" Aku sudah dapat meneka. Hari ini pasti dia akan bertanya lagi. Soalan Kaduk menjerut aku. Terasa sesak nafasku waktu ini. Semalaman aku memikirkannya. Aku pasti dengan perasaan aku. Aku hanya meminati Mar bukannya menyintai dirinya.

"Tak ada apa yang perlu diberitahu," jawabku tegas.

"Bukan menjadi kesalahan jika perempuan yang memulakan. Sedang Siti Khadijah sendiri melamar Nabi. Inikan pula kita. Mungkin agak luar biasa bagi orang kita tapi zaman moden ni segalanya mungkin." Kaduk mengutarakan hujah-hujahnya.

"Itu lain Carl." Aku memandang Mar di hadapan dengan harapan dia tidak mendengar perbualan aku dan Kaduk.

"Sekurang-kurangnya bagi dia hint supaya dia tahu," tambahnya lagi.

"Tak ada apa yang perlu dia tahu. Kita cuma anggap dia kawan dan tak lebih dari itu. Titik. Kita borak pasal lain okey." Aku cuba mengalih topik perbualan, mengelak dari Kaduk terus bertanya.

"Kau malu? Atau takut ditolak mentah-mentah?"Kata-katanya itu meruntuh benteng kesabaran yang kubina.

"Kan kita dah cakap tadi. Mar tu kawan biasa. Tak lebih dari itu. Sekadar admire saja. Faham tak?" Keras nada suaruku kala itu. Kaduk mengangkat tangan tanda mengalah sekaligus meminta maaf kerana terlalu mendesakku. Agaknya dia dapat menghidu kemarahanku. AKu berdengus kasar. Mood yang tadi baik tiba-tiba berubah menjadi puting-beliung. Aku beristighfar beberapa kali. Cuba meredakan amarah yang menakluki hatiku.

"Tapi belum cuba, belum tahu. Mana tahu dia ada simpan..." Belum sempat Kaduk menghabiskan ayatnya aku memintas.

"Carl Duke Adam! Diam!" Aku menyebutnya satu-persatu dengan jelas dan terang. Tak makan saman sungguh mamat ni, aku merungut dalam hati. Kaduk menjuihkan bibirnya dan terus berlari mendapatkan Mar yang berjalan di hadapan.

"Mar, Syah suruh cakap yang dia sukakan kau." Aku terbeliak mendengarnya. Bila masanya aku menyuruh? Pandai sungguh dia mengada-adakan cerita.

"Cakap pada dia semula yang saya pun sukakan dia," balas Mar perlahan tapi cukup jelas pada pendengaran aku. Mar sukakan aku? Suka yang bagaimana? Bermimpikah aku di siang hari? Terbuai aku dek pengakuannya itu

"Dengar tu, Syah." Kaduk tersenyum puas.

"Bongok!" Secara spontan perkataan itu terkeluar dari mulutku. Mar memandang aku dengan wajah yang sukar untuk aku tafsirkan. Kaduk pula tersengih seperti kerang busuk. Segera aku menutup mulut. Jatuh imej aku di hadapan jejaka pujaan hati. Sebaik saja mereka memandang hadapan semula, aku menampar-nampar mulutku berkali-kali. Macam mana boleh terbabas? Alahai mulut...


Bab 15

Mal menghempaskan tubuhnya ke atas lantai simen. Rasa selesa berbaring di situ meskipun hanya berbantalkan lengan. Dadanya dibiarkan tidak berbaju. Sekali-sekala angin dari kipas siling yang dipasang pada kelajuan paling maksima mengenai tubuh. Sungguh menyamankan. Dia bangun semula mencapai sehelai kain pelekat untuk dibuat alas supaya tubuhnya tidak merasa terlalu sejuk dek lantai simen batu itu. Kemudian dia kembali meletakkan kepala. Kepenatan tadi masih terasa. Mana tidaknya pagi ini sahaja dua kali dia mengelilingi Taman Tasik Taiping. Mula-mula pergi berjogging seawal jam 7 pagi menemankan Kaduk. Yang keduanya jalan santai-santai sambil bergambar kenang-kenangan dan kali ini Akasyah ada bersama.

Masih terngiang-ngiang kata-katanya tadi. Dia cuba pejamkan mata. Tetapi kata-kata itu masih bermain-main di segenap ruang. "Cakap pada dia semula yang saya pun sukakan dia." Apa yang sudah aku lakukan? Keluh Mar. Satu hembusan kecil dilepaskan. Entah mengapa dia boleh berkata sedemikan rupanya. Selepas menyatakannya barulah dia tersedar yang dia sudah melakukan satu kesilapan besar.

Memang dia sukakan Akasyah tetapi suka sebagai seorang kawan sahaja. Kawan perempuan yang boleh dikatakan agak rapat juga. Di kala pelajar puteri lain hanya memandang dengan wajah malu-malu kucing, gadis itu memandang matanya setiap kali berbicara dan penuh keceriaan yang bersahaja hinggakan dia rasa tidak keruan lalu segera dia mengalihkan pandangan. Sememangnya dia tidak biasa bertentangan mata lama-lama begitu. Dilahirkan dalam keluarga yang adik-beradik semuanya hero belaka-belaka menyebabkan dia sukar berkomunikasi dengan perempuan kecuali dengan ummi, tok wan, saudara-mara terdekat dan guru-gurunya. Tambahan pula dia memang telah dididik
supaya menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Dia yang jarang berkawan dengan perempuan terhibur dengan telatah gadis lincah itu. Bicaranya kadang-kala agak keanak-anakan. Wajahnya sentiasa nampak ceria sehingga pernah terfikir adakah gadis itu tidak punya sebarang masalah. Walaupun perangai Akasyah kadang-kala agak kasar pada pandangan seorang lelaki seperti dia tetapi terserlah jua sifat kewanitaannya sekali-sekala. Kehadiran gadis itu dalam hidupnya ternyata memberikan impak luar biasa pada dirinya. Sejak mengenali gadis yang bernama Akasyah barulah dia semakin tidak kekok apabila berbicara dengan pelajar puteri lain. Makin mudah dia melakukan tugas yang melibatkkan urusannya dengan pelajar puteri.

Tadi semasa Kaduk menyatakan gadis itu menyukainya, Mar tahu itu satu lagi dari gurauan dari temannya yang berdarah kacukan melayu-belanda itu. Temannya yang satu itu suka benar memadankan mereka berdua. Ada sahaja akalnya. Masakan Akasyah menyimpan perasaan terhadapnya. Lagipun Akasyah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda yang dia menyukaiku. Setiap usikan Kaduk disambut dengan gelak-tawa. Bukankah Akasyah lebih rapat dengan Kaduk? Tetapi Kaduk sudahpun berpunya. Namun hati ini lebih kuat merasakan Kaduk lebih rapat dengan Akasyah berbanding buah hatinya sendiri. Sebabnya di mana ada Kaduk di situ ada Akasyah. Cuma pernah sekali Akasyah mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari Kaduk apabila timbul cerita yang mengatakan dia cuba merampas Kaduk. Sejak itu Akasyah semakin rapat denganku. Aku mengambil alih tugas Kaduk menjadi gurunya buat sementara waktu. Apabila gosip mula reda dia kembali belajar bersama Kaduk. Kaduk sendiri datang menemui Akasyah kerana merindui anak muridnya itu. Mar bermonolog sendiri.

Harap-harap Akasyah tidak tersalah tafsir kata-katanya tadi. Risau juga dia dikatakan menaburkan harapan pada gadis itu sedangkan hatinya masih belum bersedia untuk bercinta. Masih awal lagi mahu mencari pasangan hidup. Biarlah dia bercinta sekarang pada Allah dan Rasul, keluarga, kawan-kawan dan ilmu dahulu. Perempuan? Biarlah dia berkawan sahaja dahulu. Insya-allah... jika sudah sampai jodohnya nanti dia akan memberikan seluruh cintanya sebagai seorang suami, kekasih, dan teman pada isteri yang tercinta.

Tetapi mana tahu sudah tertulis yang gadis bernama Nurul Akasyah binti Othman itu adalah *zaujahnya yang akan bersama-sama melayari bahtera perkahwinan. Segalanya mungkin kerana jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan...


Bab 16

Pagi ini kami semua menduduki peperiksaan kertas matrikulasi yang buat pertama kalinya diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Berdasarkan keputusan peperiksaan itu nanti pelajar yang terpilih akan memasuki pusat martikulasi lebih awal dari biasa. Berkerut pangkal dahiku bila melihat sepuluh soalan biolagi dalam kertas tersebut. Kalau disuruh melukis objek dalam pandangan perspektif atau unjuran otrografik tidak menjadi masalah besar pada kami pelajar aliran teknikal. Maka terpaksalah aku mengaplikasikan kemahiran menembak jawapan untuk kesemua soalan tersebut. Tidak sampai lima minit sudah pun siap. Kemudian aku beralih pula pada soalan yang masih belum berjawab.

Aku bersandar sebentar sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Rasa mengantuk menguasai diri. Aku menguap beberapa kali. Mana tidaknya jam dua pagi baru mataku mahu terlelap. Pandanganku terhenti pada Mar yang sedang khusyuk menjawab soalan. Kebetulan dia duduk di barisan hadapan. Sesekali dia menegakkan badannya kemudian tunduk semula. Ada kalanya dia memicit dahi. Aku teringat kata-katanya tempoh hari langsung aku tersenyum sendiri. Aduh! Berangan lagi. Aku kembali menfokuskan perhatian pada kertas soalan. Terima kasih Mar! Hilang bosanku tadi.

"Baiklah. Masa sudah tamat. Sila letak alat tulis masing-masing di atas meja." Arahan dari pengawas peperiksaan menandakan tamatnya penantian selama dua tahun. Wajah masing-masing sudah menampakkan senyuman lebar. Sambil menanti pengawas mengutip kertas jawapan dan kertas soalan, kami sudah seperti ayam berak kapur. Sudah tidak sabar lagi untuk keluar dari dewan. Ketua pengawas membuat sedikit ucapan sebelum membenarkan kami bersurai. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh peperiksaan dijalankan. Kemudian, beliau juga mengucapkan selamat bercuti pada semua dan mendoakan supaya kami beroleh
keputusan yang cemerlang.

Aku melangkah keluar dari dewan besar dengan perasaan yang lega. Selesai sudah segalanya. Sekarang tiba masanya untuk bersiap-siap pulang ke rumah.

"Syah!" Seseorang menyapa aku dari belakang. Mar!

Aku berhenti betul-betul di hadapan pondok rehat di antara dewan besar dan asrama putera. Kami berdiri bertentangan antara satu sama lain.

"Pasal hari tu...." Dia berhenti sebentar. "Saya tidak bermaksud apa-apa,"sambungnya perlahan.

"Saya tahu. Jangan dilayan sangat Kaduk tu. Dia memang kuat mengusik,"balasku seperti seorang teman yang memahami.

Mar tersenyum nipis. Ternyata telahannya tepat. Akasyah memang tidak menyimpan sebarang perasaan terhadapnya. Entah mengapa saat itu satu perasaan menyelinap dalam dirinya. Perasaan yang tidak pernah dialaminya sepanjang dia mengenali gadis lincah itu. Kecewakah dia? Cepat-cepat dia membuang perasaan itu jauh-jauh.

"Pagi-pagi lagi aku dah dapat pahala."Kaduk datang mencelah. Aku dan Mar ketawa kecil. Kaduk menepuk bahu Mar. "Macam mana paper tadi?"Kaduk menyoal.

"Boleh tahan juga. Terkejut bila nampak ada soalan bio. Tak tahu nak jawab bagaimana. Main hentam sajalah."

"Kita pun bedal saja jawapan soalan bio tu,"Aku menyampuk.

"Eh! Kita tak tanya dia pun,"ujar Kaduk dengan pelat seperti kanak-kanak. Dia memandangku sinis. Mar tersenyum melihat telatah dua orang temannya itu. Kalau berjumpa ada sahaja adegan usik-mengusik antara mereka berdua. Jika sehari tidak mengusik Akasyah agaknya tidak lengkap hidup Kaduk, fikir Mar.

"Suka hatilah orang nak cakap apa pun. Orang ada mulut." Aku tidak mahu mengalah.

Mar merasakan dia patut memberi peluang kepada dua orang teman baik itu berbual panjang. Lalu dia meminta diri untuk pulang ke aspura.

"Eh! Kita pun nak baliklah. Insya-allah kalau panjang umur dapat jumpa lagi,"ujarku setelah menyedari hanya kami bertiga sahaja di situ.

"Syah, dalam masa sejam lagi jumpa aku dekat depan dewan makan. Ada hal sikit. Boleh?"

"Hal apa?"

"Adalah..."Kaduk mengenyitkan mata.

Aduh! Apa lagi mahunya? Aku mengangguk. Kami berpisah di situ. Kaduk dan Mar bersaing ke Aspura. Sementara aku meneruskan perjalanan sampai ke Aspuri. Sejam kemudian aku turun ke perkarangan dewan makan yang berdekatan dengan aspura. Kaduk sudah sedia menantiku.

"Selamat hari lahir yang ke-17 Nurul Akasyah!" Kaduk menghulurkan sebuah beg kertas bercorak Garfield yang comel.

Aku terkejut. Aku menjangkakan tiada siapapun mengingati tarikh lahirku yang jatuh pada hari ini. Maklum sajalah masing-masing sibuk mengemas barang untuk pulang ke rumah. Aku menyambut hulurannya itu.

"Terima kasih." Hanya itu yang mampu kuucapkan saat ini. Aku terharu benar dengan pemberiannya itu. Aku mengeluarkan hadiah dari beg kertas itu. Di tanganku kini sebiji botol kaca yang unik ukirannya dan dalamnya terisi bintang-bintang yang diperbuat dari kertas berwarna-warni.

"Cantiknya." Aku memandang wajah Kaduk. Kaduk menghadiahkan aku senyuman yang paling manis.

"Ini buat sendiri atau buat di kedai?" Aku mula mengacahnya.

"Sampai hati kau, Syah. Penat-penat aku buat. Kau kata aku beli pula,"katanya seakan merajuk.

"Hah! Muncung tu dah panjang sedepa. Boleh buat sangkut kain." Kaduk tergelak. "Tapi..."Aku mengusap dagu beraksi seperti orang sedang berfikir. "Lebih mirip muncung tikus mondoklah."

"Apa??" Makin bertambah kuat gelaknya. Aku turut sama ketawa tetapi dalam masa yang sama kesedihan bertamu di hati. Pasti aku akan merindui saat-saat begini lagi bersama lelaki bernama Carl Duke Adam.

Mar membuang pandangan ke luar tingkap. Berat rasanya hendak meninggalkan bumi SERATAS yang telah memberi 1001 kenangan sepanjang lima tahun persinggahannya di sini. Entah bagaimana pandangannya terarah pada Kaduk dan Akasyah yang sedang berbual-bual di hadapan perkarangan dewan makan. Suatu perasaan aneh datang lagi dalam dirinya. Kenapa dia harus merasa cemburu melihat kemesraan mereka? Ya Allah, dugaan apakah yang Kau berikan ini?

Bab 17

Suasana aspura agak lengang ketika ini. Rata-rata penghuninya mengambil peluang ke bandar Taiping bersama teman-teman sebelum kembali ke rumah masing-masing dan selebihnya sibuk berkemas.

Mar melangkah masuk ke dalam bilik gerakan majlis pelajar di tingkat bawah blok A aspura. Dia mencapai akhbar Utusan Malaysia hari ini yang tersadai di atas meja dalam bilik gerakan. Sememangnya itu rutinnya seharian. Sebagai pelajar dia juga harus mengikuti perkembangan yang berlaku di luar sana. Helaian demi helaian diselak. Kebanyakkan isi berita ini menyiarkan hal berkaitanan pilihanraya yang baru saja berlansung minggu lepas.

"Waduh! Asyik benar teman kita membaca." Kaduk mengambil tempat di sisi Mar.

"Kaduk! Maaf tak perasan tadi." Mar mengesot ke kiri sedikit.

"Tak apa," balas Kaduk. Kaduk mencapai senaskah akhabar berbahasa Inggeris dan memulakan pembacaannya.

Suasana menjadi hening semula. Hanya kedengaran alunan nasyid dari corong radio transistor. Sejak akhir-akhir ini irama nasyid mula mendapat tempat di hati masyarakat. Kumpulan nasyid tumbuh bagai cendawan selepas hujan sekaligus mncetus fenomena baru dalam industri muzik. Jika beberapa tahun ke belakang, irama dangdut pernah memonopoli pasaran kaset dan cakera padat, alhamdulilah kini tiba giliran irama nasyid pula mengambil alih dominasi tersebut. Malah jualannya lebih baik hingga mencapai ratusan ribu unit. Alhamdulillah...

"Lama jumpa Akasyah tadi." Mar bersuara semula.

"Biasalah. Kalau jumpa makcik tu, cerita yang pendek jadi panjang berjela-jela. Habis berborak terus menelefon ke rumah. Tanya bila nak datang ambil. Itu yang jadi lama tu," jelas Kaduk panjang. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. "Haa.. Syah kirim salam pada kau."

"Walaikumsalam."

"Kau bagi hadiah apa untuk hari jadi dia?" soal Kaduk.

"Hari jadi siapa?"

"Syahlah. Siapa lagi." Kaduk mengerut dahi. Masakan Akasyah tidak memberitahu Mar.

"Bila?" soal Mar lagi.

"Hari ini. Takkan kau tak tahu." Mar menggeleng.

Tok! Tok!

Bunyi ketukan mengganggu perbualan mereka. Pandangan mereka beralih ke pintu. Kelihatan Sudin, teman baik Kaduk melangkah masuk dan menyertai mereka. Mungkin dia yang mengetuk pintu tadi.

"Abang Mar, ada peminat nak jumpa di luar," ujar Sudin.

"Entah-entah Syah," Kaduk meneka. Mar terdiam dan memandang Kaduk. Dia berfikir sebentar.

"Cepat Mar. Orang dah tunggu tu," kata Sudin sambil tersengih-sengih.

"Terima kasih, Sudin." Mar bingkas bangun. Langkahnya diatur menuju ke pintu. Dalam diam hatinya tertanya-tanya siapakah `peminat` yang dimaksudkan oleh Sudin.

Kakiku sudah tidak boleh diam. Aku menanti dari tadi. Rasa bosan menerpa. Aku mengangkat punggung dari bangku simen pondok rehat dan berjalan mundar-mandir.

"Mana dia ni?" Aku mula merungut.

"Hah! Ada pun... " Aku tersenyum apabila mendapati orang yang dinanti sudah menunjukkan diri. Segera aku mengangkat tangan melambai.

Sebaik sahaja Mar berdiri di pintu pandangannya tertumpu pada seseorang yang sedang melambainya. Segera dia menyarung sandal dan mendekati gadis yang menunggu bawah pondok rehat itu.

"Maaf sebab mengganggu." Gadis manis itu menyapa.

"Tak apa. Ada apa hal jumpa saya?" Mar mula rasa kurang selesa kerana ada mata-mata melemparkan pandangan sinis ke arah mereka berdua.

"Ermm... " Gadis itu nampak sedikit malu-malu. Tangannya menghulurkan sesuatu.

"Apa ini?" Mar memandang bungkusan yang berbalut kertas merah jambu itu.

"Hadiah. Ambillah" Gadis itu menyuakan `hadiah` yang dimaksudkan.

"Untuk apa?" soal Mar.

"Saja." Ringkas jawapan gadis itu.

"Hadiah saja-saja saya tidak boleh terima. Maaf ya." Mar menolak. Bukannya dia bersikap prejudis terhadap pemberian seorang perempuan. Dia sekadar tidak mahu menerima sesuatu tanpa ada sebab musababnya.

"Selama ini awak ada terima hadiah atau surat dari seseorang yang menggelarkan dirinya 'puteri selendang' bukan?" soal gadis itu. Mar berfikir sebentar cuba mengingati sesuatu. Ya! Memang dulu dia sering dikunjungi kiriman dari seseorang yang menggunakan nama samaran seperti yang disebutkan oleh gadis itu. Pengirim itu meluahkan isi hati yang berbaur cinta terhadapnya.

"Sayalah orangnya," ujar gadis itu berani. Sudah lama dia menyimpan perasaan terhadap lelaki yang bernama Mar Iskandar ini. Hari ini baru dia berjaya mengakuinya di hadapan Mar sendiri. setelah berfikir panjang malam tadi sehingga hampir ke rembang dua pagi.

Mar terdiam. Dia memandang gadis itu. Ternyata dia serius dengan dengan kata-katanya.

"Dan saya harap kali ini juga awak dapat terima pemberian ikhlas saya ini," tambahnya lagi.

Bibirku menguntumkan senyuman. Sudi juga dia menerimanya. Dia membelek-belek bungkusan berwarna merah jambu itu. Aku tahu dia menyukainya dari sinaran matanya itu. Sengaja aku memilih warna sebegitu walaupun nampak agak fenimin. Tetapi pilihan aku ini berdasarkan pemerhatianku yang dia gemarkan warna berunsur merah.

"Hanya itu dapat diberi sebagai tanda persahabatan kita selama ini. Bukalah..." kataku lagi.

"Buat apa susah-susah. Tak perlu semua ini. Mengenali kau adalah hadiah paling berharga," katanya sedikit terharu.

"Sejak bila pandai bermadah pujangga ni?" usikku.

"Sejak kenal kau." Aku tersenyum malu mendengar jawapannya itu.

"Ada bulu mata jatuh," tegurnya sambil menuding jari hujung mata kananku. Aku menyapu bawah mata dengan hujung jari.

"Yalah!" ujarku riang. Orang kata kalau bulu mata jatuh maknanya ada orang yang merindui kita. Siapakah gerangan yang rindu padaku saat ini?

"Kalau berangan memang nombor satu. Tak payah disuruh," usiknya pula.

"Orang tengah berfikirlah," ujarku malu-malu.

"Ya lah tu," balasnya acuh tidak acuh. "Hah! Dah siap? Kau tu jenis pelupa. Nanti ada yang tertingggal pula."

"Dari tadi kita tunggu kau tau. Jom kita pergi." Aku menarik tangan Izza.

"Itu Mar bukan?" Izza menuding ke arah asrama putera. Aku turut melihatnya. Memang betul Mar yang dimaksudkan. Aku kenal benar dengan susuk tubuhnya walaupun sekadar dari pandangan sisi.

"Dia dengan siapa agaknya?"soalku sambil cuba mengecam perempuan di sebelah Mar itu. Bila kedua membawa haluan masing-maing baru aku dapat melihat wajah perempuan itu.

"Pojie?" Aku agak terkejut. Apa urusan gadis pemalu itu dengan Mar di hari lahirku ini?

"Syah! Tunggu kejap," Pojie memanggilku. Dia lari-lari anak mendekati aku.

"Ada pesanan dari Mar. Dia ucapkan selamat hari jadi pada awak." Wajah Pojie agak kemerahan-merahan bila menyebut nama Mar.

"Terima kasih."

"Kami minta diri. Takut hujan, ribut petir, puting beliung pula nanti. Sekarang ni cuaca tak menentu." Izza memandangku dengan penuh makna.

Aku hanya menurut. Berbagai persoalan bermain di benakku. Yang pasti jawapannya bukan ada pada aku tetapi pada Mohd Ammar Iskandar.

Sewaktu Mar muncul di muka pintu, tiba-tiba Kaduk bertanyakan sesuatu.

"Siapa yang datang jumpa kau tadi, Mar?"

"Erm... adalah,"jawabnya ringkas enggan bercerita lebih lanjut. Biar ia menjadi rahsia peribadinya.

Keadaan di bilik gerakan sunyi kembali. Tiba-tiba Mar bersuara. "Boleh temankan saya ke bandar kejap?"

"Buat apa?" soal Kaduk pula.

"Nak beli hadiah."

"Kau nak balas hadiah yang kau dapat tu?" Kaduk merenung bungkusan berwarna merah jambu yang dipegang oleh Mar.

"Bukan."

Kaduk tidak bertanya lebih lanjut. Dia mengangguk lalu naik ke dorm untuk bersiap.

"Diam saja," tegur Izza apabila didapatinya aku hanya membisu sepanjang perjalanan.

"Bulan puasa tak elok banyak bercakap." Mudah saja jawapanku.

"Ya lah tu. Aku tahu kau tengah fikir pasal tadi bukan?"

"Taklah. Kita tengah fikir nak beli apa nanti." Izza mengerling.

"Lain kali kalau suka bagilah hint."

"Ehh! Kau ni sama saja macam Kaduk." Izza ketawa. Aku turut sama ketawa dengannya.

"Kaduk tu lelaki. Jadi mesti dia tahu macam mana reaksi seorang perempuan yang sukakan seorang lelaki. Aku dapat rasa yang kau bukan mengagumi atau meminati Mar tetapi... kau memang menyukai dia. Sebabnya hari-hari kau cakap pasal dia. Hari ini Mar pakai baju melayu warna merah, esok baju biru, lusa baju hitam. Mar lalu depan kelas, Mar senyum pada kaulah. Macam-macam lagi laporan kau. Itu sudah cukup kuat untuk membuktikan perasaan kau yang sebenarnya. Betul tak cakap aku ni?"

"Kau demam ke?" Aku merasa dahinya. Izza terpinga-pinga dengan perbuatanku.

"Biasa saja."

"Syah, aku serius ni, " ujarnya seperti mahu menangis

"Orang serius juga ni," balasku perlahan.

Pin! Pin!

Tiba-tiba bunyi hon menerjah pendengaranku. Aku menoleh ke kiri.

"Nak ke bandar? Marilah naik van saya ni," pelawa Cikgu Fuad. Cik Fuad adalah ketua warden kami.

Aku menjenguk perut van biru metalic itu. Isteri Cikgu Fuad duduk di belah Cikgu Fuad. Pandangan aku beralih ke tempat duduk belakang. Mar dan Kaduk! Ya Allah! Alergik sungguh bila nampak wajah Kaduk. Pakcik berambut perang itu bukannya boleh jumpa aku. Tambahan pula Mar pun ada bersama. Aku memandang Izza. Wajah kasihannya seperti menyuruh aku bersetuju. Aku tiada pilihan. Kami pun masuk ke dalam perut van tersebut dan mengambil tempat di belakang sekali. Kaduk tersengih memandang aku. Mar seperti biasa hanya tersenyum manis. Van yang dipandu bergerak menuju ke bandar Taiping.

"Saya turunkan kamu semua depan The Store boleh? Saya dan Cikgu Fatma nak ke pasar Ramadhan," kata Cikgu Fuad.

"Boleh, Cikgu," jawab Kaduk mewakili kami semua.

"Akasyah dan Izza pun hendak ke sana bukan?" soal Cikgu Fatma pula.

"Ya, Cikgu,"balas Izza.

Tidak lama kemudian kami tiba di hadapan The Store Taiping. Cikgu Fuad memberhentikan vannya dan menurunkan kami semua. Kami mengucapkan terima kasih pada beliau dan isteri kerana sudi menumpangkan kami.

"Syah, balik nanti kita sama-sama nak? Jimat sikit," Kaduk memberi cadangan. Mar melirik ke arahku lalu tersenyum. Aku membalasnya.

Betul juga katanya tadi. Naik teksi berempat lebih berjimat. "Kau orang lama tak? Kami sekadar nak jalan-jalan, beli barang sikit. Lepas Zohor terus balik. Petang nanti keluarga dah nak datang ambil," ujarku panjang lebar. Mataku ini sesekali beralih pada Mar sedangkan yang berbicara dengan aku adalah Kaduk. Alahai mata...

"Kami pun sekejap saja. Jam dua jumpa di sini semula.Boleh?"

Aku dan Izza bersetuju. Kami berpecah di situ. Kelibat Mar dan Kaduk menghilang di dalam perut kompleks membeli-belah The Store. Manakala aku dan Izza berlegar-legar di deretan bazar berhampiran kedai kain, Nagoya Textile. Kami berjalan dari satu kedai ke satu kedai.

"Kita masuk sekejap," kataku sewaktu melintas kedai yang menjual kelengkapan untuk bersolat. Izza hanya menurut.

"Mahu beli apa?" tanya Izza.

"Adalah..." Aku mengenyitkan mata.

Kaduk dan Mar naik sampai ke tingkat paling atas yang menjual kelengkapan alat tulis. Mar terus ke bahagian kad ucapan. Kaduk mengekori dari belakang. Mar meneliti kad yang ada satu persatu. Akhirnya matanya tertumpu pada sekeping kad comel berwarna biru. Dia mencapai kad itu lalu membukanya. Kata-kata di dalam agak ringkas tetapi sesuai untuk tatapan seorang teman. Dia berpuas hati dengan pilihannya itu tetapi dia ingin meminta pandangan Kaduk kerana lelaki itu pasti lebih mengetahui citarasa Akasyah.

"Cantik tak?" Mar menghulurkan kad tersebut kepada Kaduk. Kaduk mengambil dan membaca isinya. Kemudian dia mengangguk. Mar tersenyum puas. Tanpa berlengah lagi, Mar terus membayar harga kad tersebut.

Selesai saja mengerjakan solat Zohor, aku dan Izza bergerak menuju ke tempat yang dijanjikan. Bayang Mar dan Kaduk masih belum kelihatan. Aku sempat membelek majalah hiburan sementara menanti mereka berdua. Tiada cerita menarik perhatianku. Aku meletakkannya semula. Mamak tuan punya gerai memandang aku sinis. Kemudian dia membetulkan semula kedudukan majalah yang aku letak tadi. Satu bentuk sindiran secara halus.

Aku beredar dari situ dan menyertai Izza yang asyik meneliti kain di bahagian hadapan kedai Nagoya itu. Aku pula membelek kopiah ala penyanyi kumpulan nasyid di dalam plastik yang aku beli tadi.

"Izza yang ini boleh tak?" Kopiah merah bata itu kusua pada Izza.

"Nak bagi Mar?" soalnya seakan tahu isi hatiku.

"Mar dan Kaduk." Aku membetulkan ayatnya. Izza tersenyum penuh makna.

"Merah untuk Mar, biru untuk Kaduk. Set!" Aku berbicara sendiri. Izza hanya menggelengkan kepala melihat telatahku.


Bab 18

Disember 2000

"Auntie, lauk ni dah boleh angkat ke depan?" soalku sambil memandang Auntie Sufiah yang asyik memasak.

"Syah taburkan bawang goreng di atasnya dulu," balas Auntie Sufiah sambil menuding ke arah sepaket bawang goreng di atas meja. "Lepas tu baru boleh bawa ke depan," sambungnya lagi.

Aku menurut tanpa banyak soal. Bau lazat sambal tumis udang galah menyerbu hidungku. Ditambah pula bau daun sup, daun bawang dan bawang goreng yang membangkitkan lagi selera.

"Ain tak datang auntie? Teringin benar jumpa dia lagi. Ramah orangnya. Kali pertama berbual dah rasa macam kenalan lama. Agaknya dia datang tak hari ni?" ujarku panjang lebar.

Malangnya pertanyaan aku dibiarkan begitu sahaja. Mungkin Auntie Sufiah tidak mendengar. Langsung aku menatang mangkuk berisi sambal tumis udang galah ke ruang tamu.

Nur Jannatul Adnain! Nama seindah pemiliknya. Kali pertama bertentang empat mata dengan gadis itu menjalinkan ikatan persahabatan antara kami.

Aku sedang membelek selendang di sebuah toko melayu. Cantik belaka-belaka. Mahu membeli tetapi tudung yang ada masih banyak tidak berpakai.

"Assalamualaikum! Saudari ni Nurul Akasyah bukan?" Tiba-tiba aku disapa oleh seseorang. Aku menoleh. Subhanallah, cantiknya dia. Seorang gadis persis wanita arab, berkulit cerah, bertudung labuh dan memakai baju outing MRSM Taiping. Teman di sebelahnya juga berpakaian serupa.

"Waalaikumsalam. Ya saya. Saudari ni siapa?" Giliran aku pula menyoal.

"Saya Nur Jannatul Adnain. Di sebelah ni pula teman saya, Nur Hafizah Saya ni kawan kepada Adam. Dia selalu bercerita tentang Nurul. Baru hari ini saya dapat bertentang mata dengan tuan punya diri," terangnya panjang lebar. Seulas bibir merah delimanya mengukir senyuman manis.

"Adam?" soalku kehairanan.


"Lupa pula Ain. Carl Duke Adam. Kalian memanggilnya Kaduk bukan," ujarnya lagi. Terselit nada lucu.

Barulah aku mengerti. Tetapi apa hubungannya gadis cantik ini dengan Ketua Pelajarku itu?"Jom kita ke sana!" Ain menuding ke arah medan selera yang menjadi antara tumpuan ramai untuk menikmati pelbagai jenis makanan melayu di bandar Taiping.

"Boleh Ain belanja makan. Kemudian kita sembang panjang ya."

"Boleh juga. Orang kata, rezeki jangan ditolak," balasku sambil tersenyum.

Dua gadis manis itu juga turut sama tersenyum. Kami melangkah ke salah satu gerai yang ada di situ. Suara riuh-rendah penjual menggamat suasana. Masing-masing merebut mencari pelanggan, melariskan gerai sendiri. Kami memilih meja yang agak terpencil.

"Nurul nak makan apa?" soal Ain sambil memandang aku.

"Mee goreng basah dan jus tembikai."

Sepuluh minit kemudian makanan yang dipesan pun tiba. Enak makan waktu masih panas begini.

"Dah lama kenal Kaduk? Ehh... Adam," soalku sambil menghirup jus tembikai. Tergeliat lidah menyebut `Adam`. Rasa geli pun ada. Siap kau Kaduk! Ada bahan mengusik nanti.

"Lamalah juga. Kenal sejak kecil lagi. Ummi Ain berkawan rapat dengan mama Adam, Auntie Sufiah. Kawan seuniversiti," jawabnya jujur.

"Jadi Ain ini pula kawan Adam yang bagaimana?" soalku lagi.

Ain tersenyum lebar. Sepasang lesung pipit jelas kelihatan di pipinya dan ia menambahkan seri wajahnya.

"Kawan sepermainan."

Aku mengangguk. Niat di hati mahu bertanya lebih dari itu. Bila melihat Ain yang alim-alim gitu segan pula aku. Dia sendiri pun seperti tidak mahu hubungannya dengan Kaduk dibicarakan panjang lebar.

"Adam, siapa Ain?"tanyaku pada ketua pelajar yang sedang menaip sesuatu pada papan kekunci.


Kaduk memandangku dengan wajah terpinga-pinga. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri.

"Kau cakap dengan siapa, Syah?" soalnya kehairanan.

"Dengan kaulah. Takkan kita bercakap dengan cicak tu pula," ujarku sambil menjeling ke arah seekor cicak yang kebetulan berbunyi di atas kepala kami. Kaduk tersengih.

"Yang kau panggil aku Adam tu kenapa? Dah buang tabiat." perlinya sinis.

"Saja," jawabku ringkas.

Kaduk mengangkat kening. Mungkin dia merasa aku cuba mempermainkannya.

"Sabtu lepas, kita terserempak kawan kau. Dia yang tegur dulu. Siap belanja makan lagi tu. Haa... dia kirim salam pada kau."

"Kawan? Kawan yang mana ni?" Giliran dia pula menyoal.

"Budak MRSM, Nur Jannatul Adnain namanya. Kenal?"

"Ohh... " Dia seperti memikir sesuatu. Kemudian bibirnya menyukirkan senyuman.

"Ain tu makwe kau ke?" soalku tanpa berselindung lagi. Cuba memasang perangkap.

Kaduk diam sahaja. Tidak menjawab soalanku.

"Kaduk?" gesaku lagi.

"Akasyah! Buat apa sini. Kacau Adam ya." Tiba-tiba satu suara garau menyergah aku.

"Cikgu Hafiz," ujarku sambil tersengih seperti kerang busuk. Aku menggaru kepala. Mencari idea.

Guru Bahasa Inggeris merangkap guru makmal komputer mendekati kami berdua.

"Saya nak tumpang taip laporan, cikgu," kataku sambil memegang beberapa keping kertas tulisan tangan.

"Ya lah."

"Cikgu, kalau saya nak guna internet boleh?"

"Boleh tapi senyap-senyap saja tau." Guru muda itu mengenyitkan matanya. Aku tersenyum lebar seperti baru memenangi Anugerah Pemain Terbaik Negeri. Nampaknya murah rezeki aku hari ini.

"Datang nak taip laporan ke datang nak guna internet?" sindir Kaduk. Tajam. Matanya masih memandang monitor komputer.

"Sambil menyelam minum air," jawabku selamba.

Kaduk mengerling tajam. Kemudian kembali meneruskan kerjanya.

"Siapakah Ain di hati Adam?" ujarku perlahan sambil mengetuk papan kekunci. Aku menoleh ke arah Kaduk. Dia tersenyum lagi bagaikan merahsiakan sesuatu.

Sejak hari itu aku melancarkan serangan ke atas Kaduk. Aku tidak berpuas hati bila dia mengatakan Ain itu cuma teman biasa. Sedangkan dari air mukanya dapat kubaca mereka punya hubungan yang istimewa. Andaian aku sahaja. Sebenarnya aku hanya mahu mengusik dia kerana dia suka mengusik aku. Adil bukan. Tidak kusangka usikan bertukar menjadi kenyataan. Terbongkar jua rahsia. Rupa-rupanya gadis ayu bertudung labuh itu buah hati pengarang jantung temanku, Cark Duke Adam. Bukannya Siti Nurhaliza pelajar Tingkatan 4 baru seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

"Tak sangka citarasa kau begitu."

"Kenapa? Tak boleh?"

"Bukan tak boleh. Satu kombinasi yang menarik. Dua sifat berbeza. Sorang gila-gila, sorang lagi alim-alim." Terangkat kening Kaduk. Terkagum agaknya mendengar aku berhujah.

"Apapun nampak serasi dan sepadan. Macam orang tua-tua kata bagai pinang dibelah dua," sambungku lagi.

Pipi Kaduk sedikit kemerahan. Mungkin menahan malu. Comelnya dia begitu, hati nakalku berkata-kata.

"Ingat! Rahsia ni antara kita je. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut," ujarnya serius hingga berkerut-kerut dahinya.

"Ok bos!" sahutku sambil memberi tabik hormat padanya berlagak seperti askar yang menerima arahan dari ketua.

Kaduk tergelak melihat keletehku. Akhirnya terburai jua tawa antara kami.

"Lama Adam keluar, auntie," ujarku setelah kembali dari ruang tamu.

Auntie Sufiah yang sedang memasak memandangku lalu tersenyum.

"Katanya nak ambil Mar tadi. Mungkin jemput sama kawan yang lain agaknya."

Mar! Mendengar sahaja nama itu sudah membuahkan senyuman di bibir. Memalu kompang di hati. Lama sudah tidak ketemu sejak masing-masing meninggalkan bumi SERATAS. Agaknya bagaimana dia sekarang? Makin tinggikah dia? Mungkin sudah menyimpan janggut, mengikut sunnah nabi. Tentu comel! Yang comel sahaja aku fikir. Gatal!

Kenangan terakhir bersama lelaki itu bermain di fikiran. Seperti selalu, ia datang kembali...

"Untuk awak." Mar menyuakan sekeping sampul surat berwarna biru. "Selamat Hari Lahir. Semoga bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat."

"Terima kasih." Berbunga-bunga hatiku tatkala menerima ucapan dari mulutnya sendiri. Malu pun ada.

"Yang ini pula untuk awak dan Kaduk," ujarku lalu menyerahkan beg plastik berisi kopiah kepadanya.

"Untuk saya pun ada juga," ujarnya dengan nada ceria. Aku mengangguk.

"Yang merah untuk awak," jelasku lagi.

"Kalau aku nak kopiah merah boleh, Syah?" sampuk Kaduk setelah bosan menjadi pemerhati bisu.

Aku menjegilkan mata. Menyibuk sungguh! gerutuku dalam hati.

"Kau ambil kopiah birulah, yang merah Mar punya," bentakku.

Kaduk menjeling.

"Kau tengok tu, Mar. Si Syah ni dengan aku sikit punya berkira," ujarnya sambil ketawa. Aku menjuih bibir pada Kaduk. Mar ketawa melihat telatah kami yang bagaikan anjing dengan kucing. Bertemu sahaja hendak bercakaran.

"Oklah, nak siap-siap. Kejap lagi keluarga nak datang." kataku pada mereka berdua.

"Jaga diri baik-baik, Syah," ujar Kaduk mula mengatur langkah. Aku mengangguk. Pandanganku jatuh pada Mar. Pasti aku akan merindu seraut wajah tenangnya itu.

Ah! Kenangan itu indah. Andai bisa diputarkan masa ingin kukembali ke sekolah.

Aku rindu padamu, Mohd Ammar Iskandar, bisik hati kecilku. Andainya dia tahu...


Bab 19

Lamunan aku terhenti bila terdengar loceng pintu depan berbunyi. Kemudian suara orang memberi salam menerjah pendengaranku. Mungkin para tetamu sudah mula tiba. Aku sengaja memilih untuk datang lebih awal. Kebetulan aku tidak mempunyai urusan lain hari ini selain memenuhi jemputan Kaduk beraya di rumahnya di Bangsar. Lagipun aku kini berada sedang menuntut di Universiti Malaya yang sememangnya tidak berapa jauh dari Bangsar.

"Mama, kawan Achik dah sampai," jerit Sofea Aleidia, adik bongsu Kaduk dari ruang tamu. Kemudian aku terdengar bunyi tapak kaki seperti orang sedang berlari. Muncul anak dara Uncle Soufi itu di ruang dapur dan hampir-hampir saja melanggar aku. Lalu terus memeluk paha mamanya sedang mengacau lauk di atas dapur.

"Sayang... jangan lari-lari sini. Bahaya!" Si ibu merenung wajah anaknya dengan penuh mesra. Gadis kecil itu pula membalas dengan senyuman.

"Adik! Sini kejap." Aku menggamit adik bongsu Kaduk yang comel itu. Dia datang mendapatkan aku. Aku tunduk dan berbisik padanya. "Kawan Achik yang datang tu... lelaki ke perempuan?"

"Haa... Kak Syah nak mengorat ye..." balasnya dengan suara yang lantang. Terbeliak biji mataku mendengarnya.

"Shhh.." Aku meletakkan jari telunjuk di atas bibir sebagai isyarat menyuruh dia memperlahankan suaranya. Aleida turut meniru gayaku. Aku memerhati sekeliling. Mujur tiada siapa yang mendengar. Aku memandang semula wajah comel itu.

"Kak Syah budak baik. Tak mainlah mengorat-mengorat ni. Tunggu orang datang mengorat adalah," ujarku. Sofea Aleidia tersenyum. Fahamkah budak berumur 11 tahun ini? Aku berasa ragu-ragu.

"Kau ni Syah... budak tu kecil lagi kau dah nak ajar mengorat." Suara Kaduk datang dari arah belakang. Dia terus berdiri di sebelah adiknya. "Rosak adik Achik ni." ujar Kaduk sambil mengusap lembut rambut adiknya. Kepala Kaduk tergeleng-geleng seperti aku sudah melakukan satu kesalahan yang besar.

Mamat ni bab sabotaj ayat-ayat aku memang serah pada dia, aku merungut dalam hati. Aku merenungnya tajam.

"Mar kau dah sampai. Apa lagi? Pergilah ke depan." Kaduk memandangku sambil tersengih-sengih. Aku menjegilkan mata besar-besar. Pandanganku jatuh pada Auntie Sufiah dan Maya, pembantu rumah Indonesia yang menyaksikan gelagat kami berdua. Rasa hangat menyimbah wajahku. Aku malu sendiri.

"Syah... jangan dilayan Adam tu," ujar Auntie Sufiah lalu . Aku tersenyum simpul.

Kaduk merapati mamanya lalu memaut bahu wanita berumur 60an itu. Dan menghadiahkan sebuah ciuman di pipi. Tiba-tiba tangan Auntie Sufiah naik ke telinga Kaduk.

"Tak habis-habis mengusik anak dara orang." Dia memandang Kaduk dengan wajah yang geram.

"Aduh mama.... sakit... sakit... " ujar Kaduk sambil memegang telinga yang dipulas oleh mamanya.

Aku menutup mulut menahan tawa. Mana tidaknya badan sudah besar panjang masih dipiat telinga. Aleidia sudah ketawa terkekek-kekek melihat Achiknya mengaduh kesakitan. Begitu juga kak Maya yang turut sama ketawa.

Rasa bahagia menyelinap dalam diri bila melihat kemesraan mereka anak-beranak. Ingatanku melayang pada keluarga yang nun berada di negeri Perak Darul Ridzuan. Jadual belajar yang ketat menyebab aku hanya dapat pulang ke rumah sebulan sekali ataupun sewaktu cuti panjang sahaja. Hari minggu aku banyak dihabiskan di kolej ataupun pergi keluar membeli-belah bersama teman. Sejak aku merantau di ibu kota Kuala Lumpur, aku sering berkunjung ke banglo milik keluarga Uncle Soufi di Bangsar. Jika Auntie Sufiah berada sana, aku pasti akan dipelawa untuk makan-makan bersama mereka keluarganya. Mereka tak ubah seperti keluarga keduaku. Walaupun berasal dari latar belakang keluarga yang berbeza, hubungan kami rapat dan rasa seperti keluarga kandung.

Tepat jam 12 tengah hari majlis pun dimulakan. Para tetamu yang hadir sedang asyik menikmati pelbagai jenis hidangan yang disediakan. Dalam ramai-ramai aku terpandang wajah Kaduk. Seperti ada kesedihan yang dipendam. Ada secalit kesayuan yang terpancar.

"Auntie, Adam tu nampak sedih jer. Kenapa ye?" soalku pada Auntie Sufiah yang kebetulan berada di sisiku waktu itu.

"Syah..." Auntie Sufiah menarik nafas dalam-dalam lalu menghelanya perlahan-lahan. "Tadi... masa kat dapur... Syah ada tanya tentang seseorang kan?" Aku merenung wajah Auntie Sufiah. Kurang mengerti apa yang dimaksudkannya.

"Tentang Ain..." ujar Auntie perlahan. Seperti ada yang tidak kena.

"Kenapa dengan dia?" soalku tidak sabar.

"Dia dah tak ada..." tuturnya lambat-lambat.

"Tak ada?" Aku sedikit terkejut. "Maksud Auntie..." Berat bibir aku untuk menuturkan perkataan itu. Auntie Sufiah mengangguk.

"Inalillah hiwainnailahirajiun" Aku menekup mulutku. Cuba menahan sebak di dada.

"Macam mana dia... " Sebelum sempat aku menghabiskan ayatku, Auntie Sufiah terus memintas.

"Auntie rasa... baik Syah tanya sendiri pada Adam," ujar Auntie Sufiah sambil memegang lembut bahuku. Aku mengangguk perlahan.

Aku segera mendapatkan Kaduk yang menyendiri di balkoni. Aku berdiri di sebelahnya. Angin lembut menyapa pipiku. Segar. Aku mengerling ke arah temanku itu.

"Kaduk..." Aku memulakan bicara. Kaduk menoleh dan mengangkat keningnya. Bibirnya cuba untuk tersenyum tetapi nampak seperti dibuat-buat. Dia memandangku tetapi tidak lama. Seluruh pandangannya dihalakan ke hadapan semula. Mengadap panaroma bandaraya Kuala Lumpur dari atas bukit.

"Kenapa kau tak cerita pasal Ain?" Wajahnya sedikit berubah. Makin mendung.

"Mana kau tahu?" Giliran dia pula menyoal.

"Auntie... Dia yang beritahu."

"Kau ada dengar... berita tentang dua orang pelajar Malaysia di Michigan yang meninggal dunia kerana dirempuh trak... lepas balik dari berbuka puasa?" Dia bercakap tanpa memandang wajah dan mataku. Ini kali pertama dia begitu. Sedih benarkah dia?

Aku berfikir sebentar. Ya, aku pernah dengar tetapi tidak secara terperinci. Baru aku teringat, salah seorang daripada mangsa adalah bekas pelajar MRSM Taiping. Ain pernah menuntut di MRSM Taiping dan baru sahaja tahun lepas berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Ann Arbor, Michigan. Ya-Allah...

"Ain...?" Kaduk terkejut mendengar suara lunak yang dirinduinya itu sejak pemergian gadis manis itu ke Amerika Syarikat. Dia memandang telefon bimbit dalam genggamannya dengan mata yang tidak berkelip-kelip. Masih tidak percaya Nur Jannatul Adnain yang sedang bercakap dengannya di hujung talian. Sepanjang perkenalan mereka, Ain tidak pernah menelefonnya. Pada kebiasaannya dia yang akan menghubungi gadis itu.

"Mimpi apa call Adam ni? Dari jauh pula tu. Ni mesti biasiswa baru masuk..." Kaduk mula menggiat.

"Takdalah... Tiba-tiba je teringat kat Adam tadi. Terus Ain call." Ain mengetap bibir. Wajahnya terasa hangat. Andai kata Adam ada di hadapannya saat ini pasti dia akan tersipu-sipu malu.

"Jadi... selama ni Ain tak ingat pada Adamlah ye.. sebab tu tak call," ujar Kaduk seakan merajuk.

"Bukan macam tu!" Ain segera memintas. "Ain ingat je..." Dia berhenti. "Selalu..."

"Ingat pada siapa?" Sengaja Kaduk menyoal sedangkan jawapannya sudah terang tak perlu disuluh lagi.

"Ingat pada Adamlah..." balas Ain perlahan. Wajahnya sudah merona kemerahan. Geram pun ada. Adam memang mahu mempermainkannya.

"Ooo..." Kaduk tersenyum lebar. Kata-kata yang diungkap sendiri dari bibir Ain tadi mengheret dirinya ke dunia yang paling indah. Malam itu menjadi saksi insan yang hanya tahu mencoret warkah atau e-mel bisu, sudah pandai bersuara, berlaku manja mengundang debar di dada seorang lelaki sepertinya.

Astaghifurallah hal `azim..

Kaduk beristghifhar panjang. Hampir saja dia hanyut dibuai nafsu. Syaitan bertepuk gembira, manakala malaikat pasti menggelengkan kepala. Cepat-cepat dia mengembalikan kewarasannya. Dia mahu hubungan mereka berdua sesuci embun pagi dan sentiasa berdiri teguh atas sempadan Islam. Bukannya hanya mengikut tuntutan nafsu semata-mata. Tetapi siapa menyangka panggilan itu adalah yang pertama dan terakhir daripada Ain...

"Kaduk..." sapaku perlahan. Seraut wajah sayu itu aku renung dalam-dalam. Garis-garis kesedihan jelas kelihatan di wajahnya itu.

"I miss her so much... I miss her, Syah." Kaduk menekup mukanya.

Aku menarik nafas panjang. Cuba mencari kekuatan dalam diri agar aku bisa menenangkan jiwanya telah kehilangan insan yang tersayang. Dulu dia yang sering membakar api semangat, menitipkan kalimah peransang di saat aku dirundum kecewa takkan kini aku hanya sekadar mampu mendengar keluhan hatinya.

"Memang sukar nak terima hakikat... orang yang kita sayang... pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya," ujarku lalu berdiri di sisinya. "Lebih-lebih lagi... orang yang dekat di sini," ujarku sambil meletakkan tangan di atas dadaku. "Di hati ni..."

"Tapi kita harus sedar hakikat yang sudah termaktub sejak azali lagi oleh Allah. Setiap yang bermula pasti akan berakhir... dan setiap yang hidup akan mati... kembali pada-Nya," sampuk satu suara dari belakang. Kami berdua menoleh. Mar!

Dia masih seperti dulu, cetus hati kecilku.

Mar melangkah ke arah kami dan mengambil tempat di sebelah Kaduk. "Sabarlah..." sambungnya lagi sambil menepuk bahu Kaduk.

Kaduk tersenyum kelat. Hanya Tuhan sahaja yang tahu ombak hatinya ini. Ya-Allah.. tempatkanlah dia pada tempat yang sebaik-baiknya.

Telefon bimbit di dalam poket seluarnya sudah bergegar entah untuk kali ke berapa. Konsentrasinya sedikit terganggu. Siapa pula yang menelefonnya waktu begini. Tumpuannya untuk menjawab soalan Kalkulus turut terjejas.

Dia segera mengeluarkan telefon bimbit berwarna biru dari poket seluarnya. Niatnya untuk mematikan terus nyawa telefon itu terbantut apabila nama `papa` tertera pada skrin LCD telefon tersebut. Kaduk teragak-agak untuk menjawab panggilan itu. Gegaran itu berhenti. Kaduk menarik nafas lega. Tidak sampai dua saat ia kembali menggila.

Ini tak boleh jadi, getus hatinya. Lalu dia mengangkat tangan dan meminta izin keluar sebentar dari dewan peperiksaaan.

"Papa... Achik ada exam ni. Boleh call malam sikit?" katanya separuh berbisik.

"Achik..." Ada kelainan pada nada suara papa hari itu.

"Papa?"

"Papa harap Achik dapat bertenang lepas dengar apa yang papa nak cakap nanti."

"Kenapa papa?" Kaduk mula hilang sabar. Hatinya rasa kurang enak.

"Ain... Dia kemalangan," tutur papa lambat-lambat.

Saat itu jantung Kaduk bagaikan berhenti berdegup. Terasa lumpuh seluruh anggota badannya. Gadisku... musibah apakah yang menimpa dirimu?

"Dia takda apa-apa kan?" soal Kaduk yang kerisauan.

Kedengaran nafas papa yang mengeluh panjang membuatkan Kaduk makin diamuk gelisah. Setiap saat menanti jawapan dari papanya makin mendera batinnya.

"Papa.." gesa Kaduk.

"Allah lebih sayangkan dia, nak."

Kaduk rasa nyawanya turut terbang saat itu. Lemah seluruh sendinya. Selepas itu dia sudah tidak mendengar apa-apa kecuali suara Ain. Suaranya itu berada di mana-mana...

Selesai sudah majlis tahlil untuk arwah Nur Jannatul Adnain. Walaupun berlangsung dalam keadaan serba ringkas, ramai tetamu yang hadir. Ada di kalangan kaum keluarga, sahabat-handai dan ada juga tetamu yang tidak dikenali. Mungkin mereka mengenali arwah melalui berita yang disiarkan di akhabar. Ucapan takziah di atas pemergian arwah tidak putus-putus. Semua yang hadir mendoakan kesejahteraan arwah dan sahabatnya yang turut sama terkorban dalam tragedi berdarah di Michigan itu. Semoga roh mereka tenang di alam `sana`.

Puan Zahratul menghampiri Carl Duke Adam yang duduk berteleku sendirian di kerusi yang ditempatkan di anjung utama. Anak muda itu sedang termenung jauh nampaknya.

"Adam... " sapa Puan Zahratul. Kaduk menoleh.

"Ada sesuatu untuk Adam. Daripada arwah..." ujar ibu arwah Ain, Puan Zahratul sambil menyerahkan satu bungkusan yang elok berbalut.

Kaduk menyambutnya. Bungkusan itu direnung sayu. Perasaannya masih tidak stabil. Kehilangan Ain secara tiba-tiba memberi tamparan hebat kepadanya. Sesungguhnya dia masih memerlukan gadis itu. Kasih sayang, cinta dan perhatiannya. Kenapa begitu cepat dia pergi?

Astaghifirullah... Siapa dia hendak mempertikaikan ketentuan Ilahi. Jodoh pertemuan, ajal dan maut di tangan Tuhan. Manusia hanya mampu merancang. Yang pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ini.

"Achik... telefon!" laung Aledia di balik langsir pintu balkoni.

Kaduk tersedar dari lamuanan. Ya-Allah... aku berangan lagi rupanya, getus hati kecilnya. Kaduk terus meraup wajahnya. Kemudian menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Kesedihan masih bersisa. Ya-Allah... berikanlah aku kekuatan, pohonnya dalam hati.

Kaduk memandang aku dan Mar. "Sebentar ya," katanya meminta diri beredar.

Kami berdua mengangguk. Mataku mengiringi setiap langkahnya. Ternyata temanku itu masih mengingati Ain. Bukan mudah untuk melupakan gadis sebaik Nur Jannatul Adnain. Aku juga turut merasa sedih atas kehilangannya itu.

"Kau apa khabar?" soal Mar tiba-tiba. Dia memeluk tubuh. Matanya merenung mataku. Terus aku melarikan pandanganku.

"Macam inilah..." jawabku ringkas.

"Study macam mana?" Kami menyoal serentak. Terus aku dan dia tersenyum. Wajahku sudah disimbah malu langsung aku tertunduk.

"Alhamdulillah," jawab Mar.

"Samalah... " jawabku sambil mengetam bibir. Masih malu lagi.

Kaduk memandang dua orang temannya itu dari jauh. Kemesraan mereka mengembalikan ingatannya terhadap Ain. Hatinya dihiris pilu. Dadanya terasa sebak. Alangkah bagus jika gadis itu masih ada...

"Ain... Adam rindu... Rindu sangat pada Ain..."

"Pojie sihat?" soalku pada Mar. Dari dulu aku hubungan mereka menjadi tanda tanya kepada aku. Hendak bertanya ada Kaduk aku segan. Nanti makin galak dia mengusik. Dia mengangkat kening. Mungkin kurang selesa dengan pertanyaan aku tadi.

"Kenapa tanya saya?" Dia pula menyoal aku.

"Bukan ke awak rapat dengan dia?" Aku mula memasang perangkap.

"Tak adalah..." jawabnya ringkas.

Aku terdiam. Mahu percaya atau tidak. Akhirnya aku biarkan sahaja persoalan itu berlalu. Suasana menjadi sepi. Hanya bunyi hingar-bingar dari dalam sesekali menyapa. Masing-masing masih dalam mood berhari raya. Lagu `Dendang Perantau` dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mengusik jiwa. Aku mengeluh panjang.

"Bosan?"

Aku menggeleng tanpa memandang wajahnya.

"Maaflah... saya tak pandai buat lawak macam Kaduk," ujarnya.

Aku menoleh. Kali ini kami saling berpandangan. "Saya tak pernah harap awak jadi Kaduk atau jadi sesiapa pun. Saya suka awak begini."

"Suka yang bagaimana tu?" soalnya pantas.

Aku jadi kaget.

"Suka... sebagai seorang kawan," jawabku lambat-lambat.

Dia mengangguk. Entah apa yang dianggukkannya itu.

"Seronok belajar Bahasa Jepun?" Dia mengalih topik perbualan kami.

"Seronok tu seronok.... tapi jadualnya padat sangat. Kelas dari pukul lapan pagi sampai enam petang. Rehat untuk makan tengahari sejam je. Kejam betul... " Becok mulut aku menerangkan jadual belajarku di Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya.

"Tahu... Tahu... Kaduk ada cerita," katanya sambil meleretkan senyuman. Manis!

"Kalau dah tahu kenapa tanya lagi?" soalku pura-pura marah.

"Sebab saya nak dengar dari mulut awak sendiri."

Aku tersipu-sipu malu. "Sama je siapa yang cakap pun," ujarku perlahan.

"Tak sama. Awak tu kalau bercerita... penuh perasaan, bersungguh-sungguh. Sampai herot muka."

Tawaku meledak. Terus aku menekup mulut. Rasa bahagia menyelinap dalam diri. Malu pun ada.

"Tapi satu je buat saya rasa pelik. Kenapa awak tak pernah hubungi saya selama saya di KMYS. Awak contact Kaduk seorang je. Kenapa ya?" soalnya lagi. Wajahnya bertukar menjadi serius.

Sekali lagi aku terkasima dengan pertanyaaannya. Adakah selama ini dia menanti perkhabaran dariku? Adakah dia cemburu keakraban aku dan Kaduk? Pasti Kaduk yang memberitahu kami sering berutus surat dan bertanya khabar antara satu sama lain.

"Sebab saya segan..." Lemah sungguh jawapanku.

"Apa yang disegankan? Bukankah selama ini kita kawan rapat? Atau awak tak sudi jadi kawan saya lagi?" Kali ini dia pula bersungguh-sungguh. Mungkinkah dia merasa aku meminggirkan dirinya?

"Bukan macam tu!" balasku. "Awak tetap kawan saya. Tapi... awak sendiri sedia maklum yang Kaduk lebih rapat dengan saya," sambungku lagi.

"Yang itu saya tahu..." Dia seperti mahu meluahkan sesuatu. Kata-kata mati begitu sahaja bila seorang kawannya mengajak dia masuk. Dia pergi mendapatkan temannya aku. Tinggallah aku sendiri di balkoni ini.

Mar, sampai bila kita harus begini? Hatiku menyoal.

Wahai hati... Aku sendiri tidak pasti dengan perasaanku ini. Berilah aku petunjuk. Adakah benar dia yang bertakhta di hatiku?

Bab 20

"Lauk dah habis?" ujarku dalam nada kecewa. Sayu mataku melihat bekas aluminium yang kosong. Hanya yang tinggal nasi yang sudah sejuk. Punah harapan hendak merasa ikan sembilang masak cili kegemaranku. Dari kelas tadi terbayangkan nikmatnya meratah ikan sungai itu untuk santapan tengahari ini. Penat sahaja aku berkejar pulang ke kolej yang jaraknya 100 meter. Yang ada cuma nasi sejuk...

"Kejap ya. Makcik gorengkan telur."

Aku memaniskan muka pada makcik Dewan Makan itu. Sejak dahulu aku diajar begitu.

"Syah kena hormat pada orang tua. Tidak kira sama ada dia kerja apa sekalipun. Pakcik yang angkut sampah sekalipun, jangan sekali-kali kita pandang hina pada mereka." Pesan ibuku tersimpan kejap dalam sanubari. Biar kurang dari segi paras rupa asal tinggi budi
bahasa!

Mahu sahaja aku bertanyakan kenapa tidak dimasak lebih sedikit. Takkan mereka tidak tahu jumlah pelajar yang akan makan di dewan makan kolej ini. Atau mungkin mereka sudah masak dalam jumlah yang cukup tetapi kesilapan sewaktu memberi lauk pada pelajar. Takkan makcik tak tahu kami juga sudah penat belajar. Bila balik ke kolej kami hendak makan.

Pasti makcik itu akan menjawab, " Kamu asyik fikirkan perut kamu seorang. Makcik kena fikirkan perut untuk 500 orang. Cubalah sabar sikit."

Aku senyum pada makcik yang sedang menggoreng telur ayam. Senyum Akasyah! Tetapi senyumanku berperisa kopi. Pahit! Makcik, saya lapar..., rintih hati kecilku.

Ada antara rakan-rakan sudah angkat kaki. Wajah hampa terpancar di riak masing-masing. Mereka pulang dengan perut kosong. Aku? Terima saja rezeki yang ada. Kena belajar bersyukur. Ada orang lagi susah dari kita. Hendak mendapat sesuap nasi terpaksa memerah seluruh kudrat yang diberi oleh Tuhan. Perlu meredah lautan biru menjala ikan. Atau berkerja di bawah terik mentari. Kerja aku? Belajar di dalam bilik yang dilengkapi penghawa dingin! Itupun masih mahu merungut. Manusia!

Walaupun sekadar telur goreng bukannya lauk ikan sembilang, aku kira cukup untuk bertahan sampai ke lewat petang nanti. Takkan hendak mendera perutku semata-mata ingin menjamah lauk yang satu itu. Hendak makan di kafeteria, poketku nipis. Duit biasiswa belum masuk lagi. Hendak minta pada keluarga, aku malu. Baru sahaja ayah masukkan RM50 ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional untuk belanja bulan ini. Wang itu sudah habis kubelanja membeli stok makanan. Cuma ada baki tak sampai sepuluh ringgit di tanganku. Sabar Akasyah. Adik-beradik kau ramai. Jangan pentingkan diri!

Aku dan beberapa orang teman menanti di meja makan. Menunggu telur mata kerbau siap digoreng. Perutku berbunyi lagi. Aku tahan dengan tangan. Aku mengerling jam Quartz yang kupakai sejak dari Tingkatan 4 di Seratas. Lagi 30 minit sebelum kelas seterusnya bermula. Solat Zohor belum ditunaikan. Bagaimana ini?

"Dah siap!"

Laungan makcik dewan makan mematikan lamunanku. Berkejar kami ke kaunter. Senyuman terukir di bibir masing-masing. Tray diambil dari tempat simpanannya. Aku mencedok nasi yang sudah sejuk. Makcik meletakkan telur mata kerbau di dalam tray yang kupegang.

"Terima kasih, makcik!" ucapku sambil tersenyum. Makcik itu membalas dengan senyuman juga. Mulutnya berkumat-kamit. Mungkin dia membalas ucapanku tadi.

Aku mencedok kuah kari kosong lalu menyiramkannya di atas nasi. Kemudian aku terus mengambil air minuman dan berlalu mengambil tempat di meja makan.

Dengan lafaz bismillah, aku menyuap nasi berkuahkan kari dan telur mata kerbau ke dalam mulut. Sedap! Terasa nikmatnya makan. Makin laju suapan aku. Pelajar persediaan seperti kami perlu mengejar masa.

Agaknya bagaimana nasib aku bila berada di Jepun nanti. Yang pasti tiada ikan sembilang masak cili. Tiada makcik dewan makan yang akan menyediakan makanan untukku lagi. Semuanya terletak di atas bahuku sendiri. Hidup di rantau orang tidak boleh manja.


Bab 21

Aku menutup buku teks Kagaku IB setebal 300 muka surat itu lalu meletakkannya di hujung meja. Nafas panjang kulepaskan. Berat! Mata dan otakku sudah kepenatan. Selama satu jam aku membuat ulangkaji bab Keterlarutan Pepejal sebagai persediaan hari esok. Seperti biasa sebelum kelas kimia bermula sensei akan adakan ujian ringkas. Otakku mesti menghadam fungsi graf Lengkok Keterlarutan dan formula yang digunakan dalam penyelesaian masalah. Dalam bab ini banyak bermain dengan nombor, harapnya tiada kecuaian dalam pengiraan. Silap sedikit alamatnya aku kena menyalin petikan dari buku teks lagi.

Aku mencapai telefon bimbit nokia pemberian mak dua bulan lepas. Beberapa bulan sebelum tamat pengajian di Universiti Malaya, barulah aku dapat memilikinya. Itupun atas ehsan mak juga. Makin mudahlah mak mendapat laporan aktiviti aku setiap minggu. Hendak harapkan dengan biasiswa yang RM300 lebih per semester itu yang kadang-kadang masuknya tidak ikut masa itu, kempunanlah aku.

Aku membelek-belek telefon bimbit berwarna biru tua itu. Padanlah senyap malam ini. Rupanya aku matikan ia sejak dari pagi tadi. Wah! Banyaknya sms yang kuterima. Kaduk, Kaduk, Kaduk lagi... Mar! Aku tersenyum sampai ke telinga. Dalam banyak-banyak mesej terselit jua mesej dari lelaki itu.

Mar
akum... lama tak dgr cite. sihat? saya ok je. jaga diri, hiasi peribadi.

Beralih pula pada mesej Kaduk. Geli hatiku membacanya.

Kaduk
akum cik adik... tgh buat apa tu? mesti tgh study kan! study la elok2 syah o syah... jwb le msg aku :( takkan bz sgt?mana la makcik ni pegi :( aku bosan nih

Kasihannya kawanku yang seorang itu. Agaknya dia masih menanti balasan dariku. Terus aku menekan butang reply. Tidak semena-mena telefon aku menjerit. Kus semangat!

"Kaduk!" Nama lelaki itu meniti bibirku lalu membuahkan kuntum senyuman.

"Assalamualaikum... Boleh saya bercakap dengan Cik Akasyah?"

"Waalaikumussalam. Cik Akasyah di sini. Boleh saya tahu siapakah gerangan di sana tu?" soalku pura-pura tidak tahu.

"Saya Encik Adam. Carl Duke Adam..." Dia memperkenalkan diri.

"Ada apa call saya malam-malam ni Encik Adam? Rindu?"

"Haah. Rindu.... sangat!" jawabnya pantas lalu mengundang tawa di hatiku.

Keadaan menjadi hening seketika. Mungkin masing-masing mencari idea untuk berbual.

"Kenapa tak on handphone malam ni, cik adik?" soalnya tiba-tiba. "Penat cik abang di sini bagi mesej. Tak berbalas pun. Sedih hati cik abang tau," katanya lagi dengan nada romantik.

Cik adik? Cik abang? Aduh teman... Gurauanmu mengundang debar di hati.

"Manalah cik adik tahu cik abang nak mesej cik adik malam ni," balasku. Cuba berlagak seperti tiada apa yang berlaku.

"Hai... Kan hari-hari cik abang mesej cik adik. Entah-entah cik adik dah ada cik abang lain kot."

Aku ketawa besar. Dia pun turut sama ketawa. Aku dapat bayangkan wajahnya yang putih itu saat ini. Pasti sudah merona kemerahan. Matanya yang galak akan mengecil. Bibirnya akan kelihatan seperti tersenyum. Tampan! Malah lebih tampan daripada Mar Iskandar!

Pernah teman sebilik aku persoalkan hubungan aku dan Kaduk. Katanya, kami terlalu rapat. "Asalnya kawan-kawan je, entah esok sampai ke jinjang pelamin. Tengok kau berdua pun macam ada chemistry."

"Chemistry?" Aku berfikir sejenak. "Kalau dalam kimia, ada empat jenis ikatan. Ikatan ionik, ikatan kovalen, ikatan datif dan ikatan hidrogen. Aku dengan Kaduk ikatan yang bagaimana pula?" Aku menyoal bodoh. Kebetulan kami baru sahaja belajar bab Ikatan Kimia pagi itu. Temanku itu sudah bulat biji matanya.

"Ikatan antara lelaki dan perempuan lah cik kak oii!" ujar teman sebilik lalu menampar pahaku.

Sakit! Aku terus menggosok-gosok pahaku. Mulutku sudah muncung sedepa. Tidak sah kalau tangannya tidak menyinggah pahaku bila bercakap.

"Kalau berkahwin, namanya ikatan perkahwinan. Ada faham?" Marah sangatkah dia hampir hendak terkeluar biji mata? Geram agaknya dengan aku yang tidak berjiwa romantis ini.

Bukannya aku tidak pernah terfikir. Bagaimana satu hari ditakdirkan aku dan Kaduk punya perasaan lebih dari seorang kawan. Selalu juga layanan istimewanya menjentik naluri kewanitaanku hingga mencetuskan perasaan aneh yang dalam diri ini. Memikirkan dia teman baikku, aku tepis perasaan itu jauh-jauh. Aku tidak mahu kehilangan dia. Aku bimbang jikalau aku menyukai dia lebih dari sepatutnya langsung aku akan berasa janggal untuk berkawan dengannya. Maka hilanglah teman mengadu aku nanti. Macam kes aku dengan Mar Iskandar. Aku tidak boleh berhadapan dengan lelaki itu. Berderu darahku dibuatnya.

Aku memandang cermin sambil itu membayangkan Kaduk berdiri di sebelah aku. Macam langit dengan bumi! Lelaki itu punya segalanya sedangkan aku cuma gadis biasa. Masakan aku adalah pilihan terakhir untuk dijadikan suri hidupnya. Lihat sahaja jantung hatinya dahulu. Bukannya calang-calang orang. Arwah Ain boleh kukatakan punya pakej yang lengkap dan menghampiri ciri-ciri kesempurnaan. Sayang umurnya tidak panjang. Dalam usia yang terlalu muda dia telah menyahut panggilan Yang Maha Esa. Jika tidak, pasti aku dapat melihat mereka berdua duduk bersanding di atas pelamin nan indah.

Itulah yang dinamakan takdir. Dan ia juga takdir andai dua sahabat baik bersatu. Cinta tak semestinya bersatu. Tak cinta semestinya tak bersatu! Sedangkan dalam hati aku memang ada perasaan kasih dan sayang untuk lelaki yang bernama Carl Duke Adam itu. Bila-bila masa sahaja ia boleh bercambah, bertunas lalu tumbuh sebagai pohon kecintaan.

Carl Duke Adam, kiranya kutahu isi hatiku...


Bab 22

Masa berlalu dirasakan begitu pantas. Di kala kesibukan merantai diri, di waktu seluruh tumpuan difokuskan pada Peperiksaaan Mombukagaksyou yang menjadi titik penentu kemasukan ke universiti negara matahari terbit itu, aku cuba luangkan sedikit masa mendekatkan diri pada Yang Maha Kuasa. Pada hujung minggu, ada kalanya diri terpanggil untuk mengunjungi surau kolej menunaikan solat subuh berjemaah. Biasanya selepas solat ada sedikit takzirah dan bacaan Mathurat. Rasa bersinar kembali hati yang kelam.

Aduhai hati! Maafkan aku kerana terlalu mengejar tuntutan duniawi yang tiada noktahnya, kadang-kadang aku sering terlupa tuntutan akhirat. Nauzubillah... Diri ini masih lemah. Terlalu lemah...

Aku menghitung hari. Rasanya masih segar kenangan Ramadhan yang baru berlalu. Sekali lagi dipanjang umur bertemu dengan bulan penuh barakah itu. Petanda dunia akhir zaman! Ya-Allah... amalanku kalau dihiitung-hitung mungkin ibarat setitis air di lautan-Mu. Ianya terlalu sedikit berbanding dosa yang kulakukan. Layakkah aku masuk ke syurga-Mu?

Menempuh Ramadhan di kolej tidak ubah seperti di SERATAS dahulu. Cuma bezanya waktu berbuka puasa, ambil juadah di Dewan Makan kemudian makan bersama-sama teman rapat di bilik sahaja. Makanan pun lebih mengancam daripada biasa. Rezeki bulan puasa!

"Kau ambil nasi dengan air. Aku ambil lauk," ujarku pada teman sebilik, Asyikin. Membahagikan tugas mengambil juadah berbuka.

"Dessertnya aku ambil juga tau," Dia menambah.

Aku mengangguk setuju. Sesekali Mira yang duduk dua pintu dari bilik kami datang makan bersama. Dia juga pelajar Dasar Pandang ke Timur seperti kami.

Jam 11 malam sudah boleh 'tapau' bekalan untuk sahur di Dewan Makan. Biasanya ambil untuk makan sendiri. Sekali-sekali mahu juga ubah selera. Jadi kami akan ke Pasar Ramadhan Kampung Kerinci selepas tamat kelas. Oh,ya! Bulan Ramadhan kelas tamat awal daripada bulan-bulan biasa. Berkat Ramadhan lagi!

"Kau nak beli apa?" soal Asyikin sambil mencuit lenganku.

Aku menjungkitkan bahu. Kemudian menggelengkan kepala. Melihat makanan yang dijual sudah rambang mata. Asyikin mengerut dahi lalu ketawa.

"Semuanya nampak sedap. Pening kepala nak pilih tau," jelasku.

Mata melilau mencari juadah tambahan untuk berbuka petang itu. Kalau ikutkan nafsu makan, sudah pasti satu pasar hendak diborong.

Seperti biasa bersolat terawih dan moreh di surau kolej. Meriah! Mengembalikan nostalgia zaman sekolah berasrama penuh dulu. Waktu ini terasa ukhuwwah islamiah antara makmum yang hadir. Sambil menikmati juadah moreh yang disediakan oleh pihak Dewan Makan sempat beramah-mesra dengan penghuni kolej yang kebanyakkannya terdiri daripada pelajar fakulti. Bulan-bulan biasa masing-masing sibuk dengan rutin harian sebagai seorang pelajar universiti. Hanya bertukar-tukar senyuman jika bersua muka.

Sebelum pulang ke kampung halaman berhari raya, aku ke Jalan Masjid India. Sempat mencapai kain pelekat untuk Ayah, kain sari untuk Mak dan kain ela untuk jubah Opah. Sejak punya wang sendiri, aku akan pastikan mereka mendapat sesuatu daripada aku setiap kali menjelangnya Syawal. Walaupun masih berstatus seorang pelajar, aku mahu mereka merasa wang biasiswa aku yang tidak seberapa itu.

"Buat apalah susah-susah. Kak Ngah kan tak kerja lagi," ucap mak dalam keterharuan.

Aku mengulum senyuman. Pemberian yang sebesar zara tidak setimpal dengan pengorbanan mereka selama ini. Melihat wajah mereka tatkala aku suakan pemberian sudah cukup buat aku gembira. Insya-Allah selagi nyawa dikandung badan, aku akan berusaha membahagiakan mereka!

Ramadhan dan Syawal terakhir di bumi Malaysia! Mungkin aku tidak sempat menikmati sepenuhnya peluang yang ada kerana berperang dengan persiapan terakhir untuk peperiksaan besar yang akan dihadapi awal Januari nanti. Dua hari sebelum menjelmanya 1 Syawal baru aku pulang ke kampung di Perak. Tidak sampai beberapa hari sudah kembali semula ke Universiti Malaya. Untuk berjaya perlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Sekurang-kurangnya ada juga kenangan berhari raya bersama keluarga. Dengan izin-Nya aku akan rasa pula menyambut lebaran di perantauan selepas ini. Pasti serba-serbi berbeza.

Aku menghirup angin petang di Tasik Varsiti. Suasana sunyi ini mendamaikan. Mataku beralih pada orang yang berkayak di tengah tasik. Seronoknya mereka. Hampir dua tahun di sini tidak pernah sekalipun aku mencuba. Risau kayak yang aku naiki terbalik. Aku bukannya pandai berenang. Aku terus menggelengkan kepala.

Dari jauh kelihatan Menara Telekom serba biru berdiri megah. Binaanya yang unik dan punya unsur futuristik. Sejak dari dulu aku suka melihat bangunan dan pemandangan. Bila terlihat sesuatu yang cantik terus aku jatuh cinta lalu mengabadikannya dengan lensa kamera.

Dan siapa sangka petang itu juga aku bertemu dengan seseorang. Seseorang dari kenangan zaman silam...


Bab 23

Tiba-tiba ada satu suara menyapa. Segera aku memandang tuan empunya diri. Dia! Macam mana dia boleh berada di sini? Pertemuan yang tidak sangka. Aku sedikit kaget dengan kahadirannya itu. Salam yang diberi kusahut. Mungkin dia juga menuntut universiti tertua di Malaysia ini, aku bermonolog sendiri.

Dia masih seperti dulu. Senyuman tidak pernah lekang di bibir. Manis! Sedikit berisi jika dibandingkan dengan zaman sekolah dahulu. Bahagia agaknya! Kala ini dia mengenakan t-shirt berwarna hijau lumut tanpa kolar, seluar jeans hitam dan kasut sukan Nike. Rambutnya terlindung oleh cap Nike hitam yang dipakai. Kedua-dua tangannya memegang handle basikal mountain warna perak.

"Masih ingat pada aku?" Dia menyoal.

"Mana boleh tak ingat. Orang popularlah katakan. Satu sekolah kenal. Lainlah aku ni," jawabku merendah diri.

Pandangan aku beralih ke tengah tasik. Cemburu melihat orang berkayak tetapi untuk mencubanya sendiri masih tidak punya keberanian. Aku selalu begitu. Kadang-kadang cemburu dengan orang yang banyak ilmu agamanya. Boleh bercakap tentang Islam, agama Ar-Rahiim. Bicaranya bagai air yang mengalir. Lancar. Masya-Allah. Tetapi cukupkah sekadar cemburu tanpa ada usaha? Perlu banyak lagi belajar, Akasyah!

"Yalah tu," ujarnya sambil ketawa kecil. "Haa... dengar cerita nak ke Jepun. Jadi sekarang ni di Pusat Asasi Sains kan."

Aku mengiyakan kata-katanya. "Kau pula?" Aku pula menyoal.

"Fakluti kejuruteraan mekanikal... tahun 3. Firdaus pun ada sini. Dia ambil medic," jawabnya sambil memandang aku penuh makna.

Firdaus... Lama tidak mendengar nama itu semenjak aku memasuki SERATAS. Bagaimana agaknya dia sekarang? Pasti punya ramai peminat. Orang kacak katakan. Masih ingat lagi zaman di sekolah dahulu, waktu 'Dedikasi Lagu' Hari Kantin Sekolah, lelaki itu paling banyak mendapat ucapan. Pembesar suara berdekatan dengan gerai kelas kami. Nama dia saja yang naik. Begitu juga sewaktu Kelab Bimbingan dan Kaunseling menganjurkan 'Dedikasi' di mana pelajar berpeluang memberi hadiah kepada sesiapa sahaja yang disukai. Secara kebetulan aku adalah salah seorang ajk yang terlibat. Dari situlah aku tahu yang dia penerima hadiah paling banyak. Jumlah orang yang membuat dedikasi meningkat tiga kali ganda daripada tahun lepas. Untung kami! Tetapi kerja kami pun bertambah tiga kali ganda juga. Semuanya kerana Mohd Firdaus Mohd Alif!

"UM ni besar sangat. Baru hari ni dapat jumpa kau." Satu suara datang dari belakang. Aku dan Aidid menoleh.

Firdaus! Memang ada tokoh doktor dengan cermin mata tanpa bingkainya itu. Nampak makin matang. Bagaimana dia juga boleh berada di sini? Agaknya berkomplot dengan Aidid.

"Macam mana kau... ?"

"Aidid call aku sebelum dia tegur kau ni. Tak sangka dapat jumpa kau semula. Lama betul kita tak jumpa kan."

Aku mengangguk.

"Bila periksa besar tu?" Dia menyoal.

"Inysa-Allah... Dua minggu lagi. Doakan aku ya."

"Insya-Allah... Moga-moga kau dapat ke sana. Nanti boleh hadiahkan cenderahati dari Jepun!"

"Bisa diatur."

Pandangan aku sekali lagi jatuh pada orang berkayak. Entah mengapa hati aku teringin sangat hendak berkayak petang itu.

"Jom..." kata Firdaus mula mengatur langkah.

Aku terpinga-pinga. "Jom? Ke mana?" soalku.

"Itu..." ujarnya sambil menuding ke tengah tasik, ke arah orang yang sedang berkayak. Aku memandang dia tidak berkelip-kelip. Bagaimana dia tahu?

Bagaikan tidak percaya yang aku akan berada di sini sekarang. Di tengah Tasik Varsiti. Yang sedang mendayung di hadapanku sekarang ialah orang yang pernah mencetuskan debaran di hatiku dahulu. Dia menoleh ke arahku menghadiahkan sekuntum senyuman. Aku membalas.

Aku memerhatikan sekeliling. Subhanallah... cantiknya! Ada satu kelainan bila berada di sini. Kedamaian. Ketenangan. Indahnya saat ini. Semoga ia semat terpahat dalam memori. Kenangan, jangan kau pergi...


Bab 24

Sedang asyik aku memerhati keindahan alam ciptaan Tuhan, tiba-tiba...

Dushhh!

Kayak yang kami naik terbalik! Ya-Allah! Apa yang ditakuti terjadi jua. Aku benar-benar cemas. Seluruh badanku kini berada di dalam air. Aku tidak tahu berenang! Aku tidak tahu cara pernafasan dalam air! Bagaimana ini?

"Tolooooooooonggg!" Aku cuma tahu menjerit dan menjerit. Mungkinkah ada yang mendengar?

Mana Firdaus? Cepatlah datang selamatkan aku!

Setiap rongga tubuhku telah dimasuki air. Aku tidak mendengar apa-apa lagi. Pandanganku menjadi kelam. Yang terlintas di benak fikiranku hanya imbasan demi imbasan memori masa lampau. Mungkinkah segalanya akan berakhir di sini? Hari ini?

"Syah tak nak makan! Syah nak raket tu juga! Mak dah janji!"

Aku tarik muka masam lalu berjalan sambil menghentak kaki masuk ke dalam bilik. Pintu kuhempaskan kuat-kuat menunjukkan tanda protesku. Aku melancarkan mogok lapar semata-mata mak tidak mahu menghadiahkan raket badminton apabila aku mendapat tempat pertama dalam peperiksaan.

Mak! Anak mak yang satu ini selalu mengusahkan mak, menguris hati mak. Ampunkan dosa Syah, ya!

"Apasal kau tolak kita tadi? Kita tak mahu kawan dengan kau lagi," ujarku lalu mengangkat kaki beredar.

"Maaflah.. Kita tak sengaja."

Aku tidak mempedulikan kata-katanya lagi. Jauh sekali memberi kemaafan. Langsung kami tidak bertegur-sapa lebih dari tiga hari dan ianya berlanjutan sehinggalah dia berpindah ke Pahang. Alangkah berdosanya aku kerana memutus tali persaudaraan hanya kerana dia tertolak aku sewaktu kami sama-sama didenda berdiri di atas kerusi di Sekolah Agama Rakyat. Aku jatuh seperti nangka busuk. Seisi kelas ketawa. Aku malu.

Waktu itu usiaku baru sembilan tahun tetapi keegoanku melebihi orang dewasa. Kerana sifat keanak-anakan itu, aku kehilangan teman yang telah kukenali sejak dari tadika lagi. Tiga tahun kemudian barulah kami berbaik semula. Itupun setelah dia melayangkan kad hari raya memohon kemaafan. Egonya aku! Agaknya terlalu mahal harga sebuah kemaafan pada masa itu. Meskipun kami sudah berkawan semula tetapi sampai ke saat ini aku tidak pernah menatap wajah temanku itu melainkan melalui gambar yang dikirimnya sahaja.

Teman, aku menyesal kerana mengambil masa begitu lama untuk memaafkan dirimu. Sungguh aku menyesal. Maafkan aku! Aku rindukan kemesraan kita yang lalu. Andainya bisa diputarkan masa, aku akan memaafkan dirimu saat itu juga. Tetapi aku cuma insan biasa sepertimu yang tidak punya kuasa. Dan hari ini, saat ini aku sedang bertarung nyawa. Doakan aku di sini!

Satu-persatu memori dilayarkan bagaikan dalam sebuah cerita. Pahit, manis... semuanya ada. Aku sudah penat melawan. Mungkin sudah tiba masanya menutup kamus kehidupan di dunia yang fana ini.

Maafkan Syah, semua. Nampaknya Syah terpaksa 'pergi' dulu, bisik hati kecilku.

Aku mengucap dua kalimah syahadah. Segalanya sudah sunyi sepi dan gelap-gelita. Aku sudah tidak sedarkan diri lagi. Dan akhirnya, aku tenggelam ke dasar perut Tasik Varsiti...

Prangg!!

Kaduk tergamam. Tanpa sengaja balang kaca yang dihadiahkan oleh Akasyah sempena hari lahirnya yang ke-19 tertepis lalu jatuh ke bawah. Serpihan kaca bertaburan di sana-sini.

"Masya-Allah... Kalau Syah tahu, teruk aku kena bebel," gumamnya sambil mencapai penyapu di tepi pintu.

Lalu dikemasnya semula lantai yang dipenuhi bintang-bintang comel yang berwarna-warni. Matanya hinggap pada sekeping kertas berwarna ungu yang dilipat elok. Dia teringat kata-kata gadis itu sewaktu menyerahkan hadiah tersebut beberapa bulan yang lepas.

"Dalam ni ada mesej untuk kau. Tapi tak boleh baca sekarang."

"Habis tu?"

"Lima tahun akan datang."

"Amboi! Lamanya kena tunggu..."

Entah mengapa hatinya meronta-ronta supaya isi kertas itu dibaca. Segera dia mencapai kertas biru itu dan dibuka perlahan-lahan.

Maafkan aku kerana mungkir janji, bisiknya.

Dia meneliti setiap baris kata yang dicoretkan oleh temannya itu.

Carl Duke Adam yang baik,

Hadirmu bagai mentari yang membakar semangat diri. Mengenalimu adalah satu anugerah yang tiada tandingan. Berpisah darimu... takkan ada dalam kamus hidupku.

Friendship Forever (^-^)v
Nurul Akasyah yang manis

Dia terkasima. Pandangannya beralih pada gambar dia dan Akasyah di sudut meja. Wajah Akasyah direnungnya dalam-dalam.

"Nurul Akasyah yang manis..." ujarnya sambil mengulumkan senyuman.

Memang manis pun. Pandai juga dia bermain bahasa, getus hatinya.

Dia mencapai bingkai gambar tersebut. Tiba-tiba dirinya dihimpit rasa rindu. Sejak dua, tiga bulan kebelakangan ini gadis itu semakin menyepikan diri. Hanya sesekali kiriman mel elektronik yang bertandang menjadi pengganti diri. Hendak berbual panjang di corong telefon jauh sekali.

Dia cukup masak dengan perangai Akasyah. Jika sudah leka dengan dunia belajarnya, dia akan jadi orang yang paling serius. Ditegur tidak dilayan, diusik hendak tersenyum pun payah. Hanya memandang si pengacau dengan dahi yang berkerut seribu dan wajah masam mencuka. Kaduk tersenyum sendiri apabila terkenangkan Akasyah yang sering melemparkan jelingan tajam setiap kali dia cuba mengusik.

Rindunya pada gadis itu, keluh hatinya.

Selain dari Jannatul Adnain, hanya Akasyah teman perempuan yang paling akrab dan memahami dirinya. Walaupun dia sering mendapat lamaran cinta ramai gadis-gadis yang berhajat mahu menjalinkan hubungan sebagai teman istimewa, semuanya dia tolak ke tepi. Hatinya masih tidak terbuka untuk sesiapa. Masih terpahat nama Ain di hatinya. Dan sehingga ke saat ini, hanya seorang sahaja yang berjaya mengundang kembali getaran di dada.

Gadis yang manis itu! Bila bersama mengundang bahagia, bila berjauhan menggamit rindu!

Kaduk segera mencapai telefon bimbitnya. Ingin diluahkan kerinduan yang terbuku jauh di sudut kalbu. Mahu diusiknya gadis itu seperti selalu supaya kedengaran gelak tawanya. Dan juga tidak lupa juga dititipkan kata-kata semangat buat bekalan menghadapi peperiksaan kelak.


Bab 25

Puas dia mendail nombor Akasyah namun tiada sebarang jawapan. Bagai ada sesuatu yang tidak kena. Hatinya mula rasa tidak senang. Lalu dia mengambil keputusan untuk menghubungi teman sebilik Akasyah.

"Asyikin, Syah ada?"

"Kaduk ke tu?"

"Haah. Kaduk ni."

"Kaduk... Syah... dia kat ICU sekarang."

Kata-kata itu umpama betali tajam yang menikam jantungnya. Sesak nafasnya saat itu. Kolam matanya sudah berkaca. Dia masih setia mendengar penerangan dari Asyikin walaupun hatinya sudah berlumur rasa pilu yang tidak bertepi.

Pesawat MAS berlepas meninggalkan kota London. Para pramugari dan pramugara mula sibuk menghidangkan jus oren kepada para penumpang. Carl Duke Adam melontarkan pandangan ke luar tingkap sambil menarik nafas panjang. Rasa sebak menyerbu masuk ke segenap tubuhnya. Dia memejam matanya rapat-rapat.

Ya-Allah, kau berikanlah aku kekuatan, pohonnya dalam hati.

Dia menatap kembali Kalamullah. Tangannya memegang erat naskah Al-Quran mini itu lalu meneruskan bacaan Yaasinnya. Kenangan terakhir bersama gadis itu kembali menerpa ingatannya. Dan air matanya menitis dan terus menitis.

September 2001

"Dah sampai kat sana nanti, jangan lupa kirim berita tau," pesan Akasyah bersungguh-sungguh.

"Insya-Allah... Kau pun jangan lupa beritahu bila nak terbang ke Jepun nanti." Giliran Carl Duke Adam pula mengingatkan temannya itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam tersebut dibanjiri oleh pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi Yayasan Satu, Lembah Beringin yang berjaya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Dan pastinya kaum keluarga turut sama datang menghantar mereka.

"Kenapa? Kau nak balik semata-mata nak hantar aku ke Jepun ke?" soal gadis itu lagi.

"Kalau masa tu aku cuti, tak ada masalah."balasnya sambil mengenyit mata kiri.

Gadis itu sudah melebar senyumannya. Manis! Wajahnya terpancar sinar keceriaan.

"Kau tak bergambar lagi dengan aku hari ni. Mari..." pelawanya sambil mengarahkan Akasyah berdiri di sebelahnya. Gadis itu menurut.

"Ok tak?" Carl Duke sempat membetulkan tali leher yang dipakainya.

Gadis itu mengangguk. "Tak ubah macam waktu kau jadi Ketua Pelajar dulu."

"Handsomelah tu..."

"Bolehlah..." balas gadis itu acuh tak acuh.

"Yalah... Mar Iskandar saja yang handsome. Siapalah aku kan?" ujarnya sedikit merajuk.

Gadis itu lagaknya biasa, akan berpura-pura tidak mendengar apabila nama Mar Iskandar disebut-sebut.

"Kau ada nampak Mar?" soalnya sambil memerhati sekeliling mencari jejaka idaman malayanya yang satu itu.

Carl Duke menggeleng lalu tersenyum penuh makna. Lelaki itu juga yang dicari! Masih tidak mahu mengaku lagi, cetus hati kecilnya.

"Haa... Sebelum aku terlupa, ada hadiah istimewa khas untuk kau..."

"Terima kasih," ucap Carl Duke sambil menatap Al-Quraan mini yang baru diterimanya itu. Pandanganya beralih pada gadis di hadapannya.

Tiba-tiba dia mendapati senyuman Akasyah menyirna. Bebola mata gadis itu tertumpu pada sesuatu yang berada di hadapannya. Carl Duke Adam pun segera menoleh ke belakang.

Kelihatan dari jauh Mar Iskandar berdiri di samping seorang gadis bertudung labuh dan bersama-sama mereka adalah ahli keluarga masing-masing. Carl Duke cukup kenal gadis itu. Dia adalah ketua muslimat yang juga merupakan penolong kepada Mar Iskandar, ketua Badan Dakwah Dan Rohani di kampus dahulu.

"Tak mahu jumpa dia?" soal Carl Duke Adam.

Akasyah menggelengkan kepala. Dia cuba tersenyum tetapi nampak sangat seperti dipaksa. Agaknya kecewa melihat jejaka idamannya di samping gadis lain.

Mohd Ammar Iskandar... terlalu istimewakah dia pada kaca mata gadis bernama Nurul Akasyah? soal hati kecil Carl Duke Adam.

"Mama! Papa!" Laung Carl Duke Adam sebaik sahaja melihat kelibat kedua orang tuanya di hadapan Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti, Kuala Lumpur.

"Adam?" Auntie Sufiah terkejut apabila melihat kehadiran anak lelaki tunggalnya itu. Siapa pula mengkhabarkan berita tersebut pada Adam? soalnya dalam hati.

Tiba-tiba seorang doktor keluar dari bilik Unit Rawatan Rapi lalu menghampiri kaum keluarga dan sahabat-handai yang berkumpul di ruang legar luar bilik tersebut.

"Kami dah lakukan post-mortem. Harap wakil keluarga arwah dapat ikut saya ke bilik sekarang."

"Post-mortem? Arwah?" Carl Duke memandang wajah papa dan mamanya mencari kepastian.

Pantas mama memeluk tubuhnya lalu menangis seperti anak kecil. Papa pula memahut dan menepuk perlahan bahunya.

"Ya-Allah..."

Carl Duke sudah tidak dapat menahan sebaknya. Air mata lelakinya tumpah jua. Setahun lepas dia baru kehilangan Nur Jannatul Adnain, jelmaan Ainul Mardhiah idamannya. Wanita yang telah dia persiapkan segala-galanya untuk disunting selepas tamat pengajian kelak. Tetapi takdir menentukan gadis itu harus pergi dahulu sebelum sempat dia memetrai janjinya.

Dan saat itu Allah Ta'ala mengurniakan dia seorang sahabat yang baik umpama kejora yang bersinar cerlang di celah-celah ribuan bintang di dada langit. Akasyah, dalam ribuan insan yang ditemui, gadis itu cukup memahami. Kala-kala luka, lalu dia jadi doktor yang menyembuhkannya. Dan, kala-kala gembira, dia menyimbahkan ketenangannya. Ya, dia kejora hidupku!

Akan tetapi, hari ini kejora hidupnya juga telah sirna cahaya. Gadis manis bernama Nurul Akasyah itu juga pergi buat selama-lamanya menyahut panggilan Ilahi.

Kata-kata Akasyah terngiang-ngiang di telinganya. "Berpisah darimu... takkan ada dalam kamus hidupku." Dan buat sekian kalinya, air matanya gugur tanpa henti.


Bab 26

Mar Iskandar duduk berteleku di atas sejadah sambil mulutnya berkumat-kamit melafaz zikir dan selawat ke atas Nabi. Berita yang disampaikan oleh Carl Duke Adam siang tadi sedikit sebanyak telah mengocak ketenangan hatinya.

Sewaktu melintas di hadapan bilik Adam petang tadi, dia melihat Adam sedang mengemas beg pakaian dari celahan pintu yang agak terbuka. Wajah Adam terpamer segunung keresahan dan selaut kedukaan. Lantas dia datang menyapa.

"Awal anta berkemas. Pagi esok baru kita nak keluar."

"Maaf... ana tak boleh ikut antum esok. Ana kena balik Malaysia malam ni juga."

"Balik Malaysia? Kenapa?"

"Akasyah... "

Rupanya gadis itu ditimpa musibah. Dan, sebagai bukti betapa sayangnya Adam pada Akasyah. Nah! Adam bergegas pulang ke Malaysia kerana ingin melawat teman baiknya itu. Bagaikan ada satu ikatan yang tersimpul antara hati mereka. Hanya mereka dan Tuhan sahaja yang tahu. Andainya ikatan itu berakhir dengan perkahwinan, tidak menjadi kehairanan. Kerana sejak dari dulu lagi sudah nampak keserasian di antara mereka berdua. Hanya perlukan sedikit keajaiban untuk menyatukan dua hati menjadi satu.

"Encik... Encik..."

Carl Duke Adam membuka matanya. Muncul wajah seorang pramugari yang menguntumkan senyum manis di bibir. Carl Duke Adam meraup mukanya berkali-kali. Ya-Allah! Rupanya aku bermimpi tadi, bisiknya.

"Kapal terbang dah nak mendarat. Tolong pasangkan tali pinggang keselamatan dan tegakkan semula kerusi," ujar sang pramugari lalu beredar pergi.

Carl Duke Adam bagai dipukau, menurut sahaja arahan tersebut. Setelah itu dia bersandar sambil mengurut leher, menghilangkan rasa sengal. Agaknya entah berapa lama agaknya dia tertidur tadi sehinggakan termimpi yang bukan-bukan. Mujurlah mimpi itu sekadar mainan tidur. Mungkin dia terlalu risau keadaan Akasyah yang masih tidak sedarkan diri dan kini dalam pemerhatian pihak hospital.

Carl Duke Adam membuang pandangan ke luar tingkap di sebelah kirinya. Sudah kelihatan perairan Selat Melaka yang membiru. Mentari mula melabuhkan diri. Warna jingga menyimbah ke dada langit. Suram.

Akasyah kejora hidupku! Nantikan kepulanganku. Jangan kau pergi dulu... kerana berpisah darimu tidak ada dalam kamus hidupku, pohonnya dalam hati.

Carl Duke Adam beristighifar. Ajal dan maut di tangan Tuhan. Manusia tidak punya kuasa untuk menghalangnya. Andai sudah tercatat di Loh Mahfuz, dia perlu redha menerima kehilangan insan yang disayangi untuk kali kedua.

Cahaya putih yang sangat terang-benderang menyilau pandangan. Aku cuba membuka mata tetapi dirasakan payah. Berat! Bagaikan ia diperbuat daripada besi.

"Dia dah sedar, doktor." Suara seorang perempuan menyapa dari sebelah kiri.

Doktor? Di manakah aku sekarang? Masih hidupkah aku? Pelbagai persoalan bermain-main di fikiran.

"Akasyah... Kalau awak dengar suara saya ni, tolong gerakkan tangan awak."

Ya! Aku dapat mendengar suara lelaki itu walaupun dirasakan begitu jauh. Aku sedaya-upaya menggerakkan jari-jariku. Ternyata kudrat yang masih lemah membataskan pergerakanku.

"Awak pergi beritahu keluarga dia yang dia dah sedar."

"Baik, doktor."

Aku duduk di birai katil sambil mataku memerhatikan keadaan sekeliling. Sudah hampir sepuluh minit aku begitu. Aku masih samar-samar atas segala yang berlaku. Aku cuba mengimbas semula peristiwa hari itu. Seingat aku, kayak yang aku naiki tiba-tiba terbalik. Pelik juga. Bagaimana boleh jadi begitu, sedangkan keadaan air tasik pada hari itu begitu tenang. Angin pun bertiup sepoi-sepoi bahasa sahaja. Mungkin Allah sudah menetapkannya begitu. Dia sahaja yang lebih mengetahui.

"Firdaus..."

Lelaki itu datang dengan wajah yang serius. Dia menarik kerusi lalu duduk mengadap aku. Selepas memberi salam tadi, dia hanya diam seribu bahasa. Seraut wajahnya menggambarkan perasaan bersalahnya pada aku.

"Macam mana sekarang? Dah sihat?"

"Alhamdulillah... Cuma pening-pening sikit."

"Aku minta maaf. Kalau aku tak ajak kau naik kayak hari tu... "

Sebelum dia menyudahkan ayatnya aku terus memintas. "Dahlah tu... Benda dah nak jadi. Aku pun tak apa-apa kan."

"Kau koma tiga hari," katanya sambil meraup muka. "Aku cukup risau. Kalau apa-apa berlaku pada kau, aku yang bertanggungjawab," tambahnya lagi.

Aku batuk-batuk kecil. Mahu menyambut kata-katanya itu tetapi batuk-batuk ini tidak mahu berhenti. Entah kenapa tiba-tiba dadaku rasa sesak. Berat. Ya-Allah..

"Dia tak apa-apa. Cuma badannya masih lemah. Perlu banyak berehat," jelas doktor muda itu kepada keluargaku yang baru tiba sebentar.

Aku gagahkan diri untuk mengangkat mata tetapi ubat yang disuntik tadi membuatkan aku rasa betul-betul mengantuk. Pandangan pun sudah berpinar-pinar. Akhirnya aku sendiri terlena...

Tiba-tiba satu suara yang memanggil namaku sampai ke pendengaran. Suara itu! Aku cuba mengangkat mata sekali lagi. Ternyata penangan ubat tadi masih membataskan keupayaan.

"Syah... aku datang ni," ujarnya lagi.

"Kaduk..." gumamku perlahan.

Dalam mamai aku memandang wajah seseorang yang duduk di sisi kananku. Aku pasti dia. Memang dia yang datang melawatku waktu ini. Tetapi bagaimana dia ada sedangkan dia sepatutnya berada di UK sekarang.

"Kau mesti cepat sembuh. Nanti bila dah sihat, kita sembang panjang. Ada banyak benda aku nak beritahu..." Aku mendengar antara tidak. Akhirnya aku terlena buat kali kedua...



Bab 27

Keesokan harinya aku sudah kembali semula ke kolej. Pada mulanya berat juga Doktor Faaris hendak melepaskan aku pulang. Setelah puas meyakinkannya yang aku sudah pulih sepenuhnya, akhirnya dia mengalah jua. Lagipun aku memikirkan peperiksaan mombusyo yang bakal bermula Isnin minggu hadapan. Jadi aku perlu membuat persiapan terakhir untuk menghadapinya.

"Syah! Ada orang nak jumpa kat bawah," jerit Asyikin dari muka pintu.

"Siapa?" soalku.

Asyikin mengangkat bahu sambil tersenyum penuh makna. Seperti mahu berahsia.

Baru sahaja sampai sekejap tadi di kolej sudah ada yang datang melawat. Untung juga sesekali sakit-sakit. Ramai yang ambil berat.

Aku menyarung sandal lalu bergegas turun. Sampai sahaja di tangga aku memerhati sekeliling. Di lot parker bersebelahan dengan gelanggang bola tampar kelihatan seorang lelaki bersandar pada kereta. Carl Duke Adam!

Aku segera mendapatkannya. Dari jauh dia sudah tersenyum riang. Aku memerhatikan dia dari atas ke bawah. Segaknya dia dengan berpakaian serba putih. Seluar slack, kemeja berjalur halus menegak yang dibiarkan terbuka dan kemaja-T tanpa kolar di dalamnya. Kami melabuhkan punggung di bangku simen mengadap gelanggang bola tampar.

"Apa tu?" soalku sambil merenung termos merah yang dipegangnya.

"Bubur nasi special. Aku yang masak..." ujarnya lalu menyerahkan termos tersebut kepadaku.

Kaduk masak? Bulat mataku mendengarnya.

"Tadi aku pergi hospital tapi kau dah tak ada. Langsung aku ke sini. Esok aku datang hantar bubur lagi. Perut kau tu bukan boleh makan sebarangan," sambungnya lagi.

"Tak payah lah. Buat susah je." Terharu benar dengan keprihatinannya itu sejak dari dahulu lagi. Layanannya terhadapku sungguh istimewa. Kenapa Mar Iskandar tidak seperti dia?

"Tak susah apa pun. Sementara aku ada di sini bolehlah jaga kau. Lagipun aku balik ni pun semata-mata nak jenguk kau."

Aku terdiam mendengar ucapannya itu. Hanya senyuman jadi pengganti kata-kata. Aku membuka penutup termos tersebut. Kepulan wap terbebas beserta aroma yang memikat. Kecur air liur dibuatnya. Kebetulan aku belum menjamah apa-apa lagi tengahari ini. Rezeki!

"Berkayak dengan siapa petang tu?" soalnya tiba-tiba sambil menatap wajahku.

"Oo... kawan," jawabku ringkas.

"Firdaus kan?"

Aku mengerling. Bagaimana dia tahu?

"Aku jumpa dia masa lawat kau di hospital. Boleh tahan juga mamat tu. Pandai kau pilih ya."

Aku mengangkat kening. Mesti diingatnya Firdaus adalah teman istimewaku di sini. Agaknya apa yang mereka berdua bualkan? Harap-harap Firdaus tidak bercerita kisah kami di sekolah dulu.

"Bila balik ke sana semula?" soalku pula. Cuba mengalihkan tajuk perbualan.

"Insya-Allah.... pertengahan bulan nanti."

Lamanya dia cuti. Mungkin sekarang sedang bercuti sempena hari natal dan sambutan tahun baru di sana. Aku rasa segan untuk bertanya lebih. Carl Duke Adam di sebelahku sekarang bukan Carl Duke Adam yang dahulu. Jasadnya masih sama tetapi jiwanya sudah berbeza. Nampak keseriusan dalam percakapannya. Tidak ubah seperti bila dia berada di samping arwah Ain suatu ketika dahulu. Agaknya dia risau dengan kejadian yang menimpa diriku ini. Tetapi entahlah... hati ini mengesan sesuatu yang lain tentang sikap dan perwatakannya hari ini. Mungkin perasaan aku sahaja.

"Apa kata Sabtu nanti kita breakfast sama? Aku datang ambil kau di sini. Kita makan di rumah aku. Nanti aku minta mama masakkan nasi lemak kegemaran kau."

"Nasi lemak! Wow, bestnya!" jeritku keriangan. Senyumanku sudah sampai ke telinga.

"Oklah... aku balik dulu. Lagipun tak mahu ganggu kau berehat. Jom..."

Aku bingkas bangun lalu mengekorinya dari belakang.

"Elok-elok. Depan tu ada longkang. Nanti ada yang masuk hospital lagi." usik Kaduk sambil menoleh ke arahku.

Aku menjuihkan bibir kemudian ketawa kecil. Aku memandang ke kiri dan ke kanan sebelum melintas jalan.

Tiba-tiba terdengar bunyi hon. Aku segera menoleh. Sebuah proton wira berwarna biru metalic betul-betul di kiriku. Dalam pada itu juga tubuhku disambar oleh seseorang. Badanku terdorong ke tepi jalan. Aku dapat merasakan sepasang tangan sedang memeluk erat tubuhku. Aku segera mengangkat muka. Rupanya aku berada dalam dakapan teman baikku sendiri, Carl Duke Adam. Pelukannya semakin erat seolah-olah mahu melindungiku dari sebarang bahaya. Aku jadi kaget. Lama kami berkeadaan begitu.

"Kaduk..." ucapku seraya menolak tubuhnya.

"Sorry..." gumamnya perlahan lalu meleraikan aku dari pelukannya. Pandangan matanya menikam jantung hatinya. Tersirat kesayuan.

Aku mengundur beberapa tapak ke belakang. Wajahku sudah terasa hangat. Apa yang perlu aku ucapkan? Terima kasih? Atau maaf? Yang mana satu? Akhirnya aku hanya menatap wajahnya sambil mengangguk kecil.

"Jangan lupa makan bubur tu..." katanya sambil menguak rambut yang sudah mencecah bahu. Dia tidak memandang mataku. Air mukanya juga sudah berubah.

Aku mengangguk lagi lalu meminta diri untuk naik ke bilik. Hatiku sudah tidak keruan. Makin lama aku berada di sini dengannya makin kencang degupan jantungku ini. Ya-Allah! Pertama kali aku berperasaan begini bila bersama dengannya.

Pada hari Sabtu yang dijanjikan, pagi-pagi lagi Carl Duke Adam sudah terpacak di kolej ditemani adik comelnya, Sofea Aleidia. Si kecil itu berlari datang mendapatkanku sebaik sahaja melihat kelibatku dari jauh. Pinggangku dipeluk erat.

Dia mendongak menatap wajahku. "Hari tu masa Kak Syah sakit, adik risau sangat. Achik lagi risau. Masa Kak Syah tak sedar lagi, achik tunggu kat hospital dari pagi sampai ke petang." Mulut Aleidia petah berbicara. Sesekali tangannya bermain-main hujung baju kurungku. Manja. Aku sekadar mengulum senyuman mendengarnya. Lelaki itu! Dia terlalu baik, bisik hatiku.

Kami berdua menuju ke kereta yang dipandu oleh abang Aledia itu. Setiap langkah diiringi dengan debaran yang tiada kesudahan. Akasyah, dia teman baikmu. Buang perasaanmu itu jauh-jauh.

"Assalamualaikum..." Bagaikan tersekat suaraku di kerongkong. Sejak bila pula aku jadi gugup di hadapannya padahal setiap hari kami berjumpa. Dia datang menghantar bubur kemudian terus pulang. Tetapi itupun sudah menjadi buah mulut orang. Mungkin kerana dia datang sendirian tanpa ditemani oleh sesiapa. Waktu itu Aleidia sudah mengikut Auntie Sufiah yang berkursus di Langkawi. Kak Maya, pembantu rumah mereka pun dibawa sama. Baru semalam mereka semua pulang.

"Waalaikumussalam..." jawabnya lalu terus duduk semula di bangku pemandu.

Aledia sudah pun mengambil tempat di kerusi belakang. Aku jadi serba salah. Mahu duduk belakang atau di hadapan? Kalau di belakang, nampak pula seperti mem besar. Nampak kurang sopan pula.

"Tunggu apa lagi?" tanya Kaduk sambil membukakan pintu dari dalam.

Aku menggelengkan kepala, segera melabuhkan punggung di sebelahnya. Aleidia yang menjadi penonton asyik tersenyum nakal.

"Kak Syah ni malu-malu pula. Macam tak biasa dengan Achik." Bulat mataku mendengarnya. Pandanganku beralih pada 'Achik' yang sudah tersenyum meleret.

"Kak Syah tu bukan apa... tengah praktis jadi perempuan melayu terakhir," tambah si abang pula.

Aduh! Dua beradik ini memang kuat mengusik. Teruk aku diserang bertubi-tubi oleh mereka. Akhirnya aku memilih untuk diam.

"Kau tahu kenapa aku tak beritahu pada Mar yang aku sukakan dia?" ujarku setelah Kaduk membangkitkan semula soal Mar Iskandar entah untuk kali ke berapa.

Kaduk menggeleng. Juntaian rambut hadapannya diselak ke tepi.

"Sebab aku tak layak untuk dia..." Aku melemparkan pandangan ke arah kolam yang berisi ikan kap di sudut kiri taman mini rumah temanku itu. Hendak menatap wajahnya bila berbicara soal begini, aku tidak punya kekuatan.

"Mesti dia akan cari seseorang yang sepadan dengan dia. Macam budak perempuan yang kita nampak di KLIA tempoh hari. Baik, lemah-lembut, bertudung labuh... Aku ni? Kasar, kelam-kabut, emosional..." kataku tanpa berselindung lagi.

"Tapi baik hati," sampuk dia.

Aku mengerling. Diam seketika.

"Aku impikan seorang lelaki yang boleh membimbing aku. Menyayangi aku seperti mana aku menyayangi dirinya..." ujarku dengan penuh perasaan.

Kedengaran ketawa kecil tercetus dari seulas bibir merahnya. Setahu aku memang lelaki itu tidak merokok. Eloklah.... Setidak-tidaknya dia tidak menghitamkan paru-parunya dengan asap rokok yang punya segala macam bahan kimia yang bukan sahaja membahayakan kesihatan si perokok malah orang yang berada di sekelilingnya. Aku juga mahu mengelak daripada bersuamikan seorang yang merokok. Lagipun ayahku bukan seorang perokok.

"Aduh... t erpegun hamba mendengar tuan hamba berpuitis," ujarnya dengan tawa bersisa.

Aku mencebik bibir. Biarkan sahaja usikannya itu dibawa angin lalu.

"Allah sudah janjikan... perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jadi, janganlah kau risau." Dia memandang sekilas. "Kau seorang yang baik. Insya-Allah... akan diketemukan lelaki yang baik juga. Kelemahan yang ada pada diri boleh diperbaiki sedikit demi sedikit. Sedangkan pantai boleh berubah, inikan pula kita manusia yang punya akal fikiran. Cuma perlu ada kemahuan dan disertakan dengan usaha. Jangan sekadar mengeluh nasib diri tanpa berusaha dahulu..."

Memang betul katanya itu. Aku boleh berubah cuma aku yang enggan berbuat demikian. Di kala pelajar putera lain mengejek kerana kekurangan yang ada pada fizikalku, dia menerima aku seadanya. Walaupun adakalanya aku melenting kerana merasakan dia cuba mengawal hidupku apabila dia cuba menegur sikapku yang kurang elok pada pandangannya sebagai seorang lelaki , dia masih setia menjadi temanku. Tetapi bila difikirkan kembali, tegurannya itu untuk kebaikan diri aku sebenarnya. Aku sahaja keras kepala mempertahankan keegoanku. Dan, sudah menjadi sifatku yang tidak suka dikongkong oleh lelaki. Memberi arahan itu ini seperti aku ini isterinya.

"Segalanya mungkin. Aku menanti saat itu kunjung tiba..." Kata-katanya itu mengakhiri pertemuan kami untuk hari itu. Dari percakapannya seolah-olah, dia meminta untuk aku berubah. Mampukah aku?


Bab 28

Isnin, 8 Januari 2002

Langkah ini kuaturkan ke Bangunan Peperiksaan yang letaknya di atas kawasan sedikit berbukit bertentangan dengan Perdana Siswa. Hatiku berdebar bagaikan tiada penghujungnya. Inilah medan perjuangan yang dinanti-nanti. Hari ini tibalah masanya berjuang habis-habis, mempraktikkan segala yang dipelajari dalam usia dua tahun ini. Berjaya melepasi halangan terakhir yang juga merupakan kemuncak segala ujian dan dugaan bermakna tiket untuk menuntut di bumi sakura itu sudah pasti dalam genggaman.

Namun begitu kejayaan sebenarnya datang dengan izin Allah. Jangan kita fikir segalanya tercapai kerana usaha kita semata-mata. Apa sahaja yang terjadi adalah ketentuan dari-Nya dan mungkin juga satu ujian-Nya untuk menilai sama ada kita tergolong dalam mereka yang tahu bersyukur.

"Ya-Allah! Kau permudahkan segala urusan kami, terangkanlah hati-hati kami...." Mokhzani Mokhtar, ketua batch kami mengetuai pembacaan doa hari itu. Aku dan teman-teman lain menadah tangan. Moga-moga doa kami diperkenankan oleh-Nya. Amin...

Hari pertama dilalui dengan penuh debar. Begitu juga dengan hari-hari yang seterusnya. Harapan kami cuma satu.... mahu lulus dengan cemerlang! Bahasa Jepun sahaja terbahagi kepada lima kertas yang berbeza yang mewakili lima kemahiran. Antaranya ialah bunpou dan sakubun. Yang lain-lain adalah Fizik, Kimia, Matematik dan Bahasa Inggeris. Semua tersebut dalam Bahasa Jepun kecuali Bahasa Inggeris.

Dalam masa tiga hari segalanya berakhir. Berjayakah aku? Sebagai manusia, aku hanya mampu berusaha dan selebihnya bertawakkal. Hanya Allah sahaja yang berhak menentukan sama ada layak atau tidak menerimanya. Kegagalan atau kejayaan. Yang mana satu bakal jadi milikku?

"Mak! Kak Ngah lulus, mak! Kak Ngah boleh pergi Jepun!" Aku menjerit keriangan mengkhabar berita gembira tersebut sebaik sahaja keputusan diumumkan.

"Alhamdulillah... Mak dah agak dah mesti boleh punya."

"Berkat doa mak dengan ayah juga..." Di mata sudah terbayang pohon sakura yang pelbagai warna. Mengikut perkiraan, kami akan tiba di negeri matahari terbit itu waktu bunga sakura seadng berkembang. Pasti menarik! Makan-makan bersama para senior di bawah pohon sakura seperti kebiasaan bagi masyarakat Jepun.

Setelah puas berbual dengan mak, aku bercadang untuk menelefon Kaduk pula. Mesti temanku itu gembira bila mendapat tahu hal ini nanti. Namun jawapannya hampa, telefonnya dimatikan. Aku mencuba menghubungi rumahnya di Bangsar. Senyap sahaja. Cubaan terakhirku, Dar al-Noor di Lembah Beringin. Senyap juga. Ke mana perginya orang dalam rumah itu? Kak Maya pun tiada. Takkan Auntie Sufiah out-station sekali lagi.

Aku bermalas-malasan di atas katil. Telefon bimbit masih di tangan. Aku menghantar sms kepada teman-teman rapat sewaktu di SERATAS dulu. Masing-masing mengucapkan tahniah di atas kejayaanku. Aku tersenyum sendiri.

"Jom pergi Mid Valley!" Tiba-tiba Asyikin bersuara, menepuk pahaku. Terkejut aku dibuatnya. Terus aku bangkit dari perbaringan, berfikir sejenak. Lama juga tidak ke sana. Maklum sahajalah sepanjang tiga minggu yang lalu masaku telah dihabiskan di hospital dan selebihnya di kelas atau bilik mengulangkaji pelajaran. Apa salahnya bersukaria sebentar, bukan!

Selesai sahaja menunaikan solat maghrib, perut sudah memalu gendang minta diisi. Kami naik ke tingkat paling atas untuk menjamu selera di Food Court. Dari jauh terpandang susuk tubuh yang amat kukenali, tidak ubah seperti Kaduk. Mungkinkah dia?

Orang itu perasan aku sedang mengamatinya. Dia menggamit aku. Sah Kaduk! Aku jadi serba salah. Dia bersama dengan siapa agaknya hinggakan telefon bimbit pun dimatikan.

Aku melangkah menghampirinya yang sedang berbaris membeli makanan.

"Seorang je ke?"

Dia menggeleng.

"Kenalkan adik kembar arwah Ain, Nur Jannatul Na'wa." Dia memperkenalkan gadis yang berdiri di hadapannya. Gadis itu menoleh apabila namanya disebut.

Aku memandang wajah itu tanpa berkelip, tergamam seketika. Sudahlah wajahnya seiras, penampilannya juga sama seperti arwah Ain. Mengapa aku tidak pernah diberitahu Ain punya saudara kembar? Kenapa mesti sekarang dia muncul? Kenapa?

"Boleh panggil saya, Wawa," ucap gadis itu sambil menghulurkan salam. Langsung memeluk tubuhku erat seperti kenalan lama.

Aku tersentak, membalas pelukannya itu walaupun hati ini diasak pelbagai persoalan yang tiada noktahnya. Ah! Cemburukah aku?

"Syah... Nurul Akasyah," ucapku separuh berbisik.

Aku memandang Kaduk sekilas. Apakah makna semuanya ini?

"Haa... Kaduk dating ya." Wawa sudah merona kemerahan mendengar usikanku itu lalu bertukar-tukar pandangan dengan Kaduk. Asyikin pula menjeling merpati dua sejoli itu sambil tersengih panjang.

"Mana ada," balas Kaduk bersahaja. Boleh percaya ke ni? soalku dalam hati.

"Family Wawa pun ada sama. Itu... " Jarinya menuding ke arah satu sudut. Aku turut memandang kemudian menangguk perlahan. Keluar makan dengan Wawa sekeluarga rupanya.

"Kami beransur dulu. Lagipun ni... tak habis berbunyi dari tadi," ujarku sambil mengusap perut. Asyikin di sebelah pun sudah kelihatan gelisah. Asyik merenung pengunjung yang menatang makanan. Wawa yang berlalu dengan menatang dua pinggan mee claypot sempat berbalas pandangan dengan Kaduk. Penuh makna. Aku cuma menjadi saksi kemesraan mereka. Tidak mustahil cinta Carl Duke Adam beralih pada Nur Jannatul Na`wa. Tiada beza antara arwah dan adik kembarnya ini, telahan aku.

"Jomlah makan sama," pelawa Kaduk.

"Tak apalah. Dah ramai tu... mana ada tempat lagi." Aku sekali lagi menghalakan pandangan kepada Wawa sekeluarga sedang menjenguk ke arah kami sejak dari tadi. Mungkin menanti jejaka di hadapanku ini untuk makan bersama.

"Kalau dah kata begitu, nak buat macam mana," katanya seolah jauh hati.

"Aku ada sesuatu nak beritahu kau. Malam nanti aku call." Kaduk mengangkat kening.

"Rasanya macam tahu saja apa yang kau nak beritahu,"kata Kaduk sambil mengurut janggutnya yang sejemput.

Aku memerhatikan diri lelaki idaman Malaya itu. Rambutnya yang panjang hampir mencecah bahu sudah dipotong kemas seperti dahulu. Teringat kata-kataku dalam pertemuan kami di rumahnya minggu lalu. "Kau ni simpan rambut panjang nak bersaing dengan aku ke?" Aku tersenyum sendiri mengenangkan yang dia hanya menjuihkan bibir bila mendengar sindiranku itu. Membalasnya jauh sekali.

"Kau dapat pergi Jepun kan. Tahniah untuk kau orang berdua." Aku tersentak dari lamunan.

"Terima kasih," jawab aku dan Asyikin serentak.


Bab 29

"Andai tiba suatu ketika kita tidak dapat bersama, kenangilah daku di singgahsana hatimu kerna jiwaku jua akan bersemayam di situ."

Carl Duke Adam membaca catatan terakhir yang ditulis oleh arwah Ain sehari sebelum kemalangan setahun yang lepas berlaku. Saban hari diari merah jambu milik arwah dibeleknya tanpa rasa jemu. Diari itu diterimanya sewaktu kenduri tahlil arwah setahun yang lalu. Tiap kali membacanya dia disambar rasa sedih yang masih bersisa. Mana mungkin kasih yang disemai dan dibaja hampir sedekad lalu hendak dilupa dalam sekelip mata. Lagu rindu mengalun di segenap sudut sanubari. Menyingkap kembali jendela kenangan semusim nan lalu, mengundang kemanisan zaman remaja. Perkenalan yang diaturkan oleh kedua orang tua membawa kepada satu ikatan cinta yang suci tetapi berakhir dengan satu tragedi yang cukup menyayat hati.

"Kenapa cakap begitu pada Akasyah? Adam mahu ubah dia jadi Ain?" Soalan mama menyentap tangkai hatinya. Selepas berbual dengan Akasyah di taman tempoh hari, terus dia dipanggil ke bilik bacaan. Rupa-rupanya mama terdengar butiran perbualan mereka berdua.

"Cara Adam layan Syah dah berubah. Bukan lagi usik-mengusik macam dulu. Lain benar mama tengok. Tak ubah macam... Adam layan arwah Ain." Kata mama mati di situ. Ada linangan air mata bila menyebut nama gadis pujaan hatinya itu.

Adam diulit pilu. Namun dia tidak menafikan kebenarannya. Malahan itu jua yang dikatakan oleh Akasyah padanya pagi itu.

"Kau dah lain sejak pulang dari UK ni. Aku tahu sekarang kau duduk serumah dengan Mar Iskandar tapi....terus-terang aku katakan yang aku lebih suka diri kau yang dulu."

Aku berubah kerana aku terlalu mengambil berat tentang diri kau, Nurul Akasyah. Jika kau mengetahui betapa pilunya hatiku bila melihat sekujur tubuhmu terlantar di hospital, kau akan mengerti. Waktu itu sudah terbayang di mataku tragedi setahun lalu akan berulang kembali. Namun Tuhan masih memanjangkan usiamu. Syukur! Dan ketahuilah, aku berjanji tidak akan membiarkan kau terumbang-ambing mencari identiti diri. Aku mahu jadi kawan yang terbaik, mahu membimbing dirimu selagi nyawa di kandung badan. Sebagaimana Ain kubimbing supaya menjadi wanita berakhlak terpuji, begitu juga dengan dirimu. Bukankah kau juga yang mengatakan aku ini mentari yang membakar semangatmu. Semangat itulah yang ingin aku kongsi bersamamu. Kerana kau juga mentari di jiwaku! Hati Adam berkata-kata.

Semalam mama secara tiba-tiba menyatakan hasratnya ingin menjodohkan dia dengan Nur Jannatul Na`wa. Cakap-cakap mama menjerut Adam. Wawa yang sedang bercuti dari pengajiannya di Australia sudah beberapa kali bertandang ke Dar al-Noor di Lembah Beringin bersama-sama keluarganya. Mamalah insan yang paling gembira. Wawa dipeluk dan dikucupnya bertalu-talu. Pastinya wajah itu mengingatkannya pada arwah Ain. Selalunya Ain seorang sahaja yang datang ke rumah kami kerana dengar ceritanya Wawa lebih suka menghabiskan masa senggangnya di kampung bersama datuk dan nenek yang menjaganya sejak dari kecil.

Setelah pemergian Ain ke rahmatullah, Wawa pula yang muncul di dalam episod hidup Adam. Kali terakhir dia bertemu dengan kedua-dua kembar itu serentak pun sewaktu masing-masing masih di sekolah rendah. Selepas itu dia hanya mengenali Ain. Manakala Wawa pula hanya dikenali melalui cerita Ain. Setelah sekian lama, dia bersua empat mata dengan Wawa sewaktu kenduri tahlil arwah Ain. Hampir dia pengsan kerana terlalu terkejut apabila Wawa datang menegurnya. Kemudian baru dia teringat Ain punya kembar seiras.

Memikirkan kata-kata mama semalam Adam jadi pening. Dirinya sendiri belum bersedia mengikat pertunangan dengan sesiapa. Lagipun, mungkin Wawa sudah ada pilihan hatinya di sana. Adam mencapai bingkai gambar dia bersama Ain yang diambil semasa majlis sambutan hari lahir Aleidia tiga tahun lepas. Gambar itu direnungnya dalam-dalam.

"Ain... Adam rindu. Rindu sangat..."


Episod 37: Ku Bahagia

Kaduk nak ditunangkan dengan Wawa?

Aku terkejut mendengar gosip panas itu dari mulut Auntie Sufiah. Hajatku ingin berbual dengan anak terunanya itu mati begitu sahaja. Adakah itu sebabnya dia semakin jarang berada di rumah? Telefon bimbitnya juga dimatikan. Aku makin musykil dengan tindakannya sejak akhir-akhir ini. Seperti melarikan diri daripada aku. Adakah dia sudah bosan dengan aku? Ah! Dia sudah punya teman baru yang seribu kali lebih baik daripada aku. Biarlah...

"Auntie berkenan benar dengan si Wawa tu. Baik budaknya. Tak ubah seperti kakak kembarnya, Ain. Tapi Adam pula macam tak setuju. Dia diam aja bila auntie cakap pasal ni." Ada harapan yang tersirat di sudut hati ibu beranak empat itu. Harapan seorang ibu yang inginkan kebahagiaan anaknya.

Aku seperti biasa hanya mampu menjadi pendengar yang setia. Berbahagialah temanku beristerikan wanita sebaik Nur Jannatul Na`wa. Tetapi apabila Kaduk hanya diam membisu, tandanya dia tidak setuju. Persahabatan selama hampir lima tahun memasakkan aku dengan perangainya yang satu itu.

"Syah boleh tolong auntie tak?" soal auntie tiba-tiba.

"Tolong? Tolong apa, auntie?" Auntie memberi penjelasan satu-persatu. Aku terpinga-pinga mendengar permintaannya itu. Mampukah aku melaksanakannya?

Baru sebentar tadi aku mendapat kiriman sms dari Kaduk. Katanya ingin menemui aku di kafe kolej sekarang juga. Apa mimpinya datang melawat aku malam-malam buta begini? Bila aku mencarinya, dia matikan telefon bimbit. Jam loceng di atas meja study sudah menunjukkan angka sebelas. Hendak menolak aku serba salah. Mungkin ada hal penting yang ingin beritahu. Boleh jadi soal pertunangannya dengan Wawa.

Lalu aku memilih untuk meredah kesejukan malam itu menapak ke kafe yang tidak berapa jauh dari blok asramaku. Kedinginan menggigit hingga ke tulang sumsum. Sweater yang membalut tubuh kupeluk erat. Sampai sahaja di kawasan kafe aku lihat dia sudah sedia menanti.


Episod 38: Aku Cinta Kau Dan Dia
KLIA, Sepang
Malam ini sekali lagi aku berkunjung ke sini dengan tujuan yang sama seperti tahun lepas. Aku sekali lagi menemani Kaduk yang akan berangkat semula ke UK untuk memulakan semester baru di sana. Sesungguhnya aku sangat terharu kerana kesanggupannya terbang nun jauh dari UK ke Kuala Lumpur semata-mata kerana diriku. Semua ini berpunca dari insiden di Tasik Varsiti ketika berkayak bersama Firdaus. Bila terkenang semula peristiwa yang berlaku, satu perasaan aneh kerap kurasakan. Rasanya perasaan itu pernah ku alami semasa hati ini tertawan pada Mar Iskandar. Tetapi anehnya hati ini, kerana perasaan itu dapat ku rasakan ketika bersama temanku yang satu ini.

"Syah, aku sekali lagi minta maaf kat kau sebab aku tak dapat pulang pada hari keberangkatan kau ke Jepun nanti," ucap Kaduk lantas mematikan lamunanku sebentar tadi. Aku tersenyum.
"Takpa Kaduk... walaupun kau tak ada masa hari aku terbang ke bumi sakura nanti, kau sentiasa berada dalam hati aku kan?" aku lantas menjawab sambil menghadiahkan senyuman buat temanku itu. Saat itu Kaduk merenung tajam wajahku. Aku berasa serba salah kerana telah menimbulkan suasana yang kurang menceriakan. Lantas kesunyian kembali menyelubungi kami.
Sesungguhnya temanku, jika kau tahu apa yang tersirat di hatiku ini pasti kau mengerti mengapa ku luahkan kata-kata tadi.
"Bila kau sampai di Jepun nanti, jangan lupa kirimkan berita kat aku, ya? Kau pun tak tahu lagi kan di mana kau akan ditempatkan di sana, kan?" tanya Kaduk.
"Insya Allah, aku akan beritahu kau alamat aku nanti ya. Mana mungkin aku tak kirim berita kat kau... Siapa yang nak menghiburkan aku selain kau???" jawabku. Lantas Kaduk tersenyum. Alangkah kacak dirinya waktu itu. Pasti aku akan kerinduan kelak.
"Syah, mari kita bergambar...." pelawanya sembil menarik aku berdiri di sebelahnya. Serta-merta tangkai hatiku tersentap dengan tindakan Kaduk itu. Dapat ku rasakan hatiku berdebar sangat kuat saat itu. Sungguh peristiwa aku berada dalam dakapannya tersiar di ruang mindaku. Betapa kelunya aku dan dia saat ketika itu...
Kedengaran di ruang berlepas pengumuman keberangkatan pesawar MH 1311 ke London. Bererti saat perpisahanku bersama Kaduk semakin hampir. Rasa sedih menyelubungi hatiku. Teman, sesungguhnya aku akan merindumu....

Sabtu, 13 Mac 2002
Sesungguhnya aku bersyukur ke hadrat Illahi kerana-Nya aku berjaya menempatkan diri ke Jepun. Tidak kusangka angan-angan masa kecil untuk melihat bunga Sakura berkembang bakal menjadi kenyataan. Terima kasih ku ucapkan buat keluarga dan teman-teman terutamanya Kaduk yang tidak jemu membakar semangatku untuk melayakkan diri ke Jepun. Sesungguhnya tanpa mereka aku mungkin tiada kekuatan untuk mengharungi kehidupan dengan tabah semasa bergelar pelajar ketika di Ambang Asuhan Jepun, Univerisiti Malaya.
Suasana sedih menyelubungi balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA ini. Baru semalam aku rasakan aku mengiringi pemergian Kaduk ke Uk. Tetapi kali ini berbeza, aku bakal meninggalkan tanah air mengikut jejak temanku, Kaduk dan Mar Iskandar menimba ilmu di negara orang. Destinasiku ialah bandar bersejarah Hiroshima.
Masih terngiang-ngiang di telingaku nasihat dari ayah dan mak. "Syah ingat... bila sampai sana nanti pelihara solat, akhlak budi yang sopan," pesan ayah dan baru rasanya aku mendengar pesanan yang sama ketika mula-mula menjejakkan kaki di SERATAS dulu.
Tidak ketinggalan juga pesanan dari ibu teman baikku. Siapa lagi kalau bukan ibu Kaduk. "Kalau sampai sana nanti, jangan lupakan auntie di sini. Syah dah auntie anggap macam keluarga auntie sendiri. Jaga diri sepanjang berada di sana ya...." Dapat kulihat dengan jelas tubir matanya digenangi air.
Insya-Allah ayah, mak, auntie dan semua. Akan ku pegang segala pesanan-pesanan kalian. Sesungguhnya menuntut ilmu memerlukan pengorbanan yang tinggi. Jauh dari keluarga dan juga teman-teman, bisik hatiku sendiri.
Sekali lagi ku ucapkan setinggi-tinggi syukurku kepada Illahi kerana dengan izin-Nya aku selamat tiba di bumi sakura ini. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa gembiranya hati ini. Ketibaan kumpulan pelajar di bawah program Ambang Asuhan Jepun UM ini disambut oleh pegawai kedutaan Malaysia di Tokyo.
Di Jepun, Asyikin roommate ketika aku di UM dulu masih kekal statusnya sebagai roommate kepada tuan puteri Nurul Akasyah Othman ini. Perasaan sungguh aku ni. Bila masa entah mendapat title puteri ni?
Disebabkan unversiti kami tidak menyediakan tempat tinggal, lalu kami berdua menyewa sebuah rumah ala-ala cottage di pinggir bandar Tokyo ini. Perjalanan dari sini ke universiti kami hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja.
"Syah, kat mana aku nak letak beg kau ni?" laung Asyikin dari dalam bilik.
"Letak jer beg aku kat hall depan... Kan kau kata nak mop bilik tu dulu kan sebelum kemas apa-apa..." jawabku kembali. Dalam rumah yang kami sewa ini ada lagi dua orang pelajar di bawah tajaan MARA yang sama universiti dengan kami.
Malam itu aku bercadang menghubungi keluargaku di Malaysia selain menghubungi Kaduk juga. Nampaknya kena malam ini aku keluar menapak ke tempat membuat panggilan antarabangsa. Alhamdulillah kerana dapat juga berbual dengan kedua orang tuaku. Tidak jemu-jemu mereka memberiku pesanan. Terima kasih ayah dan mak. Akan Kak Ngah hadiahkan segulung ijazah buat kalian. Kemudian aku hubungi pula teman baikku yang jauh di Kota London itu.
"Assalamualaikum, boleh bercakap dengan Carl Duke Adam?"
"Waalaikumussalam, ini Carl Duke Adam bercakap. Siapa di sana?" Kedengaran suara yang kurindui menjawab salamku sebentar tadi.
"Kaduk, ni Syah la... Takkan tak kenal suara aku lagi. Aku dah selamat tiba di Tokyo ni. Kau apa khabar?" tanyaku lagi.
"Aku... Alhamdulillah sihat. Syah, kau call aku ni tak mahal ke? Kau apa khabar? Apa alamat kau kat sana? Apa contact number kau? Kalau rindu senang aku nak call kau..." Kedengaran suara ceria Kaduk di samping bertubi-tubi soalan yang diajukan kepadaku.
Lantas aku memberikan segala maklumat yang diminta oleh Kaduk. Selepas itu, kami berbual sekejap sahaja. Maklumlah caj panggilan yang dikenakan memang cekik darah. Di akhir perbualan, Kaduk masih lagi memberikan kata-kata semangat dan perangsang buat pedomanku di sini. Selain itu turut diselitkan usikan-usikan seperti kami berada di SERATAS dulu. Tetapi usikannya kali ini banyak diselitkan kata-kata rindu. Sungguh kau buatku semakin keliru, teman!
Tidak kusangka Syah yang menghubungiku sebentar tadi. Rasa macam tak percaya saja. Rindu sungguh aku pada Nurul Akasyah, si gadis yang manis itu. Saat itu di radio berputar lagu kegemaran aku sejak akhir-akhir ini, oleh 3 Doors Down, Here Without You.
A hundred days have made me older
Since the last time that I saw your pretty face.
A thousand lies have made me colder
And I don`t think I can look at this the same.
All the miles that separate
Disappear now when I`m dreaming` of your face.
I`m here without you baby
But you`re still on my lonely mind.
I think about you baby and I dream about you all the time.
I`m here without you baby
But you`re stull with me in my dreams
And tonight, it`s only you and me.
The miles just keep rolling
As the people leave their way to say helli
I`ve heard this life is overrated
But I hope that this gets better as we go.
Everything I know, and anywhere I go.

It gets hard but it want take away my love.
And when the last one falls, when it`s all said and done.
It gets hard but it want take away my love.
Lirik lagu itu bagai mempunyai persamaan dengan apa yang dirasai oleh perasaanya buat masa ini. Lantas dia teringat dengan rancangan mamanya yang ingin menjodohkannya dengan kembar arwah Ain, Wawa.. Terus-terang diluahkan kepada mamanya bahawa hatinya masih teringat juga pada Ain. Sungguh saat ini aku merindui kehadiranmu, Ain!! Hati Kaduk menjerit.
Teringat juga pada pertemuan terakhirnya bersama Akasyah. Sebenarnya ada perkara yang hendak dikatakan pada teman baiknya itu. Tetapi bagai ada kuasa yang menghalangnya berbuat demikian. Hingga kini masih lagi disimpannya pesanan ringkas Akasyah pada malam pertemuan mereka.

Dua, tiga boleh kucari,
Manakan sama Encik Adam seorang.
Bila teringat saat mesej itu dibuka, sungguh hatinya berbunga riang. Perasaan yang dirasakannya sama seperti yang dialaminya ketika bersama Nur Jannatul Adnain dulu. Sehinggakan mamanya juga perasan akan perubahan bagaimana dia melayan Syah semasa dia berkunjung ke rumah tidak lama dulu. Sungguh hati ini semakin keliru!

Episod 38: Rahsia Cinta
"Hey! Tunggulah kita orang!" Jeritku pada Aidid dan Firdaus yang sudah jauh di hadapan. Namun launganku itu langsung tidak diendahkan oleh mereka. Malah makin laju mereka memecut meninggalkan aku dan Asyikin di belakang.
Aku tercungap-cungap mengayuh basikal mendaki jalan yang agak berbukit di hadapan Kolej Pertama. Penat. Inilah bahananya kurang bersenam. Belum apa-apa sudah pancit. Asyikin yang berada di belakangku juga sedang mengayuh dalam kepayahan.
Kami berdua sampai juga di dalam kawasan Tasik Varsiti. Kami datang menyertai Firdaus dan Aidid yang sudah melabuh diri di atas kawasan berumput. Semuanya duduk mengadap tasik. Selepas beberapa ketika Firdaus bangkit dan duduk di sebelahku.
"Kawan kau tu. Apa namanya?" Dia berkerut dahi memikirkan sesuatu. Tangan kanannya bermain dengan dagu yang licin. Nampak seperti baru lepas dicukur. "Haa... Carl Duke Adam."
"Kenapa dengan dia?" soalku pantas.
"Kau orang berdua ada apa-apa ke?"

"Maksud kau?"

"Kau bakal jadi duta kecil Malaysia ke Jepun. Takkan benda semudah itu kau tak mengerti." Dia menyindir.

Aku berfikir sejenak. "He`s my best friend," kataku dengan penuh yakin.

"Dan...?"

"Dan, itu saja. Sekian, terima kasih."

Firdaus ketawa kelucuan. Wajah kuning langsatnya merona kemerahan. "Dia belajar di Imperial College, London. Kejuruteraan mekanikal, kan. Very nice guy," ujar Firdaus selepas tawanya reda. Aku mengiyakan kata-katanya.

"Akhirnya dapat juga jumpa dia. Sebelum ni nampak dia dari jauh je."

"Maknanya kau dah lama kenal dia?"

"Haah. Kebetulan girlfriend dia dulu sepupu aku, anak kepada Mak Ngah aku. Selalu juga nampak dia kalau ada kenduri di rumah Ain. Wawa, adik kembar Ain tu pula rapat dengan aku. Dia selalu sebut-sebut nama Adam. Agaknya dia pun suka pada kawan kau tu..."

"Ohh..."

"Kalau adik-beradik kembar tu bukan sepupu aku, dah lama aku hantar rombongan meminang," ujar lelaki itu sambil tersengih panjang. Dia diam seketika.

"Agak sayang kalau lelaki yang begitu baik hanya jadi kawan saja. Dah alang-alang rapat tu..."

Aku menggeleng. "Mak aku pesan supaya jangan pilih lelaki kacak atau kaya sebagai suami. Kaduk... dia ada kedua-duanya sekali. Lagipun aku rasa orang macam dia akan cari orang macam Ain. Yang perfect."

"Kau takkan dapat cari seorang pun yang sempurna atas muka bumi ni. Tak ada... Setiap orang ada kelemahan masing-masing. Adam contohnya... semua orang nampak dia as a perfect person. Baik dari segi rohani dan jasmani. Tapi sebenarnya dia juga punya kelemahan. Cuma kita tak nampak kelemahan dia. Kita jatuh cinta bukan sebab berjumpa dengan orang yang sempurna tetapi setelah kita belajar menerima segala yang ada pada diri dia. We come to love not by finding a perfect person, but by learning to see an imperfect person perfectly."

"Dan pada Adam, aku rasa dia nampak kesempurnaan pada diri kau." Aku terkasima. Apa maksudnya berkata demikian. "Paling penting, kau harus yakin dengan diri sendiri. Kualiti yang ada pada diri sendiri. Cari kualiti-kualiti baik yang ada pada diri kau sendiri. Kau tak perlu jadi orang lain. You cannot become what you want by remaining who you are."

Aku mendongak ke dada langit. Sayup nun jauh di sebalik awan-gemawan yang memutih, sebuah kapal terbang sedang melintasi ruang udara Tasik Varsiti. Membuatkan ingatanku terbang pada seseorang. Teman di kala suka dan duka. Dia akan pulang ke London malam ini. Pasti aku akan merindui hari-hari bersamanya. Terbayang kembali di ruang mata, waktu dia datang menghantar bubur yang dimasaknya sendiri. Manakan sama seribu lelaki yang kukenali dengan teman yang seorang itu.

"Itu... hero kau dah sampai," ujar Firdaus sambil menuding ke arah sesuatu.

Aku menoleh. Tergamam melihat Kaduk yang sedang berbual mesra dengan Asyikin dan Aidid. Kebetulan dia berpaling ke arahku. Pandangan kami bertemu. Entah mengapa rentak degupan jantungku menjadi kencang. Bibirnya perlahan-lahan mengukir senyuman. Merancakkan lagi debaran yang kurasai.

Dia mula mengatur langkah menghampiriku. Aku mula rasa tidak keruan. Dalam masa yang sama tidak sabar untuk menatap wajahnya dengan lebih dekat. Kenapa aku jadi begini? Takkan hanya kerana pantun empat kerat semalam perasaanku tidak lagi seperti dulu. Firdaus berdiri menyambut huluran salam Kaduk. Kemudian dia berlalu menyertai Asyikin dan Aidid. Aku ditinggalkanya sendirian dengan Kaduk.

"Tidur nyenyak malam tadi?" soalnya sambil menjeling ke arahku.

Aku mengangguk. Bohong! Padahal selepas Subuh baru aku mampu melelapkan mata.

"Betul ni?" tanyanya lagi meminta kepastian. "Sebab aku susah nak tidur malam tadi." Dia mengusap lehernya. Dalam diam, aku mencuri pandang wajahnya yang kelihatan malu-malu kucing.

"Ye ke?" soalku pula.

Dia merenungku. Aku segera melarikan pandangan ke Tasik Varsiti. Kenapa hari ini renungannya itu bisa membuai perasaan?

"Mesti sebab kau berat hati nak tinggalkan Malaysia. Sebab tu susah nak tidur."

"Mungkin juga..."

Apa maksud dia dengan 'mungkin juga'? Hatiku makin tertanya-tanya. Mungkinkah ada sebab selain dari itu? Aku melihat dia dari ekor mata. Entah berapa kali dia mencuri pandang. Keadaan menjadi sepi. Masing-masing diam membisu.

Kebisuan ini sungguh menyiksakan. Dia seperti merahsiakan sesuatu. Ada perkara yang cuba diselindunginya. Dari sinar matanya aku dapat rasakan dia cuba menyampaikan sesuatu. Katakanlah sesuatu, teman! Kerana aku tidak bisa menafsirkan renunganmu itu.

Bibirnya bergerak-gerak, berkumat-kamit. Aku menanti dengan penuh debaran. Tetapi ia yang berlaku adalah yang sebaliknya.

"Rasanya aku patut pulang sekarang."

Aku hanya mampu mengangguk. Carl Duke Adam, antara kita kini bagaikan ada rahsia...
Episod 39: Rindu Seorang Teman
"Awak ada masalah?" Yamada Sensei mengajukan soalan tersebut kepadaku. "Bagaimana dengan cara pengajaran saya? Adakah ia terlalu sukar untuk difahami?"
Aku tunduk merenung meja. Tidak tahu jawapan yang bagaimana yang harus dilontarkan. Berkecamuk fikiranku saat ini.
"Ujian minggu lepas... hampir kesemua pelajar lain dapat menjawab dengan baik kecuali awak." Dia menarik keluar sekeping kertas lalu diletakkan di hadapanku. "Awak pelajar tajaan negara. Sepatutnya prestasi yang cemerlang awak tunjukkan. Bukannya ini..." Dia menuding kertas jawapan milikku.
Sepuluh markah, desis hatiku. Keputusan yang sebegitu bukanlah sesuatu yang pelik sejak aku datang ke Jepun ini. Malah aku pernah dapat lebih teruk daripada itu.
Aku keluar dari bilik sensei dengan langkah yang berat. Rasa bebanan makin bertambah di kepala. Sungguh menyesakkan. Aku mengambil nafas panjang. Cuba tenangkan jiwa seketika.
Sebelum aku tiba di Jepun, aku pernah memperoleh markah yang paling teruk dalam sejarah akademikku. Dua puluh markah untuk ujian bulan Ogos subjek kegemaranku, Teknologi Kejuruteraan.
"Kalau awak mahu kertas jawapan awak, datang ambil di bilik saya," kata Cikgu Sulaiman.
Aku terkedu sendiri. Mesti ada yang tidak kena, fikirku. Waktu prep petang itu aku kuatkan semangat melaporkan diri ke bilik guru Teknologi Kejuruteraan dan Lukisan Kejuruteraan yang letaknya bersebelahan dengan kantin sekolah.
"Selalunya awak dapat A1 atau A2 dalam ujian. Tapi kali ini..." Dia menggelengkan kepala. "Ada apa-apa masalah?"
"Saya tak faham apa yang cikgu ajar," jawabku sejujurnya.
"Kenapa tak beritahu dari awal?"
Aku hanya diam membisu. Memang salahku. Waktu cikgu mengajar di depan, aku sibuk berangan. Melakar strategi untuk menghadapi pihak lawan.
"Awak ada pakwe?"
Mataku membuntang. Biar benar! Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku mengangguk dan menjawab, "Mar Iskandar." Tetapi teringat pesanan ustazah, tidak baik membuat fitnah. Aku segera menggeleng.
"Kalau ada, boleh saya suruh dia ajar awak."
Kata-kata cikgu berumur lingkungan 40an itu membuat aku terharu. Hampir mengalir air mataku ini. Di mana hendak kucari guru sebaik Cikgu Sulaiman? Hanya di SERATAS. Antara salah satu sebab aku cukup sayang sekolah yang satu itu.
"Kaduk."
Aku sempat menahannya yang sedang menuruni tangga. Dia berhenti dan berpaling.
"Sibuk tak petang ni?" Aku menyoal.
"Kenapa?"
"Nak minta ajar bab pneumatik dan hidraulik. Boleh?"
"Pukul lima di kelas kau?"
Aku mengangguk. Mudah berurusan dengan dia. Tidak perlu bersoal jawab panjang lebar. Dan, seperti yang dijanjikan, dia datang tepat pada masanya dengan membawa buku teks. Dengan memegang kapur di tangan, dia mula menconteng papan hitam. Menerangkan dari perkara yang asas seperti fungsi-fungsi injap sehinggalah kepada penyelesaian litar. Dalam masa satu jam, aku sudah boleh memahami perkara yang dipelajari hampir berbulan lamanya.
Dan sebagai buktinya, aku berjaya memperolehi 72 markah dalam satu lagi ujian topik tersebut. Waktu riadah petang aku mencarinya di kelas 5 Alfa. Mahu menayang markah yang kuperoleh. Dia tersenyum. Bila aku bertanyakan markahnya pula, dia menyerahkan kertas jawapannya.
"Wah! 96 markah..." Ucapku girang. Dan, 'Tok Guru'ku itu tersenyum bangga mendengar pujian anak didiknya.
Rindunya pada zaman persekolahan. Kerana waktu itu aku sentiasa ada dia. Aku tahu dia tidak memerlukan seorang kawan yang tidak berapa bijak seperti ku. Sebaliknya, aku yang sentiasa memerlukan teman yang bijak pandai dan tidak lokek berkongsi ilmu sepertinya. Alangkah bagusnya andai dia juga berada di bumi sakura ini....

"Syah san, tunggu sebentar."
Aku segera menoleh. Dari jauh kelihatan Kimura, teman sekuliah datang menghampiri dengan berlari-lari anak. Aku memberhentikan langkah betul-betul di hadapan pintu masuk ke perpustakaan. Lama juga aku mengelamun tadi.
"Kenapa?" Aku merenung lelaki yang berasal dari Ibaraki itu. Dia tergopoh-gapah mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya.
"Aku mahu pulangkan nota kamu." Dia menyerahkan sebuah buku latihan nipis berwarna biru. "Terlupa pulangkan masa kuliah tadi. Maaf ya..."
"Tak apa. Aku sendiri lupa memintanya dari kamu tadi."
"Mahu ke perpustakaan?" soalnya. Sesekali dia memandang jam di tangannya. Wajahnya agak cemas. Mungkin mengejar masa.
Aku mengangguk.
"Aku pergi dahulu. Sudah berjanji dengan senior mahu makan sama. Ini pun sudah agak lewat. Jumpa lagi minggu depan," ujarnya lalu mula mengatur langkah.
Selesai sahaja meminjam beberapa buah buku rujukan, aku terus bergerak ke eki. Perjalanan dari kolej ke rumah sewaku mengambil masa hampir 40 minit. Seperti pergi ke Ipoh dari pekan Kampar dengan bas Kinta!
Sampai di rumah, aku menjenguk peti surat seperti biasa. Dalam banyak-banyak pamplet yang sumbat dalam peti suratku terselit sekeping poskad yang berlatar belakangkan pemandangan kawasan pendalaman di negara Eropah. Aku mencari nama pengirinya di bahagian bawah poskad tersebut.
C.D.A
Bibirku melakar senyuman. Sekurang-kurangnya poskad ini mampu jadi pengubat kegelisahan yang makin beraja di hati.
Sejak Kaduk berkelana di benua Eropah itu, hampir setiap bulan aku akan mendapat kiriman poskad. Dan, ianya berterusan sehingga ke saat ini. Sebagai balasan, aku akan mengirimkan poskad dari bumi sakura ini.
Sudah setahun aku mendiami dunia yang serba asing ini. Dalam tempoh ini juga hubungan antara aku dan Carl Duke Adam makin intim, makin rapat. Dalam diam terbit suatu perasaan aneh mula dalam diri ini. Perasaan yang tidak bisa aku leraikan dengan kata-kata. Adakah ini yang dinamakan cinta? Cinta yang lahir antara dua sahabat. Walaupun tiada lafaz cinta yang terungkap di bibir masing-masing, namun keindahannya dapat kurasai.
Ah! Mungkin segala perlakuannya itu atas dasar persahabatan kami. Dia hanya mengambil berat. Mungkin aku sahaja yang merasai dan mengalaminya. Aku biarkan sahaja diri bermain dengan teka-teki yang bagai tiada jawapannya ini.
Dan seperti biasa, malam ini adalah seperti malam-malam sebelumnya. Sendiri dalam kamar yang sepi. Aku jadi benci pada kesepian yang makin menyelubungi hidupku ini. Tetapi apakah dayaku. Aku sendiri yang membuat keputusan untuk datang ke bandar paling maju di dunia ini. Dalam kepasrahan, aku akur dengan ketentuan Tuhan. Mungkin akan ada manisnya. Cuma aku harus bersabar.
Episod 40: Pertemuan
"Di antara perkara yang membatalkan syahadah ialah mempercayai kepimpinan orang kafir dan munafiq. Dalam surah Al-Maidah ayat 57, firman Allah s.w.t yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpin kamu orang-orang yang menjadikan agama kamu ejekan dan mainan di kalangan orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir. Bertawakkallah kepada Allah jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman," kata akhi Ammir.
"Selain itu, Allah ada juga menyebut dalam surah An-Nisa' ayat 138 hingga 139. Beritahulah kepada orang-orang munafiq itu bahawa mereka akan mendapat siksa yang pedih, iaitu orang-orang yang mengambil orang kafir menjadi teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah dengan mereka mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kemuliaan itu kepunyaan Allah," sambungnya lagi.
"Dan sekali lagi Allah mengingatkan kita dalam surah Al-Imran ayat 28. Firman-Nya yang bermaksud: Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi Wali (pemimpin, pelindung, penolong, teman akrab) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barangsiapa yang berbuat demikian nescaya lepaslah ia dari Allah, kecuali kerana Taqiyyah (helah memelihara diri) dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa-Nya) dan hanya kepada Allah tempat kembali." Akhi Ammir berhenti seketika.
"Jelaslah bahawa ayat-ayat tersebut tidak membenarkan orang-orang yang beriman meredhai kepimpinan orang kafir menguasai negara Islam, tetapi kebenaran kerana memelihara diri tersebut hanya pada lahirnya sahaja dan sesungguhnya terbatallah syahadahnya kalau sekiranya hatinya redha walaupun keadaan takut. Menurut riwayat Ibn 'Abbas r.a bahawa Taqiyyah itu hanya pada lahirnya sahaja tetapi hatinya tidak redha."
"Oleh kerana masa tidak mengizinkan, ana akhiri pengisian kita untuk slot Aqidah setakat itu sahaja dulu. Ana serahkan majlis kepada tuan pengerusi..."
Mataku asyik memerhatikan Akhi Ammir. Dengar cerita, dia cukup popular di kalangan peserta muslimat. Rata-rata memuji kepetahannya berbicara. Orangnya tidaklah tampan tetapi sedap mata memandang. Di sebalik seraut wajahnya terselit ketenangan. Ternyata dia punya daya tarikan yang tersendiri. Apapun, renungan matanya mengingatkan aku pada seseorang.
Dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, kebetulan aku berjalan di belakangnya. Dia dan akhi Zainal rancak berbual di hadapan. Mataku masih terpaku padanya. Masya-Allah... Nakalnya mataku hari ini. Aku cuba larikan pandangan ke sebelah kananku sekarang. Lautan yang membiru terbentang luas. Seluas mata memandang. Cantik. Damai.
Winter Gathering anjuran satu persatuan pelajar Islam Malaysia membawa aku ke bumi Oita. Kawasan ini sangat terkenal dengan onsen atau dalam bahasa Melayu bermaksud kolam air panas. Pasti enak berendam panas-panas waktu sejuk begini. Dalam asyik melihat laut, mataku kembali mengarah pada si dia. Aduh! Agaknya ada magnet yang terlekat di tubuhnya. Bagai wujud satu tarikan pada dirinya.
Tiba-tiba langkahnya diperlahankan. Akhi Ammir berpaling memandangku. Segera kualihkan pandangan ke arah lain.
"SERATAS ya dulu?" Dia menyapa.
Aku tersentak. Terus memandangnya. Kepalaku cepat mengangguk.
"Adik ana pun ada di sana dulu," katanya lagi.
"Siapa?" soalku pantas. Hanya satu nama bermain di benakku. Mar...
"Mohd Ammar Iskandar. Kenal?"
Masakan lelaki di hadapanku sekarang adalah abang kepada Mar Iskandar? Abang Mar berada di Jepun? Bakal abang iparku berada di sini? Lantas aku teringat kata-kata Mar Iskandar suatu ketika dulu. "Kalau dalam keluarga saya, termasuk saya ini dua oranglah jadinya. Saudara-mara yang lain ada juga." Dua orang...
"Enti belajar di mana?" Pertanyaannya mematikan lamunanku.
"Tokyo Agriculture."
Dia mengangguk.
Aku ingin bertanya tapi bagaimana aku perlu membahasakan dirinya. Awak? Abang? Nampak mengada-ngada. Kali pertama bersua sudah kupanggil 'abang'. Saudara? Ah! Terlalu formal pula. Akhirnya aku memberi isyarat dengan kening. Harap dia mengerti.
"Ana di Universiti Hiroshima," ujar akhi Ammir sambil matanya merenungku tajam.
Jantungku berdegup kencang. Panahan matanya bagai menikam mata hatiku. Getaran yang sama. Sama seperti kali pertama bertemu empat mata dengan Mar Iskandar.
Mungkinkah segala-galanya akan bermula seperti waktu di zaman persekolahan? Mungkinkah dia akan menjadi faktor pendorong aku untuk cemerlang dalam akademik seperti yang terdahulu? Jika dahulu aku mahu tahap akademikku setaraf dengan Firdaus, Mar Iskandar dan Carl Duke Adam. Mereka ini aku jadikan sebagai kayu pengukur kejayaanku. Mungkin kali ini dia. Dia... Mohd Ammir Iskandar

Episod 41: Andai Sudah Suratan
"Siapa nak berikan point-point pengisian sepanjang hari ni?. Kita mula dari kuliah subuh..." Fasilitator kumpulan aku, Kak Huda memandang wajah kami satu-persatu. Matanya berhenti pada aku.
"Sakinah? Boleh terangkan pada kawan-kawan yang lain". Sakinah yang bersimpuh di sebelahku mengangkat muka.
Lega! Nasib baik bukan aku yang disoal. Kalau tidak mahu tergagap-gagap hendak menjawabnya. Aku bukannya dengar sangat kuliah subuh hari ini. Asyik terlelap sahaja. Agaknya masih kepenatan selepas berlari-larian di tepi pantai waktu riadah petang semalam.
Tiba-tiba lampu telefon bimbitku berkelip-kelip. Ada mesej agaknya. Aku mengambil kesempatan membeleknya. Canggih sungguh teknologi Jepun sehinggakan telefon bimbit boleh menerima kunjungan mel elektronik.
"Nurul Akasyah yang manis, mama masih mahu jodohkan aku dengan wawa. Hari ini dia call dan bertanya lagi. Aku jadi bingung. Dua-dua famili dah setuju. Sekarang mereka semua hanya tunggu keputusan aku. Kau pun tahu aku pulang ke UK dulu tanpa beri sebarang kata putus. Wawa memang baik tapi aku belum bersedia untuk menerima dia dalam hidup aku. Entahlah... Sebolehnya aku tak mahu mengecewakan harapan sesiapa terutama sekali harapan mama dan papa. Doakan supaya aku mendapat petunjuk dari-Nya. Jika sudah ditakdirkan dia jodohku, aku sedia menerimanya dengan hati yang terbuka."
Aku mengeluh dalam hati. Kalau mereka berdua sama-sama belajar di satu tempat, logik juga nak dijodohkan cepat-cepat. Dalam hal ini, keduanya terpisah antara benua. Kasihan dengan Kaduk yang di dalam dilema. Agaknya kenapa Auntie Sufiah bersungguh-sungguh benar sedangkan anaknya itu masih muda. Entah-entah dia sudah berjanji dengan ummi Wawa untuk berbesan. Harap mak aku tidak begitu.
Aku tidak segera membalas kerana Kak Huda sudah beberapa kali bermain mata denganku. Masalah Kaduk tadi aku biarkan sebentar. Tumpuan kembali pada perbincangan bersama ahli kumpulan yang lain. Masing-masing bersemangat. Aku cuba mencelah sekali-sekala.
Tiba-tiba terbayang wajah Kaduk yang bermuram durja. Hati ini jadi tidak senang. Teringat betapa sedihnya dia waktu memberitahuku perihal kematian Ain. Kemudian, sewaktu dia datang melawat selepas aku keluar dari hospital. Walaupun cuba berkelakuan biasa, namun air mukanya tidak dapat menipu perasaannya yang sebenar. Jelas dia risau yang amat sangat.
Waktu hendak berlayar ke alam mimpi, aku mengambil kesempatan membaca mesej yang terima sekali lagi. Butang 'reply' ditekan dan jari-jemari mula menaip. Cuba membalas seadanya.
"Carl Duke Adam yang baik, dirimu yang aku kenali hari ini cukup berbeza. Jika dulu hebat berhujah di atas pentas sehingga menggerunkan pihak lawan, hari ini semudah itu menyerahkan segalanya pada takdir. Mana perginya Carl Duke Adam yang dahulu? Kala hatinya meratapi pemergian permata hati, bibir masih mampu mengorak senyum. Kala jiwanya dihambat resah, tawa dan usikan silih berganti menceriakan suasana. Perkahwinan bukannya untuk sehari dua, jadi fikirkanlah sebaiknya. Jangan kerana mahu menyenangkan orang lain, diri sendiri merana. Dan, hanya pada Allah sebaik-baik tempat bergantung. Dia lebih mengetahui yang terbaik untuk hambanya."
Pintu bilik terbuka. Sesusuk tubuh tinggi lampai melangkah masuk. Aku meletakkan telefon di tepi bantal.
"Tak tidur lagi, Syah?" Kak Huda datang menyapa. Dia melabuhkan diri di tilam sebelah yang kebetulan kosong.
"Nak tidur lah ni," kataku sambil menarik selimut.
"Akak nampak malam ni Syah lain semacam. Masa LDK tadi pun asyik termenung. Jasad saja di sini, fikiran dah terbang entah ke mana," katanya cuba bergurau.
"Kalau ada masalah, ceritalah dengan akak. Mana tahu akak boleh tolong," sambungnya lagi.
"Ermm... tak ada apa-apalah kak."
"Betul ni?" Soalnya seolah-olah tidak percaya.
"Betul..." Aku meyakinkannya.
"Kalau bangun awal pagi esok, tolong kejutkan akak ya. Esok akak kena masak."
"Insya-Allah..." balasku.
Risau juga mengenangkan teman yang satu itu. Mudah-mudahan dia tabah dalam menghadapi ujian ini, pohonku dalam hati.
Episod 42: Relevankah Aku Di Hatimu?

Hari ini merupakan hari terakhir kami berada di Oita. Pagi ini bersarapan dengan cucur ikan bilis. Dalam cuaca dingin begini memang kena benar makan cucur yang panas. Rasa haba tersebar ke seluruh badan. Aku mengunyah dengan berhati-hati. Panas. Kepulan asap nipis naik ke udara.

Aku berkira-kira hendak berkongsi cerita dengan Asyikin tentang hal Kaduk. Dia juga mengenali temanku itu. Apa salahnya jika dia tahu. Aku merapati Asyikin lalu membisikkan sesuatu di cuping telinganya. Selesai sahaja bercerita, aku dapat lihat air mukanya jelas menunjukkan rasa terkejut yang amat sangat.

"Macam mana kalau Kaduk setuju kahwin dengan Wawa? Takkan kau tak kecewa?" Asyikin menyoal perlahan sambil tangannya lincah menyuap cucur ikan bilis ke dalam mulut.

Aku hampir tersedak mendengarnya. Pantas Asyikin menghulurkan segelas air teh sambil tersenyum sinis. Aku menyambutnya lalu minum seteguk. Baru rasa lega sedikit.

"Kenapa pula aku perlu kecewa?" kataku sambil menyesat mulut dengan hujung jari.

Berbohongkah aku? Ah! Mungkin ada sedikit rasa terkilan. Aku tidak menolak. Aku juga insan biasa. Dan, kebetulan hubungan antara aku dan dia semakin intim. Dia pun kadang-kadang menunjukkan kasih-sayang lebih daripada seorang sahabat. Terutama sekali bila angin romantisnya datang, naik kelu aku jadinya. Mungkin ianya sekadar gurauannya. Bukankah sejak dari dulu dia memang kegemarannya mengusik aku. Aku yang mudah perasan, membuat andaian yang bukan-bukan. Akasyah, dia sahabatmu! Bangun dari angan-angan yang takkan sudah!
"Peliklah kau ni. Rapat mengalahkan orang bercinta. Berbalas-balas poskad. Tetiba bila dia nak kahwin dengan orang lain, kau macam tak ada perasaan," ujarnya seperti tidak menyukai sikapku yang acuh tidak acuh.

"Habis aku nak buat apa? Nak suruh Kaduk jangan pilih Wawa. Pilihlah aku, Nurul Akasyah. Gitu?" balasku pula. Aku mencapai seketul cucur lagi. Lagipun aku tidak pernah menganggap kami seperti orang dilamun cinta. Kaduk sendiri tidak meluahkan apa-apa. Cuma tindakan dan tutur katanya selalu membuai perasaan. Ah! Inilah kesannya terlalu banyak membaca novel cinta.

Asyikin hanya menggelengkan kepala. Aku teringat emel kiriman Firdaus baru-baru ini. Katanya, Wawa kecewa dengan layanan Kaduk yang acuh tidak acuh terhadapnya. Dia sudah sedaya upaya memenangi hati Kaduk tapi tidak berhasil. Wawa memang ada hati pada kawanku itu. Sudah terang lagikan bersuluh. Kaduk sahaja yang pura-pura tidak nampak.

Lelaki itu pun satu hal. Apa kurangnya Nur Jannatul Na'wa. Aku sendiri buntu dengan sikapnya. Bila aku cuba bangkitkan soal Wawa, dia selalu mengelak. Malah dia melarang aku menyebut nama gadis itu dalam perbualan kami. Sejak dari hari itu, aku tidak berani bertanya lagi. Takut dia menganggap aku cuba menjaga tepi kainnya.

"Kau suka kat dia kan. Baik kau terus-terang. Jangan dah nak sorok lagi. Dengan aku pun kau berahsia," kata Asyikin. Dia merenung wajah aku dengan penuh serius.

"Aku memang suka kawan dia. Baik, ambil berat tentang kawan," balasku dengan penuh yakin. Tetapi jujurkah aku? Jujurkah aku dengan perasaan kasih yang makin bersemi dalam hati ini? Oh Tuhan, aku benar-benar keliru. Sendiri sudah tidak dapat membezakan antara sahabat dan kekasih. Salah diakah kerana mengambil berat? Atau salah aku kerana dalam diam menyimpan harap?

"Itu aku tahu. Tapi cuba kau fikir. Dia sanggup bersusah payah pulang dari UK waktu kau sakit dulu. Kemudian datang kolej tiap-tiap hari hantarkan bubur. Mana ada kawan lelaki biasa yang buat macam tu. Pada pendapat aku, kau dengan Kaduk lebih dari seorang kawan. Cuma tak sedar ada perasaan lain yang datang waktu berkawan tu. Kalau sedar sekalipun akan anggap itu cuma perlakuan seorang sahabat," ulas Asyikin dengan panjang lebar.

Aku tersenyum kelat. Beruntungnya aku kerana memilikinya sebagai seorang teman. Berbahagianya diri ini kerana dikasihi sebegitu rupa. Kata-kata Asyikin seolah-olah memberikan aku harapan. Harapan yang tidak pasti.

Semalam aku selamat tiba di teratak yang menjadi tempat perteduhanku sejak berada di Jepun bulan Mac yang lalu. Rumahku, syurgaku! Baru seminggu berpisah sudah membuah rindu. Aduh! Lewat akhir ini aku suka benar bermadah. Kenapa ya?

Malam ini aku bercadang mahu berbicara sendiri dengan Kaduk. Mendengar perkembangan dirinya di sana. Kali terakhir aku mendengar suaranya adalah pada malam raya sebulan yang lepas.

"Assalamualaikum... Boleh saya bercakap dengan Carl Duke Adam?" kataku dengan penuh debaran.

"Walaikumussalam. Kaduk ni... " jawabnya lemah. Seperti baru bangun dari tidur agaknya.

Aku baru hendak membuka mulut. Tiba-tiba terdengar jeritan.

"Kaduk... Ada perempuan cari kau."

Perempuan mana pula? Amboi! Bukan main lagi. Ramai betul peminat dia.

"Sekejap ye Syah." Dia meminta izin menjawab panggilan yang lagi satu.

"Ermm."

Gagang telefon diletakkan. Aku mendengar bunyi sesuatu yang jatuh. Kemudian gelak tawa berderai. Apa agaknya yang sedang berlaku di sana. Mungkin teman serumahnya yang lain sedang memasak. Meriah!

Antara dengar dan tidak aku menangkap beberapa butiran kata perbualan Kaduk dan pemanggil yang satu lagi. "Wawa... Adam tengah cakap dengan Syah... " Wawa?

Sebelum sempat aku berfikir panjang, terdengar dengusan nafas di hujung talian. "Maaf buat kau tunggu lama. Ermm... boleh kau call aku malam nanti? Aku ada hal nak uruskan kejap."

"Ok," jawabku ringkas. Aku mematikan talian.

Aku memandang ke luar tingkap. Marahkah dia padaku tempoh hari? Adakah aku terlalu berkeras? Aku tidak berniat hendak mengajar dia supaya menjadi anak derhaka, melawan kehendak ibu bapanya. Setahun telah berlalu dan dia masih ragu-ragu untuk menyunting Wawa sebagai suri. Aku sekadar memberi jalan. Selebihnya terserah pada dia untuk membuat penilaian yang sewajarnya.

Aku cuba menelefonnya pada sebelah malam seperti yang telah dijanjikan. Telefon bimbit dan telefon kediamannya tidak dapat ditembusi. Takkan tak habis bergayut dengan Wawa lagi! Aku naik bengang. Aku tidur malam itu dalam keadaan marah. Rasa diri ini mula diketepikan. Tanpa kusedari, air mata ini mengalir.


Episod 43: Damba Kasih
Saban hari aku menanti, namun jawapannya sungguh menghampakan. Nampaknya tiada kunjungan poskad darinya untuk bulan ini. Diri ini sudah merindu coretan pengalamannya di bumi Eropah. Mendamba pada sekelumit semangat yang dikongsinya.
Dia sibuk agaknya, kataku cuba menyedapkan hati yang resah. Atau masih berperang dengan perasaan. Antara harapan ibubapa dan keinginan diri sendiri. Biar apapun pilihannya nanti, harapan aku cuma satu. Semoga dia buat pilihan yang terbaik.
Telefon bimbitku tetiba menjerit. Aku letakkan buku kalkulus di atas meja kotatsu. Meja yang dilengkapi pemanas di bawahnya. Jadi, sepanjang musim sejuk di meja inilah tempat aku berhibernasi selain di atas katil. Kaki yang dilunjurkan di bawah meja disapa mesra udara panas. Enak. Maka secara rasmi meja ini menjadi meja makan, belajar, komputer dan lain-lain. Tidak berganjak-ganjak aku dari meja ini. Di luar sejuk! Lihatlah anak mak yang pemalas ini.
"Assalamualaikum ukhti Akasyah." Aduh! Lelaki mana pula yang membahasakan diri aku 'ukhti' ini? Nombornya tidak ada dalam senarai address book aku.
"Waalaikumussalam. Siapa tu?" soalku penuh curiga. Aku tidak gemar menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali.
"Ana... Ammir Iskandar. Ada hal yang ana nak bincang sama enti. Itupun kalau enti tidak sibuk kala ini," katanya tanpa henti.
Akhi Ammir rupanya. Dengan aku pun masih mahu bersastera. Kenapa tidak cakap saja guna ayat biasa seperti orang lain. Enti-enti pula tu. Rasa kekok pula mendengarnya.
"Saya tak buat apa sekarang. Ada apa akhi?" Sopannya aku memanggilnya begitu.
"Tentang program Golden Week yang akan kita uruskan bersama nanti. Ana ingat nak bincang dengan enti. Mungkin kita boleh buat pembahagian tugas supaya ringin sikit kerja ana." Dia berhenti sebentar. "Lagipun nanti ana tak mahu enti merungut ana tak beri enti kerja," katanya lagi seperti mahu bergurau.
"Eh! Kenapa pula cakap macam tu?" soalku.
"Penolong pengarah program sebelum ni selalu merungut. Pengarah asyik buat kerja sendiri sampaikan penolong tak tau apa tugas dia, apa yang nak dibantu. Semua pengarah yang uruskan," jelasnya.
Aku terdiam dan berfikir sejenak. "Saya pernah berdepan dengan masalah macam tu di sekolah dulu. Memang rasa kita tak diperlukan. Tapi bila akhi dah kata begitu. Lega sikit rasanya. Memang jadi harapan saya yang kita dapat saling bekerjasama. Semoga kerja kita dipermudahkan oleh-Nya."
"Insya-Allah," balasnya pula.
Sejak dari hari itu, jika ada waktu senggang aku akan menghantar c-mel pada akhi Ammir. Sekadar bertanya khabar dan berbincang soal gerakkerja yang perlu dilakukan untuk program yang akan berlangsung dalam bulan Mei akan datang. Dengan cara ini harapnya mudah kami bekerjasama kelak, tidak kekok dan sebagainya. Balasan pun diterima. Dia sedang baito rupanya. Sempat juga Akhi Ammir mencari masa melakukan kerja sampingan untuk menambahkan pendapatan dan pengalaman. Oh, ya! C-mel itu sama fungsinya seperti sms. Nama sahaja yang berbeza.
Saat ini terlintas satu nama di fikiran. Carl Duke Adam. Apa khabar agaknya dia sekarang? Dia makin menyepi. Entah-entah dia sudah menerima cadangan ibunya itu. Biarkanlah. Jika dia ingin membuang aku daripada hidupnya, itu adalah haknya. Aku hanya seorang teman dan tidak lebih dari itu.
Benarlah kata orang, "Jangan bicara soal perjuangan jika gentar akan kekalahan. Jangan bicara soal cinta jika bimbang akan kehilangan."
Mungkin itukah yang aku takuti? Kehilangannya. Tetapi adakah itu bermakna aku menyintainya? Tidak mungkin! Dia sahabatku dan cintaku padanya hanya sebagai sahabat.
Lewat fajar sadiq suatu sore yang hening, aku menadah tangan memohon doa. Semoga jiwaku beroleh ketenangan kerana aku benar-benar memerlukannya saat itu.
"Tuhan, terasa lembutnya belaian sayang-Mu bersama kurnia sekalung hidayah. Tapi adakalanya terasa berbahang kemurkaan-Mu seiring patahnya sayap mujahadahku. Tuhan, langkahku bagaikan mati. Mendaki kasih-Mu nan sayup tinggi. Namun cintaku bukan palsu. Biar langkahku ke sana sering terganggu. Tuhan, terlerai sudah ribuan taubatku. Terungkai bersama semua janjiku yang dulu. Kataku sering mungkir. Walau ku tahu cinta-Mu tak pernah meminggir. Tuhan, walau apapun aku masih terus di sini. Mengemis di dermaga janji-Mu yang pasti. Di sini aku masih mendamba kasih. Kerna ku yakin kasih-Mu tidak pernah sirna selama-lamanya."

Episod 44: Rindu Tanah Andriyana
Aku mengutip sekeping kad di lantai genkan iaitu daerah pintu masuk rumah. Pemberitahuan dari pejabat pos rupanya. Ada bungkusan tiba dari Malaysia! Meminta aku datang mengambilnya. Kiriman dari orang yang bernama 'Firdaus'. Hatiku sudah berlagu riang. Hanya seorang 'Firdaus' yang yang aku kenali berada di Malaysia. Kala terasa diri ini mula dilupakan oleh teman tersayang, masih ada insan yang sudi mengisi kekosongan itu. Hadirnya memberikan sedikit sinar harapan. Syukur!
Aku bergegas ke Pejabat Pos Besar yang letaknya tidak jauh dari rumah sewaku ini. Walaupun jam sudah menunjukkan jam lapan malam, kaunter luarnya masih dibuka. Perkhidmatan 24 jam! Hebat betul negara Samurai ini. Bukan sahaja convenience store seperti Seven Elevan, Family Mart dan sebagainya beroperasi tanpa henti 24 jam, malah perkhidmatan posnya juga.
Sambil menyanyi kecil, aku melangkah pulang ke rumah. Apa agaknya isi bungkasan ini. Boleh tahan besarnya juga. Sampai sahaja di dalam bilik, aku segera mengeluarkan bungkusan tersebut dari beg sandang. Sampul surat dikoyak dengan berhati-hati. Jariku menarik keluar sebuah novel Melayu. Aku menjerit keriangan. Mataku beralih pada tajuk yang tertera pada kulit novel tersebut. Tanah Andriyana, bisik hati kecilku. Aku kira bakal doktor sepertinya hanya mengulit naskah perubatan. Tidak sangka dia juga melayan karya sastera.
Seronoknya! Perasaan seperti wang biasiswa baru masuk. Mana dia dia tahu kegemaranku membaca novel. Mungkin aku pernah memberitahunya dulu. Memang sejak kecil lagi aku membaca novel. Kalau waktu di sekolah dulu, wang untuk belanja sekolah dikumpul sedikit demi sedikit untuk membeli buku cerita. Bila ada masa aku akan ke kedai buku Che Ming. Terpandang buku siri penyiasatan yang tersusun indah di atas rak. Kecur air liurku. Mengenangkan zaman kanak-kanak buat aku tersenyum sendiri.
Aku beralih kepada warkah biru yang turut dikirimkan bersama. Bau harum dari warkah itu sampai ke hidung. "Amboi! Macam dapat surat kekasih pula aku hari ni," kataku sambil ketawa kecil.
Assalamualaikum,
Buat sahabatku Nurul Akasyah yang berada di Jepun. Semoga sihat di samping teman-teman tersayang. Bagi aku di Kuala Lumpur, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Cuma cuaca di sini sekarang tiap-tiap hari hujan. Selsema pun asyik menyerang.
Jadi, macam mana study sekarang? Aku harap semuanya dah ok. Jangan buat macam dulu lagi. Mesti sentiasa bersemangat untuk terus berjuang walau dalam apa jua keadaan. Aku yakin kau mampu buat yang terbaik sebab Nurul Akasyah yang aku kenali sejak Tingkatan 3 dulu adalah seorang yang sangat pandai dan paling bersemangat. Aku di sini sentiasa mendoakan kejayaan teman-teman yang lain. Semoga kita sama-sama akan berjaya dengan cemerlang.
Untuk pengetahuan kau, aku baru sahaja memulakan semester enam. Alhamdulillah... berkat usaha dan doa dari semua, keputusan semester lima membolehkan aku naik semester enam tanpa perlu mengulang mana-mana subjek. Semester baru ini agak mencabar. Kalau dahulu sentiasa didampingi oleh doktor senior, sekarang kami disuruh lebih berdikari. Banyak yang perlu dilakukan sendiri. Kadang-kadang aku rasa takut sangat kerana aku berdepan dengan nyawa orang. Bila tengok wajah pesakit aku rasa risau sebab mereka sangat mengharapkan kami supaya dapat bantu mereka. Namun, aku juga manusia biasa. Ada benda yang kadangkalanya aku tidak dapat selesaikan dan itulah perkara yang amat menyedihkan aku. Apapun aku sentiasa berdoa agar Allah membantu aku dalam setiap urusan. Aku harap kau juga sentiasa mendoakan supaya aku lebih tabah dan kuat menjalani setiap cabaran.
Aku juga tidak dapat lari dari perasaan di mana aku rasa sangat tertekan dengan ujian-ujian yang hampir setiap hari, presentation case, oncall dan lain-lain. Pernah aku rasa sangat menyesal dan hendak keluar dari bidang ini. Tapi syukur aku punya keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan setiap masa tidak kira melalui emel, surat mahupun sms. Mereka terlalu baik!
Lupakan soal itu. Macam mana keadaan di Jepun sekarang? Kirimkanlah gambar-gambar kau di sana. Aku memang hendak kirim gambar waktu bercuti di Pulau Redang dulu tapi kesibukan merantai diriku buat masa ini. Maafkan aku kerana tidak dapat membalas kad raya kau. Sebagai gantinya dan merangkap hadiah hari lahirmu yang ke-21, terimalah 'Tanah Andriyana' dariku.
Oh ya! Sebelum aku terlupa, aku ada dengar cerita yang Adam dan Wawa bakal mengikat tali pertunangan apabila masing-masing tamat pengajian kelak. Baru khabar angin sajalah... mungkin kau lebih tahu tentang hal itu. Kau kan best friend Adam. Rasanya setakat ini sahaja dahulu coretan aku. Apa yang aku harapkan kita sentiasa berhubung antara satu sama lain. Dan, semoga kau terus bersemangat untuk berjuang nun di bumi sakura.

Salam rindu dari Malaysia,
Firdaus Aliff

Isi terakhir surat tersebut membunuh perasaan aku. Ah! Kenapa harus berita pertunangan Adam dan Wawa buat aku rasa terkilan? Aku yang tersalah langkah menilai persahabatan kami. Lantaran itu perlukah aku kecewa? Kerja bodoh! Banyak lagi yang aku perlu fikirkan saatkan ini. Yang menjadi priority sebagai seorang pelajar. Entah dari mana datang kekuatan dalam diri melawan godaan perasaan. Mungkin dari kalam bisu ini. Pengalaman yang dilalui oleh Firdaus membuat aku sedar yang bukan aku sahaja yang melalui kepayahan. Bukan aku sahaja yang diuji sebegini rupa.

Teringat kata-kata ustaz sewaktu di Oita tempoh hari. "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan 'Kami telah beriman' sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta (al-ankabut:2-3). Dan ketahuilah, Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya (al-baqarah:286)."

Aku menatap karya Noor Suraya 'Tanah Andriyana' di tangan. Mujur! Dapat juga aku mengalih perhatianku daripada memikirkan dilema yang melanda diri ini. Malam itu, aku hanyut dengan kisah Aliya dan Hadi. Gabungan sejarah, sosial dan adat diadun begitu baik hingga menjadikan cerita ini cukup unik. Banyak juga pantun-pantun diselitkan dan antara yang menarik perhatianku adalah pantun sewaktu Ku Fitri berbisik pada Andriyana sebelum dia pulang ke rumah isterinya yang satu lagi.

Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu.
Niat di hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapa yang tahu.


Ya! Kalau sudah takdirnya sebuah perpisahan, siapa aku hendak menafikannya.

Episod 45: Teman Rindu
"Berapa ramai budak batch kita pergi nanti?" soal Asyikin tentang kehadiran teman-teman kami ke program Golden Week Gathering yang dianjurkan oleh sebuah persatuan pelajar Islam Malaysia bulan Mei hadapan.
"Rasanya kita berdua aja kot," balasku ringkas.
"Kau tak ajak dia orang ke? Kau kan orang kuat program," katanya lagi. Matanya yang bundar sesekali melirik padaku.
Aku menggeleng. "Aku tak ada kekuatan lagi nak ajak orang lain. Kau tahu ajalah kebanyakan kawan-kawan kita tak berapa minat sangat dengan program usrah, ceramah macam ni."
"Sebab tu kita kena approach cara lain untuk tarik minat dia orang. Memanglah kita nak anjurkan kegiatan berfaedah dari segi islamiknya. Tapi... tak guna juga kalau tak dapat approach target."
Aku mengangguk. Dalam hati mengakui kebenarannya.
"Agaknya dia orang fikir program begini untuk budak-budak baik saja. Kalau nak diikutkan, aku ni pun bukan baik mana pun. Masa kat SERATAS dulu, mana pernah ikut pun usrah. Waktu takzirah hari Jumaat sesama pelajar puteri dulu pun aku antara orang duduk paling belakang. Siap bersandar pada dinding lagi." Sememangnya di sekolah dahulu aku lebih menyerlah dalam bidang sukan. Aku dan bola jaring tidak dapat dipisahkan.
"Tu lah. Aku pun sama macam kau, Syah," katanya sambil tersengih. Mungkin terkenangkan kenakalannya semasa di sekolah agaknya. "Bukannya apa. Teringin tengok kawan-kawan kita ada sama. Meriah sikit. Ni tidak... asyik tengok muka kau sorang je," sambungnya lagi. Masih sempat mengusik aku.
"Ohh! Dah bosanlah tengok muka aku ya. Tak apa. Nanti kalau pergi mana-mana, aku tak nak ajak kau," ugut aku lantas menarik muka masam.
"Merajuklah tu." Asyikin menjuihkan bibir.
Akhirnya kami sama-sama ketawa. Dalam diam rasa syukur kupanjatkan kepada-Nya kerana dikurniakan teman yang satu fikrah denganku.
"Eh! Bunyi macam posmen. Kau tolong gi tengok kejap," kataku setelah terdengar bunyi peti surat di luar dibuka dan ditutup.
"Tunggu poskad dari Kaduk lah tu," usik Asyikin.
"Ishhh... mana ada." Aku cuba mengelak. Tapi mukaku sudah disimbah hangat. Benarkah kata orang, kalau berbohong akan dipanah petir? Tahyul!
"Tak nak mengaku konon." Sempat dia mencuit pinggang aku sebelum keluar.
Aku menjerit kecil. Belum sempat aku membalas dia sudah berlari ke luar. Lantas aku tersenyum sendiri dengan kerenah Asyikin yang kuat ‚mengusik.
"Cik Akasyah! Poskad dari Abang Kaduk!"
Jeritan Asyikin sampai ke telingaku. Kaduk, mendengar namanya mengundang debaran. Syukur kerana dia masih mengingati aku di sini. Asyikin menyerahkan poskad tersebut kepadaku. Kemudian dia mengambil sudip di tanganku. Aku berginjak ke tepi. Poskad itu aku baca dengan hati yang tidak keruan.
"Assalamualaikum Warahmatullah,
Salam penuh kerinduan buat Nurul Akasyah yang manis. Mudah-mudahan sentiasa ceria di dalam lindungan Allah swt. Pertama sekali maafkan aku kerana tidak melayangkan poskad bulan lepas. Pastinya kau tertunggu-tunggu. Jangan kau fikir aku sudah melupakan dirimu kerana tidak satu saat pun kau luput dalam fikiranku ini. Kebetulan waktu itu, aku bergelumang dengan peperiksaan akhir, dan selepas itu aku terpaksa terbang ke Netherlands untuk melawat nenek yang tiba-tiba diserang strok. Alhamdulillah dia tak apa-apa. Akhir kalam, selamat memulakan semester baru. Study smart!
Yang merindu, C.D.A"
Rasanya ingin terbang mendapatkan lelaki itu sekarang. Maafkan aku teman kerana menaruh syak wasangka terhadapmu. Maafkan aku.

"Kan aku dah kata, dia tu ada something dengan kau. Masih tak percaya lagi?" Aku memandang wajah bujur sirih Asyikin dengan perasaan berbunga-bunga. "Siap rindu-rindu lagi tu. Bukan main lagi kau orang berdua ya," sambungnya lagi dengan nada ceria.
"Pandailah kau bagi aku perasan. Memang dia selalu tulis macam ni pada aku," balasku.
Wajah Asyikin termenung jauh seperti sedang memikirkan sesuatu. Kemudian dia beralih memandangku dan bersuara," Dah terang lagikan bersuluh, Syah. Cuma kau yang menidakkannya."
Kata-kata Asyikin membuatkan aku terdiam.

Episod 46: Kalam Rindu

"Apa yang dimenungkan tu, Kaduk?" Satu suara menegur dari belakang. Kaduk segera berpaling. Wajah Mar Iskandar tersembul di muka pintu.

"Oh, Ammar. Masuklah." Kaduk mengalihkan semula pandangan pada monitor komputer. Assignment Machine System Dynamics yang diberikan oleh Mr Thomas baru siap separuh jalan. Dia mengeluh dalam hati. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia asyik mengelamun. Parah!

"Terkenangkan orang yang jauh ke?" ujar Mar Iskandar lalu melabuhkan punggung di atas katil teman serumahnya itu.

"Tak adalah. Tengah fikirkan assignment yang bertimbun ni." Kata Kaduk. Jarinya memicit lembut kepala yang dirasakan berat. Berat memikirkan tugasan yang masih tidak sudah.

Mar Iskandar mencapai kitab Hadith Empat Puluh yang tersusun elok di atas rak. Dalam pada itu matanya sempat memerhati dekorasi bilik bekas ketua pelajarnya waktu di sekolah dahulu. Kemas. Walaupun ruang bilik tersebut agak sempit, namun dia bijak menempatkan pelbagai jenis perabot asas dan perhiasan. Tetapi tidaklah sampai menghalang pergerakan dan nampak serabut. Kerusi ringkas warna putih menjadi pilihan untuk menghiasi ruang santai bilik tersebut. Nyata gabungan itu hijau putih mendamaikan suasana.

"Ana ingat nak pergi Jepunlah. Anta nak ikut?" kata Kaduk tiba-tiba. Sudah beberapa kali dia berfikir tentang hal itu. Hatinya teringin benar ingin menjejakkan kaki di bumi sakura itu.

"Jepun? Nak jumpa Syah ke?" soal Mar Iskandar.

"Ermm... kita pergi jalan-jalan. Jumpa dia. Pergi tempat abang anta sekali. Berminat?" Kaduk berharap benar temannya itu mahu ikut serta.

Mar Iskandar terdiam.

"Tengok budget juga. Bila nak pergi tu?"

"Tak fikir lagi. Sementara tengah belajar ni kita boleh pergi sana-sini. Dah kerja nanti, sibuk pula." Tambah anak kacukan Melayu-Belanda itu lagi.

Mar Iskandar mengangguk. Dia juga berhajat hendak menjenguk abangnya yang menuntut di Hiroshima. Cuma menanti masa sesuai dan mencari mana-mana teman yang boleh diajak melancong ke sana. Sekarang Kaduk sudah mempelawanya. Jadi dia sudah punya teman untuk ke negara matahari terbit itu.

Masing-masing hanyut melayan perasaan. Mar Iskandar tekun mengadap naskah Hadith Empat Puluh di tangan. Sesekali matanya melirik pada Kaduk yang asyik menaip. Sudah lama dia ingin bertanyakan sesuatu pada temannya itu. Tetapi tiada ruang masa yang sesuai.

"Boleh ana tanya satu perkara?"

"Apa dia?"

"Tentang anta dengan Akasyah... serius ke?"

Kaduk berhenti menaip. Akasyah! Mengenangkan gadis itu dia merasa sayu. Merajukkah dia? Sudah hampir dua bulan menyepikan diri. Sesekali gadis itu buat hal, mati akal juga dibuatnya.

"Sejak bila anta dah pandai bergosip ni, Ammar? Siapa yang ajar?" usik Kaduk. Mar Iskandar tersengih.

"Tak adalah. Ana curious aja. Kita kan satu sekolah. Manalah tahu... diam-diam ubi berisi."

Kaduk ketawa kecil. Dia sendiri tidak pasti ke mana hala tuju hubungan mereka. Hingga ke hari ini dia dan Akasyah masih berkawan baik. Teringat pada layanan dingin Akasyah apabila dia menelefon gadis itu dari Netherlands.

"Aku tahu kau belajar tentang robot, Syah. Tapi jangan dengan kau-kau jadi robot." Dia berharap gadis itu akan termakan gurau sendanya. Malangnya gadis itu hanya acuh tidak acuh. Dia jadi geram. Hatinya tercalar rasa terkilan. Mogoklah konon! Tapi lambat-laun dia juga yang dicari mengadu itu ini.

Niatnya ingin bercerita dengan Akasyah hilang begitu sahaja. Panggilan nenek yang mahukan segelas air suam disahut. Nenek baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital. Namun begitu, badannya masih lemah. Sebagai cucu lelaki sulung, dia bertanggungjawab menziarahi neneknya yang sakit tenat. Lagipun dia sudah lama tidak menjenguk kaum kerabat sebelah bapanya yang masih bermastautin di benua Eropah itu. Datuknya, Muhammad Al-Fateh sudah meninggal dunia sejak lapan tahun yang lalu. Maka tinggallah Nenek Aisyah keseorangan bertemankan tiga orang pembantu rumah.

Sewaktu hidupnya, arwah datuk pernah menjadi profesor sejarah di salah sebuah universiti yang terkenal di negara belanda itu. Dia cukup meminati dan mengagumi sejarah Islam. Selepas menganut agama Islam, dia terus menukar namanya kepada Muhammad Al-Fateh bersempena nama salah seorang khalifah Uthmaniyah yang berjaya menawan semula kota Konstantinopel (kini dikenali sebagai Istanbul) dari tangan tentera Byzantium.

Sekembalinya ke kolej, dia perlu menyiap beberapa assignment yang masih bertangguh. Namun fikirannya adakalanya terganggu. Akasyah! Entah apa rajuknya. Dalam pada itu dia ingin ketawa. Sudah ada kemajuan, pandai merajuk pula sekarang. Kaduk tersengih sendiri.

"Apa yang seronok sangat tu?" tegur Mar Iskandar.

Kaduk kembali ke alam nyata. Terlupa pula ada orang lain di dalam biliknya. Wajahnya sudah merona kemerahan menahan malu.

"Tak ada apalah." Dia memandang Mar Iskandar dengan ekor mata. Jarinya kembali bermesra dengan papan kekunci.

"Poskad," katanya separuh berbisik. Baru dia teringat. Sudah hampir dua bulan dia tidak mengirimkan poskad pada gadis itu. Agaknya itulah punca Akasyah merajuk. Segera dia menggeledah laci meja tulisnya. Jarinya tersentuh beberapa keping poskad yang dibelinya sewaktu melawat nenek tempoh hari.

Pena hitam mula menari-nari di atas kalam bisu. Dalam hati dia berharap agar kalam bisu itu bisa mengganti kata-kata. Menjadi penawar hati insan yang lara. Menyimpul rindu antara dua benua.


Episod 47: Destinasi Cinta
Keindahan bunga sakura tahun ini sekali menggamit aku untuk mengabadikannya dengan lensa kamera. Penuh memory stick kamera digital aku dengan gambar bunga sahaja. Dan seperti biasa, gambar-gambar tersebut akan dipindahkan ke dalam laptop kesayanganku.

"Jadi minah bunga pula aku kat Jepun ni." Aku mengomel sendiri.

Televisyen dibiarkan terbuka. Kebetulan dalam saluran tersebut sedang menyiarkan tentang pokok bonsai. Teringat waktu kecil dahulu, aku pernah mem'bonsai'kan berbagai jenis pokok bunga mak di laman rumah. Pokok yang selalu menjadi mangsa kami adik-beradik ialah pokok bunga kertas. Dengan bersemangatnya kami melilit batangnya dengan dawai. Dan, hasilnya dapat dilihat seminggu kemudian. Memang menjadi! Pasti mak dulu pening kepala melihat daya kreatif anak-anaknya yang sedang membesar.
Pandangan aku jatuh pada Asyikin sudah lama diulit mimpi. Aku sahaja yang masih bersengkang mata mengadap komputer. Dalam usaha menyiapkan report sebelum bertolak ke Masjid Tsukuba tengahari esok. Belakangku mula merasa sengal. Mungkin sudah tiba masanya untuk berehat. Kesihatan juga perlu dijaga. Kerja, sampai bila pun tiada sudahnya.
Aku berbaring di sebelah Asyikin. Setelah beberapa ketika aku masih gagal melelapkan mata. Masih terkebil-kebil di sebalik mofu dan futon. Entah mengapa aku mesti teringatkan dia saat ini. Carl Duke Adam. Gurauan yang dilontarkannya beberapa minggu lepas tidak semesra biasa. Terselit nada serius, seolah-olah menyindir.
"Aku tahu kau belajar tentang robot, Syah. Tapi jangan dengan kau-kau jadi robot."
Telingaku rasa hangat. Lantas aku merengus marah. Kebetulan mood aku kurang baik malam itu. Kata-katanya menambah rasa sakit hati. Aku hanya membisu. Berat mulut hendak menjawab. Akhirnya perbualan kami terhenti di situ sahaja.
Kehadiran poskadnya siang tadi mengundang pelbagai rasa. Bersalah dalam bahagia. Bersalah kerana naik angin bukan-bukan. Bahagia kerana dirindui. Walaupun sejak dulu aku cuba mengelak daripada merasai apa-apa, namun kata-kata Asyikin membuat aku berfikir.
Bumi Tsukuba yang kaya dengan kehijauannya menyambut kehadiran kami untuk bermukim selama tiga hari dua malam dalam ekspedisi mencari secangkir ilmu di rantau orang. Sesungguhnya kehadiran aku di Jepun nyata membawa satu dimensi baru dalam hidup ini. Di sinilah aku diajar mengenali-Nya dengan lebih dekat. Satu rahmat yang tiada tolok bandingnya. Kehidupan di Jepun ini aku kira lebih bersifat individualistik. Jatuh bangun sendiri. Walaupun ada teman di sisi, masih terasa kekosongan jiwa. Dan, ia hanya dapat diisi apabila mendekatkan diri kepada-Nya.
Walau sering hanyut dalam gelombang nafsu, dipukul ombak kebatilan, Dia akan hadir menyuluh sinar kasih-Nya yang tidak pernah kunjung malap. Mungkin inilah yang dinamakan takdir. Aku ditakdirkan untuk gagal, dan bangun dari kegagalan walaupun payah.
Aku mencapai tafsir Al-Quran di atas rak yang disediakan. Cuba mengisi kelapangan yang ada sementara menunggu masa untuk tidur. Aku membelek-belek juzuk terakhir dalam Al-Quran yang mana banyak menceritakan perihal hari kiamat.
Kehidupan yang ada sekarang ilusi semata. Destinasi sebenar kita adalah alam akhirat. Dan sebelum beralih ke kehidupan yang abadi itu, akan berlakunya hari kiamat. Sangkakala yang pertama akan ditiup oleh Malaikat Israfil. Bumi akan digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Gunung-ganang yang menjadi pasak bumi pula akan diangkat dan dihancurkan menjadi seperti bulu yang berterbangan. Langit akan terbelah lalu runtuh seperti kaca yang berderai. Kemusnahan yang pasti yang telah dijanjikan oleh Allah dalam Al-Quran. Dan manusia pada hari itu tidak ubah seperti kelkatu yang terbang berkeliaran.
Masya-Allah! Aku segera menutup Al-Quran tersebut. Tidak sanggup rasanya hendak meneruskan pembacaan. Gerun memikirkan kedahsyatan yang akan berlaku.
"Perhatian kepada AJK Tertinggi program, sila hadir ke bilik mesyuarat sekarang juga. Bilik yang bersebelahan tempat penginapan muslimat. Sekian, harap maklum." Suara Akhi Ammir berkemundang di corong pembesar suara.
"Jom kita pergi. Akhi Ammir dah tunggu." Sapaan Kak Zinnirah mematikan lamunanku. Kami pun bergerak menuju tempat yang dimaksudkan.
Malam ini aku berbaring hanya beralas dan berselimutkan sejadah. Lalu kesejukan pun mencengkam tubuh. Tidurku tidak selena biasa. Entah berapa kali aku terjaga membetulkan kedudukan tidur. Ruang di hadapan pintu itu tidak cukup buat aku yang tinggi lampai. Merengkoklah aku dalam kedinginan musim bunga.
Agaknya beginilah perasaan saudara seagama di bumi Afghanistan yang juga sebuah negara empat musim. Bagi yang tinggal di kawasan pergunungan, bagaimana agaknya mereka menahan diri daripada kesejukan tanpa pemanas. Sudahlah kehidupan mereka masih dibelenggu kemiskinan. Ditambah pula dengan keadaan negara yang tidak pernah aman dan berlakunya pertumpahan darah. Tetapi mereka masih boleh hidup dengan bahagia. Nyata jiwa mereka lebih kental dan cekal. Dan, untuk melahirkan jiwa yang kuat mestilah disirami dengan cahaya iman.
Moga-moga aku juga dikurniakan jiwa seperti mereka!

Episod 48: Nur Jiwa
Aku segera memberhentikan mesin hampagas sebaik sahaja menyedari suara seseorang bertingkah dengan bunyi bising mesin tersebut. Tanganku menggesel-gesel hidung yang gatal. Mungkin aku memang alah pada habuk. Pantang sahaja buat kerja-kerja begini, mulalah rasa bagai ada serengga merayap dalam hidungku.
"Ukhti, sudah-sudahlah tu. Nanti ana dengan brothers yang lain akan uruskan," kata Akhi Ammir yang menjengukkan diri di muka pintu bilik mesyuarat kami.
Aku berpaling.
"Sikit aja lagi ni. Dah nak siap pun." Sahut aku.
"Susah-susah aja."
Aku menggelangkan kepala. Setakat membersihkan karpet, apalah susah sangat. Tekan sahaja suis, mesin pun akan mula menyedut sampah dan habuk yang ada. Aku hanya perlu menggerakkannya sahaja.
"Tak sesusah jadi pengarah program kan. Saya tengok masa pengisian pun akhi tak duduk diam." Aku sahaja yang duduk bersenang-lenang. Rasa bersalah sangat kerana kali ini aku kurang membantu sepanjang program berlangsung.
"Ukhti perhatikan saya ya?" Usik Akhi Ammir.
Aku tersentak. Wajahku merona kemerahan. "Saya ni kan pembantu akhi. Mestilah ambil berat. Tengok muka akhi pun serabut semacam. Risau juga saya. Tapi sekarang ni dah ok. Dah macam biasa." Ulasku dengan panjang lebar.
Dia tersengih. Aku kembali meneruskan tugasku. Dia masih berdiri di muka pintu. Sesekali aku mengerling ke arah Akhi Ammir. Rasa kekok pula berkerja apabila ada mata yang memerhati begini.
"Risau pula nanti orang ingat ana buli enti," ujarnya dalam nada bergurau.
"Bukan saya seorang aja ni. Kak Zinnirah pun ada sama."
"Ohh.." Akhi Ammir pun melangkah masuk.
Mungkin tadi difikirnya aku keseorangan dalam bilik ini. Padanlah terpacak sahaja di muka pintu, getus hati kecilku.
Tangannya lincah mencapai kotak-kotak kosong yang sudah tidak digunakan lagi lalu dikumpulkan di sudut kiri bilik. Dia juga mengalihkan tong minyak gas yang masih berisi ke satu sudut.
"So, macam mana belajar? Okey?" Soal Akhi Ammir tiba-tiba.
"Ermm.. bolehlah." Jawabku perlahan.
"Macam tak yakin aja bunyinya. Kalau ada masalah, boleh kongsi dengan ana. Sekadar bagi nasihat tu... rasanya mampu lagi," katanya sambil tersenyum manis.

Aku berbalas pandangan dengan Kak Zinnirah yang juga sedang membersihkan karpet di hujung sana. Seolah-olah meminta dia lawan bersembang dengan Akhi Ammir. Tetapi aku sedia maklum dengan sifat Kak Zinnirah yang pemalu. Terutama sekali apabila berhadapan dengan lelaki.
"Ana dulu pun ada masalah study juga. Sampai satu tahap ana rasa betul-betul give-up. Itu tak faham, ini tak faham. Rasa bodoh sangat," beritahunya dengan penuh jujur. "Hampir dua tahun ana bazirkan masa dengan sia-sia tanpa usaha keras. Sampailah satu malam, ana sedar yang ana telah menzalimi diri sendiri."

"Sebab itu ana selalu ingatkan ukhti. Kalau ada masalah, jangan pendam dalam hati. Sekurang-kurangnya cerita pada kawan baik. Jangan hidup menyendirikan diri. Kena libatkan diri dengan aktiviti masyarakat setempat. Merekalah keluarga kita." Dia menyeka dahinya dengan hujung lengan baju. "Dan jangan asyik memerap dalam rumah mengadap komputer, boleh jadi tak betul nanti. Orang kata cahaya dari komputer ni boleh menyebabkan stress." Sambungnya lagi.

Aku hanya mengangguk. Patutlah dia selalu nasihat aku supaya tumpukan perhatian dalam pelajaran. "Walaupun sibuk berpersatuan, enti kena ingat tujuan sebenar dihantar ke Jepun." Begitulah kata-kata dia setiap kali menghantar c-mel.

Akhi Ammir terus bercerita tentang pengalamannya sepanjang berada di Jepun. Berkongsi pengalaman bagaimana payahnya dia hendak bangun semula selepas semangatnya jatuh merundum.
"Kadang-kadang rasa nak balik Malaysia pun ada." Katanya lagi.
Aku tersenyum kelat. Memang benar. Aku juga mengalaminya. Sampai satu tahap aku sendiri sudah merasakan yang aku telah melakukan kesilapan yang paling besar dengan memilih untuk belajar ke sini. Oh Tuhan! Kenapa aku boleh jadi begitu lemah? Hanya Kau Yang Maha Mengetahui yang hati ini bukanlah sekuat yang Kau sangkakan. Tetapi aku tidak akan hadir di sini tanpa keizinanMu. Pasti Kau ingin menilai sejauh mana pergantungan aku terhadapMu.
Akhi Ammir masih tidak habis-habis lagi berceloteh. Pada pandangan aku, Akhi Ammir lebih mudah mesra dan ringan mulut berbanding dengan adiknya Mar Iskandar yang sentiasa serius dalam percakapan. Bukankah setiap kejadian itu Allah swt telah ditentukan ada pro dan kontranya. Kalau semua lelaki di atas muka bumi ini serius seperti Mar Iskandar, alamatnya tidak cerialah hidup aku!







Episod 49: Bila Sakura Kembali Berbunga
Cepat benar masa berlalu. Rasanya bagaikan baru semalam aku menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Narita. Alih-alih beberapa bulan lalu aku ke sana lagi menjemput adik-adik baru yang sudah dua generasi di bawahku. Melihat wajah adik-adik yang bersemangat melontarkan semula ingatan aku pada kenangan kali pertama tiba di Jepun. Aku tersenyum sendiri.
Dua tahun berlalu sudah. Syukur! Dengan rahmat kasih-sayangNya, Dia telah mempermudahkan urusan aku di sini. Dia juga telah meniupkan semangat ke dalam dadaku. Lantaran itu, hari-hari aku berlalu dengan penuh ceria. Kesibukan dengan pelajaran cukup membuatkan aku rasa bahagia. Nikmat ilmu yang sudah lama aku tunggu. Moga-moga semangat aku tidak lagi luntur.
Telefon bimbit aku berdering. Aku berhenti menaip. Baru selesai dua buah berita yang dialih bahasa ke Bahasa Melayu. Sekarang ini aku sudah berkerja sambilan sebagai pembaca berita radio di NHK. Jam enam petang setiap hari Sabtu aku sudah kena berada di sana. Recording warta berita akan dimulakan jam sembilan malam.
"Nanti datanglah rumah abang selepas maghrib. Ada buat makan-makan sikit." Kata Abang Zaidi, pelajar Master yang baru mendirikan rumahtangga tahun lepas. Rumahnya hanya selang beberapa station dari rumah sewaku ini.
Rezeki jangan ditolak! Pasti Kak Ina, isteri abang Zaidi yang pakar masakan ala kampung itu yang akan memasak nanti. Baru beberapa minggu lalu dia menjamu aku gulai tempoyak. Sedapnya sampai menjilat jari. Aduh, perutku sudah berbunyi!
"Nanti mintalah Kak Ina masakkan gulai tempoyak ke... baru best." Pandai-pandai aku memesan gulai kebanggaan orang Perak itu. Abang Zaidi ketawa sambil menyampaikan pesanan pada isterinya yang berada di sebelah. Aku terdengar deraian ketawa mereka berdua.
"Nanti Syah datang awal sikit. Baru boleh Kak Ina masakkan gulai tempoyak tu." Kata Abang Zaidi lagi.
"Insya-Allah. Mungkin Asyikin pun akan datang sama. Boleh kan?" Kebetulan Asyikin mahu datang bermalam di rumahku untuk semalam dua ini, jadi ada baiknya aku mengajak dia menemankan aku ke rumah abang Zaidi yang letaknya di Musashi-Koganei Station itu.
Asyikin akan memulakan program internshipnya di Osaka pada minggu hadapan. Begitu juga dengan aku. Tetapi aku buat di sekitar Tokyo sahaja. Jadi, tidak perlu bersusah payah menumpang rumah sesiapa.
"Boleh... tapi kamu berdua sahaja tau. Ada orang lain akan datang juga ni. Takut tak cukup lauk pula nanti." Kata Abang Zaidi dalam nada bergurau, mengakhiri perbualan kami.
Suasana hiruk-piruk kedengaran dari luar lagi. Aku dan Asyikin melangkah masuk ke dalam rumah Abang Zaidi. Ramainya lelaki, getus hatiku. Tiada seorang pun wajah yang aku kenali. Agaknya mereka ini teman-teman Abang Zaidi yang datang melancong ke Jepun. Yalah... Bukankah sebelum ini Abang Zaidi pernah bekerja di TELEKOM.
"Perempuan duduk bilik sebelah," kata Kak Ina seperti mengetahui apa yang tersirat di hatiku. Aku berdiri di sebelah Kak Ina. Segan pula datang-datang terus saja duduk.

"Syah mana? Ada kawan dia datang ni." Aku tersentak mendengar suara Abang Zaidi.

"Kawan? Kawan mana pula?" Aku berbisik perlahan pada Asyikin.

Dia menjungkitkan bahu. Tanpa disuruh Asyikin mencapai pisau lalu menghiris buah melon yang kami beli tadi.

Aku merapatkan diri ke pintu bilik yang dipenuhi dengan lelaki itu. Segannya bukan kepalang. Rasanya tidak ada kawan-kawan yang memberitahu hendak datang ke Tokyo.

"Akhi Ammir? Macam mana boleh ada kat sini?" Kataku separuh berbisik. Aku terkejut melihat Akhi Ammir yang elok bersembang dengan Abang Zaidi.

Aku memerhatikan wajah tetamu yang hadir satu-persatu. Hanya Akhi Ammir seorang sahaja yang aku kenali. Akhirnya pandanganku jatuh seseorang yang duduk di belakang Akhi Ammir.

"Mar Iskandar?!"

Aku tergamam. Saat itu kami saling berpandangan. Aku jadi kaget.

"Adam, ni untuk nasi tambah." Kata Kak Ina pada seseorang.

"Ermm..." Sahut lelaki yang bernama Adam.

"Assalamualaikum." Satu suara di belakang memberi salam. Aku berginjak ke tepi memberi laluan. Dan apabila aku berpaling...

"Kaduk?" Aku terkejut untuk kali kedua. Rasanya hendak terkeluar biji mataku apabila menatap wajah dia. Insan yang sentiasa menemani hari-hari aku di sini. Walaupun dia jauh di mata tetapi senantiasa dekat di hati. Dan hari ini, saat ini dia berada di depan mataku. Rasa bagaikan bermimpi di siang hari.

"Kalau ya pun, jawablah salam dulu," bisiknya perlahan.
Aku menjawab dalam hati. Hatiku melontak keriangan. Abang Zaidi sudah berdehem-dehem beberapa kali. Lantas aku tersipu-sipu malu.
"Tahulah orang tu seronok dapat jumpa kawan jauh." Kata Abang Zaidi sambil memandang wajahku. "Letak nasi tu atas meja sana, Adam."
Kaduk berlalu di sebelahku. Aku sempat mencuri pandang wajahnya itu. Jantungku berdegup kencang. Makin kacak dia sekarang. Janggutnya yang semput itu membuatkan wajahnya tampak comel. Aku segera kembali ke dapur sebelum ada yang terperasan wajahku sudah memerah.
Selepas membaca doa ringkas, kami pun makan tanpa bercakap. Hati ayam yang digoreng bersama kacang panjang, ikan bakar dengan ulam timun dan semestinya gulai tempoyak kegemaranku, sungguh menyelerakan. Tidak sampai lima minit ada yang sudah menambah nasi!
Rupanya ini boyfriend Syah. Patutlah dia tak pandang budak Jepun. Dalam diam dah ada orang UK ya." Kata Abang Zaidi tiba-tiba.

Aku yang sedang makan hampir sahaja tersedak. Bulat mataku memandang Abang Zaidi yang sudah tersenyum-senyum.

"Mana ada." Aku faham benar dengan Abang Zaidi yang suka mengusik itu. Aku tidak mahu termasuk dalam perangkapnya. Nanti jenuh aku hendak menidakkannya.

"Kan poskad-poskad yang tergantung kat bilik Syah tu dari UK. Macamlah abang tak tahu siapa pengirimnya." Giatnya lagi.

Parah! Aku memang sengaja mempamerkan poskad-poskad kiriman kaduk di dinding bilik. Satu kerugian besar poskad yang begitu cantik disimpan sahaja. Sekurang-kurang boleh jadi perhiasan rumah aku yang serba ringkas itu.

Aku tidak berani bersuara lagi. Takut-takut akan membawa kepada perbincangan lebih panjang lagi. Lagipun, Akhi Ammir, Mar Iskandar dan teman-teman Kaduk ada sama. Aku tidak mahu kisah hidup aku jadi bahan perbualan umum pula.

Dalam pada itu, entah bagaimana pandangan aku dan Kaduk bersatu. Segala-galanya berlaku dengan pantas. Perasaan aku kembali bergetar. Indah. Seperti sakura kembali berbunga!



Episod 50: From London With Love I
Pagi-pagi lagi aku dan Asyikin sudah keluar dari rumah. Semalam aku sudah diminta oleh Akhi Ammir dan rombongan dari UK untuk membawa mereka bersiar-siar di sekitar Tokyo dan Yokohama. Aku terus setuju tanpa banyak soal. Peluang ini aku gunakan sebaik-baiknya untuk bersama sifu kesayangan, Carl Duke Adam.
"Bersemangat benar kawan aku sorang ni." Kata Asyikin yang termengah-mengah kerana cuba mengikut rentak langkahku. "Tahulah tak sabar nak jumpa buah hati datang dari jauh. Kalau iya pun, jalanlah slow sikit. Slow and steady," sambungnya lagi sambil membuka lenggang ala mak datin.
Aku gelak mengekek. Mungkin hari ini aku agak over excited. Aku cuba memperlahankan langkah. Slow and steady, bak kata Syikin tadi. Ah! Rasa janggal! Hatiku semacam melompat-lompat sejak pulang dari rumah Abang Zaidi malam tadi. Mana tidaknya. Setelah hampir dua tahun empat bulan berlalu, buat pertama kalinya aku dapat bertemu semula dengan dua idola zaman persekolahanku dahulu. Kaduk sudah makin kacak. Maklum sahajalah sudah masuk usia awal dua puluhan. Wajah Pan Asiannya makin menyerlah sejak menuntut di UK. Mar Iskandar? Ketegasan dan keseriusan kian menebal pada raut wajah dan perilakunya. Masing-masing kini menjengah fasa awal dewasa. Jadi, kematangan harus selari dengan usia.
Dari JR Chuo Line, kami transit di Kanda Station. Naik pula train Tokyo Metro Ginza Line sehinggalah tiba di Asakusa Station. Sepanjang perjalanan aku tidak membuang masa begitu sahaja. Pasti ada buku di tangan. Sejak berada di Jepun ini, aku sudah menghadam budaya mereka yang satu itu iaitu budaya membaca. Maklum sahaja, jalan-jalan di Tokyo ini semuanya menaiki densya. Kalau tidak membaca, aku akan melihat pemandangan hutan batu atau lelapkan sahaja mata. Teman-teman luar dari Tokyo pernah menegur, " Tak pening ke baca dalam densya?"
Alah bisa tegal bisa. Jejak sahaja dalam perut densya, terus membaca. Si teman pula mengadu rasa bagai dalam kapal di tengah lautan. Tetapi yang peliknya bila naik kereta, aku mula pening-pening. Rasa tidak selesa dengan keadaan dalam kereta yang terhenjut-henjut. Perkara ini aku sedari waktu aku mengikut keluarga angkatku ke kawasan gunung berapi di Gunma. Oh ya! Densya itu adalah keretapi elektrik dalam bahasa Jepun.
Sampai sahaja di Asakusa Station, Kaduk dan lain-lain sudah menanti. Aku terus mendapatkan mereka. Kemudian kami berjalan kaki menuju ke Asakusa Sensouji Temple. Kaduk berjalan di sebelah aku. Asyikin hanya membisu. Mungkin sedang melayan perasaan.
"Kenapa tak beritahu nak datang? Tahu-tahu aja dah sampai Tokyo." Kataku sedikit merajuk. Mana tidaknya, tiba-tiba sahaja dia muncul semalam. Macam magik! Tidak pernah pula dia memberitahu ingin datang ke sini.
"Kalau beritahu awal-awal, nak sambut dengan kompang, bunga manggar ke?"
Aku mencebik bibir. Kaduk tidak habis-habis bergurau, bisik hati kecilku. "Tak adalah. Sekurang-kurang taklah terkejut sangat." Balasku. Walau apapun kehadirannya sudah cukup membuat hati ini rasa terhibur.
Selesai melawat di sekitar Asakusa Sensouji Temple, kami terus ke Ueno Station. Melawat Tokyo National Museum, Ueno Zoological Garden dan pasar Ueno. Selepas itu kami bergerak ke Akihabara, syurga membeli-belah barangan elektrik di Jepun ini. Masing-masing jadi rambang mata apabila melihat barangan elektrik dijual dengan banyak sekali dengan harga yang lebih murah berbanding di London. Kaduk memilih sebuah kamera digital Casio warna biru. Aku menjadi model pertamanya. Mar Iskandar pula sibuk membelek satu-persatu telefon bimbit Jepun pelbagai jenama dan fungsi yang tersusun di atas rak.
"Hebat betul teknologi Jepun ni ya." Katanya perlahan. Aku dan Asyikin yang mendengar sekadar tersenyum sesama sendiri.
Agenda seterusnya adalah melawat Imperial Palace dan kawasan di sekitarnya yang terletak di Sakuradom Station. Walau bagaimanapun, kami tidak berpeluang melihat singgahsana maharaja Jepun dengan lebih dekat kerana palace gate hanya dibuka untuk umum pada sambutan tahun baru dan hari ulangtahun maharaja sahaja. Kami berjalan menggunakan underground walkways. Sempat singgah di National Museum of Modern Art. Kami juga melintasi National Teater di mana opera tradisional orang Jepun, Kabuki dipersembahkan oleh pelakon yang kesemuanya terdiri daripada lelaki.
Selepas itu, kami menuju ke Diet (Parliment) Building di Tameike-Sannou. Disapa mesra oleh seorang pakcik guard yang ramah-tamah. Dialah yang menjadi tourist guide kami dan menyampaikan penerangan dalam bahasa Inggeris.
Kami berkejar pula ke Masjid Hiro-o dengan menaiki Hibiya Line untuk menunaikan solat jama' Maghrib dan Isya' bagi mereka yang datang dari jauh. Usai solat, kami terus pergi ke Roppongi Hills dan akhir sekali ke Tokyo Tower. Dalam perjalanan pulang ke Student House di Nishi Koyama semua sudah keletihan. Hanya Kaduk dan Akhi Ammir sahaja yang masih rancak berbual. Entah apa yang dibualkan aku kurang pasti.
Tiba-tiba pandanganku bersatu dengan Kaduk. Dia melirikkan senyuman. Aku membalas. Kemudian dia bangkit dan berjalan menuju ke arahku. Dadaku berdegup kencang. Dia melabuhkan punggung di sebelahku yang kebetulan kosong. Aku menjadi kaku.
"Ada apa?" soalnya sambil tersenyum.
Aku mengerut dahi tidak mengerti.
"Yalah. Tadi dari jauh terpandang-pandang, ingatkan nak cakap apa-apa." Katanya lagi. Sesekali matanya mengerling pada sepasang remaja Jepun di hadapan kami berbual.
"Tak adalah." Balasku sedikit gugup. Entah mengapa rasa bagai ada benda yang tersekat di kerongkongku. Payah benar hendak bersuara.
"Ermmm..."
Keadaan menjadi sunyi. Hanya kedengaran gelak tawa dari pasangan remaja tadi. Dari jauh aku menyedari kerlingan tajam Mar Iskandar. Dia cepat-cepat menoleh apabila mengetahui aku juga memerhatikannya. Aku beralih pada kaduk yang duduk di sisi. Sebenarnya banyak yang ingin dibualkan tetapi ada sesuatu yang menahanku daripada berbuat demikian.
"Syah..."
"Kaduk..."
Masing-masing bersuara serentak. Langsung aku tunduk menahan malu dan mengetam bibir. Apabila mengangkat muka semula, aku mendapati Kaduk juga merah pipinya. Comel!
Kami membiarkan masa berlalu tanpa sebarang kata bicara. Jantungku terus diburu debar yang tidak bertepi. Hanya mampu berbalas pandangan dengan dia pada pantulan jasad kami pada cermin kaca. Malam ini berakhir dengan indah. Nyata kehadiran dia membawa cinta dari kota London.

Episod 51: From London With Love II
Kepenatan semalam masih bersisa. Namun aku gagahkan diri untuk bangun awal hari ini dan terus ke Student House di Nishi Koyama Station. Kaduk dan teman-temannya menginap di sana. Hari ini aku dan Asyikin sudah berjanji hendak membawa mereka ke Sea Paradise dan kawasan menarik sekitar Yokohama pula. Mungkin boleh heret mereka ke Kamakura melihat otera (temple) yang agak terkenal di Jepun ini. Tetapi kalau pergi waktu musim bunga jauh lebih cantik rasanya. Ataupun pada musim luruh. Lebih romantik!
Sampai sahaja di depan pintu masuk, aku memberi salam beberapa kali. Namun tiada jawapan. Aku terus menolak pintu ke ruang santai yang bersambung dengan dapur tingkat bawah. Aku dapati seseorang sedang terbongkok-bongkok di hadapan peti sejuk.
"Assalamualaikum." Aku memberi salam dari muka pintu. Hendak masuk aku segan.
"Ohayou gozaimasu." Asyikin yang berdiri di belakang menambah.
Lelaki itu berpaling. Oh! Pakcik berambut perang rupanya.
"Waalaikumussalam. Oh, Syah. Kau rupanya. Syikin pun ada. Masuklah." Kata Kaduk sambil tersenyum. "Kau orang dah breakfast?" soalnya pula.
Kami menggeleng serentak. Sebelum datang tadi hanya mengalas perut dengan segelas susu segar. Kaki sudah melangkah melepasi garisan pintu. Kalau dengan 'pakcik berambut perang', tiadalah segan sangat. Asyikin mengikut aku dari belakang.
"Kita makan sama-sama lepas ni ya."
Aku mengangguk. Aku memandang sekeliling. Sunyi benar rumah dua tingkat itu pagi ini.
"Mana yang lain?" Tanya aku.
"Tidur lagi." Jawabnya ringkas.
"Perlukan bantuan?" Aku mendekatinya. Mataku mencuri-curi pandang ke dalam kuali di atas dapur.
"No thanks," balasnya tanpa melihatku.
"Nak masak apa tu?"
"Nasi goreng. Duduklah dulu. Nak air?"
"Tak apalah," kataku lalu melabuh punggung di atas sofa warna biru laut di ruang santai. Asyikin mencapai remote control televisyen. Telingaku menangkap bunyi percikan minyak. Kemudian disusuli suara Kaduk yang menyanyi-nyanyi kecil.
"Anak teruna tak elok menyanyi kat dapur. Nanti dapat isteri tua," ujarku ingin mengusik. Selepas itu kedengaran dia ketawa kecil. Keadaan menjadi sunyi.
"Kaduk?"

"Ermm..." Dia menyahut. Sedap pula bunyinya pada pendengaranku.

"Apa yang kau cakap semalam... Kau betul-betul serius ke waktu tu?"

"Yang mana satu?" Kepalanya terpacul di muka pintu. Asyikin turut merenung aku. Dia juga seperti berminat ingin tahu.

"Masa kat Tokyo Tower tu." Kataku perlahan.

"Ohh... Kau rasa?" katanya sambil merenung tajam. Bibirnya melemparkan senyuman yang menggoda. Aku mengetap bibir. Wajahku terasa hangat. Aku menyumpah diri sendiri kerana membangkitkan soal itu. Dia masih di situ menantikan jawapan.
"Hi Syah!"
"Ammar..." Hatiku berdebar melihat dia muncul. Aduh! Tampannya dia dengan kain pelekat. Kalau Mar Iskandar tahu, pasti dia serik hendak memakai kain pelekat di hadapanku. Pakai begitu sudah tertarik. Belum lagi Mar Iskandar memakai baju melayu lengkap bersamping. Mahu aku pandang tidak berkelip.
"Hari ni kita nak jalan ke mana pula?" Soalnya padaku.
"Sea paradise!" Jawab aku dan Asyikin serentak.
Jam sudah menunjukkan pukul sepuluh malam. Aku menghempaskan tubuh di atas tilam. Dari Sea Paradise tadi, kami melawat pula sekitar Sakuragicho. Puas menjelajah dari Cosmo World sampailah ke China Town. Seharian berjalan membuatkan kaki naik rasa lenguh dan sengal. Badan pun penat yang amat sangat. Tetapi hatiku sakit. Kenapa dia harus berkata begitu? Kenapa tidak senang melihat aku bahagia? Apa salah aku sehingga dia sanggup menuturkan kata-kata yang menghiris kalbu?
Monolog Carl Duke Adam
Kebisuannya tadi mendera aku. Aku tidak tahu dia marahkan siapa. Tetapi yang pasti dia sedang marahkan seseorang. Raut wajahnya mempamerkan segalanya. Dia jarang marah. Lebih suka memendam rasa. Bila ada yang tidak kena, mesranya akan hilang dan diganti wajah masam mencuka. Kalau dia cuba bergurau pun akan nampak janggal. Jelas dia berbohong apabila aku bertanya tadi.
Akasyah, kita kenal bukan sehari dua. Sejak usia belasan lagi sudah saling memahami hati budi masing-masing. Masakan dengan aku pun kau masih mahu berahsia. Luahkanlah padaku, sayang. Jangan Gunung Fuji meletup kerana amarahmu itu.

Episod 52: From London With Love III
Angin Futako-Tamagawa membelai lembut pipiku. Sejak berada di Jepun jerawat aku sudah beransur pulih. Mungkin di sini aku kurang makan yang berminyak. Barangkali air dan udara di Jepun ini jauh lebih bersih daripada tanahair sendiri. Kaduk pun kata yang aku makin manis. Seingat aku dia tidak pernah memuji lebih-lebih. Dalam surat dan emel dia suka memulakan dengan 'Nurul Akasyah yang manis'. Pada mulanya aku rasa pelik. Kemudian baru aku teringat yang dia pernah memberitahu yang dia sudah membaca nota pemberianku. Nota yang tersimpan dalam balang kaca yang dipenuhi dengan bintang-bintang comel.
"Maaf. Aku dah terpecahkan hadiah kau yang kau beri. Dan, aku dah terbaca nota ungu kau tu." Dia mengaku dengan sejujurnya.
"Yang mana satu?" Soalku setelah gagal mengingati hadiah yang cuba dimaksudkannya itu.
"Dalam balang kaca, hadiah hari lahir aku yang ke-19."
Entah apalah yang aku tulis pada dia dalam nota itu. Yang pastinya ayat skema. Dalam emel dan poskad Kaduk pun suka menulis ayat skema. Penuh bunga-bunga. Bukankah dia wakil sekolah dalam debat ala parlimen. Carl Duke Adam, pendebat terbaik Bahasa Inggeris. Malah debat ala parlimen dalam Bahasa Melayu juga dia turut serta walaupun sekadar simpanan.
Baru semalam Kaduk dan teman-temannya tiba semula di Tokyo. Selepas dua hari berada di sini tempoh hari, mereka bergerak ke bahagian utara dengan menaiki van yang disewa beramai-ramai. Pulau Hokkaido pun sudah dijejak oleh mereka. Selepas itu mereka turun semula menuju ke bahagian barat pulau Honshu. Melawat kawasan Hokuriku seperti Niigata, Nagaoka dan sebagainya yang mana ada ditempatkan pelajar Malaysia. Sempat juga menziarahi markaz tabligh di Fukui. Dan selepas itu, mereka kembali semula ke Tokyo.
Jauhnya mereka berjalan. Sedangkan aku yang belajar di Jepun sendiri masih tidak berkesempatan ke sana.
Setelah hampir seminggu melancong sekitar kawasan di bahagian utara dan barat Jepun, jadi hari ini mereka memilih untuk bersantai di tepi sungai di Futoka-Tamagawa Station. Sungai yang memisahkan antara Tokyo dan Kanagawa-ken. Malam semalam Akhi Ammir menjemput aku untuk menyertai mereka berkelah. Aku terus sahaja menyatakan persetujuan tanpa banyak soal.
"Duduklah diam-diam. Aku nak lukis pun susah," kata Kaduk.
Aku tersentak. Baru perasaan yang dia duduk tidak jauh dari aku. Dengan sebatang pensel, dia menconteng buku bersaiz A4 di tangannya. Wajahnya yang berkerut-kerut menggambarkan betapa seriusnya dengan dia dengan apa yang sedang dilakukannya. Sesekali dia melirik ke arahku.
"Ermm..." Aku melarikan pandangan pada Akhi Ammir dan adiknya, Mar Iskandar yang sedang sibuk membakar ayam dan daging.
"Aku ada buat kau marah ke, Syah?" Soal Kaduk tiba-tiba.
"Tak adalah. Kenapa kau tanya macam tu?"
"Masa mula-mula kita orang datang, kau okey aja. On the way balik dari Sea Paradise hari tu, muka kau tiba-tiba jadi monyok semacam. Kenapa?"
"Sebab penat kot," jawabku acuh tidak acuh.
"Tak seronoklah macam ni. Aku datang dari jauh. Alih-alih kau masam muka. Rasa macam ada buat silap aja dengan kau. Betul kan? Maaflah. Aku ni suka bergurau dengan kau. Mana tahu dalam bergurau tu kau terasa pula." Kali ini dia bercakap dengan memandang mataku.
"Kan aku dah kata, aku bukannya marahkan sesiapa. Mungkin aku penat hari tu."
"Habis tu, kenapa hari ni pun nampak macam tak ada mood juga?"
Malas hendak menjawab lagi pertanyaannya. Aku memilih untuk diam. Aku harap dia mengerti. Hilaian tawa teman-temannya yang lain memecah kesunyian. Aku terus termenung jauh.
"Dah siap!"
Kata-katanya mematikan lamunanku. Aku menyambut buku lukisan yang dihulurkan padaku. Lukisan hanya diconteng dengan pensel itu aku belek dengan penuh minat.
"Cantik! Aku tak pernah tahu kau boleh melukis sebegini cantik."
"Aku tak ada duit nak beri, Syah," ujarnya sambil ketawa kecil.
"Pujian aku ikhlas, Kaduk." Dia tersenyum.
"Pernah aku beritahu yang masa kecil dulu aku pernah bercita-cita nak jadi arkitek?"
Aku menggeleng.
"Tapi muka aku ni, kau lukis lebih cantik daripada yang sebenar." Dia melukis aku dalam keadaan yang paling cantik yang pernah aku lihat. Aku tidak ubah seperti bidadari. Wajahku berseri-seri. Lembut.
"Kau terlalu merendah diri. Tak baik begitu. Apa yang aku lukis tu adalah apa yang aku nampak pada kau selama ni." Kejujuran terpancar di wajahnya. Mendengar penjelasannya buat aku terharu. Aku tahu dia bukan sekadar bercakap untuk menyedapkan hati.
"Kau orang berdua nak ayam?" sampuk Mar Iskandar sambil menunjukkan sepiring ayam yang sudah siap dibakar. Aku segera berpaling. Memandang wajahnya membuatkan aku sakit hati!
"Syah?" Mar Iskandar bersuara lagi. Aku rasa jelak mendengarnya.
"Kalau nak nanti, aku tahu ambil sendiri!" Aku membalas dengan sombong sekali. Biarkan dia terasa hati. Aku nampak wajahnya sudah berubah.
"Tak apalah, Ammar. Letak aja di sini." Ucap Kaduk setelah dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan sikap aku.

Episod 53: From London With Love IV
Sebaik sahaja Mar Iskandar meletak piring tersebut di atas alas plastik tempat duduk kami, aku sudah berkira-kira untuk pulang sahaja. Mood aku tiba-tiba menjadi kurang baik. Ada eloknya jika aku beredar dari sini sebelum ada orang lain yang terkena tempiasnya.
"Rasanya aku nak balik dululah," kataku lalu bingkas bangun.
"Takkan dah nak balik. Makan pun tak lagi. Jamahlah sikit. Kemudian baru balik." Kaduk masih cuba berdiplomasi dengan aku. Dia turut sama bangkit.
"Tak apalah. Sebelum datang sini tadi, aku dah makan sikit. Kenyang lagi ni," jelasku sambil sesekali melirik pada Mar Iskandar yang dari tadi membisu seribu bahasa.
"Assalamualaikum."
Aku segera angkat kaki. Kaduk dan Mar Iskandar terpinga-pinga dengan tindakan aku itu. Entah mengapa aku rasa benar-benar marah pada Mar Iskandar. Dia seperti lupa apa yang dikatanya padaku sewaktu berada di Sea Paradise tempoh hari. Dia...
Sudahlah! Untuk apa dikenang lagi jika sekadar menambah bebanan jiwa, bisik hati kecilku.
"Dah nak balik, Syah?" Sapa Akhi Ammir waktu aku berselisih dengannya.
Aku mengangguk lalu meminta diri untuk beredar. Kaduk membontoti dari belakang sambil memanggil-manggil namaku. Aku pura-pura tidak dengar. Ternonong sahaja berjalan sehingga ke station.
Sampai sahaja di depan mesin pembelian tiket. Aku membuka kantung wang syiling dengan tergesa-gesa. Oleh sebab itu bertaburanlah kepingan-keping wang syiling jatuh ke lantai. Aku merungut-rungut dalam hati lalu mengutip duit yang jatuh.

Syaitan pasti ketawa besar, meraikan kemenangannya kerana telah berjaya menguasai diri aku. Bukankah syaitan itu mengalir dalam saluran darah anak adam. Dalam erti kata lain, syaitan itu berada dalam tubuh badan manusia. Dengan hanya mengingati Allah dan berzikir sahaja dapat mampu mengalahkannya. Aku mengambil nafas panjang. Cuba beristighfar beberapa kali sehingga aku yakin jiwaku betul-betul tenang.
Sepasang kaki berdiri di hadapanku. Ada sekeping wang 500 yen di telapak tangannya lalu diserahkan padaku.
"Arigatou..." Aku mengangkat muka untuk memandang wajah orang tersebut. Dia meleretkan senyuman.
"Syah."
"Ya?"
"Ambillah ni... buat bekal makan malam nanti." Akhi Ammir menghulurkan plastik yang berisi ayam dan daging yang sudah dibakar.
"Terima kasih. Buat susah-susah aja." Aku terasa malu pada Akhi Ammir. Dia mengesat peluh di dahinya dengan hujung lengan baju. Pasti kepenatan mengejar aku tadi. Nafasnya turun naik.
Bebola mataku terarah pada Kaduk yang sedang mendekati kami. Aku jadi tidak keruan. Kenapa dia mesti mengejar aku? Aku mahu sendiri. Biarkan aku sendiri.
Akhi Ammir meminta izin pulang semula ke tempat perkelahan mereka. Sebelum itu dia sempat menepuk bahu Kaduk yang sudah berada di sebelahnya. Seolah-olah meminta lelaki itu cuba memujukku.
"Jom kita minum dulu, Syah. Aku belanja."
"Tak apalah. Aku nak cepat ni."
"Nak cepat apanya. Bukan ada suami tunggu di rumah tu." Sempat lagi mengusik aku. Wajahku yang tadi masam mencuka tadi merona kemerahan. Malu diperkatakan begitu. Nampak sangat sikapku yang kebudak-budakan.
Kaduk memilih sebuah kafe yang letaknya tidak jauh dari tempat kami berdiri.
"Irashaimase!" Pekerja kafe menyambut kami dengan suara yang cukup bersemangat. Begitulah budaya di Jepun. Setiap kedai akan buat begitu. Pelanggan cukup diutamakan. Aku memesan cafe latte manakala Kaduk pula memilih cappucino. Kami duduk di meja panjang yang mengadap pemandangan luar.
"Aku tak tahu apa yang Ammar katakan pada kau. Tetapi apa pun, aku tahu niat dia baik." Kaduk memulakan bicara. "Kau sendiri tahu dia tak biasa dengan perempuan. Adik-beradiknya semua lelaki. Kalau bercakap dengan perempuan tu, dia nampak tegas sikit. Walaupun pada hakikatnya dia sekadar ingin menegur, memberi nasihat. Mungkin caranya saja nampak keras." Katanya lagi dengan panjang lebar.
"Ermmm..." Aku membuang pandangan ke luar tingkap kaca. Ramai benar orang lalu-lalang. Kebetulan hari ini merupakan hari ini Ahad. Jadi hujung minggu beginilah orang akan pergi bersiar-siar dan membeli-belah bersama keluarga dan teman.
"Cuba cakap apa puncanya? Mana tahu aku boleh tolong."
"Tak ada apa-apa, Kaduk. Kita cakap pasal lain okey." jawabku acuh tidak acuh.
"Jangan macam ni. Takkan dengan aku pun kau nak buat musuh. Kau boleh beritahu pada aku apa saja. Kita kawan baik, kan?" Dia masih tidak jemu memujuk.
Aku melepaskan keluhan kecil. Apa yang dikatakan oleh Mar Iskandar tidaklah seteruk mana. Cuma aku yang terasa hati. Masih jelas di ingatan perbualan kami tempoh hari. Peristiwa yang menjadi titik tolak aku melancarkan perang dingin ke atas Mar Iskandar.
"Rapat betul enti dengan Kaduk." Mar Iskandar menegur aku.
"Biasa aja," balasku ringkas.
"Ana bukan nak halang enti baik dengan dia. Tapi..."
"Tapi apa?"
"Enti tahu Kaduk tu orangnya bagaimana. Maksud ana, tentang kawan dia sebelum ini... Nur Jannatul Adnain."
"Jadi?" Aku tidak dapat melihat kaitan antara aku dan Ain.
"Biasanya lelaki yang faham tentang agama akan pilih perempuan yang begitu. Perempuan yang menutup auratnya dengan sempurna." Dia melirik pada aku. Kebetulan pada waktu itu, aku memakai jeans, jaket labuh dan selendang bawal tiga segi.
Aku mula rasa lain macam. Apa yang dia ingin katakan padaku. Renungan matanya merimaskan. Aku sendiri tidak suka diperlakukan begitu oleh lelaki.
"Apa yang kau cuba nak cakap sebenarnya? Terus-terang saja. Tak perlu nak berkias-kias. Aku tak faham." Tegasku. Suara aku terketar-ketar jadinya kerana cuba mengawal perasaan marah yang sudah bertunas di hati.
Dia masih tenang. Aku tahu aku tidaklah sebaik semana. Tetapi dia tidak seharusnya memandang rendah pada orang lain. Adakah dengan berpakaian biasa-biasa aku dianggap perempuan yang tidak baik? Tidak layak untuk orang-orang seperti dia? Apa hak dia hendak menjatuhkan hukum ke atas aku? Apakah dia kasyaf sehingga boleh baca isi hatiku? Mengetahui segala amalanku? Buruk baikku?
Aku terus angkat kaki tanpa perlu menanti penjelasannya lebih lanjut. Kata-katanya nanti mungkin akan buat hatiku terus terluka. Orang yang paling aku kagumi, minati dan hormati selama ini sanggup menuturkan sedemikian rupa. Hatiku rasa seperti ditoreh, dilapah. Jika terus berada bersamanya di situ aku tidak fikir aku boleh menahan amarahku. Lebih baik aku pergi jauh dari dia!
"Aku tahu aku ni tak seayu perempuan lain. Aku sedar siapa diri aku. Tapi bila kawan sendiri cakap macam tu aku terasa. Rasulullah sendiri kalau nak nasihat orang Baginda pilih bahasa yang paling baik, paling lembut. Sampai orang tu sendiri tak sedar yang sebenarnya dia kena tegur.
Aku sedih sebab biasanya orang yang macam Mar tu suka menghukum sesuka hati. Kata orang tu baik, orang ni tidak. Sedangkan apa usaha dia nak tegur aku selama ni. Ada dia bagi tazkirah pada aku macam kau selalu bagi pada aku tu? Kalau aku tegur dia dalam Y!M pun kadang-kadang aku rasa dia macam tak layan acuh tak acuh aja. Agaknya dia ingat aku nak tackle dia. Aku pun tahu. Orang macam aku ni, sebelah mata pun dia tak pandang."
"Tak baik cakap macam tu. Ammar tak seburuk yang kau sangkakan. Aku kenal hati budi dia. Mana tahu kau tegur tak kena masa." Tutur Kaduk lembut.
"Takkan busy dua puluh empat jam." Balasku dengan suara mendatar.
Kaduk hanya membisu.
"Kita tak tahu isi hati orang tu, amalan dia bagaimana. Selalu kita anggap orang duduk lepak tepi jalan jenis yang tak tentu hala. Tetapi pernah tak kita tergerak hati untuk pergi sembang dengan meraka, tanya masalah dan sebagainya. Tak kan? Kita lebih suka menghukum orang.
Aku cakap macam ni bukanlah sebab nak tunjuk aku ni seorang yang baik. Aku sendiri sedar aku tidaklah sebaik mana. Terlalu banyak kelemahan dan kekurangan. Aku sedang berusaha untuk cuba jadi insan yang baik. Aku cuba dan terus mencuba. Hanya Dia lebih mengetahui apa yang aku buat selama ini." Kataku lagi sedikit sebak.
"Aku tahu kau bukan lagi Nurul Akasyah yang dulu. Mungkin luarannya nampak sama, tapi dalaman kau dah berubah. Kalau Ammar ada sini dan dengar kata-kata kau tadi, aku pasti dia akan tarik balik kata-kata dia tu. Maafkanlah dia..."
"Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata..." Air mata ini bagai mahu menitis. Aku tahan sekuat hati. Jangan menangis. Aku sudah puas menangis sejak datang ke Jepun ini.
"Janganlah macam ni. Aku tak suka tengok kau sedih." Kata Kaduk. "Ammar, please do something..." Katanya lagi seolah-olah Mar Iskandar berada bersama kami saat ini.
"Ukhti... ana minta maaf. Ana tahu kata-kata ana tempoh hari menginggung perasaan enti." Ucap satu suara dari belakang kami.
"Orang macam aku mana layak dipanggil 'ukhti'. Panggilan tu hanya untuk orang-orang baik saja. Aku mana layak kan!" Tempelek aku sinis.
"Ana sedar akan kesalahan ana tempoh hari. Ana bukanlah insan sempurna. Ana juga tidak lepas dari melakukan kesilapan. Maafkanlah ana." Katanya seolah merayu.
Aku merenungnya dalam-dalam. Cuba mencari keikhlasan di sebalik seraut wajah tenang itu.
"Esok kami semua akan berangkat dari sini. Ana tak mahu pergi dengan perasaan bersalah pada enti. Ana tahu yang ana tak sepatutnya lontarkan kata-kata itu pada enti tanpa mengenali enti dengan mendalam. Enti dah luangkan banyak masa, tenaga dan wang sepanjang menemankan kami di sini tanpa meminta balasan. Budi enti tabur pada kami tetapi ana balas dengan tuba. Ana dah sakitkan hati enti. Masya-Allah... teruk benar ana ni." Katanya lagi seperti orang yang menyesal yang teramat sangat.
Aku hanya membiarkan dia terus bersuara. Sememangnya aku cukup sensitif dengan kata-kata orang lebih-lebih daripada seorang lelaki. Paling penting dia adalah lelaki yang kuhormati kerana ketinggian budi pekertinya. Selama ini aku keraskan hati setiap kali ada lelaki yang mengejekku, walaupun niat mereka hanya mahu bergurau dan menguji. Tetapi selalunya gurauan mereka melampaui batas sehingga menghiris kalbu. Aku hanya melawan andai kesabaranku dicabar. Aku juga punya perasaan. Aku tidak rela diperlekehkan sewenang-wenangnya. Aku tidak mahu nampak seperti lemah.
Hanya dengan Kaduk aku boleh bersabar. Dia pun tidak akan mengusik aku berlebih-lebihan, tidak sampai tiga kali. Gurauannya boleh aku terima. Aku hanya boleh menerima tiga kali gurauan. Jika lebih, aku tidak akan melayan lagi. Begitu juga apabila aku bertanya pada seseorang. Kalau tiga kali aku bertanya dengan serius dan tiga kali aku diberi jawapan main-main, maka aku tidak akan bertanya lagi. Noktah.
"Lupakan aja pasal tu. Anggap perkara ni dah selesai. Aku pulang dulu ya." Kataku pada Mar Iskandar. "Kaduk, terima kasih sebab belanja aku." Sambungku lagi sambil memandang wajah teman yang paling memahami diriku.
"Enti tak maafkan ana lagi..." Kata Mar Iskandar dengan suara mendatar.
"Anggaplah perkara ni dah selesai." Ulangku lagi tanpa mengucap kata maaf.
Aku pun beredar dari situ. Mahu merawat sekeping hati yang dilukai. Kata-kata maaf dari Mar Iskandar sedikit sebanyak berjaya menyucikan hatiku yang disaluti amarah.
Aku berlindung dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dari gangguan syaitan yang terkutuk. Moga kemarahan ini akan terpadam!

Episod 54: From London With Love V

"Jaga diri baik-baik." Ucap Kaduk perlahan.

Aku mengangguk lemah. Dalam separuh rela, aku melepaskan dia pergi. Kalau boleh, aku mahu dia lebih lama di sini. Tetapi apakan dayaku. Hampir sebulan mereka berada di Jepun. Hari ini tibalah masanya mereka bertolak ke Nagoya dan seterusnya terbang pulang ke tanahair untuk menghabiskan baki cuti musim panas bersama-sama keluarga pula.

Sebelum melangkah masuk ke dalam van, Kaduk menyerahkan sebuah bungkusan kepadaku. Sejurus selepas itu, dia dan teman-temannya mengucapkan selamat tinggal. Mataku mengiringi pemergian mereka sehingga van hitam itu hilang dari pandangan.

Hatiku sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui isi kandungan bungkusan tersebut. Dengan berhati-hati, aku mengoyak pembalut bercorak merah hati itu. Aku menarik keluar sebuah buku dan sekeping surat biru.

Assalamualaikum Warahtullah,

Salam teristimewa buat teman yang sentiasa mengisi hari-hariku dengan penuh ceria. Mudah-mudahan sentiasa bahagia dan berada lindungan rahmat Allah swt.

Nurul Akasyah yang manis,
Bumi sakura telah mempertemukan kita sekali lagi setelah dua tahun kita terpisah. Setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang keemasan ini untuk melawat negara yang menjadi kebanggaanmu ini. Terlalu banyak cerita tent

Episod 55: Andai Kau Pergi
Aku baru sahaja tiba dari rumah Abang Zaidi, menemankan Kak Ina yang kurang sihat. Penat masih bersisa. Tanganku menghidupkan laptop kesayangan. Telefon bimbit yang kehabisan bateri dicaj semula. Hadiah pemberian Kaduk semalam diletakkan di atas meja tulis. Selepas itu aku pergi ke bilik air. Mandi sepuas-puasnya, membuang panas dalam badan. Maklum sajalah sekarang sudah masuk musim panas di Jepun ini. Panasnya lain macam. Tetapi panas lagi semasa di padang mahsyar yang mataharinya cuma sejengkal dari kepala. Pastinya berganda-ganda lagi panas neraka Allah. Nauzubillah, minta dijauhkan.
Keluar sahaja dari bilik air, badanku rasa segar-bugar. Aku melangkah ke dalam bilik untuk menyarung pakaian. Aku dapati telefon bimbit Sony Ericson milikku berkelip-kelip. Mesej agaknya, bisikku dalam hati. Aku membiarkannya sahaja. Waktu itu sudah menunjukkan jam lima petang.
Selesai berpakaian, aku mengambil gelas lalu terus menjenguk peti sejuk. Aku memasukkan tiga, empat ketul ais batu dan kemudian menuang air oren sehingga penuh. Aku bersila mengadap laptop sambil memerhati mesej Yahoo Messenger yang tertera di kaca monitor.
"Al-Fatihah buat sahabat dari UK, Carl Duke Adam yang meninggal dunia pada jam 4.30 petang tadi."
Aku tergamam. Carl Duke Adam?
Aku cuba membacanya beberapa kali. Mana mungkin. Pasti aku tersilap. Aku menggosokkan mata pula. Mana tahu mataku letih sampaikan nama orang lain aku nampak seperti nama Kaduk. Tetapi masih tiada perubahan. Memang benar nama yang tertulis itu adalah nama lelaki yang baru sahaja meluahkan perasaannya padaku. Aku beralih pada status Yahoo Messenger beberapa orang rakan. Sama juga.
Waktu itu dadaku sudah tidak dapat lagi menahan sebak. Rasa dunia ini gelap-gelita. Air mataku gugur tanpa henti. Ya-Allah... Kenapa mesti akhirnya begini? Rintihku dalam hati. Aku menangis semahunya. Hanya itu yang aku dapat mampu lakukan untuk meredakan kesedihan yang menggunung di dalam kalbu ini.
Aku mengalihkan pandangan ke telefon bimbit. Lampunya berkelip-kelip lagi. Aku segera mencapainya. Masya-Allah! Banyaknya missed call, voice message! Hati aku bagai mahu menjerit. Rupanya aku setkan telefon itu kepada 'silent mode'. Padanlah tidak berbunyi langsung!
Aku mengesat hujung mata yang kembali basah. Jadi benarlah Carl Duke Adam sudah tiada lagi. Kalau tidak, masakan Akhi Ammir cuba menghubungiku berkali-kali. Pasti dia mahu mengkhabarkan berita sedih itu. Bukankah dia berada bersama-sama Kaduk semalam. Sudah mestinya dia lebih mengetahui apa yang telah terjadi.
Aku cuba menghubunginya beberapa kali namun ianya sia-sia. Aku jadi semakin takut. Lebih kurang jam enam petang. Telefon aku berdering lagi. Aku hampir sahaja mahu menangis apabila melihat nama yang tertera pad skrin LCD telefon tersebut. Aku mengetam bibir. Cuba mencari kekuatan yang masih tinggal.
"Dah banyak kali Akhi cuba contact. Syah pergi mana?" Suara Akhi Ammir tenggelam timbul di hujung talian.
"Akhi... betul ke Kaduk dah..." Empangan air mataku pecah lagi.
"Akhi call ni sebab nak beritahu pasal Kaduklah..." Katanya lagi dengan suara yang tersekat-sekat.
Ya-Allah! Tak mungkin... Tak mungkin... Kau selamatkanlah temanku itu.
Kini aku berada perut shinkansen (bullet train) dalam perjalanan menuju ke Nagoya. Sebaik sahaja menerima panggilan dari Akhi Ammir tadi, aku cepat-cepat bersiap. Dalam hati tidak putus-putus berdoa agar temanku tidak apa-apa. Cuba mengharapkan keajaiban yang akan berlaku untuk selamatkan dia.
Tepat jam lapan tiga minit malam, Shinkansen Toukaidou mula meluncur meninggalkan Tokyo Station. Aku terus sahaja membaca surah Yaasin. Baru sahaja melafaz ayat pertama, air mataku bercucuran tanpa henti. Dalam sendu, aku berjaya juga menghabiskannya sebanyak tiga kali bacaan.
Selepas itu aku ke wash room untuk membasuh muka. Naik sembab mataku kerana terlalu banyak menangis. Aku kembali ke tempat duduk. Mujur aku duduk berseorangan di situ. Bolehlah aku menangis sepuas-puasnya tadi. Tetapi mata penumpang yang berdekatan memerhatikan aku. Mungkin mereka mendengar esakan aku tadi. Malunya.
Aku menarik keluar diari biru dari dalam beg. Diari yang menjadi tempat aku luahkan segala-galanya. Surat biru pemberian Kaduk terselit di celahnya. Aku membawa surat itu ke dada. Kesedihan menghimpit lagi. Mataku sudah bergenangan. Sudahlah Akasyah. Jangan kau menangis lagi, bisik hati kecilku menghulurkan secebis semangat.
Aku memegang sebatang pen. Hajatku ingin menulis semula kejadian itu seperti mana yang diceritakan oleh Akhi Ammir dalam perbualan kami lewat petang tadi.
28 August 2004, Saturday
Mereka bertolak dari Student House dalam lingkungan jam lima, empat petang. Petang itu cuaca cerah seperti biasa. Tetapi kemudian nampak makin gelap, mendung. (Kaduk nampak sedikit muram berbanding hari sebelumnya. Mungkin dia sudah dapat merasakan ada sesuatu yang buruk akan menimpa dirinya. Wallahu 'alam...)
Oleh kerana sudah penat memandu, kali ini mereka memilih untuk menggunakan lebuhraya pula. Hendak cepat sampai. Dalam separuh perjalanan, hujan mulai turun rintik-rintik. Selepas itu, tiba sahaja di kawasan selatan Toyohashi, hujan turun dengan lebatnya. Waktu itu Akhi Ammir masih memandu pada kelajuan biasa. Tetapi siapa sangka keluar sahaja dari terowong, hujan turun lebih lebat daripada sebelumnya. Akhi Ammir ternampak kereta yang berada di hadapan mereka seperti hilang kawalan. Pemandu kereta tersebut cuba perlahankan kelajuannya tetapi keretanya berpusing-pusing lalu menggelungsur. Akhi Ammir tidak sempat mem'break' (mungkin ditambah dengan permukaan jalan raya yang licin) lalu van mereka terlanggar bumper kereta hadapan tadi.
Waktu van mereka berlanggar, Akhi Ammir nampak segalanya dengan jelas. Selepas itu, pemandu kereta depan cuba membawa keretanya ke tepi tembok jambatan dan bergegas keluar dari keretanya. Mungkin takut dilanggar oleh kereta lain pula. Akhi Ammir dan yang lain keluar dan menolak van yang berada di tengah jalan ke tepi kerana selepas berlanggar tadi enjinnya tidak berjaya dihidupkan. Ada di antara mereka yang melambai-lambai pada kereta yang lain supaya minta berhenti, jangan keluar dari terowong tersebut.
Tetapi selepas itu mereka berlari ke tepi jalan kerana kereta yang datang laju-laju belaka. Dalam sekelip mata, kereta itu melanggar van mereka sehinggakan hampir hancur jadinya. Akhi Ammir dan yang lain-lain bersyukur kerana mereka sudah keluar dari perut van tadi. Hampir lapan buah kereta yang terlibat termasuk van mereka. Semuanya berlaku di depan mata. Dalam hujan lebat dan angin kencang, mereka duduk terketar-ketar di bahu jalan sementara menanti polis tiba di tempat kejadian.
Apabila polis sampai, mereka memastikan bilangan orang cukup atau tidak. Rupa-rupanya salah seorang daripada mereka tiada di situ, Carl Duke Adam. Mereka jadi risau. Dalam hati masing-masing sudah meramalkan yang bukan-bukan tetapi cuba yakinkan diri sendiri sebaliknya. Mungkin Kaduk pergi meminta bantuan. Tetapi malang tidak berbau, Kaduk dijumpai terjatuh dari jambatan lebuhraya tersebut. Jarak antara tanah(gaung) dan jambatan itu lebih kurang tinggi bangunan tiga, empat tingkat. (Moga-moga Allah selamatkan dia. Baru semalam dia mengusik aku.)
29 August 2004, Sunday
Malam tadi mereka terpaksa bermalam di balai polis. Jam lima pagi baru dua orang senior dari Toyohashi datang menjemput mereka semua (kecuali Kaduk). Dan, dengan murah hati menawarkan diri untuk menghantar mereka sehingga ke Nagoya. Waktu itu keadaan sebenar Kaduk masih belum diketahui. Pada mulanya dia dimasukkan ke hospital di Toyohashi, tetapi kemudian dia terpaksa dipindahkan ke hospital di Nagoya. Waktu itu mereka sudah naik risau, teruk benarkah cederanya. Apabila soalan itu diajukan pada polis, mereka kata Kaduk cedera parah.
Dalam perjalanan ke Nagoya, masing-masing cuba memenangkan perasaan supaya tidak memberi tekanan pada orang yang sedang memandu.
Aku berhenti menulis apabila terdengar pengumuman yang menyatakan aku sudah hampir tiba di Nagoya Station. Aku mengerling jam di tangan. Lama benar aku berkhayal, bisik hati kecilku. Aku menyimpan semula diari biru itu ke dalam beg.
Rupa-rupanya sudah satu jam empat puluh minit berlalu dan kini sedang aku berdiri kaku di atas platform station. Shinkansen Toukaidou bergerak meninggalkan Nagoya Station untuk menuju ke destinasi seterusnya. Aku mengatur langkah ke South Exit. Sudah berjanji dengan Akhi Ammir akan bertemu di sana. Dadaku berdegup kencang. Langkahku terasa berat. Akhirnya aku nampak seseorang melambai-lambai ke arahku. Asyikin!
Aku berlari mendapatkannya lalu terus memeluk batang tubuhnya yang kecil molek. Dadaku kembali sebak. Aku memerhati sekeliling. Akhi Ammir, Mar Iskandar dan seorang lagi lelaki yang aku tidak kenali memandang kami berdua.
"Syikin... Kaduk... Dia... " Bibirku terketar-ketar. Aku sendiri tidak tahu ayat yang bagaimana harus dituturkan.
"Aku tahu... Sabar ya..." Asyikin membalas pelukan aku dengan lebih erat. Seolah-olah hendak memberikan sedikit kekuatannya pada aku.
Mataku bertembung dengan Mar Iskandar. Wajahnya nampak tenang. Dia menghadiahkan aku sebuah sekuntum senyuman. Hambar. Aku pejamkan mata rapat-rapat. Nagoya Station yang hingar-bingar kala itu aku rasakan sepi. Sangat sepi.

Episod 56: Andai Kau Pergi Dulu
Jam dinding sudah berdenting sebanyak dua belas kali. Namun mata ini masih lagi celik. Agak sukar melelapkannya kala hati tidak senang begini. Aku menarik keluar diari biru dari dalam beg. Cuba manfaatkan masa yang ada. Ingin menyambung kembali catatan yang terhenti tadi.
28 August 2004, Sunday
Dalam perjalanan ke Nagoya, masing-masing cuba memenangkan perasaan supaya tidak memberi tekanan pada orang yang sedang memandu. Sampai sahaja di Nagoya, mereka dihantar ke rumah pelajar lelaki Nagoya Institute Of Technology. Kemudian senpai(senior) Toyohashi tadi pergi ke hospital untuk melihat keadaan Kaduk. Akhi Ammir hendak ikut serta tetapi ditegah. Mereka minta semua berehat dulu kerana satu malam suntuk tidak cukup tidur. Akhi Ammir terpaksa akur.
Jam empat petang...
Aku selamat tiba di rumah. (Selepas habis recording semalam, aku terus ke rumah Kak Ina. Menurut mesej Abang Zaidi, isterinya itu kurang sihat. Memang benar. Wajah isterinya nampak pucat. Dalam berbaring masih bersemangat lawan bersembang denganku. Oleh kerana hari sudah larut malam langsung aku diajak tidur di sana sahaja malam itu.) Selesai bersiram, duduk di depan laptop. Terpandang mesej yang tertera. Aku menangis. Menangis sungguh-sungguh. Dia sahabat, dia teman. Mana mungkin...
Tepat jam enam petang telefon berbunyi. Panggilan dari Akhi Ammir. Dia memberitahu Kaduk ditimpa musibah. Mataku sudah bergenangan. Tetapi... syukur alhamdulillah. Dia sudah selamat menjalani pembedahan. Menurut kata akhi lagi, berlaku pendarahan dalam perut temanku itu. Oleh kerana doktor yang merawat risau pendarahan itu mungkin disebabkan oleh organ dalaman seperti hati atau limpa yang pecah, jadi mereka terpaksa melakukan pembedahan. Yang pasti, ususnya yang luka(terkoyak sedikit) dan usus kecilnya ada yang berlubang. Semua sudah dijahit. Mujur tiada urat saraf yang putus. Tetapi Kaduk masih tidak sedarkan diri.
Esok doktor akan scan bahagian otak pula. Waktu itu mereka tidak boleh buat apa-apa kerana mereka tidak tahu keadaan Kaduk waktu dia jatuh. Mungkin kepalanya terhentak berkali-kali. Jadi mereka akan scan dari semasa ke semasa.
Wajah Carl Duke Adam menari-nari di ruang mata. Dia senyum, dia ketawa. Hujung mataku kembali basah. Aku mengesatnya dengan hujung jari. Malam sudah semakin larut. Aku masih terjaga. Bertemankan sinaran neon lampu meja. Aku kembali melarikan mata pena di atas diari biru.
Keadaan dia parah. Tulang tengkuknya patah hingga terkeluar dan menampakkan bonjolan di bahu. Tulang belakangnya pula retak. Tulang rusuknya patah. Kawasan sekitar matanya bengkak dan membiru. Kemungkinan besar ada kaitan dengan pendarahan di bahagian otak. Tekanan darahnya rendah sangat kerana kehilangan darah hampir 1.9liter! Menurut kata akhi lagi, pendarahan otak itu bergantung pada kekuatan Kaduk. Kalau dia terkejut, makin banyak darah yang keluar. Sekarang dia masih lagi berada di ICU.
Setelah mendengar penjelasan yang panjang lebar, aku boleh menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia masih selamat (buat masa ini) dan tidaklah sepertimana berita palsu yang tersebar tadi. Marah juga pada mereka yang mengada-adakan cerita yang tidak berasas. Mujur Akhi Ammir menelefon aku. Mengkhabarkan kejadian yang sebenar. Kalau tidak, pasti aku sudah nanar.
Aku meletakkan pen lalu mengusap tengkuk yang terasa lenguh. Telingaku menangkap bunyi dari luar. Aku segera menjenguk menerusi jendela kamar. Rintik gerimis turun membasahi bumi Nagoya. Dan aku mengelamun lagi.
"Petang tadi kami pergi hospital. Dia dah separuh sedar. Masih boleh bercakap. Tadi dia cuba nak bercakap, gerak-gerakkan tangan... macam cuba nak terangkan sesuatu tapi tak boleh lagi." Terang Mar Iskandar tanpa dipinta.
Aku hanya diam membisu. Dalam hati memanjat rasa syukur. Aku cuba mencari keselesaan pada bangku Oddesey itu. Niatku untuk melihat Kaduk terpaksa dipendamkan sahaja kerana waktu melawat sudah tamat.
"Rabu nanti kami semua akan balik Malaysia." Kata Mar Iskandar lagi.
"Habis Kaduk macam mana?" Pintasku. Sememangnya mereka sudah merancang pulang pada hari tersebut. Tiketnya pun sudah dibeli. Tetapi kasihan Kaduk tinggal keseorangan di sini. Aku sendiri terpaksa pulang ke Tokyo semula petang Selasa nanti. Program internshipku masih belum tamat. Aku mengambil cuti dua hari semata-mata untuk melawat Kaduk di sini. Mujur bos aku baik hati orangnya.
"Ana dah contact famili dia. Insya-Allah, pagi esok mereka sampai."
Aku mengangguk lemah. Mujur temanku itu datang dari keluarga yang berada. Kalau berlaku musibah begini, mereka tidak punya masalah kewangan untuk datang ke mari.
Jam berdenting lagi. Aku tersedar dari lamunan panjang. Sudah jam dua pagi, bisik hatiku. Aku melabuhkan diri di sebelah Asyikin.
Pejamlah duhai mata. Esok kau pasti akan menatap wajahnya. Aku tahu kau juga merindui seraut wajah tenang itu. Tidurlah. Aku memujuk mata yang enggan lelap.
Akhirnya aku dibuai lena...

Episod 57: Andai
Pagi ini sinar mentari cerah daripada biasa. Bukan lagi mendung seperti dua hari yang lalu. Aku sedikit lega. Mungkin petanda baik yang Kaduk akan sembuh, kata hatiku sekadar memberi harapan.
"Tak mahu hantar kami di airport nanti?" Suara Mar Iskandar di corong telefon mematikan lamunanku.
Perlukah aku berbuat demikian, soal aku pada diri sendiri.
"Nampaknya Syah masih marah. Bukankah ana dah minta maaf." Katanya lagi dengan suara yang sedikit kendur. Mungkin terasa hati dengan sikap aku yang masih dingin.
"Bukan macam tu. Aku sebenarnya tak ada mood." Jelas aku. Risau juga jika benar Mar Iskandar benar-benar jauh hati dengan aku. Semalam dalam kereta dia cuba hendak berbual dengan aku. Cuma aku sahaja yang acuh tidak acuh. Penat barangkali.
Petang itu aku pergi melawat Kaduk di hospital. Keluarganya sudah tiba. Aku bersalaman dengan Auntie Sufiah. Dia keseorangan di situ menemankan anaknya.
"Keadaan dia dah stabil. Ubat biusnya semalam dah hilang." Terang Auntie Sufiah.
Aku hanya mengangguk. Pandangan aku jatuh pada mesin yang menunjukkan kadar degupan jantung. Silih berganti dengan Kaduk yang masih dibantu dengan alat pernafasan.
"Sufiah!"
Suara perempuan dari arah belakang mengejutkan kami berdua.
"Mama." Auntie Sufiah terus memeluk wanita itu. Aku kira dia berbangsa Eropah berdasarkan raut wajahnya.
"Carel, apa dah jadi dengan cucu mama." Kata wanita itu dengan pelat Inggeris yang agak pekat.
Carel? Mungkin itu nama Uncle Soufi sebelum masuk Islam dahulu. Nama Kaduk juga pelik. Ah! Semua nama adik-beradiknya pelik-pelik.

Tetiba-tiba tanganku ditarik lembut oleh seseorang.

"Kita sembang di luar." Kata Auntie Sufiah.

Aku sempat berpaling pada Kaduk. Aku akan datang lagi esok sebelum pulang ke Tokyo, janjiku padanya dalam hati.

"Dia kawan kepada Adam. Namanya Akasyah. Nurul Akasyah." Auntie Sufiah memperkenalkan aku kepada wanita berumur lebih separuh abad itu.

"Ini nenek Adam. Ibu pada Uncle Soufi."

Nenek Aisyah memeluk dan mencium kedua-dua belah pipi aku. Aku seperti orang bingung hanya membiarkan sahaja perlakuan Nenek Aisyah.

Keesokan harinya aku datang lagi. Dia masih belum sedarkan diri. Masih terbaring kaku di atas katil. Wayar berselirat di tubuhnya yang berbalut di sana sini.
"Jangan risau. Dia takkan apa-apa." Sapa satu suara dari belakang.
Nenek Aisyah! Aku segera bangkit.
"Dia tak ubah seperti mendiang datuknya. Suka berjenaka. Baik hati tetapi tegas dalam buat keputusan. Kuat semangat. Ambil berat tentang orang lain lebih daripada dirinya sendiri. Memang cucu kesayangan datuknya." Kata Nenek Aisyah sambil mengusap-mengusap tangan cucunya.
Aku hanya memerhati. Dalam pada itu cuba menangkap apa yang disampaikan oleh wanita itu. Bahasa Inggerisnya agak pelik. Mungkin dia sudah sebati dengan bahasa ibundanya, Dutch.
"Grandma pernah dengar nama kamu dari mulut dia. Kamu berdua teman baik ya?"
Aku mengangguk sambil melemparkan senyuman manis.
"Jagalah dia baik-baik. Adam tidak banyak kerenah orangnya. Senang sahaja melayan dia." Katanya lagi sambil tersenyum padaku.
Aku sedikit kaget. Mungkin nenek Kaduk menyangka kami berdua punya hubungan istimewa. Disuruhnya aku jaga cucunya baik-baik. Seolah-olah menyerahkan cucunya pada aku. Mahukah aku? Jika diberi lelaki sebaik Carl Duke Adam tiada siapa akan menolak. Cuma aku sahaja yang rasa tidak layak. Kata-kata Mar Iskandar kembali menerpa ingatan.
"Tak perlu sorok-sorok. Grandma pun pernah muda dulu. Faham benar."
Grandma tak faham, bentak hatiku. Kaduk baru saja kata, andai salah seorang di antara mereka punya perasaan lebih dari seorang teman, bagaimana reaksi aku. Andai... Maknanya hanya satu andaian sahaja. Dia tidak pula mengatakan dia benar-benar sudah jatuh hati pada aku. Dia juga memberikan buku tempoh hari bukan dengan niat mahu aku menggantikan tempat Ain. Dia sendiri kata begitu. Aku harap tekaan aku betul.
"Adam suka menunggang kuda. Waktu kecil lagi, dia sudah mengikut datuknya pergi ke kawasan pedalaman Holland. Sebagai cucu dari keturunan bangsawan, dia perlu mahir menunggang kuda dan berenang. Dia juga boleh memanah."
Kaduk boleh memanah? Aku sudah membayangkan dia seperti Orlando dalam filem trilogi 'Lord Of The Ring'. Entah kenapa aku berdebar-debar. Godaan sungguh! Aku kembali mewaraskan fikiran.
Rupanya teman aku itu bukan orang biasa-biasa. Keturunan bangsawan! Manakan boleh enggang dan pipit terbang sama, kata hatiku seperti sudah patah harapan. Ah! Kenapa pula aku perlu fikir begitu jauh? Aku sendiri belum pasti perasaan aku terhadapnya.
Nenek Aisyah terus bercerita tentang cucunya. Dia bagai mahu aku tahu segala kesukaan cucunya itu. Bagaimana kalau Auntie Sufiah tahu semua ini? Sejak dia tahu anaknya makin rapat dengan aku, layanannya terhadap aku sudah sedikit 'lain'. Aku tahu Auntie Sufiah sudah menyediakan wanita yang cukup baik untuk anaknya, Nur Jannatul Na'wa. Namanya sahaja sudah sedap. Orangnya cantik. Beza benar dengan aku. Aduh, nasib badan!

Episod 58: Maafkan Aku
Seminggu kemudian aku segera kembali ke Nagoya setelah selesai sahaja program internshipku. Menurut kata Akhi Ammir, Kaduk sudahpun dipindahkan ke wad lain. Sedikit kelegaan lahir di sudut hati. Mujur dia sudah tidak menjadi menghuni bilik ICU. Aku tidak sampai hati melihat dia berselirat dengan wayar di sana-sini. Rasa mahu menangis! Murah benar air mata aku sejak akhir-akhir ini.
Aku menolak pintu bilik yang dihuninya. Senyumanku melebar apabila menatap dia saat ini. Matanya asyik pada buku sehingga tidak menyedari kehadiran aku. Apabila aku memberi salam dia terus mengangkat muka. Nenek Aisyah yang sibuk memintal benang bulu kambing di sebelah katil cucunya juga turut berpaling.
Rasa bahagia meresap ke dalam jiwa. Wajah itu menghantui lenaku sejak dia dimasukkan ke hospital. Kini dia tidak lagi pejam matanya. Sudah boleh bersandar sambil membaca.
"Sihat hari ni?" Soalku dengan nada ceria.
"Alhamdulillah," jawabnya ringkas.
Matanya tidak lepas-lepas memandang aku. Lagaknya seperti inilah kali pertama kami berjumpa. Dia meneliti aku dari atas ke bawah berkali-kali. Aku merenung diriku. Pelik benarkah aku hari ini sehingga aku diperhatikan sebegitu rupa?
Aku melihat rupa aku pada cermin tingkap bilik tersebut. Mungkin sedikit bergaya daripada biasa. Bukannya selalu aku pakai cantik-cantik begini, bisik hatiku. Entah mengapa hari ini aku mahu dia melihat aku cantik di hadapannya. Perangaiku sudah mula jadi makin pelik sekarang!
"Ingat nak masakkan bubur untuk kau. Tapi fikir-fikir mesti doktor tak benarkan pelawat bagi makanan. Kau kan baru aja sihat." Mulutku tidak berhenti berkicau. Memori lama menerjah fikiran. Aku tersenyum sendiri. Masih segar di ingatan waktu dia menghantar bubur ke kolej selama seminggu sehingga perkara tersebut menjadi buah mulut orang.
"Maaf kalau kata-kata saya ini akan menyinggung perasaan awak. Boleh saya tahu nama awak?" Soalnya tiba-tiba.
"Takkan nama kawan sendiri pun tak ingat." Balasku. Aku ketawa kecil. Dalam sakit pun masih mahu bergurau, bisik hati kecilku.
"Boleh saya tahu nama awak?" Ulangnya sekali lagi.
"Syah... Nurul Akasyah Othman. Kau betul-betul tak ingat ke ni?" Kataku sedikit cemas.
Dia menggeleng. Aku menarik nafas dalam-dalam. Ketenangan jiwaku sudah mula berkocak.
"Dia hilang ingatan." Sampuk Nenek Aisyah.
Hilang ingatan? Tak mungkin! Jerit hati kecilku.
"Kata doktor, kepalanya yang terhentak banyak kali waktu jatuh dulu menyebabkan mild concussion sekarang. Dia bukan lupa semuanya. Benda-benda yang penting dia masih ingat. Tentang diri dia dan keluarga. Kawan-kawan... mungkin ada yang dia dah lupa." Terang Nenek Aisyah lagi. Dia memandang aku dengan penuh simpati.
"I'm so sorry..." Kata Kaduk perlahan sambil memandang sayu.
Aku terpukul. Rupanya aku juga termasuk dalam senarai perkara yang dilupainya. Adakah itu bermakna aku tidak penting dalam hidupnya? Jeritku dalam hati. Patutlah dia melihat aku dengan pandangan yang berbeza tadi.
Aku melabuhkan punggung di atas kerusi yang disediakan. Hatiku remuk. Aku merenung dia yang sedang memandang aku dengan wajah yang bersalah. Bersalah kerana tidak mengingati aku. Aku tunduk memandang lantai. Bibirku terketar-ketar. Kelopak mataku terasa berat. Seluruh badanku menggigil.
Kaduk, aku tak kisah kalau Mar Iskandar lupakan aku. Tapi kalau kau... aku tak sanggup. Aku tak sanggup kehilangan kau. Segala kenangan kita bersama selama enam tahun ini. Mungkin semua itu tak penting bagi kau. Tetapi ia bermakna pada aku. Rintihku dalam hati.
Kaduk menarik keluar sesuatu dari bawah bantalnya. Dia menyelak helaian demi helaian. Pandangannya terhenti pada catatan terakhir iaitu hari sebelum dia timpa kemalangan.
"Mungkin ini dapat bantu pulihkan semula ingatanmu," kata Nenek Aisyah semasa menyerahkan diari biru itu padanya pagi tadi.
Setelah berfikir panjang, akhirnya aku mengambil keputusan untuk meluahkan perasaan pada dia. Sekadar memberi pembayang sahaja. Nekad. Walaupun sedikit gusar ianya mungkin akan memberi kesan pada persahabatan kami selama ini. Aku tidak mahu kehilangan dia seperti mana yang terjadi pada Ain. Nur Jannatul Adnain, kasihku yang pertama. Mulanya sebagai teman tetapi apabila menginjak usia remaja perasaan 'itu' hadir tanpa dipinta. Nurul Akasyah, juga seorang teman. Selama berada di bumi sakura ini aku sudah jadi pemerhatinya dalam diam. Bagai ada magnet. Aku perasan setiap kali dia mencuri pandang pada mana-mana lelaki tampan. Terutama sekali pada Ammar. Sesekali pandangan kami bertemu, aku mula merasa getarannya. Adakah itu tandanya cinta? Aku mengerling setiap kali dia tersenyum, dia ketawa, dia menarik muka masam tiap kali aku mengusik. Pendek kata, setiap perlakuannya dalam pemerhatianku.
Kaduk beralih pada gambar yang terselit pada diari tersebut. Gambar dia lengkap dengan kot dan tali leher. Dan, di sampingnya pula gadis yang datang melawatnya sekarang. Dia membaca catatan ringkas yang tertulis pada belakang gambar tersebut.
With my sweet Akasyah
KLIA Sept' 2001
"Kaduk." Aku bersuara kembali. "Aku nak pergi beli air kejap," ujarku lagi sambil memandangnya yang asyik membaca dari tadi. Sebenarnya aku mahu ke rest room. Dadaku rasa sebak. Mataku bagai mahu menumpahkan semula empangan air mata. Aku tidak mahu tersedu-sedan di sini.
Dia berpaling. Darah aku berderau apabila pandangan kami bersatu begitu. Renungan matanya meresahkan aku. Dia mengangguk perlahan. Matanya kembali pada buku biru di tangannya.
"Grandma mahu pesan apa-apa?" Tanyaku pada Nenek Aisyah yang ralit dengan kerja mengaitnya.
Dia menggeleng dan menghadiahkan senyuman. Aku membalas.
Kaduk memerhati gadis tinggi lampai itu melangkah keluar dari biliknya. Dia meneruskan pembacaannya sehingga ke ayat terakhir. Relevankah aku di hatimu, bisik hati kecilnya. Mungkin itu dulu. Nurul Akasyah. Nama itu bergema di sudut hatinya. Malangnya kini dia sendiri sudah tidak mengenalinya walau sedikit pun. Apalagi mengingati yang dia pernah menaruh perasaan terhadap gadis itu. Kaduk mengeluh panjang. Maafkan aku!

Episod 59: Dekat Tapi Jauh
Mataku menembusi tingkap kaca, memerhatikan suasana di luar hospital. Fikiranku merewang-rewang entah ke mana. Kata-kata Nenek Aisyah terus terniang-niang di telinga.

"Dia hilang ingatan."

Aku meraup muka berkali-kali. Cuba menahan air mata dari tumpah. Mahu belajar menerima hakikat yang sudah tersurat. Merelakannya walaupun payah.

"Akasyah."

Aku menoleh. Auntie Sufiah datang menghampiriku. Kami saling berpelukan.

"Auntie, dah lama sampai?" Soalku memulakan bicara.

"Baru aja. Datang lawat Adam ya."

Aku mengangguk.

"Dah jumpa Adam? Kenapa berdiri di luar ni? Mari masuk ke dalam."

"Dah jumpa tadi, auntie. Sebenarnya saya nak pergi beli air. Sekejap lagi saya datang semula." Balasku. "Auntie datang seorang ke?" Soalku apabila mendapati dia hanya bersendirian.

"Tak adalah. Datang dengan uncle. Auntie ternampak Syah di sini. Saja nak tegur. Jadi, macam mana dengan internship hari tu?"
"Alhamdulillah, semua okey. Baru aja habis semalam."
Dia mengangguk perlahan.
"Auntie... Ada tak kemungkinan ingatan Adam akan pulih macam biasa?"
"Kenapa? Dia pun lupa tentang Syah ya?"
Aku mengangguk.
"Jangan risau. Lambat-laun dia akan ingat juga. Selepas baru sedarkan diri hari tu pun, dia tak ingat kami semua. Auntie ni sampai menangis sebab tak tahan sangat. Anak sendiri lupa pada kita." Kata Auntie Sufiah dengan nada sebak. "Tapi alhamdulillah... esoknya dia dah boleh ingat walaupun ada beberapa perkara dia lupa. Dia baru aja sihat. Berilah dia masa ya. Kalau kita cerita pada dia, insya-Allah dia boleh ingat semula. Doktor kata begitu." Sambungnya lagi.
Aku menarik nafas lega. Sekurang-kurang dia masih punya harapan untuk mengembalikan ingatannya seperti sedia kala. Meskipun mungkin bukan seratus peratus.
"Kemungkinan besar juga dia tak dapat belajar macam biasa untuk satu semester. Terpaksa ambil cuti. Dia kena jalani rawatan terapi. Kaki kiri dia pun masih belum beri respon lagi." Terang si ibu lagi.
"Maksud auntie, sebelah kakinya tu lumpuh?"
"Buat masa ini macam tu lah." Katanya dengan wajah yang sayu.
Oh Tuhan! Sembuhkanlah dia! Biarlah dia dapat jalani kehidupan seperti biasa. Pohonku dalam hati.
"Oleh sebab keadaan Adam dah stabil sikit, kami bercadang nak bawa dia balik dan teruskan rawatan di Malaysia pula. Kos rawatan di Jepun ni mahal. Adam pula tak ada insuran. Berganda-gandalah jadinya."
"Bila auntie nak balik ke Malaysia semula tu?"
"Mungkin dalam dua, tiga hari lagi, itupun bergantung pada keadaan Adam. Susah juga nak dapat kebenaran doktor sebab mereka risau badan dia tak dapat tahan perjalanan jauh."
Aku mengangguk perlahan. Suasana menjadi hening seketika. Masing-masing kehilangan idea untuk meneruskan perbualan.
"Kalau auntie tanya sesuatu boleh tak?" Tanya Auntie Sufiah tiba-tiba.
"Tanya apa auntie?" Renungan matanya buat aku rasa berdebar.
"Pasal Syah dengan Adam..."
Nah! Soalan cepumas dari Auntie Sufiah. Aku menelan air liur.
"Sejauh mana hubungan kamu berdua? Maksud auntie... yalah... Syah sendiri faham bukan."
"Kami kawan biasa aja." Jawabku pantas.
Auntie Sufiah merenung wajahku dalam-dalam. Cuba mencari kebenaran dalam pengakuan aku tadi. Aku yakin dia tidak mempercayainya.
"Sebenarnya auntie tak kisah Adam nak kawan dengan siapa. Dia nak pilih siapa. Auntie cuma nak tahu sebab apa dia tak boleh terima pilihan auntie. Ingatkan dia dah ada pilihan hati sendiri. Kebetulan Syah rapat dengan dia. Tu sebab auntie tanya."
Memang kawan biasa dan tak akan lebih daripada itu, jawab hatiku yang pesimis.
Kenapa semua orang macam tak suka aku rapat dengan Adam? Mar Iskandar, Auntie Sufiah, Firdaus... Dari kaca mata mereka aku ini seolah-olah jadi batu penghalang kebahagiaan temanku sendiri. Teruk sangatkah aku? Tak layak sangatkah aku? Mar Iskandar kata begitu. Firdaus kata begini. Auntie Sufiah? Dari raut wajahnya, aku dapat rasakan dia juga tidak suka aku terlalu rapat dengan anak terunanya yang satu itu.
"Syah jangan salah faham pula. Auntie cuma nak tahu aja." Tegas Auntie Sufiah sekali lagi. Mungkin dia dapat merasakan perubahan wajahku.
Tak adalah..." Balasku lemah. Aku memaksa diri untuk tersenyum.
Auntie Sufiah meminta diri beredar.
Kalau betul semua orang tak suka aku rapat dengan Kaduk, biarlah aku pergi jauh. Persahabatan hampir enam tahun ini sudah cukup manis buat aku.
Jangan risau auntie. Saya akan tutup pintu hati saya rapat-rapat. Saya akan layan anak auntie sebagai seorang kawan. Dia pun dah lupakan saya jadi makin mudah kerja saya. Bisik hatiku sayu.
Tapi kalau kau tiba-tiba menjauhkan diri daripada dia, pasti dia rasa aneh. Bagaimana jika dia sudah pulih seperti sedia kala? Pasti dia akan cari kau semula. Kata hati aku yang satu lagi.
Aku melepaskan keluhan panjang. Sememangnya persahabatan ini menjadi semakin sukar. Perlukah aku meneruskannya?
"Saya minta diri dulu. Maaf sebab tak boleh lama. Dah janji dengan kawan. Insya-Allah esok saya datang lagi." Kataku sekembali dari membeli minuman di vendor machine.
"Terima kasih sebab sudi datang dari jauh, Akasyah." Kata Uncle Soufi.
Auntie Sufiah dan Nenek Aisyah menghadiahkan senyuman manis buatku. Kaduk hanya memerhatikan aku. Diam seribu bahasa.
Sebaik sahaja kaki aku melangkah...
"Syah..."
Hati aku rasa bagai disentap. Dia menyebut namaku. Dia menyebutnya dengan nada yang biasa digunakannya seperti selalu. Dia sudah... Aku segera berpaling. Pandangan kami menyatu. Matanya melirik sayu. Dadaku berombak kembali. Bibirnya bergerak-gerak seperti cuba menyatakan sesuatu.
Dia dah ingat! Jerit hati kecilku. Mataku berkaca.
Aku melirik pada Auntie Sufiah. Dia merenungku tajam. Aku tersenyum kelat. Kakiku terus melangkah. Aku tidak menghiraukan panggilan temanku buat kali kedua. Aku harus pergi. Meskipun jasad kami dekat, perasaan ini perlu kubuang jauh.

Episod 60: Kembali
Usai solat zohor, aku terus bergerak ke hospital. Seperti biasa aku akan membaca sepanjang perjalanan dalam keretapi elektrik ini. Rasa sayang membuang waktu begitu sahaja. Aku mengajak teman Nagoya datang sama. Tetapi mereka menolak. Kata mereka, segan dengan Kaduk. Bukannya kenal pun.
Sampai sahaja di depan bilik Kaduk, aku mengetuk pintu beberapa kali. Kedengaran sahutan dari dalam. Aku terus masuk dan memberi salam. Nenek Aisyah yang duduk di sebelah katil cucunya mengisyaratkan aku supaya diam.
Dia tidur rupanya, bisik hatiku sebaik sahaja mendapati Kaduk yang masih lena di peraduannya.
Aku memeluk tubuh Nenek Aisyah yang agak berisi. Bertanya khabar lebih kurang sebagai pembuka bicara. Dia sempat menunjukkan benang yang dikaitnya pada aku. Sudah ada rupa baju.
"Sweater untuk kamu. Esok mungkin boleh siap." Terangnya.
Aku terharu. Rupanya selama ini dia mengait dan menyimpul benang bulu kambing itu untuk dihadiahkan padaku. Aku memerhati hasil buatan tangan Nenek Aisyah. Halus.
"Grandma nak ambil angin di luar sebentar. Syah tolong tengokkan Adam ya." Pesan Nenek Aisyah sebelum beredar.
Aku mengangguk. Mataku mengiringi langkahnya. Walaupun Nenek Aisyah sudah menjangkau umur lebih tujuh puluh tahun, dia masih kuat dan cergas. Mungkin lewat waktu mudanya dia gemar melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh. Aku pula sejak berada di bumi sakura ini makin bertambah-tambah malasnya. Jarang benar bersenam. Agaknya itu sebab utama aku cepat letih sekarang. Aku sendiri dapat merasakan aku sudah tidak lagi secergas waktu di zaman persekolahan. Mungkin selepas ini aku perlu luangkan masa berjoging awal pagi di sekeliling kawasan rumah. Atau pun pergi sahaja ke gym lepas tamat kuliah. Nampaknya selepas ini aku perlu mengubah jadual harianku.
Aku mengerling pada Kaduk yang nyenyak tidur. Pernafasannya teratur. Aku mengeluarkan sebuah novel Inggeris yang berjudul 'A Knight In Shining Armor' tulisan Jude Deveraux. Walaupun sudah membacanya beberapa kali, jalan ceritanya masih mampu memikat hati. Sebuah kisah cinta yang cukup romantik. Gabungan cinta, humor dan sejarah Eropah. Andainya aku bisa membaca buku agama sampai naik lunyai, alangkah bagusnya! Cerita romantik begini kadang-kala hanya melalaikan. Lebih membuat manusia suka berangan-angan sampai ke langit biru.
Mungkin sebagai gantinya, aku perlu habiskan satu buku agama. Baru adil bukan! Aku cuba niatkan di dalam hati. Harap akan menyusul pula amalnya. Amin! Teringat pula pada Mar Iskandar yang juga tekun mengulit buku agama. Makin warak dia sejak menuntut di UK. Aku sendiri tidak berani bertegur sapa waktu dia datang tempoh hari. Percakapannya serius dua puluh empat jam. Cuma sesekali aku nampak dia bergurau senda dengan teman-temannya. Dia hanya akan mesra dengan aku apabila cuma ada kami bertiga. Aku, dia dan Kaduk. Mungkin atas dasar kami satu sekolah. Itu sahaja.
Aku terus membaca. Cuba menfokuskan fikiranku. Tetapi wajah Mar Iskandar bermain di fikiran. Kenapa aku tidak boleh membenci dia? Mungkin sebab hati ini pernah suka. Walaupun sekadar minat begitu sahaja tetapi hebat juga penangan lelaki itu. Dialah antara penyebab utama aku mahu belajar ke luar negara. Mahu tunjuk aku juga hebat! Masya-Allah, sudah lain niat aku. Tapi sekurang-kurangnya dia jadi pendorong bukan. Walaupun keputusan SPM aku tidaklah sehebat mana pun kalau hendak dibandingkan dengan pelajar sepuluh terbaik yang lain. Mungkin nasib menyebelahi aku. Dan kini aku sudah berada di Jepun.
"Syah."
Aku mengangkat muka. Rupanya dia sudah bersandar pada katil sambil melemparkan senyuman. Matanya asyik merenungku. Aku tergamam seketika. Entah berapa lama agaknya dia begitu. Aduh! Wajahku sudah terasa hangat.
"Grandma mana?" Soalnya sambil mengipas wajahnya dengan tangan.
"Dia keluar sekejap. Mahu ambil angin katanya. Panas ya. Nanti aku bukakan aircond."
Kaduk mengangguk.
Aku mengatur langkah. Mencapai remote control yang terlekat pada dinding. Laraskan suhu sekitar dua puluh satu darjah celcius. Bahang dari luar mungkin menganggu lena temanku. Aku sendiri rasa begitu sewaktu datang tadi.
"Cubalah baca buku agama sikit. Patutlah kuat berangan."
Sepantas kilat aku sorokkan novel itu ke belakang. Aduh! Terpancung aku hari ini. Bagaimana dia tahu? Soal hatiku. Aku lihat senyuman di bibirnya. Nyata kata-katanya sekadar sindiran. Aku tidak bawa sampai ke hati.
"Boleh tuangkan air? Aku haus." Pintanya manja.
Aku mencapai termos putih di atas meja sisi di sebelah katilnya itu. Gelas diisi separuh penuh lalu disuakan padanya.
"Lagi..." Katanya sambil menghulurkan kembali gelas yang sudah kosong.
Aku menurut tanpa banyak soal. Hatiku tidak tentu apabila menyedari yang matanya melekat pada aku. Tenang Akasyah! Hatiku yang satu lagi memberi kata semangat.
"Ada potensi jadi jururawat peribadi ni." Ujarnya lagi sambil tersenyum-senyum.
"Diamlah!" Aku pura-pura marah padahal hatiku sudah berbunga riang. He's back! Jerit hati kecilku. Aku dapat rasakan yang ingatannya semakin pulih. Dia tidak lagi memandang aku seperti orang asing. Perangai sudah kembali seperti sedia kala. Syukur!
"Kaduk... Tak apakah kita terus kawan begini? Aku takut ada yang tak suka." Kataku tiba-tiba. Hati ini dihambat sayu.
Dia melirik padaku. Matanya bagai cuba mencari maksud yang tersirat disebalik kata-kataku itu.
"Kenapa cakap macam tu?" Tanya Kaduk. Gelas yang sudah kosong kembali diserahkan padaku.
Aku cuba mencari kata-kata yang terbaik. Bagaimana aku harus terangkan pada dia? Tidakkah dia dapat rasakan yang persahabatan kami tidak disenangi orang? Mungkin bukan semua begitu. Tetapi keakraban ini sering sangat disalah ertikan. Aku rasakan diri ini dituduh sebagai perampas. Mar Iskandar menganggap aku ini tidak layak berkawan dengan Kaduk. Firdaus asyik memberitahu tentang Wawa yang berusaha memenangi hati Kaduk tetapi kecewa dengan responnya yang acuh tidak acuh. Aku tidak tahu sama ada memang benar Wawa begitu atau Firdaus yang mengada-adakan cerita. Tidak baik buruk sangka pada orang. Tapi kalau benar sudah suka sangat pada Kaduk, kenapa pula aku yang dipersalahkan? Pinang sahaja Carl Duke Adam Dato' Soufi Akbar! Kata hatiku yang sudah marah.

Episod 61: Cinta & Sahabat
Aku merenung wajahnya dalam-dalam. Kenangan bersamanya terlalu banyak mengisi episod zaman remajaku. Suka dan duka kami kongsi bersama. Mengingatinya buat aku rasa rindu untuk kembali ke zaman itu. Mungkin kerana itu kami sekali lagi ditakdirkan bertemu di sini. Tetapi dalam suasana yang berbeza.
"Entahlah. Aku pun tak tahu kenapa aku cakap macam tu. Mungkin sebab..."
Kata-kata aku mati di situ sahaja. Memerhatikan wajah teman tersayang. Rasa bersalah bertandang kerana menyesakkan dia dengan masalah yang tidak seberapa ini. Dia masih kurang sihat. Perlukan rehat secukupnya. Bukannya memikirkan perkara yang remeh-temah.
"Sebab apa? Adakah itu yang buat kau sedih?" Soal dia bertalu-talu. "Beritahu aku..." Katanya lagi dengan cukup prihatin.
Aku menggeleng dan membalas dengan senyuman. Dalam masa enam tahun ini aku cuba menutup pintu hati ini daripada ditembusi oleh perasaan itu. Tetapi akhirnya ia hadir jua tanpa dipinta. Kebaikannya menambat hati. Keprihatinannya mengundang rasa. Keikhlasannya menjentik naluri. Apakah harus aku terus lari? Tetapi sampai bila? Lari dari hakikat yang diri ini mula mengasihinya. Lari dari sebuah persahabatan kerana sudah bertunas rasa cinta. Sampai bila aku harus membatas rasa? Sampai hati aku beralih pada yang lain? Tetapi pada siapa? Siapa yang mahu menerima diri aku sepenuhnya? Rela menerima setiap kelebihan dan kekurangan. Andai aku cuba seribu kali menjadi orang lain, aku tetap aku. Kerana aku adalah aku.
"Sabarlah. Anggap itu semua adalah dugaan untuk kita, Syah. Nak melihat sejauh mana persahabatan kita ini akan bertahan. Walau seteruk mana badai yang melanda, kita perlu terus teguh berdiri. Jangan sesekali kita jatuh. Biarlah orang nak kata apa, kita akan tetap kawan sampai bila-bila." Katanya dengan panjang lebar. Tiba-tiba wajahnya berkerut seribu. Tangannya memicit dahi.
"Kenapa?" Aku sedikit risau melihat dia begitu.
"Kepala ni... rasa berdenyut-denyut." Jawabnya dengan wajah tegang.
"Aku panggilkan doktor ya?" Kataku sedikit cemas.
"Tak perlu. Sikit aja ni. Sekejap lagi baiklah."
Matanya terpejam. Aku dapat rasakan yang dia sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Hatiku jadi keluh-kesah. Aku segera menghampirinya.
"Kaduk..."
Dia cuba gagahkan diri untuk tersenyum. Rentak jemarinya makin lama makin diperlahankan. Akhirnya dia bersandar. Tangannya beralih ke sisi. Matanya masih terkatup.
"Pasti kau tak apa-apa?"
Dia membuka mata. Sekuntum senyuman dihadiahkan padaku.
"Kau ni cepat sangat risau."
Aku mengetam bibir. Siapa saja akan risau kalau sudah lihat teman sendiri sakit begitu, bisik hati kecilku. Aku kembali melabuhkan punggung di atas kerusi di sudut bilik.
Pintu dikuak luas. Kami memandang serentak. Auntie Sufiah melangkah masuk dengan penuh bergaya. Hari ini dia mengenakan seluar slack hitam dan blaus merah hati. Kena dengan kulitnya yang putih mulus. Dipadankan dengan tudung warna merah hitam yang ditaburi manik.
"Anak mama sihat hari ni?" Soal si ibu lalu dahi si anak dikucup lembut.
Kaduk mengerling ke arahku. Wajahnya merah padam. Malu denganku barangkali. Anak manja mama! Itu antara gelaran yang pernah kuberikan padanya dahulu. Modal aku mengusik. Dia akan menarik muncung dan menafikan yang dia bukan anak manja. Sekadar rapat dengan mama, katanya memberi alasan.
"Grandma?" Soalnya sambil memandang sekeliling.
"Keluar ambil angin, ma."
"Ohh..."
Auntie Sufiah beralih padaku. Memeluk tubuhku erat.
"Syah boleh tolong carikan Nenek Aisyah? Dia tak makan tengahari lagi."
Aku mengangguk. Tanpa membuang masa aku melangkah keluar. Singgah di kaunter, bertanya pada staf di situ sama ada mereka melihat nenek temanku itu lalu dan tahu ke mana arah tujunya.
"Grandma!"
Aku menegur Nenek Aisyah yang bersantai di bangku taman hospital. Dia berpaling. Dipelawanya aku duduk sama.
"Kamu nampak sugul. Kenapa? Ada yang tak kena?" Tanya Nenek Aisyah.
"Saya tak apa-apa. Auntie Sufiah datang. Dia bawa makanan untuk grandma. Mahu ajak makan." Kataku.
Dia hanya tersenyum.
"Di mana ada cinta, di situ adanya persahabatan. Dan di mana ada persahabatan, di situ juga ada cinta. Betul tak Akasyah?" Kata Nenek Aisyah tiba-tiba.
Aku memandangnya tidak berkelip-kelip. Sekadar menjungkitkan bahu tanda tidak mengerti.
"Persahabatan dan cinta adalah teman baik yang tidak dapat dipisahkan. Kalau kamu cuba pisahkan cinta dari persahabatan, akan hilang indahnya ikatan itu nanti. Kesedihan dan kekecewaan yang akan menyelubungi diri. Sama seperti yang kamu rasakan sekarang, bukan?" Katanya lagi.
Aku tersentak seketika. Tetapi cepat-cepat berlagak seperti biasa. Mataku memerhati dedaun yang berterbangan ditiup angin. Memang benar kata Nenek Aisyah. Aku merasai kesedihan itu apabila cuba memusnahkan rasa cinta yang bersemi di hati. Rasa kehilangan dan kekurangan.
"Kenapa menghukum diri sendiri? Menyalahkan diri sendiri? Jangan selalu letakkan kesalahan di bahu kamu. Dalam soal hubungan kamu dengan Adam, grandma tak nampak kesilapan kamu. Kalau kamu terus begini, kamu bukan sahaja menghukum diri sendiri malah kamu juga menghukum Adam. Kamu tahu dia cukup sayangkan kamu. Kamu sahabat dia!"
"Macam mana grandma tahu?" Soalku perlahan. Kehairanan. Mustahil dia boleh membaca isi hatiku. Fikiran aku. Macam mana Nenek Aisyah boleh tahu? Adakah cucunya menceritakan keakraban kami berdua? Mustahil! Kaduk sendiri masih ingat-ingat lupa tentang aku. Masakan dia yang memberitahu sesuatu yang aku tidak pernah luahkan pada sesiapa pun.
"Adam tak pernah beritahu yang grandma ajar psikologi di universiti dulu?"
Mulutku melopong. Bulat mataku mendengarnya.

Episod 62: Kerna Kusayang Kamu
"Persahabatan merupakan hubungan indah antara manusia, di mana cinta hadir memberi senyuman dan mewarnai kehidupan. Ibarat bunga-bunga yang harum mewangi turun dari langit, lalu warna-warna dunia bertukar kepada jaluran-jaluran indah. Tanpa cinta, persahabatan mungkin akan diisi dengan rasa kecewa, marah, benci dan lain-lain yang membuat persahabatan itu tidak indah lagi." Kata Nenek Aisyah.
"Cinta dalam persahabatan?" Soalku sambil memandang tepat wajah Nenek Aisyah. Tidak keterlaluan jika aku katakan dia nampak jauh lebih muda dari usia sebenarnya. Mungkin senyuman yang sentiasa meniti bibirnya yang merah membuatkan dia lambat dijamah peredaran masa.
"Apa yang anehnya? Cinta itu bukan hanya untuk pasangan kekasih." Dia mencuit hidungku. Nenek Aisyah seperti tahu apa yang bermain di fikiran ini. "Atau memang kamu sudah jatuh cinta pada sahabat sendiri?" Sekali lagi dia memasang umpan.
Kali ini aku lebih bersedia. Aku sudah boleh mengagak yang dia akan berkata begitu. Aku memilih untuk diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.
"Cinta itu perlu ada dalam segala hal. Cinta pada yang maha pencipta, cinta yang kekal abadi. Cinta pada para Rasul yang membawa risalah tauhid kepada Ilahi. Cinta pada keluarga dan teman-teman, mereka yang paling dekat pada kamu. Dan cinta kepada makhluk Allah yang lain, haiwan dan alam sekitar kerana kita sama-sama bernaung di bawah satu langit." Dia melemparkan pandangan pada sekawan burung merpati yang mencari makan tidak jauh dari kami.
Aku kagum dengan tutur bicaranya. Walaupun usia keislamannya mungkin tidak selama mana, namun keyakinannya cukup tinggi. Benarlah kata orang, mereka yang baru mengenali Islam lebih kecintaannya daripada kita yang agama tradisi. Kerana sukarnya mendapat hidayah Allah yang buat mereka cukup menghargai nikmat Islam yang menyinari jiwa mereka. Berbeza dengan kita yang merasakan Islam hanya pada nama tanpa cuba memahami lebih mendalam dan menyelami makna hakikat keimanan itu sendiri. Cukup dengan solat lebih kurang. Puasa sekadar menahan lapar dan dahaga tanpa melihat keindahan di sebaliknya. Rasa diri terlalu kerdil!
Sebab itu, sewaktu Rasulullah saw memulakan dakwah Islam pada masyarakat arab ketika itu dengan penekanan perkara yang paling dasar iaitu pembangunan aqidah tauhid Uluhiyatillah. Baginda tidak mulakan dengan persoalan bidang politik, ekonomi, kemasyarakatan ataupun undang-undang. Sebaliknya baginda memilih untuk memperbetulkan kembali jiwa manusia yang sememangnya cukup rumit. Hanya dengan mukadimmah aqidah, yakni kepercayaan yang terikat erat dan tersimpul kuat sehingga tidak mungkin akan tercerai atau terurai, cahaya Islam perlahan-lahan bersinar dan berjaya menyirna kegelapan zaman jahiliyyah.
Baginda berjaya melahirkan jiwa-jiwa yang kecintaannya hanya semata-mata mentauhidkan Allah dari segi ubudiyyah, iaitu ibadah dan sembahan. Jiwa yang beriman kepada Uluhiyyah Allah dalam bererti kata beri'tiqad bahawa hanya Allah berhak disembah, dicintai, dipatuhi dan ditumpui untuk meminta sesuatu. Dan, beriman pada tauhid Uluhiyyah yakni menolak segala selain Allah dan mengakui serta menghayati kalimah la ilaha illallah.
Seandainya para da'ie mengikut jejak Rasulullah saw dalam usaha memperbetulkan keadaan manusia yang sudah tunggang-langgang tika ini, aku yakin Islam akan kembali dijulang. Ummat Islam akan kembali cemerlang, gemilang dan terbilang. Saat itu pasti akan kunjung tiba. Aku memohon dalam hati.
"Cinta bukan sekadar ucapan 'I love you'. Cinta juga terungkap dengan perlakuan. Kadang-kadang tidak perlu ungkapan kata-kata untuk menunjukkan rasa cinta. Perlakuan boleh jadi tanda yang cukup besar betapa sayangnya kita pada mereka. Grandma tahu kamu sayang Adam dan Adam juga sayang kamu. Kerana hadirnya cinta dalam persahabatan buat kamu saling menyayangi antara satu sama lain. Sebab itu juga telah membawa kamu ke sini.
Kamu boleh memilih untuk berehat sahaja di rumah. Ataupun pergi melancong bersama teman lain. Grandma tahu kamu kepenatan berkejar ke sana ke mari dengan internship dan part time job kamu. Tuntutan kerja melebihi masa yang ada. Tetapi kamu masih memilih untuk datang ke mari. Betul kan?"
"Grandma boleh jadi kaunselor yang baik. Kata-kata grandma buat saya tersenyum."
Nenek Aisyah ketawa kecil. Agaknya terhibur dengan ucapanku.
"Kamu memang pandai ambil hati. Patutlah Adam suka berkawan dengan kamu." Kata Nenek Aisyah sesudah reda tawanya.
"Tak adalah. Dia yang pandai ambil hati saya." Ucapku jujur.
Sememangnya cucu Nenek Aisyah itu yang mewarnai setiap detik hidupku. Menyulami persahabatan kami selama enam tahun ini dengan senyumannya nan indah. Lantaran itu, aku sentiasa dilingkari kebahagiaan tika bersamanya.
Nenek Aisyah bangkit. Dia menghulurkan tangannya padaku. Aku menyambut. Kami melangkah seiringan kembali ke hospital.
"Harap kamu berdua terus berkawan baik. Rasanya grandma pun mula menyukai kamu. Nanti kita boleh jumpa lagi. Datanglah ke rumah grandma di Netherlands. Pasti kamu akan suka pemandangan ala country. Nanti Adam boleh ajar kamu tunggang kuda."
Aku harap kakinya akan sembuh secepat mungkin. Bolehlah kami sama-sama menikmati keindahan pedalaman negara Eropah itu. Aku tidak rela melihat dia menghabiskan sisa hidupnya di atas kerusi roda. Kerana aku sendiri sudah mula merasai kesakitan yang dialaminya. Itukah tanda aku cinta padanya? Cinta pada persahabatan kami? Ya! Aku amat yakin. Sesungguhnya aku teramat cinta pada persahabatan ini. Kerna aku sayang kamu, Carl Duke Adam!
"Moga hari mendatang, kamu tidak lagi membataskan antara cinta dan persahabatan. Biarkan keduanya tetap menjadi teman baik, simpulan rapi yang mengikat hati-hati kamu. Apa yang grandma cuba tegaskan di sini, cinta bukanlah perosak persahabatan. Sebaliknya cinta yang memperindahkan persahabatan kamu berdua. Ingat tu..."
Aku memaut pinggang Nenek Aisyah. Dalam hati aku berharap, moga hari esok menjanjikan seribu satu kemanisan yang paling indah. Carl Duke Adam, cepatlah kau sembuh!

Episod 63: Mencari Cinta
Bahu terasa berat sejak dari pagi tadi. Bagai memikul beban yang besar. Penat. Lelah. Pernafasanku deras dan kasar. Hendak menggerakkan jari pun aku tidak berdaya. Aku tahu maknanya petanda ini. Aku benar-benar keletihan. Badanku memerlukan rehat yang cukup. Aku cuba berbaring di peraduan. Rasa lemah seluruh sendiku.
"Tak pergi lawat Kaduk ke hari ni?" Elmi, teman dari Universiti Nagoya datang menyapa. Selama aku di sini, singgahsana dialah yang menjadi tempat aku berteduh. Sayang Elmi!
"Petang sikit lagi. Aku tak larat betul sekarang. Boleh kejutkan aku bila masuk Asar nanti? Aku nak tidur kejap." Kataku.
Elmi mengangguk. Dia tinggalkan aku sendiri. Aku kembali memicit kepala yang rasa menyucuk-nyucuk sejak pulang dari hospital semalam. Mungkin bahang panas membuatkan aku jadi begini. Ditambah lagi dengan kepenatan sepanjang minggu lepas. Sibuk menyiapkan laporan research terakhir di kilang Sharp. Dan, laporan sepanjang internship untuk dihantar kepada konsultan yang menguruskan program internship kami ini iaitu Mitsubishi Research Institute, Inc.
Seperti biasa hari Sabtu, pergi ke NHK untuk membaca berita radio. Keesokannya aku datang ke sini pula melawat teman tersayang. Memang penat, bisik hatiku. Hanya Tuhan sahaja tahu betapa aku cuba menggagah diri untuk melakukan semua itu dalam masa kudratku semakin berkurang. Aku pejamkan mata rapat-rapat. Cuba tenangkan fikiran dan kosongkan minda. Saat ini kata-kata Nenek Aisyah sayup-sayup kedengaran.
"Biarkan cinta dan persahabatan tetap menjadi teman baik, simpulan rapi yang mengikat hati-hati kamu. Ingat tu..."
Cinta yang buat persahabatan kami ibarat satu ikatan yang tersimpul rapi. Hal yang sama juga jika kita inginkan cinta yang sejati dan hakiki yang hanya ada padaNya. Untuk menyimpulkan hati kita dengan Allah swt perlunya kepada kefahaman aqidah tauhid kerana terlalu banyak onak dan ranjau yang perlu ditempuhi dalam mencari cinta Ilahi. Dugaan dan cabaran yang paling berbesar adalah bisikan hawa nafsu dan syaitan. Dalam soal aku dan Kaduk pun begitu juga. Ada juga yang menjadi penghalang kami untuk terus bersahabat. Sama ada dalam diri kami sendiri atau halangan dari luar.
Demi melahirkan rasa kecintaan pada Tuhan yang Maha Esa, yang pertama sekali perlu mengimani dan meyakini bahawa pencipta alam semesta ini ialah Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan kepada sesuatu yang lain. Dia tidak mencipta alam ini tanpa tujuan atau untuk main-main sahaja, kerana sifat itu tidak layak untuk Allah yang Maha Sempurna. Demikian juga dengan penciptaan manusia di atas muka bumi. Allah telah berfirman dalam Al-Quran (adz-dzariat: ayat 56), "Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia itu melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu."
Aku bersahabat dengan Carl Duke Adam pun bukan untuk tujuan main-main. Walaupun kami selalu bergurau senda antara satu sama lain, saling usik-mengusik tetapi aku punya tujuan tersendiri. Bersahabat kerana aku cukup kagumi kebijaksaannya, oleh sebab itu dia selalu menjadi tempat rujukanku. Aku juga terharu dengan sifatnya membimbingku dalam diam dan cuba jadi orang yang paling memahami diriku. Jika aku ingin mengikat hubungan kami, sudah tentu dia sebagai seorang suami yang bisa membimbingku ke jalan kebenaran. Sama-sama melayari bahtera perkahwinan menuju cinta Ilahi. Sebab itu aku tidak mahu terlalu mudah melafaz kata cinta. Aku lebih suka memerhati sifat dan sikap seseorang terlebih dahulu. Apabila berkawan sikap sebenar akan terserlah berbanding berstatus kekasih. Pasti dia cuba akan jadi yang terbaik di hadapanku. Aku tidak perlu orang yang hipokrit.
Tiba-tiba terasa tubuhku digoncang lembut. Aku buka mata perlahan-lahan. Segera membersihkan diri dan mengambil wudu'. Sujud raakat terakhir aku berlama-lama. Waktu sujud merupakan waktu kita paling dekat dengan Allah swt. Aku menitiskan air mata tanpa diduga. Dalam hati merintih, memberitahu pada Dia betapa penat dan lelahnya aku saat ini. Tolonglah hambamu ini, Ya Tuhan. Berilah aku kekuatan, Ya Rahman Ya Rahiim. Ya Allah, aku kepenatan. Penat yang amat sangat. Air mata terus mengalir tanpa henti. Moga mata ini bisa menjadi saksi aku di akhirat kelak.
Usai Asar, bergegas ke hospital seperti yang dirancang. Panas terik menduga aku lagi. Kepala yang tadi sudah lega kembali berdenyut perlahan. Aku duduk sebentar di bangku lobi. Memicit lembut kepala yang sakit. Aku berlindung pada Tuhan Yang Menguasai Matahari. Moga-moga kesakitan ini pergi, pohonku dalam hati. Aku membaca surah tiga Qul; Surah An-Nas, Al-Falaq dan Al-Ikhlas lalu dituipkan pada telapak tangan kanan. Kemudian aku mengusap pada bahagian kepala yang sakit tadi beberapa kali. Cuba amalkan ajaran Rasulullah. Kesakitan beransur hilang. Syukur!
Hari ini ada kelainan pada wajah temanku. Bibirnya pecah-pecah sampai berdarah. Masya-Allah! Nampak dia menahan keperitan. Mungkin kepanasan luar biasa ini buat dia jadi begitu. Kasihan! Namun begitu dia masih lagi mampu menghadiahkan senyuman manis buatku.
"Selalu sangat mengusik Akasyah. Sebab itu jadi begini. Tuhan suruh mulut kamu rehat. Lain kali jangan kuat sangat mengusik orang." Kata Nenek Aisyah selamba.
Kaduk menjegilkan matanya besar-besar. Aku pula ketawa mendengar kata-kata Nenek Aisyah. Hilang rasa penat yang masih bersisa tadi.
Kaduk menulis sesuatu pada nota lalu diserahkan padaku. Aku mengambilnya.
"Bergabung dengan grandma kenakan aku ya. Siap kau nanti!"
Aku ketawa lagi. Terhibur dengan kata-kata yang berupa amaran itu. Kemenangan berpihak pada aku hari ini. Kalau Kaduk boleh bersuara pasti ada sahaja akalnya hendak membalas semula sindiran Nenek Aisyah.
"Aku tak takutlah." Kataku sambil mengenyitkan mata pada Kaduk yang sudah mencekak pinggang. Mahu tunjuk garang kononnya. Tetapi akhirnya dia sendiri kelihatan seperti ingin ketawa.
Aku tersenyum lebar. Carl Duke Adam, dia sahabat yang kucintai. Aku menyintainya kerana tertarik pada sifat dan sikap baik yang ada dalam dirinya. Walaupun paras rupanya tampan bisa memukau mata yang memandang, namun itu bukan jadi ukuran. Ada apa dengan wajah yang kacak atau cantik sekiranya kurang budi bahasa. Ibarat bunga yang cantik untuk dipandang tetapi apabila dihidu busuk baunya. Demi mencari cinta Ilahi juga menghendakkan kita berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah. Kenal dengan mendalam sifat-sifat tersebut dan kesempuraan sifat Uluhiyyah-Nya. Apabila sudah cinta menyebabkan hati jadi rindu dan sentiasa bergantung kepada-Nya.
Berjauhan dengan lelaki itu juga buat aku jadi rindu. Sungguh! Hari ini hanya kerana tidak dapat mendengar suaranya yang suka mengusik, hati ini sudah dirundung rasa sepi dan sunyi. Seolah-olah sesuatu kekurangan dalam hidupku saat ini. Hanya senyuman dia dan celoteh Nenek Aisyah yang mengisi kesunyian ini.
Tiba-tiba kesakitan datang menyerang semula. Tubuhku menggeletar. Aku segera meminta diri ke toilet. Aku mengatur langkah satu-persatu. Berat dan semakin berat. Aku sudah terlalu lemah untuk bergerak tetapi destinasiku jauh lagi. Akhirnya aku terpaksa berbaring sahaja di bawah tangga yang berdekatan. Mujur tiada orang lalu-lalang. Maka terbujur kaku aku beralaskan lantai simen yang sejuk. Tiada apa yang mampu aku lakukan melainkan terbaring begitu sahaja.
Ya Allah, aku merintih dalam hati.
Aku cuba berzikir sebanyak yang boleh dengan harapan kesihatanku kembali seperti biasa. Lama aku begitu. Setelah benar-benar kuat aku pergi wash room. Aku membasahkan sapu tangan lalu mengelap bahagian badan yang boleh dicapai. Rasa segar menerpa. Kemudian segera kembali ke bilik teman tersayang sebelum mereka menyoal kenapa aku terlalu lama ke toilet.
Nenek Aisyah menunaikan janjinya semalam. Bungkusan berbalut rapi diserahkan padaku. Aku menyambut. Sehelai swetear berwarna merah jambu kini di tangan.
"Kamu lebih sesuai pakai warna lembut begitu. Baru terserlah keayuan dan kewanitaan kamu."
"Terima kasih." Ucapku sambil tersenyum malu.
Orang yang menyayangi kita pasti akan melunaskan janjinya. Dia tidak akan melupai dan memungkiri janji. Begitu juga dengan janji Allah pada kita makhluknya. Janji balasan syurga dan nerakanya adalah benar. Orang yang berat timbangan amal baiknya akan ditempatkan di dalam syurga. Manakala orang yang berat timbangan buruknya akan dicampakkan ke dalam neraka. Nauzubillah!
Aku memandang wajah teman tersayang. Kini aku sedar apa yang jadi pengikat hati kami. Aku tidak perlu mencari lagi cinta antara kami berdua. Cinta sudah wujud dalam hati-hati kami, seperti kata Nenek Aisyah. Cinta ini hanya perlu disemai dan dibajai dengan nilai-nilai yang berlandaskan Islam. Cuma satu cinta yang masih tenggelam timbul dalam jiwa ini yang perlu aku cari dan terus mencari. Aku mahu jadi pemburu cinta Ilahi!

Episod 64: Pertemuan & Perpisahan
Nafasku turun naik. Penat berlari. Mujur Elmi kejutkan aku. Kalau tidak, pasti aku akan tertidur sampai ke petang. Sesekali aku mengerling jam di tangan. Aku memerhati sekeliling mencari kelibat teman tersayang dalam suasana sesak Terminal Lapangan Terbang Nagoya itu. Tiba-tiba aku perasan seperti ada yang melambai padaku. Mujur sempat!
"Yang kau ni termengah-mengah ni kenapa? Masuk marathon ya?" Soal Kaduk sewaktu aku menghampiri mereka.
"Iya!" Jawabku geram.
Kaduk ketawa mengekek. Berpuas hati dapat mengenakan aku setelah tiga hari dia ber'puasa'.
"Dah check in ke ni?" Soalku pada Kaduk.
Dia mengangguk.
"Kenapa datang juga hari ni? Kau patut rehat. Tengok muka kau pun aku tahu kau penat yang amat sangat."
"Iya ke?" Soalku sambil mengusap lembut pipi. "Tak adalah." Ketara sangatkah wajah penatku hari ni? Fikirku.
"Hari-hari kau dah jenguk aku di hospital. Hari ni pun datang lagi hantarkan kami balik. Kau betul-betul buat aku terharu. Bertuah betul aku sebab dapat kawan yang baik macam kau ni."
"Mana ada."
Sesekali mendengar Kaduk cakap dengan serius begini aku pula yang terharu! Ni yang buat aku makin sayang pada dia.
"Nanti pakailah sweater yang grandma beri tu." Sampuk Nenek Aisyah dari belakang.
Aku segera menoleh. Tubuh gempalnya kupeluk erat.
"Pasti kamu tak nak ikut kami balik Malaysia. Grandma boleh minta ayah Adam belikan tiket untuk kamu. Itupun kalau kamu mahu."
"Grandma nak saya balik sekarang? Saya datang sehelai sepinggang aja ni. Kalau nak balik kena beli omiyage untuk orang Malaysia dulu. Mana boleh balik lenggang kangkung aja."
"Omiyage?"
"Souvenir..."(cenderamata).Pantas aku membetulkan kesilapanku kerana menggunakan perkataan dalam Bahasa Jepun. Maklum sahajalah aku sudah terbiasa.
"Sebenarnya semua tu tak penting. Yang penting kamu balik. Jumpa keluarga. Pasti mereka rindukan kamu setelah setahun tak jumpa."
Aku cuma tersenyum. Benarkah aku yang dirindui? Atau omiyage yang aku bawa pulang? Sudah dua kali balik, dua kali juga beg aku yang dikerumuni terlebih dahulu oleh adik-adik. Bukannya aku! Mungkin mak yang rindukan aku. Mak memang selalu macam tu. Salah seorang antara kami tiada mulalah sedih-sedih.
"Mak kalau makan sedap-sedap mesti teringat kat kamu. Selalu fikir... agaknya apalah kamu makan kat sana tu, dah makan ke belum..." Ini adalah ayat yang wajib yang biasa aku dengar.
Dan pasti aku akan menjawab sambil gelak-gelak, "Makan ajalah mak."
Namun begitu siapa yang bisa mengerti hati seorang ibu. Mungkin aku boleh tidur dengan lena. Tetapi mak terbayangkan aku setiap saat. Ibu yang yang membawa aku di dalam kandungannya dari sekecil zarah. Dia yang melahirkan aku dalam keadaan menyabung nyawa. Dia yang menatang aku bagai minyak yang penuh. Dia yang menyusukan aku sampai kenyang. Dia yang mengajar aku perkataan yang pertama dan diajarnya bertatih. Dan akhirnya, anak perempuannya ini merantau jauh beribu-ribu batu dari matanya. Merentasi Laut China Selatan. Membawa harapan semua merealisasikan impian.
Mel elektronik yang kuberikan pada Along pun disuruhnya 'print' dan disimpan rapi dalam fail aku. Waktu aku balik dan lihat e-mel dalam failku, aku tergelak sendiri.
"Macam ni pun mak simpan?"
Malu dan terharu sebenarnya. Kolam mata sudah bergenangan. Sejak dari hari itu aku tulis guna ayat standard Bahasa Melayu. Waktu malam raya tahun pertama aku di sini pun dia yang menangis teresak-esak.
"Mak minta maaf sebab tak hantarkan kamu kuih raya."
Aik! Dunia dah terbalikkah? Memang aku sedikit terkilan sebab tahun pertama hari rayaku di perantauan tiada kuih raya. Malam raya tahun tersebut aku hanya keseorangan sahaja di rumah sewaku. Kolam mata sudah bergenangan. Aku tahan saja walaupun ada sedikit sebak. Mujur anak mak ni 'macho' orangnya. Cuba berlagak gembira. Rasanya sejak berada di Jepun ini mutu lakonanku makin meningkat naik. Bukan niat untuk berselindung cuma tak mahu mereka risau yang bukan-bukan. Mereka risau, aku bertambah lagi risau. Titik.
Nenek Aisyah meninggalkan kami berdua. Dia memerhatikan kami dari jauh. Uncle Soufi dan Auntie Sufiah pula tiada di sini. Pasangan suami isteri itu sibuk menguruskan hal berkenaan Kaduk semasa di dalam pesawat nanti.
"Kaduk... Aku nak beritahu sesuatu pada kau." Kataku tiba-tiba.
"Apa dia?"
Aku menarik nafas dalam-dalam.
"Guwe sayang banget sama kamu kerna kamu sahabat guwe." Kataku selaju mungkin.
"Apa? Kau cakap Bahasa Jepun ke dengan aku ni? Tolong ulang sekali lagi. Dalam Bahasa Melayu ya." Katanya sambil ketawa berderai.
"Tiada pengulangan!" Tegasku.
"Say it in Malay and slowly. Please... "
Aduh! Nyata 'please' Kaduk berjaya mencairkan hatiku. Aku menarik nafas dalam-dalam. Mengumpul kekuatan sebanyak yang mungkin.
"Aku sayang kau sebagai sahabat!" Ucapku dengan nada perlahan. Wajahku sudah merona kemerahan rasanya waktu itu.
Dia tersenyum.
"Ngerti?" Soalku kembali.
"Thanks."
"Thanks? Itu aja?" Tanya aku. "Hanya 'thanks'?" Aku mengajuk cara dia bercakap.
Dia ketawa lagi. Dengan memakai penyokong di leher, dia masih boleh tersenyum gembira. Aku cukup kagum dengan semangat yang dimiliknya.
"Guwe pun sayang banget sama kamu... sebagai teman guwe." Ucapnya perlahan setelah tawanya reda.
Walaupun perlahan seperti bunyi angin petang berdesir tetapi ia cukup jelas pada pendengaranku. Aku mengetam bibir menahan malu.
"Aku saja nak suruh kau ulang. Sebenarnya aku dah dapat tangkap yang mula-mula tadi. Kau lupa yang aku juga punya kamus bergerak Indonesia-Malaysia di rumah."
"Huh?" Masakan aku terkena untuk kali kedua.
"Kak Maya..."
Ya Rabbi! Pembantu rumahnya itu dikata kamus bergerak. Ada-ada sahaja temanku ini. Aku tersenyum lebar. Keadaan menjadi sepi seketika.
"Syah..."
Dari nada suaranya aku tahu dia akan menyatakan sesuatu yang serius. Wajah karisma bekas-ketua-majlis-perwakilan-pelajar-dan-pengawas-sekolahnya akan terserlah. Dia hanya begitu apabila ingin memperkatakan sesuatu yang penting. Aku cukup masak dengan perangai dia.
"Aku nak kau janji dengan aku sesuatu? Boleh?"
"Cakap dulu, baru boleh janji."
"Kau perlu janji dulu."
"Tak. Kau cakap dulu." Kataku tidak mahu mengalah.
Dia menarik nafas dalam-dalam. Seperti mahu lepaskan beban yang berat.
"Mulai saat ini aku nak kau lupakan tentang beberapa perkara yang pernah aku tulis dalam surat tempoh hari. Yang aku beri bersama hadiah buku tu..."
Darah aku tersirap. Kenapa dia perlu mengungkit semula hal berkenaan isi kandungan surat itu waktu ini? Aku masih belum bersedia untuk memperkatakan semua itu.
"Beberapa perkara? Contohnya?" Soal aku berani. Dalam hati debar tidak menentu menanti reaksinya.
"Kita bukan anak kecil lagi, Syah. Pasti kau mengerti..."
Aku terdiam.
"Boleh?"
"Tapi kenapa?"
Dia merenung jauh.
"Sebab yang pertama, aku bukan lagi Carl Duke Adam yang kau kenali dulu. Mungkin semua pada zahirnya kau lihat ingatan aku dah kembali seperti dulu. Tetapi sebenarnya tidak. Separuh dari diri aku masih kosong dan kabur tentang kau... tentang kita. Dalam separuh itu termasuk perkara yang aku pernah coretkan dalam surat itu. Dan yang kedua, aku takut kau menyimpan harapan yang tinggi terhadap aku. Kau lihat keadaan aku sekarang yang berkerusi roda."
"Kau akan sembuh. Kau mesti yakin!" Tegasku.
"Aku tahu... tapi kemungkinan besar akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya."
Mataku sudah bergenangan. Aku cuma berdiri kamu merenung teman tersayang yang kini berkerusi roda. Beginikah akhirnya persahabatan kami? Hatiku sudah berendam air mata.
Panggilan terakhir untuk pesawat ke Malaysia berkumandang di udara. Uncle Soufi dan Auntie Sufiah datang menjemput anak mereka. Begitu juga dengan Nenek Aisyah. Aku mengiringi pemergian mereka sampai ke pintu masuk balai berlepas.
"Syah, berjanjilah dengan aku." Kata Kaduk sebelum jasadnya dibawa terbang pulang ke tanahair.
Lidahku kelu. Berjanji pada benda yang aku sendiri tidak pasti. Sukarnya!
"Kau yang perlu janji yang kau akan ikut terapi sehingga kau pulih. Tentang aku... kau jangan risau. Terlalu banyak persoalan yang kita berdua perlu ungkai bersama selepas ini. Aku akan tunggu..."
"Jangan!"
"Aku akan tunggu kau sebagai kawan."
Wajahnya nampak sedikit lega apabila aku tekankan perkataan 'kawan' itu. Aku tidak punya cara lain. Wahai hati, maafkanlah daku. Kerna aku tidak akan mendengar bisikanmu saat ini. Hanya untuk saat ini. Aku tidak punya pilihan.
Kenapa setiap pertemuan perlu adanya perpisahan? Aku mengeluh dalam hati. Sesungguhnya aku menanti dengan penuh harapan pertemuan kami yang akan datang. Aku harap dia sembuh sepenuhnya seperti sediakala waktu itu. Mungkinkah akan ada lagi pertemuan antara kami selepas ini? Aku gundah. Tetapi aku yakin. Setiap perpisahan sebenarnya adalah titik tanda pertemuan yang berikutnya. Aku akan menunggumu, Carl Duke Adam.
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi.
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita bertemu lagi.



Episod 65: Seindah Sakura
April 2006
Sakura tahun ini tetap seindah biasa. Aku tidak melepaskan peluang merakamkannya dengan lensa kamera. Subhanallah, cantiknya! Aku sempat memuji dalam hati ciptaan Ilahi. Kaki ini terus melangkah. Sesekali berhenti memerhati bunga-bunga yang indah. Semester baru di tempat yang baru. Aku kini menjadi salah seorang penuntut di Universiti Tokyo pula. Menyambung pengajianku dalam peringkat master.
Aku masih memilih untuk terus bermukim di bandar termaju di dunia ini meskipun hati pernah terpaut pada kehijauan daerah permai Tsukuba suatu ketika dahulu. Nyata aku sudah tegar dengan suasana hiruk-piruk begini. Lagipun, Kak Zinnirah juga menuntut di universiti yang sama dan sekarang dalam master tahun akhir. Harapnya dia boleh mengingatkan aku di kala kealpaan mendatang. Selain itu, makin mudah kami hendak merancang aktiviti bersama-sama. Meneruskan agenda memakmurkan bumi matahari terbit dengan nur Islam. Semoga dengan izin-Nya aku terus ikhlas dan teguh di atas jalan ini. Jalan perniagaan yang bisa menyelamatkan aku dari azab seksa api neraka.
Seperti dalam firman Allah swt yang berbunyi, "Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar." (As-Sof: Ayat 10-12)
"Syah!" Sapa satu suara seraya menepuk bahuku dari belakang.
Aku tersentak lalu segera menoleh.
"Kak Zie ni buat terkejut orang aja." Kataku sambil mengurut dada.
"Mana ada. Kak Zie dah panggil banyak kali tapi dia yang tak dengar. Bila dah pegang kamera tu tak pandang kiri kanan. Syah... Syah..."
Aku menggaru kepala yang tidak gatal.
"Sorry ya Kak Zie. Tengah asyik masyuk tengok bunga ni."
"Jom temankan Kak Zie pergi International Student Center. Nak tengok ada lagi tak student Malaysia yang masuk sini." Kata Kak Zinnirah langsung memaut tanganku.
Aku menurut tanpa banyak soal.
"Haa... tahu tak... selain Syah ada seorang lagi student baru dari Malaysia tahun ni."
Aku yang masih leka memerhati bunga sakura tersentak.
"Ya ke? Baguslah tu. Meriah sikit."
"Lelaki pula tu." Kata Kak Zinnirah lagi dengan pandangan bermakna.
"Amboi Kak Zie. Dah bertunang pun sempat tenung orang lain. Nanti Syah report pada Akhi Bukhari baru tahu." Usik aku.
"Dah pandai jadi tukang report sekarang ni ya." Balas Kak Zinnirah malu-malu.
Kak Zinnirah baru sahaja mengikat janji dengan pilihan hatinya bulan lepas. Aku sempat menghadirkan diri ke majlis pertunangannya di Muar. Akhi Bukhari pun pernah belajar di Jepun dahulu. Kalau tidak silap aku di Universiti Fukui. Sekarang sudahpun bertugas sebagai jurutera di kilang Perodua, Rawang.
"Lelaki tu sebaya Syah. Kak Zie dah jumpa dia. Baik orangnya. Muka pun boleh tahan. Kak Zie rasa dia ni kacukanlah. Kalau Syah jumpa nanti, mesti Syah suka." Cerita Kak Zinnirah penuh semangat. Agaknya dia pun mahu aku mengikut jejak langkahnya.
"Kak Zie ni macam tahu aja taste Syah." Balasku.
Dalam diam tanganku pantas ingin mencuit pinggangnya. Tetapi dia sempat mengelak lalu ketawa kecil. Aku pura-pura buat muka geram.
"Ermm... jangan-jangan budak batch Syah juga. Siapa namanya?" Batch aku di UM dulu ada seorang dua yang ala-ala muka mix juga. Aku cuba mengingati wajah mereka satu-persatu.
"Kak Zie terlupa pula nak tanya nama. Mungkin Syah tak kenal kot. Dulu dia belajar kat UK. Kak Zie pun tak sempat nak sembang lama hari tu."
"Budak UK?"
Agaknya macam Abang Zaidi jugalah ni. Dulu dia pun pernah belajar di UK. Kerja dalam lima, enam tahun datang ke sini pula sambung master. Nak beralih angin katanya. Aku juga yang masih setia dengan bumi samurai ni. Lagipun aku pernah belajar semua dalam Bahasa Jepun, senang di sini sahaja. Nampaknya Bahasa Inggeris aku makin berabuklah jadinya, hatiku berkata-kata.
Kami melangkah masuk ke dalam pejabat International Student Center di tingkat bawah. Kak Zinnirah pergi ke kaunter bertanya sesuatu. Aku cuma menanti di belakang.

"Syah nak tengok budak tu kan. Ni dia..." Kata Kak Zinnirah sambil menyuakan fail pada aku.
Aku menyambut dengan senang hati. Mana tahu lelaki yang dimaksudkan Kak Zinnirah itu memenuhi citarasaku. Boleh juga dijadikan salah seorang calon pilihan. Aku pun bukannya muda lagi. Kena mula merancang masa depan.
Mataku tertumpu pada gambar berukuran posport yang tertampal pada fail butiran pelajar lelaki tersebut. Aku tergamam seketika. Beralih pula pada nama yang tercatat.
Masakan dia... Tak mungkin. Tak mungkin dia berada di sini, bisik hati kecilku.
"Kenal?" Tanya Kak Zinnirah.
"Kenal sangat. Kami kawan satu sekolah dulu." Jawabku lemah.
"Assalamualaikum..."
Kami segera berpaling. Aku sedikit terkejut.
"Baru aja sebut dah muncul depan mata." Kata Kak Zinnirah padaku separuh berbisik.
"Tak sangka kita akan jumpa lagi..." Kata lelaki itu. Matanya tepat memandang ke arahku.
Aku tidak membalas. Masakan sejarah akan berulang kembali. Di sini. Di bumi sakura ini. Antara aku dan dia. Sedangkan kisah kami sudah terkubur sekian lama. Aku sendiri sudah belajar melupakan dia dari menghantui hidupku. Tetapi bayangannya itu masih mengejarku walau aku cuba lari. Kenangan lalu sering mengusik jiwa. Mungkinkah ini yang dinamakan suratan atau hanya suatu kebetulan?

Episod 66: Bisa Tersenyum
Aku menghempaskan tubuh di atas katil. Minggu pertama semester baru sememangnya memenatkan. Banyak perkara yang perlu diselesaikan. Ditambah lagi dengan aku tidak biasa dengan suasana di universiti baru ini. Masih kurang arif dengan kedudukan bangunan dan sebagainya. Harapnya aku tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang sedikit berbeza ini.
Tekakku rasa dahaga. Lantas aku bangkit dan menuju ke ruang dapur. Waktu sejuk begini, minuman koko panas pasti menjadi pilihan.
Pertemuan minggu lalu masih segar di ingatan. Setelah hampir dua tahun lebih tidak bersua muka, akhirnya bumi sakura sekali lagi menyatukan kami berdua. Entah apa hikmah di sebalik pertemuan ini, aku kurang pasti. Yang perlu aku ingat, ada tembok besar antara kami. Dia penyebabnya. Bukannya aku.
"Syah macam tak gembira aja. Kenapa?" Soal Kak Zinnirah semasa dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya hari itu.
"Tak adalah..." Aku cuba berlagak ceria.
"Kamu berdua tak baik sangat masa sekolah dulu ya?" Tanya Kak Zinnirah lagi.
"Baik aja." Jawabku ringkas.
"Habis tu kenapa macam tak mesra aja. Pernah gaduh agaknya dulu ni..."
Aku tidak membalas. Masih memikirkan tentang pertemuan yang tidak disangka tadi.
"Kalau Kak Zie mesti seronok bila jumpa kawan satu sekolah." Kata Kak Zinnirah ceria. Mahu memancing minatku.
"Yalah tu. Dengan tunang sendiri pun malu-malu. Nak seronok konon." Tempelek aku.
Kak Zinnirah langsung tersipu malu apabila sekali lagi aku membangkitkan soal tunangannya itu.
Aku tersenyum sendiri. Faham benar perasaan dia kala ini. Kak Zinnirah yang tidak pernah bercakap tentang lelaki walau sekalipun sebelum ini, tiba-tiba menerima lamaran tanpa diduga pasti terkejut besar. Rupanya tunangannya itu sudah lama memendam rasa. Selama ini hanya memerhati dari jauh Kak Zinnirah yang ayu dalam caranya yang tersendiri itu. Aku? Mungkin perlu kuburkan niat untuk menjadi wanita ayu. Sejak dari sekolah lagi aku jenis yang sporty. Imej perempuan melayu terakhir mungkin kurang kena dengan aku. Serba tak tentu jadinya nanti. Titik.
"Sebenarnya ada sesuatu yang buat saya jauhkan diri daripada dia." Akhirnya aku berterus-terang jua. Aku tidak sampai hati menipu Kak Zinnirah. Dia terlalu baik.
"Kak Zie dah agak. Mesti ada yang tak kena. Selalunya Syah tak macam ni." Sambut Kak Zinnirah dengan nada perlahan. Tangannya mengusap lembut bahuku.
"Hal kecil aja, Kak Zie. Tak ada apalah." Aku cuba mengelak dia terlalu dalam memikirkan masalah aku dengan lelaki yang baru kami temui tadi.

"Kalau kata-kata dan kelakuannya pernah buat Syah marah, maafkanlah dia. Cuba fikirkan sesuatu yang baik tentang dia. Sesuatu yang pernah buat Syah tersenyum." Kata Kak Zinnirah dengan penuh berhikmah. Dia seperti boleh mengagak yang lelaki itu yang memulakan sengketa.

Aku meneguk koko panas yang siap dibancuh. Enak. Kepulan asap nipis naik ke udara. Kedinginan musim bunga tahun ini lebih mencabar daripada sebelumnya. Aku meletakkan kepala di atas bantal. Merenung siling dengan perasaan yang bercampur baur.

"Yang buat aku tersenyum... " Aku berbicara sendiri.

Dia memang selalu buat aku tersenyum, bisik hatiku.

Fikiran aku sudah melayang ke zaman persekolahan yang banyak mencipta kenangan yang tidak bisa aku lupakan sampai bila-bila pun.

Aku menjengukkan kepala ke dalam kelas 5 Alfa. Mencari teman baikku. Aku mengetuk pintu kelas elit itu berkali-kali dengan pensel mekanikal yang bermain di hujung jari.

"Assalamualaikum... "

Mar Iskandar yang sedang khusyuk menulis berhenti. Dia menoleh ke arahku. Aku jadi gugup. Dengan hanya menyarung jersi pasukan hoki sekolah dan berkopiah, dia masih nampak tampan di mataku.

"Waalaikumussalam," jawabnya perlahan.
"Saya cari Kaduk. Awak tahu tak dia kat mana?"
Mar Iskandar saling berpandangan dengan Rosdi yang duduk di belakangnya.
"Rasanya nampak dia praktis debate kat bilik gerakan ASPURA masa saya nak datang ke sini tadi. Kenapa?"
"Ingat nak minta dia ajarkan something. Tapi dia tak adalah pula. Tak apalah. Thanks."
Tiba-tiba idea nakalku datang. Aku berpatah semula ke kelas 5 Alfa.
"Mar Iskandar, awak sibuk ke sekarang?"
"Ermm... tengah buat Add Math."
"Kalau saya minta awak ajarkan penyelesaian untuk satu soalan Lukisan Kejuruteraan ni boleh tak? Itupun kalau awak tak kisah." Tuturku dengan berani.
Riak wajahnya berubah. Terkejut agaknya dengan permintaanku itu. Aku cukup faham dengan Mar Iskandar yang tidak pernah kelihatan berbual dengan pelajar puteri ini.
"Awak ke.... Rosdi ke.... Tak kisahlah." Kataku lagi setelah melihat dia memandang Rosdi seperti meminta teman sekelasnya itu yang melayani permintaanku.
"Lebih baik Mar yang ajar. Dia lagi power." Kata Rosdi merendah diri.
Aku memandang Mar Iskandar dengan wajah mengharap. Dia kelihatan serba salah. Mungkin apa yang akan dilakukannya nanti bertentangan dengan prinsip yang dipegangnya selama ini.
"Tak apalah. Saja tanya. Maaf kacau kau orang berdua." Kataku sedikit hampa. Kaki mula mengatur langkah untuk beredar.
"Tunggu!"
Aku segera menoleh. Bibirku sudah membuahkan senyuman.
"Okeylah. Saya akan ajarkan."
"Nanti saya ambil kertas soalannya. Tunggu tau..." Kataku dengan nada ceria.
Aku segera berlari ke kelasku. Dalam masa tidak sampai satu minit aku sudah berada di hadapan Mar Iskandar.
"Soalan nombor tiga..." Kataku sambil menghulurkan kertas soalan pada Mar Iskandar yang dua meter jaraknya dari aku.
Dia masih tenang walaupun aku berjaya mengesan kegugupannya. Seronok benar waktu itu kerana aku dapat merenung lelaki itu sepuas hati. Tidak perlu lagi mencuri pandang sebab dia sudah berada di hadapan mataku.
Ya! Lelaki itu sememangnya mewarnai hidup aku kala itu. Melihat dia sudah buat aku senyuman sampai ke telinga. Betul kata Kak Zinnirah. Mar Iskandar tidaklah seteruk mana. Cuma aku seperti tidak boleh menerima kesilapannya dahulu.
"Mar Iskandar tu bukan darah kacukanlah Kak Zie. Pure jawa tu. Muka aja nampak anak cina. Dulu pun saya ingat dia mix juga. Agaknya masa ummi Mar Iskandar mengandung, dia terkenan pada apek jual sayur kot." Selorohku waktu disoal-siasat oleh Kak Zinnirah.
Kata-kataku disambut dengan ketawa kecil. Aku harap Kak Zinnirah tidak lagi menyangka yang bukan-bukan tentang aku dan Mar Iskandar.
Tiba-tiba imbasan seseorang datang menerpa fikiran. Di mana ada aku, di situ ada dia. Malah memori bersamanya melebihi lelaki lain yang pernah aku kenali. Hubungan kami lebih kepada hubungan dua hala. Kalau dengan Mar Iskandar, hanya aku seorang sahaja yang memerhatikan dia dari jauh kerana hendak berbual dengannya bukanlah keinginanku. Prinsip itu aku guna pakai untuk semua jejaka yang pernah aku minati. Aku masih ingat yang buat pertama kalinya Mar Iskandar menjadi guruku waktu itu, Carl Duke Adam juga ada bersama memerhatikan kami senyap-senyap.
"Khusyuknya dia. Tengok white board ke... tengok cikgu yang mengajar?" Sampuk satu suara yang cukup kukenali dari belakang.
Aku sedang tekun mendengar penerangan Mar Iskandar terpinga-pinga. Lantas aku menoleh dan mendapati Kaduk yang memeluk tubuh sedang bersandar pada pintu belakang kelas tersebut sambil memerhatikan gelagat kami berdua. Bibirnya tidak putus mengukir senyuman mengejek.

"Patutlah cari dalam kelas tak ada. Rupanya ter'sangkut' kat sini." Usik Kaduk lagi.

"Sibuklah! Orang nak belajar pun tak senang. Kacau aja." Kataku pura-pura marah.

Aku kembali memandang papan putih tanpa memperdulikan temanku yang suka mengusik itu. Mar Iskandar meneruskan semula pengajarannya.

Kaduk sengaja memilih tempat duduk yang selari dengan aku. Sesekali aku memerhatikan dia dengan hujung mata. Nampak mulutnya berkumat-kamit. Sibuk menghafal teks debatnya untuk pertandingan persahabatan dengan MRSM Taiping yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Faham?" Tanya Mar Iskandar setelah selesai menerangkan cara penyelesaian soalan tadi.

Aku mengangguk cepat-cepat.

"Saya tak pandai sangat nak mengajar. Lainlah kalau Kaduk..." Kata Mar Iskandar kurang yakin.

Kaduk memandang kami berdua apabila terdengar namanya disebut.

"Ala... Kalau kau ajar, lagi senang si Syah tu faham. Berganda-ganda lebih faham berbanding aku yang ajar. Betul tak Syah?" Katanya sambil tersenyum sinis.

Waktu itu aku rasa nak jahit saja mulut dia! Geram!

Aku kembali memandang lelaki pujaan hati. Sesuatu yang aku perhatikan tentang Mar Iskandar adalah dia tidak pernah ambil pusing dengan usikan Kaduk. Walaupun setinggi langit aku dan dia dipadan-padankan oleh Kaduk, namun dia masih berlagak tenang. Tidak pernah sekali-kali dia melarang perbuatan Kaduk itu di hadapanku. Mungkin atas dasar hormatnya pada ketua pelajar kami itu. Tetapi mana tahu di belakang aku dia memberikan 'tazkirah' ringkas pada Kaduk. Wallahu 'alam.

"Saya faham aja apa yang awak terang tadi. Awak tak biasa dengan perempuan. Tu nampak macam kekok aja. Memang awak tak ada langsung adik-beradik perempuan ya?" Aku pura-pura bertanya padahal aku sudah sedia maklum.

"Dah habis belajar kan. Pergi balik kelas sendiri. Jangan nak bertaaruf dengan Mar Iskandar tu pula." Sampuk Kaduk dengan wajah serius.

"Ya lah..." Kataku sedikit merajuk. Aku baru nak beramah mesra dah kena halau. Tahulah ini kelas dia, gerutu aku dalam hati.

Aku segera mengemas semula alat tulis yang bersepah di atas meja lalu beredar pergi selepas memberikan ucapan terima kasih pada Mar Iskandar. Tidak lama selepas itu Kaduk datang bertandang ke kelasku. Mahu memujuklah kononnya. Dia memang begitu. Apabila buat kesilapan, cepat sahaja datang meminta maaf. Sempat membantu aku menyelesaikan satu, dua soalan Fizik yang selalu membuatkan kepala aku bagai mahu berasap.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Alangkah bagusnya jika wajah Carl Duke Adam yang aku lihat dalam fail itu tempoh hari. Carl Duke Adam yang menegurku. Dia yang akan bersama-samaku di sini. Sebaliknya Mar Iskandar pula yang datang ke dalam hidup aku pada saat aku sudah kunci pintu hatiku dari mengingatinya. Aku telah membuang segala yang indah tentang dia. Hanya seorang sahaja yang kutunggu hingga ke saat ini, walaupun dia juga mahu aku melupakan perasaan yang pernah terdetik antara dua hati. Namun begitu aku tidak bisa membuangnya dari fikiranku. Kerna hanya dia yang bisa buat aku tersenyum kembali.


Episod 67: Lupakan Sengketa
Mar Iskandar hanya membisu sejak dari tadi. Mungkin dia masih teragak-agak untuk memulakan bicara kerana layanan dingin aku beberapa minggu lepas. Aku masih menghulurkan bantuan apabila diminta. Cuma yang hilang hanyalah sebuah kemesraan.
Dengan Mar Iskandar mana boleh tunjuk mesra yang bukan-bukan. Nanti dia kata aku perempuan gedik. Tak tahu adab sopan. Ah! Kenapa aku terlalu prejudis terhadapnya sekarang?
"Ana tak tahu macam mana nak cakap dengan enti lagi." Katanya mengaku kalah.
"Kalau kesalahan manusia dengan tuhan, perlu pohon keampunan dari Dia. Tetapi kesalahan sesama manusia sendiri, hanya orang tu sahaja dapat beri kemaafan. Sebab itu ana sungguh-sungguh minta maaf dengan enti." Katanya lagi.
Haa.. baru tahu langit tu tinggi rendah. Sekali aku mengamuk, kau pujuk pun aku tak layan. Kau senyum dua puluh empat jam pun aku buat tak nampak. Lain kali cari gaduh dengan aku lagi. Sebelum bercakap pilihlah perkataan yang baik-baik, bisik hatiku
"Ada satu kisah. Ana rasa enti pun tahu. Tentang seorang pemuda yang alim termakan buah epal yang dijumpainya hanyut dalam sebuah sungai. Lepas makan epal tersebut, barulah dia tersedar kesilapannya. Lalu dia cari pemilik epal tersebut untuk minta maaf. Dia berjaya berjumpa dengan tuan punya epal tapi orang tu letakkan syarat. Tuan punya ladang epal tu minta pemuda tadi kerja dengan dia selama setahun. Pemuda tu pun bersetuju. Tapi lepas setahun pemilik epal tu minta tambah lagi setahun sampailah lebih kurang dua belas tahun jadinya Sampailah satu hari, si pemuda ni minta kebenaran dari pemilik epal tu. Tapi dia masih tidak sedia beri kemaafan melainkan pemuda tu berkahwin dengan anak perempuannya yang buta, pekak dan cacat. Pemuda tu pun terima syarat pemilik epal itu asalkan dia dimaafkan."
"Kiranya kau pun sanggup kahwin dengan aku semata-mata nak dapat sebuah kemaafan. Begitu?" Aku mencelah. Cuba mengambil kesimpulan dari apa yang dia sampaikan.
Mar Iskandar tersedak. Dia cuba mengawal dirinya dengan berdehem berkali-kali.
"Tengok! Aku baru cakap macam ni pun kau dah tersedak-sedak. Nampak sangat tak ikhlas. Bagi tazkirah bukan main lagi tadi." Ejekku. Sengaja tunjuk kegaranganku pada dia.
Kenapalah aku sengaja ingin mencari kesalahannya? Bisik hatiku.
"Bukan macam tu." Jawabnya pantas.
Dia ni kena belajar dengan Kaduk. Aku gertak sikit dah cuak. Eh! Sejak bila pula aku dah pandai ber'aku-kau' dengan Mar Iskandar? Sebelum tu asyik 'saya-awak' aja. Oh ya! Masa dia komen pasal aku, terus aku bahasakan diri macam tu. Buat gaya aku dengan Kaduk. Aduh, lagi-lagi Kaduk. Rindu sangatkah aku pada dia? Semalam baru menerima panggilan dari teman tersayang. Syukur kerna izin-Nya temanku itu sudah pun pulih seperti sedia kala. Masalahnya sekarang cuma perasaannya pada aku tidak lagi seperti dahulu.
"Lupa pula... orang faham agama macam kau ni mana pandang orang macam aku ni. Apalagi nak dijadikan isteri." Perliku lagi.
Dia mengeluh panjang.
"Ana dah tahu pasal enti dari abang ana dan Kaduk. Apa yang enti buat..."
"Aku tak perlukan pengiktirafan dan pengesahan dari kau untuk apa yang aku buat. Sebab aku bukannya nak menunjuk pada sesiapa." Pintasku. "Sudahlah tu. Cakap banyak pun tak guna. Buat sakit hati aja. Lupakan ajalah." Sambungku lagi.
"Tapi..."
"Tak ada tapi lagi. Aku harap kau tak ungkit lagi hal ni sebab ia takkan dapat membantu malah akan lebih memburukkan keadaan." Tegasku.
Aku meninggalkan kafe universiti dengan perasaan marah. Bagaimana aku hendak kembali tersenyum seperti dulu apabila memandang wajahnya? Yang paling penting aku sudah tidak ada perasaan istimewa untuk dia. Maafkan aku, Mar Iskandar. Kerna terlalu berkeras dengan kau. Sekarang ini aku sudah tidak terfikir apa yang kau fikirkan tentang aku. Kalau dahulu aku ingin jadi yang terbaik di hadapanmu supaya kau sedar kewujudanku, tetapi kini segalanya sudah berubah. Aku sudah tahu anggapan orang-orang seperti kau pada orang-orang seperti aku ini. Biarlah kalian hendak menilai aku orang yang bagaimana. Hanya Tuhan yang lebih mengetahui isi hatiku. Hitam atau putih. Baik atau buruk.
Tetapi apabila melihat wajah Mar Iskandar bersedih sebentar membuatkan aku rasa tidak senang. Aku yang baru sahaja keluar dari pintu kafe berpatah semula ke meja kami tadi.
"Kau tak nak balik ke?" Tanya aku, cuba berlembut.
Dia bangun perlahan-lahan lalu berdiri di sisiku. Kepalanya diangguk perlahan.
"Jom..." Kata Mar Iskandar sambil bibirnya mengukir senyuman.
"Kenapa pilih Universiti Tokyo? Kenapa tak pilih universiti lain? Atau sambung aja di UK?" Soalku bertubi-tubi.
Aku lihat riak wajahnya berubah sama sekali. Kasar sangatkah bahasaku? Rasanya sudah habis lembut aku menyusun kata.
"Syah tak suka saya di sini ya." Balasnya dengan suara mendatar.
"Syah? Saya?" Soalku kehairanan.
"Ermm... rasanya mungkin kita perlu kembali macam dulu. Saya... awak..."
Aku tersenyum.
"Mungkin juga..."
"Baru nampak awak senyum..."
"Mana ada." Aku kembali serius.
Aku lihat senyuman Mar Iskandar memekar.
"Saya minta maaf sebab marah-marah pada awak. Perli dan sebagainya." Kataku.
"Tak apa. Isteri Saidina Umar pun begitu. Kalau marah dihamburnya habis-habisan. Sekarang dah lega sikit kan?"
Aku mengangguk.
"Terima kasih sebab berterus-terang." Ujar Mar Iskandar
"Sama-sama sebab sudi bersabar dengan saya." Balasku.
"Saya baru lagi di sini. Perlukan bantuan senpai (senior)..." Katanya seperti seorang junior.
"Yalah tu..." Kataku sambil ketawa.

Episod 68: Tanya Sama Hati
Perbualan antara aku dengan Kaduk beberapa bulan lalu masih terniang-niang di telinga. Walaupun pedih untuk ditelan, tetapi dalam diam aku mengakui kebenarannya. Aku terlalu menurut kata hati tanpa memikirkan perasaan Mar Iskandar.
"Terus-terang aku katakan yang aku tak berapa setuju dengan tindakan kau tu. Bukankah dah berkali-kali aku ingatkan... kawal emosi, kawal kemarahan kau. Nak marah boleh tapi jangan melampaui batas. Kau tahukan Ammar tu anak yatim sejak dia Form Three." Kata Kaduk dengan nada keras.
Aku terkedu. Lain yang kuharap, lain reaksi yang kuterima. Alih-alih aku pula yang diberi teguran. Patutlah dia senyap sahaja bila aku bercerita tentang kejadian di kafe dahulu. Rupanya dia tidak menyenangi tindakan yang aku ambil terhadap Mar Iskandar.

"Dah dua tahun. Takkan masih nak berdendam, Syah. Kau sendiri pernah buat silap bukan. Tak ada faedahnya menyimpan rasa benci dan dendam dalam hati. Semua itu hanya memberi kemudaratan pada diri sendiri. Ibarat kau usung seplastik kentang ke sama ke mari selama berhari-hari, berminggu-minggu, bertahun-tahun lamanya. Pasti kentang tu busuk dan berkulat bukan? Macam tu juga hati kau sekarang kalau kau terus membenci Ammar."

"Kaduk..." Aku cuba mencelah kerana aku tahu apabila dia mula bercakap dia tidak akan berhenti. Diakan debater.

"Dan jiwa serta apa yang disempurnakannya, maka diilhamkan kepadanya keburukan dan ketakwaannya, Sungguh beruntung orang yang membersihkannya dan merugi orang yang mengotorinya. Surah Al-Syams, ayat 7 hingga 10." Katanya lagi. Langsung tidak memberi peluang pada aku.

Sesuatu yang menggerunkan tentang ketegasan Carl Duke Adam. Dia tidak akan berkompromi sama sekali. Yang salah tetap salah. Aku sendiri yang rapat dengannya tidak diberi muka. Terdiam juga dibuatnya apabila dia mula membacakan ayat Al-Quraan padaku. Marah benarkah dia?

"Pusat kebahagiaan terletak di hati. Jadi bersihkanlah hati. Tazkiyatul nufus. Aku tak nak dengar lagi cerita macam ni. Berbaik-baiklah dengan Ammar sebab dia juga sahabat aku. Aku kenal dia lebih awal daripada kau, Syah."

"Ermm... betul kata kau tu." Kataku perlahan.

"Syah, I didn't want to be right. Tapi kadang-kadang kau terlalu degil dan sebab itu aku terpaksa berkeras begini. Aku tak berniat langsung nak marah kau."

"Syah! Ikan! Ikan!" Jeritan Kak Zinnirah mematikan lamunanku.

Aku segera menutup api dapur. Kuali di hadapanku berasap. Aku mengurut dada. Mujur!

"Mengelamun!" Kak Zinnirah menepuk bahuku. "Nasib baik tak terbakar rumah ni." Sambungnya lagi lalu mengambil sudip di tanganku.

Aku merenung ikan yang sudah hitam-legam terlebih goreng. Bagaimana hendak kahwin begini? Bikin malu aja pada mak mertua kalau dapat menantu yang kuat berangan seperti aku.

"Dah dekat nak masuk waktu berbuka ni tapi Ammar tak datang-datang lagi ni. Syah cuba call dia. Mana tahu dia terlupa pula janji kita hari ni."

"Yalah..."

Aku menurut sahaja kata Kak Zinnirah. Setelah panggilan ketiga baru dijawab. Di hujung talian kedengaran Mar Iskandar yang batuk-batuk kecil.

"Mar... kau datang ke tak ni?"

"Maaflah, saya tak dapat datang. Tak berapa sihat."

"Ada ubat?"

"Ada-ada..." Jawab Mar Iskandar.

"Pasti kau tak apa-apa?"
"Ya."

"Nanti kami datang hantarkan lauk."

"Tak perlulah susah-susah."

"Aku ada masakkan lauk kegemaran kau. Semalam kau ada minta, kan."

"Syah masak special untuk Ammar!" Sampuk Kak Zinnirah dari dapur.

Aku mengerling tajam.

"Lepas berbuka nanti kami datang ya." Kataku mengakhiri perbualan kami.

Kak Zinnirah memandang aku dengan pandangan bermakna.

"Kenapa?" Soalku.

"Nasib baik Syah dah tak garang-garang lagi dengan Ammar tu. Kalau tidak, takut juga Kak Zie tengok. Macam mak tiri pun ada." Kata Kak Zinnirah sambil tersenyum.

"Ya ke?"

Aku ketawa kecil. Bukan selalu aku garang pada lelaki. Mar Iskandar patut rasa bertuah. Bila kita marah seseorang bermakna kita sayangkan orang itu. Dan aku sekadar ingin mempraktikkan teori itu ke atas Mar Iskandar. Tidak salah bukan?

Malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Kami tiba di hadapan pintu rumah sewa Mar Iskandar. Loceng ditekan. Mar Iskandar menyambut kami di muka pintu tetapi tidak menjemputnya kami masuk. Segan.
"Bilik bersepah sikit. Rumah orang bujang." Katanya malu-malu.
Aku segera menyerahkan plastik yang berisi makanan yang kami masak tadi. Lauk masak lemak cili padi kegemaran Mar Iskandar tidak ketinggalan. Setelah itu kami segera meminta diri beredar.
"Syah! Sekejap ya..." Katanya padaku dengan nada perlahan.
Dia menghilangkan diri di sebalik pintu dan muncul kembali selepas itu dengan suatu bungkusan di tangannya. Bungkusan itu diserahkan padaku. Aku menyambut dengan penuh tanda tanya.
Sampai sahaja di rumah aku segera membuka bungkusan yang diberikan oleh Mar Iskandar sebentar. Aku menarik keluar suatu. Coklat PICNIC! bisik hatiku keriangan.

Aku mencari diari lamaku sewaktu berada di bumi Taiping tercinta. Membuka lembaran demi lembaran. Tanganku terhenti pada kertas bungkusan coklat PICNIC yang masih elok dalam simpanan. Hadiah pertama yang aku terima dari Mar Iskandar suatu ketika dahulu. Nota yang juga terselit pada helaian itu aku baca berkali-kali. Langsung aku tersenyum sendiri.
"Lapan tahun berlalu... tapi ada sesuatu yang masih tak berubah tentang kita," bisikku perlahan.
Mataku jatuh pada hadiah yang baru diterima. Dan, senyumanku kian melebar.

Episod 69: Cinta Sakura
Mac 2007
Seawal jam tiga pagi aku dikejutkan oleh deringan telefon sebanyak dua kali. Dengan malas-malas aku mencapai telefon itu di hujung bantal. Mata yang masih berat digosok beberapa kali.
"Dah bangun? Jom solat subuh. p/s: jangan lupa datang rumah tengahari nanti - Ammar"
Selepas membaca mesej tersebut aku tersenyum sendiri. Sudah menjadi satu kemestian pada setiap subuh yang aku akan menerima missed call dan c-mel dari Mar Iskandar. Rajin benar dia.
Hari ini Mar Iskandar buat jamuan kecil di rumahnya. Katanya bersempena menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru di universiti kami. Aku sudah berjanji akan datang awal untuk membantu setakat yang mampu. Lebih kurang jam sembilan pagi aku sudah bertolak ke rumah sewanya. Rasanya tidak manis membiarkan Mar Iskandar menguruskan segala-galanya seorang diri. Lagipun aku sendiri punya kelapangan cuti hujung minggu begini.
"Ammar, nak kentang berapa banyak ni?" Aku melaung dari dalam bilik.
Mar Iskandar menjengukkan diri di muka pintu bilik.
"Agak-agak ajalah..." jawabnya ringkas.
Aku mengupas beberapa biji kentang lagi untuk bergedil. Conni, teman dari Indonesia sibuk memotong daun bawang dan daun sup. Manakala Mar Iskandar dan dua orang lagi cowok dari Indonesia sibuk memasak di dapur.
Sesekali aku menguap panjang. Bahana tidur lewat malam tadi. Alunan lagu nasyid mengisi ruang dan sekali-sekala bertingkah dengan suara sang pria berbual antara satu sama lain di ceruk dapur.
"Tetamunya belum sampai lagi... " Gumam Mar Iskandar sambil memandang ke arah kami semua.
Dia meletakkan mee yang baru siap dicelur di atas meja rendah yang penuhi segala macam jenis bahan sampingan untuk hidangan soto nanti. Nasi himpit, daging ayam yang sudah dicarik-carik, bergedil dan berbagai lagi.
"Tunggu aja deh." Sahutku dalam lenggok Indonesia.
Conni, Anding dan Adam yang sememangnya berasal dari tanah seberang ketawa.
"Hebat kamu ya." Kata Anding kagum.
Aku pula ketawa. Pujian seharusnya diberikan kepada filem 'Ada Apa Dengan Cinta' yang berjaya membantu aku dalam perbendaharaan kata Bahasa Indonesia. Entah berapa kali aku ulang tonton sehingga sampai satu tahap aku sudah boleh menghafal skrip setiap aktor!
Ting tong...
Mar Iskandar segera mendapatkan pintu. Dua orang pelajar Malaysia berketurunan Cina, Jasmine dan Chong serta seorang pelajar dari Pakistan, Hussein melangkah masuk seorang demi seorang. Sepuluh minit kemudian menyusul pula pelajar-pelajar Indonesia yang baru tiba di Jepun.
Aku sibuk mengira semua yang berada di sini. Sudah hampir sepuluh orang kesemuanya. Mujur Mar Iskandar mempunyai dua buah bilik dan kedua-duanya agak luas untuk menampung jumlah tetamu yang hadir pada hari ini. Aku merenung wajah Mar Iskandar. Dia asyik memandang pintu. Mungkin masih lagi menanti tetamu yang dijemput. Sementara itu aku mengambil peluang ini untuk bermesra pelajar perempuan yang lain.
Sekali lagi loceng dibunyikan. Mar Iskandar bingkas bangun.
"Sampai pun... ingatkan dah sesat tadi."
Suara Mar Iskandar jelas kedengaran. Aku cuba menjenguk dari dalam. Wajah tetamu itu samar-samar pada penglihatanku. Masakan daya penglihatanku sudah berkurangan. Nampak gayanya selepas ini aku terpaksa menempah kaca mata ataupun contact lens. Suara tetamu lelaki itu seperti biasa pada pendengaran aku. Mungkinkah...
"Kaduk..."
Nama itu meniti bibirku sebaik sahaja melihat kelibat dia di belakang Mar Iskandar. Hatiku sudah dipalu debaran yang amat sangat. Mungkin inilah yang dinanti oleh Mar Iskandar sejak tadi. Padanlah lelaki itu tidak senang duduk tadi. Rupanya menunggu kehadiran tetamu istimewa dari Malaysia.
Bibirku sudah tersenyum lebar. Rindunya pada teman tersayang. Waktu bertemu di Malaysia semasa awal cuti musim bunga baru-baru ini, tidak dikhabarkannya pula mahu datang ke mari. Kaduk memang selalu begitu. Suka benar memberi kejutan.
"Perempuan di sebelah sana ya..." Kata Mar Iskandar pada seseorang di belakang Kaduk.
Dari sinar mata perempuan itu, rasanya aku sudah boleh dapat mengagak siapa gerangannya. Oh, tidak! Masakan dia...
Nur Jannatul Na'wa! Jerit hatiku yang satu lagi.
Masakan dia dan Kaduk berada di sini. Apakah ertinya ini? Mereka datang berdua. Berpakaian pula warna sedondon. Kedua-duanya serba hitam. Kaduk memilih jaket kulit dan jeans. Wawa pula dengan jabuh bersulam ringkas di pergelangan tangan. Dia menutup seluruh wajahnya di sebalik purdah berwarna krim kecuali sepasang matanya yang bundar itu. Akhirnya dia juga mengikut jejak langkah arwah Ain.
Sememangnya aku sedia maklum yang Kaduk sudah habis pengajiannya di Kota London pada Oktober tahun lalu. Dia lewat setahun daripada Mar Iskandar kerana terpaksa menjalani terapi terlebih dahulu sebelum dapat meneruskan pengajian seperti biasa. Wawa pula sudah tamat sejak dua tahun lepas, kalau tidak silap perkiraan aku.
Tiba-tiba kata-kata dalam emel Kaduk beberapa tahun yang lalu kembali menerjah fikiran. Tentang Auntie Sufiah yang berura-ura mahu menyatukan Kaduk dan Wawa selepas tamat pengajian masing-masing. Mungkinkah mereka sudahpun bersatu sebagai pasangan suami isteri? Mustahil! Mustahil aku tidak dijemput sama sekali ke majlis pernikahan mereka. Tidak ada langsung berita yang mengatakan bekas ketua pelajarku itu akan melangsungkan perkahwinan. Barangkali mereka berdua baru sahaja mengikat tali pertunangan secara senyap-senyap yang cuma diketahui oleh ahli keluarga masing-masing.
Aku memerhati merpati dua sejoli itu dengan perasaan hancur berkecai. Oh, Tuhan! Kenapa semua ini harus terjadi? Di manakah silapnya? Adakah kerana hubungan erat antara aku dan Mar Iskandar membuatkan Kaduk berfikir yang aku sudah melupai janjiku padanya? Tidak sama sekali. Walaupun sudah hampir tiga tahun berlalu, namun ia masih terpahat di ingatan. Setiap bait kata yang terucap waktu di Nagoya dahulu, masih lagi aku ingat satu persatu. Cuma tidak seorang pun antara kami yang membangkitkan hal tersebut selepas hari itu.
Hatiku sudah menangis hiba. Hampir tiga tahun... tiga tahun lamanya aku menanti. Dan kini jawapan kucari sudah terbentang di depan mata. Aku tidak perlu bertanya lagi pada Carl Duke Adam. Agaknya perasaan cinta kami seperti bunga sakura. Hanya bersifat sementara. Berkembang mekar sebentar cuma. Pabila tiba masanya, gugur jua ke bumi. Dan, begitulah akhirnya sebuah kisah cinta yang tidak terucap ini. Cinta kita, cinta sakura...

Episod 70: Sedamai Hati Ini
Waktu sudah hampir menunjukkan jam empat petang. Tetapi majlisnya masih belum tamat. Belum ada seorangpun tetamu yang beransur pulang. Masih rancak berbual antara satu sama lain. Namun begitu, aku harus segera beredar kerana perlu ke NHK untuk membaca berita radio. Kerja sampingan yang menjadi sumber pendapatanku. Dengan gaji sebulan aku mampu pulang ke Malaysia.
Pandanganku jatuh pada Nur Jannatul Na'wa. Tingkah lakunya memikat hati. Tidak hairanlah kalau dia bisa menggetarkan naluri lelaki, walaupun segala perhiasan dirinya sudah diselindungkan oleh jubah dan purdah itu. Aku jadi cemburu.
Akasyah, cemburu saja yang lebih. Tetapi jubah dan purdah yang Mar Iskandar hadiahkan pada kau dan Kak Zinnirah pada hari raya lepas kau pandang sepi. Tempelek hati yang buat aku malu pada diri sendiri yang lemah iman.
Meskipun selepas pertemuan pertama dan terakhir di Mid Valley beberapa tahun lepas, dia masih mengenali diriku. Katanya dia cukup seronok kerana aku berada di sini waktu ini. Sekurang-kurang ada juga orang dia kenal.
"Saya pun seronok dapat jumpa Wawa." Balasku.
Seronokkah aku? Seronok sebab dapat bertemu dengan orang Malaysia. Tetapi melihat Wawa bersama Kaduk tadi aku sudah rasa hendak pitam. Jadi kehadiran Kaduk seorang sahaja membuatkan hati aku benar-benar gembira. Tetapi kegembiraan itu menyirna apabila mendapati gadis kacukan Arab-Patani-Melayu ini juga datang bersama. Meskipun begitu, Wawa tidak bersalah. Kaduk juga tidak bersalah. Tiada siapa yang bersalah dalam soal ini. Dan aku juga tidak mahu mempersalahkan diriku sendiri.
Aku dan Wawa berbual panjang. Perbualan yang menjurus tentang kehadirannya di bumi sakura ini dan sedikit sebanyak berjaya menjawab persoalan yang bermain di fikiran aku. Sebelum beredar, aku sempat menjemput dia ke rumah sewaku. Mar Iskandar segera mendapatkan aku setelah ternampak aku sudah berdiri di muka pintu.
"Kaduk kirim salam pada kau." Katanya separuh berbisik.
Aku menjawab salam itu sambil mengangguk perlahan. Sebaik sahaja kakiku menghayun langkah demi langkah, entah mengapa aku sudah tidak berasa sedih lagi. Seolah-olah kesedihan tadi juga aku tinggalkan bersama jejak langkah ini. Ketenangan jiwa yang sukar dimengertikan.
Duhai hati, dari manakah datang kekuatan ini? Bukankah tadi kau merintih hiba, soal hatiku.
Tetapi ini bukan kali pertama kau menangis, Akasyah. Sepanjang hayat ini sudah berkali-kali kau mengalirkan air mata. Di bumi sakura ini sahaja entah berapa banyak air matamu tumpah. Kalau tangisan ini kerana rasa kecewa, hentikanlah Akasyah. Jika kau kecewa, maka Allah akan menghilangkannya dari darimu. Percayalah... Bisik satu suara halus entah dari mana.
Aku tersenyum pahit. Kolam mataku sudah berkaca dan menunggu masa sahaja untuk pecah ini liar memandang sekeliling. Waktu itu angin petang berdesir lembut. Membawa bersama kedinginan yang mencengkam tubuh kerdilku.
Duhai angin, adakah engkau yang berbisik padaku sebentar, membawa perkhabaran dari Tuhanku? Katakan padaNya, aku seorang yang tabah. Aku pernah diuji lebih teruk dari ini lagi sehingga aku benar-benar sudah putus asa dengan rahmat dariNya. Aku akan sabar dan tabah kali ini. Percayalah... aku akan tabah. Dugaan ini tidak sebesar mana. Sampaikanlah padaNya, dugaanNya selama ini menguatkan jiwaku. Khabarkan padaNya wahai angin. Bisik hati kecilku.
Dan air mata pun gugur satu persatu membasahi pipi. Cepat-cepat aku kesat dengan hujung lengan baju.
Sampai sahaja di eki, aku ke toilet untuk mengambil wuduk. Rasa jiwa yang bergelora selepas menerima kejutan tadi dibasuh ketenangan. Sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi panjang di dalam perut train, aku terus membuka naskah Al-Quran mini. Aku sendiri agak terkejut dengan reaksi dan perasaan aku yang sedamai ini. Air mataku tidak tumpah lagi walau setitik pun. Hanya batin sahaja yang menangis. Namun begitu, sejurus sahaja melafaz ayat pertama, sedarlah yang aku bukannya sekuat mana. Dadaku sebak. Bibirku bergetar. Mataku sudah berkaca. Namun aku cuba tahan sekuat hati.
Ya Allah, saat ini sesuatu menyelinap dalam diriku ini. Engkaukah yang meniupkan kekuatan dalam jiwaku yang lemah melalui kalimah agungMu yang kubaca saat ini? Terima kasih, Tuhanku!
Sampai sahaja di rumah sudah lebih jam sepuluh malam. Aku segarkan badan dengan pancutan air panas. Setelah itu, aku segera menunaikan solat Isya'. Mata kembali menatap kalam Allah. Membuka surah As-Sajdah. Suara dialunkan perlahan. Sampai pada ayat tiga belas aku berhenti. Ayat ini selalu mengingatkan aku pada Mar Iskandar.

Waktu itu aku berada di rumah sewa Anding untuk aktiviti hujung minggu pelajar muslim di universiti kami. Mar Iskandar sedang membentangkan tafsir surah As-Sajdah ini. Semua yang hadir mendengar dengan penuh khusyuk. Pada saat dia mengalunkan ayat Al-Quran, hati aku terpesona. Dalam diam aku berdoa supaya dipertemukan dengan insan sebaik Mar Iskandar.
"Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayat petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayat petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh).
Jadi maksudnya di sini, Allah Ta'ala hanya memberikan taufik dan hidayah petunjuk kepada golongan yang telah diketahuiNya sedia berusaha untuk beriman dan beramal salih."
Mar Iskandar melirik padaku. Pandangannya lembut. Lama. Dia nampak sangat kacak pada mataku waktu itu. Bibirnya perlahan-lahan mengorak senyuman yang paling manis pernah aku lihat. Aku jadi kaget. Lalu segera aku alihkan mataku pada Kak Zinnirah. Tetapi rupanya gelagat kami tadi berjaya dikesan oleh kakak aku itu. Lantas aku tertunduk malu. Mar Iskandar pun satu. Masih sempat bermain mata dengan anak murid walaupun sedang bercakap di depan.
"Sedang golongan yang kufur mungkar dengan pilihan dan ikhtiar mereka sendiri setelah diterangkan kepadanya mana yang benar dan mana yang salah, maka balasannya - sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah Ta'ala - ialah azab yang tidak terperi." Sambung Mar Iskandar lagi.
Aku tersenyum sendiri. Nyata sekali ayat ini memberi nilai sentimental yang tiada tandingan. Bacaan diteruskan sehingga ayat yang terakhir. Bertambah-tambah damai jiwaku. Syukur! Aku meletakkan Al-Quran ini kembali ke tempatnya.
Meskipun sudah masuk pertengahan musim bunga, kedinginan masih terasa hingga ke tulang hitam. Sejuk salah, panas pun salah. Bingung! Tangan pantas menghidupkan pemanas. Bau minyak tanah perlahan-lahan memenuhi ruang. Aku membaluti tubuhku dengan selimut tebal lalu duduk betul-betul mengadap pemanas tadi.
Sesuatu yang bermain-main dan berlegar-legar di fikiran. Antaranya ialah soal hubungan rapat antara aku dan Mar Iskandar sejak kebelakangan ini. Pastinya akrab sebagai teman sahaja. Bersama dengannya mengingatkan aku pada Carl Duke Adam. Barangkali sedikit sebanyak sifat dan sikap Mar Iskandar punya persamaan dengan Carl Duke Adam. Ketegasan, kesabaran dan sifat berhemah yang dimilikinya. Bukankah Kaduk sendiri mengatakan yang Mar Iskandar itu sebahagian daripada dirinya. Begitu juga dengan Mar Iskandar, dia juga mengakui hal yang sama.
"Dari satu riwayat yang disampaikan oleh Imam Az-Zahabi ketika Amr bin Al-Ash bertanya pada Nabi saw, "Siapakah orang yang paling baginda cintai?" Baginda menjawab, "Aisyah." Kemudian Amr bertanya lagi, "Siapakah di kalangan lelaki yang paling baginda cintai?" Rasulullah saw menjawab," Ayah Aisyah."
Rasulullah saw juga pernah bersabda, "Seandainya aku boleh menjadikan kekasih daripada kalangan umatku ini, nescaya aku jadikan Abu Bakar sebagai kekasih. Tetapi persaudaraan dalam Islam lebih utama. Syah, antara aku dan Ammar juga begitu. Dialah saudara lelaki yang paling aku cintai dan sayangi. Sebab itu kalau ada sesiapa yang buat dia susah hati, aku pun turut merasa kesedihannya." Begitulah jelas Carl Duke Adam semasa dia cuba menegur perbuatanku terhadap sahabat baiknya itu.
Aku mengakui selama ini mereka berdua saling mengambil berat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, mulai dari hari itu aku sudah tekad akan cuba mengawal emosiku yang bukan-bukan terhadap Mar Iskandar. Aku tidak mahu Kaduk memarahi diri aku lagi. Biarlah itu kali pertama dan terakhir. Serik. Dalam diam-diam aku memanjat rasa syukur. Kehadiran Mar Iskandar di bumi sakura ini sedikit sebanyak berjaya mentarbiyah diri aku supaya menjadi insan yang lebih baik.
Perbualan antara aku dan Kak Zinnirah semasa kenduri nikahnya pada bulan lepas menerpa ingatan. Waktu itu kebetulan Mar Iskandar melintas di hadapan kami berdua. Kak Zinnirah cepat-cepat menarik aku ke suatu sudut.
"Sebelum balik Malaysia hari tu, Kak Zie ada bertanyakan tentang Syah pada Ammar." Katanya dengan wajah yang berseri-seri. Seri pengantin!
"Ooo... umpat Syah belakang-belakang ya." Usikku.
"Tak adalah. Begini..." Kak Zinnirah melakonkan semula perbualannya dengan Mar Iskandar. Cerita yang bakal mengheret sama perasaan aku ke daerah bahagia.
"Apa yang menghalang Ammar untuk berumahtangga sekarang?" Tanya Kak Zinnirah, lembut.
"Ana tak memiliki apa-apa sekarang. Duit simpanan tu memanglah ada sikit-sikit. Tapi... tak cukup rasanya tak tanggung makan anak orang lagi. Kak Zie pun tahu ana bukannya anak orang senang. Adik-adik pun ramai dan ada yang masih kecil lagi. Sebagai abang, ana perlu fikirkan tentang masa depan mereka kalau ummi tiada nanti." Jawab Mar Iskandar dengan panjang lebar.
Mungkin atas dasar dia seorang anak yatim, membesar di tanah perancangan Felda dan juga merupakan anak kedua dalam lapan orang adik beradik membuatkan Mar Iskandar rasa bertanggungjawab memikul beban menjaga adik-adiknya itu. Sudah pasti prioriti keluarga melebihi segala-galanya termasuk prioriti dirinya sendiri.
"Ammar, jika kerana tanggungjawab keluarga, Allah yang menanggungnya. Kalau Kak Zie pilihkan untuk Ammar seseorang yang elok agamanya, keluarganya pun orang senang tapi tak adalah kaya sangat, orangnya cantik manis dan cukup sifat, apakah Ammar akan bersetuju?"
"Siapa dia?"
"Kawan seuniversiti Ammar sendiri, Akasyah. Nurul Akasyah Binti Othman."
"Kalau dia setuju, ana pun setuju."
Aku menjegilkan mata besar-besar. Memang terkejut yang amat sangat. Masakan Kak Zinnirah mahu memadankan aku dengan Si Mar Iskandar pula. Padanlah lelaki itu sudah pandai malu-malu kucing apabila berhadapan denganku. Rupanya dalam diam Kak Zinnirah sudah risikkan dia untuk aku!
"Macam mana Syah?" Tanya Kak Zinnirah sungguh-sungguh.
"Saya tak bersedia lagi. Tak terfikir langsung nak berumahtangga dalam masa terdekat ni. Tanak nasi pun mentah lagi." Balasku, cuba berjenaka.
Pelik sungguh! Semudah itu Mar Iskandar boleh bersetuju dengan cadangan Kak Zinnirah. Walhal bukankah aku pernah memarahi dan melemparkan kata-kata yang keras padanya suatu ketika dahulu? Kak Zinnirah sendiri mengatakan aku seperti mak tiri pula tu. Ayat apa agaknya yang dijampi oleh Kak Zinnirah sehinggakan Mar Iskandar lembut hati.
"Ammar sedia terima Syah. Apapun fikirlah dulu, dik. Beri jawapannya pada Kak Zie nanti ya. Tapi fikir jangan lama-lama sangat." Katanya mengakhiri perbualan kami.
Aku membuka diari kesayangan. Apabila melihat kertas pembungkus coklat yang satu ini, hatiku mudah benar tersentuh. Pemberian yang menyimpan seribu satu kenangan yang cukup manis. Wajah Mar Iskandar menari-nari di ruang mata. Lelaki itu sememangnya seorang yang baik. Beruntunglah siapa yang menjadi suri hidupnya. Dia memenuhi ciri-ciri lelaki idamanku. Pergaulannya cukup dijaga. Dia sering aku jadikan rujukan selain Kak Zinnirah dalam bertanyakan soal agama. Pernah aku bertanya padanya bagaimana hendak menghafal surah-surah dalam Al-Quran. Dia yang tidak lokek ilmu memberitahu dengan senang hati.
"Saya amal begini... cuba hafal tiga ayat saja setiap hari. Sebelum solat subuh baca tiga ayat tu. Mula solat subuh sampailah Isya' ulang baca ayat yang dihafal tadi. Semak bacaan selepas solat, kalau terlupa atau nakkan kepastian. Esoknya baca tiga ayat yang lain pula. Dan begitulah seterusnya."
Alhamdulillah! Sampai ke hari ini aku masih mengamalkan petua yang diberikannya itu. Dalam merangkak dan bertatih berjaya juga menghafal juz amma dan beberapa surah panjang. Walaupun kadangkala aku mengambil masa yang agak lama hanya untuk menghafal tiga ayat. Yalah, aku bukannya lepasan mana-mana Sekolah Menengah Agama atau Kolej Islam.
Aku sudah berkira-kira. Satu tahun bersamaan tiga ratus enam puluh lima hari. Kalau didarab dengan tiga, sudah boleh menghafal seribu sembilan puluh lima ayat. Jumlah keseluruhan ayat dalam Al-Quran pula enam ribu tiga ratus empat puluh enam ayat. Kalau benar-benar istiqamah, tidak mustahil dalam masa enam atau tujuh tahun sudah boleh menghafal kesemua tiga puluh juzuk yang ada. Paling menggembirakan adalah dalam masa yang sama aku boleh mempelajari Bahasa Arab. Di sinilah kepentingannya membaca menggunakan tafsir Al-Quran. Bukan sekadar membaca dan menghafal, malah cuba memahami isi kandungannya.
Mataku terpaku pada gambar aku dan teman tersayang, Carl Duke Adam yang baik. Gambar yang berlatarbelakangkan Tokyo Tower. Mengingatkan soalan yang pernah ditanyanya lebih dua tahun yang lalu membuat kolam mataku berkaca semula.
"Bagaimana andai ditakdirkan suatu hari salah seorang antara kita punya perasaan lebih daripada seorang teman, kawan dan sahabat. Kau hanya ketawa. Mungkin kau fikir aku bergurau. Ketahuilah aku sebenarnya cukup serius waktu itu. Aku harap kau mengerti..."
Hadirnya memberi memberi senyuman dan juga cinta yang sukar dimengertikan. Namun begitu hubungan kami ini terlalu banyak onak dan ranjau durinya. Setiap kali tunas cinta itu tumbuh, sudah dicantas dan dikerat sebelum ia sempat subur menjadi pohon kecintaan. Pasti ada sahaja dugaan demi dugaan yang datang menghalang.
Sebagai seorang sahabat, aku menginginkan yang terbaik untuk Carl Duke Adam. Jika Tuhan sudah menetapkan Nur Jannatul Na'wa adalah yang terbaik untuk dirinya, aku menerima dengan redha yang dia bukan tercipta untukku dan aku bukan tercipta untuknya. Kerana tidak semua ombak menemui pantai.
Ya Allah! Kalau dia bukan untukku, hilangkanlah dia dari hatiku. Bisik hati kecilku.
Alunan surah As-Sajdah pada tika dan saat ini menambahkan lagi kesayuan malam yang sepi. Tanpa disedari air mata gugur membasahi pipi. Moga-moga tangisan ini bisa menyuci dan mendamaikan hati.



Episod 71: Bidadari Hati

Usai solat subuh dua rakaat kala pagi Isnin yang indah. Aku membuka jendela kaca dapur. Kedinginan berlumba-lumba masuk. Menggigil aku dibuatnya. Sepantas kilat aku tutup semula. Aku mencapai cerek elektik lalu diisi air hingga tiga suku penuh. Kemudian sambungkannya pada soket. Aku kembali ke dalam bilik mencari kehangatan. Duduk di dapur dua, tiga minit sahaja sudah rasa seperti duduk dalam peti sejuk bahagian membuat ais batu. Beku!

Lampu pada telefon bimbitku berkelip-kelip. Aku terus membukanya.

"Salam pagi isnin. Tunggu panggilan dari aku sebentar lagi - love C.D.A"

Waktu itu nafasku bagai terhenti sejurus sahaja melihat tiga huruf keramat itu. Ditambah pula perkataan 'love', langsung sesak nafas aku jadinya. Carl Duke Adam, nama seorang lelaki yang pernah, masih dan tetap bertakhta di hati. Sebaik sahaja aku menyimpan nombornya dalam address book, tidak semena-mena telefon ungu ini kembali berlagu.

Carl Duke Adam! Nama itu aku buat tidak senang duduk. Aku tarik nafas dalam-dalam.

"Assalamualaikum..." Ucapnya sebagai pembuka bicara.

"Waalaikumussalam..." Jawabku perlahan.

"Amboi, lemah gemalainya jawab telefon. Mesti baru bangun tidur ni."

Jenakanya berjaya memecah tembok gemuruhku tadi. Aku pantas ketawa kecil.

"Dah solat ke belum ni? Atau cuti?" Tanya dia tanpa segan silu.

"Baru sudah. Kau pula?" Soal aku kembali.

"Jemaah dengan Ammar tadi. Aku tumpang tidur di rumahnya." Jelasnya pula.

Keadaan menjadi hening seketika.

"Kaduk..."

"Syah..."

Kata kami serentak. Langsung aku tersipu-sipu malu.

Kau cakaplah dulu. Ladies first..."

Aku mencuri nafas dalam sesaat dua.

"Tahniah..."

"Untuk apa?"

Tahniah di atas pertunangan kau dengan Nur Jannatul Na'wa, bisik hati kecilku. Jari-jemari runcing yang merah diinai dan cincin yang tersarung pada jari manis gadis itu kembali menghantui fikiranku saat ini.

"Syah?"

"Tahniah sebab dapat offer kerja di Jepun ni. Kata Wawa, kau kerja dengan Petronas ya. Di Sakuragichou, Yokohama. Tahniah dari aku."

Wawa yang bercerita semalam. Katanya, dia sambung belajar di Tokyo Institute. Manakala Kaduk pula kerja di Sakuragichou. Pasti Kaduk minta dihantar ke Jepun semata-mata ingin menemankan 'tunang'nya yang cantik jelita itu.

"Ohh... ingatkan apa tadi. Terima kasih..."

"Haa... kecewalah tu. Mesti kau fikir aku nak ucapkan tahniah atas pertunangan kau dan Wawa, kan? Jangan mimpilah. Oleh kerana kau tak jemput aku, jadi kau takkan dapat ucapan dari aku. Aku kecil hati tau." Kataku, pura-pura merajuk.

Saat ini aku sudah mula memasang soalan perangkap.

"Tunang? Bila pula aku bertunang ni? Dengan Wawa pula tu. Siapa yang buat cerita yang tak berasas ni?" Soalnya bertubi-tubi. Jelas dia agak terkejut.

"Jangan nak sorok dengan aku, Carl Duke Adam. Kau datang berdua dengan dia semalam. Pakai baju warna sedondon. Dua-dua serba hitam, macam berjanji pula. Dan bukti yang paling penting, aku lihat jari si Wawa tu merah diinai. Kalau kau tak mahu jemput aku sekalipun, sekurang-kurangnya tak perlulah berbohong dengan aku." Kataku lagi.

"Sungguh aku tak bohong. Aku masih single lagilah. Wawa pun macam tu. Pandai-pandai aja kau buat konklusi sendiri." Tegasnya. "Ohhh... Patutlah ada orang tu balik ternonong aja semalam. Langsung kita tak ditegur. Rupa-rupanya ada yang cemburu, makan hati berulam jantung." Sambungnya lagi sambil ketawa.

Aku mengetam bibir. Malu! Penat sahaja aku membazirkan stok air mata malam tadi. Semua ini kerana Wawa. Semalam aku sudah berkias-kias dengan Wawa apabila melihat jarinya yang merah dihiasi inai itu. Mahu sahaja aku menangis waktu itu di situ juga.

"Amboi... cantiknya inai di jari. Siapa lelaki yang bertuah tu?" Tegurku semalam sewaktu kami bersalaman.

"Tak adalah." Balasnya lembut.

Aku tidak bisa menganalisis jawapan 'tak adalah' Wawa itu dengan ekspresi mukanya. Aku tidak pasti sama ada dia sedang menjawab sambil tersenyum malu atau apa. Aku sendiri segan hendak bertanya lagi. Takut difikirnya aku ini seperti paparazzi tidak bertauliah. Sanggup berbuat apa sahaja semata-mata untuk mendapat gosip sensasi sebegini. Jadi aku terus membuat kesimpulan yang dia sudah bertunang dengan temanku ini. Titik. Bukankah mereka datang bersama berdua dan memakai pula baju warna yang serupa? Lagak mereka pun tidak ubah seperti orang yang sudah punya ikatan 'itu'.

Nyata jawapan Kaduk tadi buat aku sedikit lega. Kebetulan pula dia menelefon. Sebab itu aku mahukan kepastian dari mulut Carl Duke Adam sendiri waktu ini. Memang sejak dari awal lagi aku seboleh-bolehnya tidak mahu menerima bulat-bulat sahaja apa yang telah aku lihat semalam.

"Sebenarnya abang long si Wawa, Doktor Salaam baru bernikah cuti sekolah yang lepas. Agaknya Wawa pun tumpang berinai sama. Nasib baiklah aku tak pakai inai kan. Kalau tak, mahu ada yang gigit jari." Katanya lagi lalu ketawa berderai.

Amboi! Gembira sakannya dia mentertawakan aku. Geram sungguh! Aku sudah tarik muncung panjang sejengkal. Padahal hati ini berbunga keriangan.

"Kau cemburu ya, Syah?" Soalnya buat kali kedua. "Tu lah... sejak berdua-duaan dengan Ammar di Jepun ni, dah pandai cemburu buta." Giatnya lagi.

"Mana ada... Jangan kau nak perasanlah, Carl Duke Adam. Aku cuma tanya tau aja. Manalah tahu, diam-diam ubi berisi!"

"Patutnya aku yang bertanya pada kau. Dengar cerita, bukan main rapat dengan Ammar sekarang. Entah-entah kau dan Ammar yang bertunang dulu, bukannya aku. Bagaimana andai suatu hari nanti dia datang meminang kau? Sudikah kau terima dia sebagai suami?"

"Sanggupkah dia jilat kembali kata-kata yang dia pernah ludah ke muka aku?" Balasku sinis.

"Syah, jaga bahasa kau tu. Takkan masih nak berdendam lagi." Katanya, kembali serius.

"Lukanya sudah sembuh tetapi parutnya masih dan tetap akan ada sampai bila-bila. Kalau hal tu benar-benar terjadi, aku akan katakan pada dia bukannya aku tak sudi. Cuma aku takkan terima pinangan lelaki yang pernah memperlekehkan aku tanpa berusaha melihat potensi yang ada dalam diri aku. Pandang rendah pada aku.

Sepatutnya Ammar contohi sikap abangnya. Akhi Ammir, awal-awal lagi dia tak mendiskrimasikan aku hanya kerana aku berpakaian seperti gadis-gadis zaman sekarang. Dia berusaha ajak aku berjuang bersama-sama di atas 'jalan ini' tanpa menilai peribadi luaranku yang kasar ni. Saidina Umar juga seorang yang kasar, sedangkan Abu Bakar pula lemah lembut. Kenapa mereka berdua boleh bersatu di atas nama Islam?

Kenapa tak Umar tu juga dijadikan lemah-lembut sifatnya seperti Abu Bakar? Mesti ada hikmah di sebaliknya, kan. Setiap sesuatu tu Allah swt dah tentukan kelebihan masing-masing. Begitu juga dengan aku. Dengan lelaki dan pada mata orang yang tidak mengenali diri aku, tentu saja akan nampak kekasaran aku tu. Dan, taklah dua puluh empat jam aku gitu, kan.

Siapa tahu perempuan yang kasar pada zahir mata yang memandang, sebenarnya hatinya jauh lebih lembut daripada perempuan yang zahirnya lemah lembut. Siapa tahu perempuan yang nampak kasar tu, jauh lebih sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain. Tanpa memikirkan dirinya sendiri. Yang apabila dia sakit, ditanggungnya kesakitan itu sendiri. Berbaring di bawah tangga, berlantaikan simen sejuk, menahan kesengsaraan yang melumpuhkan seluruh kudratnya daripada bergerak walaupun seinci. Lepas tenaganya pulih, dia kembali melihat orang tersayang yang terlantar di atas katil. Dan, digembirakannya hati orang itu tanpa dikhabarkan walau sedikitpun tentang kesakitan yang dialaminya tadi. Kesakitannya itu seolah-olah hilang bersama-sama senyum tawa insan tersayang." Kataku sambil tersenyum pahit.

Kenangan bermusim yang lalu mengetuk pintu hati. Dada menjadi sebak. Betapa selama ini aku cuba sedaya upaya menyembunyikan kesedihan dan kepayahan yang aku alami daripada diketahui orang. Yang hanya aku mahu, insan yang berada di sekelilingku merasa gembira dan bahagia di sampingku. Kerana kegembiraan mereka adalah kegembiraan aku jua.

"Ketahuilah Allah swt dah anugerahkan dalam diri setiap perempuan sifat rahmah... sifat penyayang. Walau bagaimana kasarnya dia pada mata orang, tapi masih tertanam di dalam dadanya sifat penyayang. Bukankah perempuan dicipta dari tulang rusuk yang bengkok. Dan bengkoknya itu bukan bermakna satu kekurangan tetapi sebenarnya satu penyempurnaan. Tulang rusuk yang bengkok tadi sifatnya sebagai pelindung. Melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung dan paru-paru.

Dalam erti kata lain, terciptanya seorang perempuan itu secara semulajadinya dua sifat tadi juga ada dalam dirinya, iaitu penyayang dan pelindung. Oleh sebab tulah perasaan perempuan ni halus. Kerana adanya dua sifat itu jugalah, maka seorang perempuan sanggup bersabar dalam menjaga dan melayan kerenah anak-anak. Bersabar apabila hatinya diguris atau dikecewakan oleh mereka. Yang mana tidak mampu dilakukan oleh seorang lelaki.

Sebenarnya bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya.

Ironinya, perempuan kasar tingkah lakunya dan pernah juga dikatakan tidak layak untuk lelaki yang faham agama lantas berusaha memperbaiki dirinya. Dia sedar yang dia bukannya lahir dalam keluarga yang kuat latarbelakang agamanya seperti Nur Jannatul Adnain, Nur Jannatul Na'wa ataupun Kak Zinnirah. Sebab tu, dia perlu berusaha keras untuk jadi muslimah yang baik... dan pastinya dengan caranya yang tersendiri. Dalam diam berharap satu hari nanti dia juga akan menjadi bidadari syurga untuk lelaki yang bisa melihatnya sebagai bidadari. Bidadari dengan cara dan gayanya yang tersendiri." Ucapanku yang panjang lebar berakhir situ.

Masing-masing diam membisu seperti sudah kehilangan kata.

"I'm speechless..."

"Semua itu sekadar pandangan aku sahaja..." Balasku perlahan.

"I'm very impressed. Sepatutnya aku rakam kata-kata kau ni. Boleh Ammar dengar sama. Aku pasti dia juga akan terkedu dan terkejut, sepertimana yang aku alami sekarang." Katanya lagi.

Aku di sini sekadar tersenyum.

"Bukankah setiap yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya. Dengan kata-kata Ammar sebagai cabaran dan pastinya dengan izin Allah, akhirnya kau berubah menjadi seorang bidadari. I'm feel honored talking to you... Ainul Mardhiah."

Ainul Mardhiah... Akukah bidadari itu? Bisik hatiku.

Tanpa disedari, hujung mataku sudah basah. Hatiku tersentuh dek panggilannya pada aku sebentar tadi. Dalam masa yang sama juga aku cukup terhibur dengan kata-katanya itu. Dia memang bijak mengambil hatiku. Sentiasa buat aku berasa senang berada di sampingnya.

"Kata-kata kau tadi sangat sweet. Aku akan catat dalam diari. Berapa tarikh hari ni?" Kataku sambil ketawa kecil, cuba menyelindungi kesayuan yang mula bersarang di sudut hati.

"Tapi aku tak se'sweet' Ammar kan. Lagipun dia selalu beri kau coklat. Sedangkan aku tidak. Aku hanya menanam tebu di pinggir bibir aja, tu sebabnya mulutku selalu manis. Cakap pun yang manis-manis aja. Supaya bisa buat hati kau cair!"

"Yalah tu. Perasan sungguh! Orang puji sejengkal, ditokok-tambahnya jadi panjang sedepa. Nilah susahnya kalau bercakap dengan debater pencen!"

Kata-kataku disambut ketawa besar.

"Oh ya, mana kau dapat tahu ni? Takkanlah Ammar sendiri yang beritahu."

"Adalah..." Katanya, ingin berahsia.

Keadaan sepi seketika.

"Jadi, siapakah insan istimewa yang bertakhta di hatimu sekarang, Ainul Mardhiahku? Yang kau tunggu untuk menyunting hati bidadari kecil yang satu ini?" Soalnya tiba-tiba dengan nada serius.

"Jangan panggil aku macam tu, Kaduk. Aku tak layak langsung..." Pipiku sudah merona merah kerana menerima penganugerahan pangkat 'bidadari' pagi-pagi buta begini.

"Panggilan aku tadi bukan untuk main-main, Nurul Akasyah Othman." Tegasnya.

Dia menyebut nama penuh aku. Dalam erti kata lain, dia sememangnya memaksudkan aku Ainul Mardhiah, ketua bidadari syurga itu, bisik hati kecil ini.

Denyutan nadiku bagai terhenti seketika. Hati aku seperti telah terkena panahan cinta seorang lelaki yang tulus ikhlas menyayangi aku yang serba kekurangan ini. (Bukankah kaduk sememangnya mempunyai kemahiran memanah. Tidak syak lagi!)

Oh Tuhan, anugerah apakah yang Kau berikan ini? Kesedihan semalam serta-merta kau gantikan dengan kegembiraan yang tiada tandingan ini.

Dadaku sudah sebak. Rasa mahu tumpah lagi empangan air mataku pagi ini.

"Kau tak kerja ke hari ni?" Tanya aku, cuba melarikan diri daripada menjawab soalan dia tadi.

"Kerjalah cik adik. Sekejap lagi kena pulang semula ke apartment aku. Tepat jam lapan nanti dah kena terpacak di office. Ada sesi taklimat dan penerangan."

"Ohhh..."

"Kau tak jawab lagi soalan aku tadi."

"Soalan yang mana satu?" Tanyaku, pura-pura tidak mengerti.

"Setelah kau sanggup menolak lamaran tidak rasmi dari lelaki sebaik Mohd Ammar Iskandar, siapakah jejaka yang kau tunggu wahai bidadariku yang manis?"

Lidahku kelu untuk berkata-kata. Carl Duke Adam, lelaki ini memang cukup arif bagaimana hendak buat daku tersenyum, ketawa dan berdebar. Seperti apa yang sedang dilakukannya saat ini.

"Siapa yang kau tunggu, Nurul Akasyah?" Ulangnya sekali lagi dan kali ini lebih lembut dan menyentuh perasaan kewanitaanku.

Hatiku sudah berdebar tidak terkata. Malah makin lama makin kuat. Bagai jantung ini mahu tercabut dari tempatnya! Nafasku jadi sesak. Suaranya itu bisa buat jantungku luruh!

Tiba-tiba aku dikejutkan oleh bunyi nyaring dari dapur.

"Kaduk, air aku dah masak. Kita sembang sampai sini dulu ya. Bye!" Kataku pantas.

"Hei... jangan nak lari! Jawab dulu soalan aku..." Jeritnya dari hujung talian.

Aku cepat-cepat mematikan telefon dan memandangnya tidak berkelip. Bermimpikah aku?

Teringat satu firman Allah yang berbunyi, "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (As-Syarh: ayat 5-6)

Mungkinkah ini kemudahan dan kegembiraan yang Kau maksudkan, wahai Tuhanku?



Episod 72: Cinta Gila

Hari yang berlalu dirasakan makin berseri dan bersinar bagai mentari. Bercahaya seperti bulan purnama. Carl Duke Adam Carel Soufi Akbar. Seunik namanya. Kehadiran dia nyata membawa makna yang lebih indah.Sekali lagi datang membawa senyuman ke dalam hidupku. Sudah lama aku tidak extra bahagia begini.

Dia jarang membicarakan soal hati. Soalan yang ditanya pagi itu pun tidak dibangkitkan semula. Dibiarkan terkubur begitu sahaja. Apatah lagi mahu datang menagih jawapan dariku. Dia selalu begitu. Mungkinkah dia terlupa? Sama seperti dia lupa akan jawapan untuk soalannya bermusim yang lalu. Akhirnya aku juga yang diburu pelbagai persoalan yang tiada titik noktah.
Entahlah... Aku tidak berani hendak meletakkan harapan besar. Takut kecewa lagi. Cuma aku hanya mampu berdoa, satu hari nanti kebahagiaan pasti jadi milik aku jua. Tidak kiralah siapapun jadi teman hidupku. Tetapi kalau Kaduk lagi bagus. Dia faham dan tahu tentang aku. Walaupun tidak seratus peratus.

Petang Jumaat yang indah, aku menerima panggilan dari Malaysia. Suara Kak Zinnirah bukan main ceria. Mana tidaknya, dia bakal bergelar ibu lapan bulan dari sekarang. Aku sempat mengusik, bunting pelamin agaknya Kak Zie ni. Langsung dia malu-malu. Doaku semoga dia berbahagia. Setiap kali kali berhubung, pasti dia tidak ketinggalan bertanyakan tentang aku dan Ammar.

"Gaduh lagi ke?" Usiknya.

"Amboi, Kak Zie ni. Ingat Syah tak ada kerja lain ya. Asyik nak bertegang urat dengan Mar aja. Baik Syah hafal surah, lagi bagus. Dapat juga pahala." Balasku panjang lebar.

Wanita yang bakal bergelar ibu itu ketawa kecil.

"Jangan marah-marah, jangan benci-benci. Nanti jadi sayang!" Usik Kak Zinnirah lagi.

Minta sangat dijauhkan! Janganlah masin mulut Kak Zie siang Jumaat begini. Mana tahu terbuka pula pintu langit waktu ini, terus kata-kata berupa doa itu dimakbulkan. Naya aku!

"Syah dah fikir apa yang Kak Zie cakap hari tu?" Tanya Kak Zinnirah tiba-tiba.

Aku langsung terdiam. Sejak Kaduk sudah kembali ke dalam hidupku, Mar Iskandar seolah-olah sudah tidak menarik lagi pada aku.

"Nantilah kak..." Jawabku lemah.

Tahun ini merupakan tahun yang paling sibuk bagi aku. Seawal jam sembilan pagi aku sudah berada di lab dan jam sepuluh malam baru sampai rumah. Begitulah rutin aku kecuali hari minggu. Mana sempat hendak curi masa bergaduh dengan Mar. Lagipun kami sudah melancarkan zon bebas perang bermula detik aku memaafkan dia tahun lepas.

Hanya sesekali aku mengusik dia. Itupun sekadar ingin mewujudkan suasana mesra. Sesekali mata nakalku ingin menatap senyuman mahal lelaki melayu terakhir itu. Nyata dia tidak pernah lokek dengan senyumannya.

Mohd Ammar Iskandar, dia terlalu menjaga dan mengawal pergaulannya. Bukannya tak bagus, memanglah dituntut dalam Islam supaya membataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Cuma ada kalanya aku sendiri jadi bosan! Tiada apa yang menarik melainkan Mar Iskandar yang baik budi pekerti dan alim. Agaknya lelaki seperti Mar Iskandar hanya indah untuk dipandang, sesuai untuk diminati. Tetapi kalau mahu lebih dari itu, aku terpaksa berfikir sejuta kali untuk seumur hidup bersamanya. Pasti dia sudah simpan segala-gala yang menarik tentang diri dia hanya untuk tatapan isteri tersayang. Biarlah, asal dia bahagia. Titik.

Waktu bacaan Yaasin di rumah Mar Iskandar malam ini, sekali lagi nama aku dan Mar Iskandar naik. Dan Kaduklah yang gatal mulut membicarakannya. Kebetulan pada saat itu, aku sedang membantu Ammar di dapur.

"Kadang-kadang aku tengok kau berdua macam pinang dibelah dua pula." Kata Kaduk tiba-tiba.

Aku yang sedang mengacau sup cepat berpaling. Mata dijegilkan sebesar-besarnya dengan harapan Kaduk berhenti mengusik kami berdua. Tetapi debater pencen itu mana makan saman!

"Sebenarnya Ammar nak bagi hint yang kau layak untuk dia, bukannya aku. Kau saja yang tak tahu taktik Ammar ni..." Katanya lagi sungguh-sungguh.

Cepat-cepat Mar Iskandar menolak kasar tubuh Kaduk. Marahlah kononnya. Wajahnya merona merah. Malu agaknya diusik terang-terangan begitu.

Aku pula memandang tidak berkelip. Adakah Kaduk cuba bergurau lagi denganku? Lawaknya kali ini langsung tidak mencuit hatiku. Alih-alih buat aku rasa sakit hati pula. Adakah patut dikatanya aku dan Mar Iskandar seperti pinang di belah dua? Buta agaknya dia. Bagai pinang dibelah dan dikapak sehingga hancur adalah!

Merepek sahaja Kaduk ni. Kadangkala aku sendiri tidak suka dia terlalu mengusik aku dan Mar. Apa motifnya? Sekadar untuk suka-suka atau mahu menguji kesabaran aku? Agaknya dia teringin benar hendak lihat kemarahan aku meletus seperti gunung berapi!

Pada hemat aku, yang sepatutnya menjadi pilihan Ammar biarlah orang seperti Wawa. Sebagaimana Akhi Bukhari memilih Kak Zinnirah. Begitulah juga Ammar. Semuanya ini berdasarkan hasil kajian aku selama ini ke atas subjek seperti Ammar dan seangkatan dengannya.

Teori pertama, orang sealim Mar Iskandar pasti akan memilih wanita sefikrahnya dan sebaik dirinya. Aku namakan ini teori persamaan atau teori selari. Teori kedua pula, teori daya tarikan mengatakan bahawa daya magnetik antara Mar Iskandar dan Wawa lebih kuat berbanding aku dan Mar Iskandar.

Teori ketiga dan terakhir (buat masa ini) adalah teori geseran. Kalau dalam sains, geseran itu ada pro dan kontranya. Kalau dari segi positifnya, ia membolehkan manusia berjalan dan kereta bergerak. Yang tidak bagusnya, berlakunya pembaziran tenaga.
Kembali pada kes aku. Pernah berlaku pergeseran besar yang mungkin membawa kepada kesan psikologi ke atas kami berdua. Di mana terhasilnya tenaga kebencian meluap-luap dari aku. Akan tetapi tidak berjaya dipadankan oleh tenaga penyejuk Mar Iskandar. Hanya dengan bantuan tambahan kuasa penyejuk milik Carl Duke Adam, hati aku jadi sedikit lembut. Walaupun diakui aku penyebab hal yang remeh ini nampak besar.

Kalau sekadar inginkan kelainan lantas Mar Iskandar memilih aku sebagai teman hidup, itu eksperimen gila namanya. Aku akan katakan hanya orang bodoh sahaja yang sanggup buat tindakan begitu. Perkahwinan bukannya satu perjudian. Bukannya hendak hidup bersama sehari dua. Tidakkah dia tahu aku jenis suka melawan terutamanya apabila dengan lelaki. Mungkin boleh dineutralkan dengan sifatnya yang sabar. Tapi sampai bila dia mahu bersabar kalau asyik dibangkang oleh isteri seperti aku. Akhirnya aku jadi janda dalam usia yang muda. Oh, tidak sama sekali!

Biarlah aku bersuami lelaki yang bijak mengawal diri aku. Diberikannya input yang positif supaya outputnya juga positif. Yang ini aku namakan teori aplikasi kelas 'feedback control'. Tetapi aku tahu, praktikal tidak semudah teori. Aku hanya melihat yang indah sahaja. Sedangkan banyak sebenarnya dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi apabila dua insan berkongsi makna kehidupan. Sejajar dengan pepatah melayu, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Sedangkan adik beradik yang sudah kenal seumur hidup lagi bergaduh, inikan pula baru hidup bersama setahun dua.

"Wawa tu yang padan untuk kau, Ammar. Bukannnya aku." Bisikku perlahan waktu kami berselisih mengambil lauk.

Kebetulan waktu itu juga Wawa melintas di hadapan kami berdua. Inilah peluangku mencucuk jarum. Risau juga kalau dia benar-benar memilih aku. Merana badan...

Tetapi Mar Iskandar cuma tersenyum.

Aku cuba juga menggiatkan Wawa dengan Mar Iskandar. Tetapi hati ini kuat mengatakan gadis cantik itu sedikit pun tidak memberikan reaksi positif. Seolah-olah gadis itu sudah memberikan hatinya pada teman baikku, Carl Duke Adam. Dari cara percakapannya, aku yakin yang dia harapkan lelaki itu akan melamarnya. Harap teori yang satu ini salah.

Wah! Aku sudah jadi seperti ahli sains. Titik persamaan, selari , geseran, daya magnetik, reaksi positif, neutral.... fizik, matematik dan kimia semuanya diaplikasikan sekaligus. Dengan Kaduk, aku jadi ustazah, memberikan tazkirah subuh. Fleksibel betul aku ni. Sempat memuji diri sendiri. Jika diimbas kembali zaman kegemilangan Islam dahulu, Ibn Sina sahaja pakar dalam enam, tujuh bidang ilmu. Yang aku ni, belum apa-apa sudah perasan hebat.

Aku beristighfar beberapa kali. Menundukkan semula hati. Segala ilmu adalah milik Allah swt, itupun hanya diibaratkan setitik air di laut. Maknanya, ilmu Allah Ta'ala itu tidak terjangkau banyak dan luas.

"Bagaimana kalau apa yang Kaduk cakap tadi ada betulnya?" Kata Mar Iskandar dengan wajah yang serius. Sorotan matanya tajam tapi lembut. Bisa menggetarkan hati seorang perempuan.

"Yalah tu. Tak baik bohong, Mar." Balasku sambil tersenyum kelucuan.

Pandai juga dia berjenaka. Belajar dari Kaduk agaknya.

"Bagaimana kalau saya katakan yang saya tak bohong?" Tuturnya lembut.

Kali ini aku terkejut besar. Belum apa-apa Mar Iskandar meninggalkan aku terpinga-pinga.

Ini memang eksperimen gila! Jerit hatiku.


Episod 73: Hanya Dia Di Hati
Aku mencuri pandang pada Mar Iskandar beberapa kali. Mimpi ngeri aku jadi kenyataan! Oh, tidak! Berteraburan semua teori-teori yang aku cipta tadi. Aku baru sahaja hendak menjadi seorang yang genius. Langsung lain pula jadinya.
"Kenapa muka kau pucat ni, Syah? Nampak macam shock or something..." Tegur Kaduk dari belakang.
"Memanglah. Kena electric shock tadi. Tapi tak perlu risau. Just low voltage."

Kening Kaduk terangkat. Bulat matanya.

"Electric shock? Low voltage? Kau ni biar benar. Sihat ke tak ni?" Tanya Kaduk penuh curiga.

Aku mengangguk perlahan. Rasanya otak aku sedikit senget malam ini sampaikan boleh terkeluar perkataan teknikal dari mulut aku.

"Kaduk, aku nak tanya pada kau sesuatu? Dan tolong, jawab dengan serius dan jujur. Tak mahu main-main." Kataku separuh merayu.

"Okey..." Balas Kaduk dengan wajah karismanya.

"Kalau Ammar cakap sesuatu, ada kemungkinan tak dia bergurau atau cakap bohong?"

"Yang pastinya Ammar bukan jenis cakap bohong. Kalau dia saja-saja nak bergurau tu, aku tak pasti pula." Jawab Kaduk.

Aku sudah rasa hendak pitam.

"Jadi. kalau dia kata dia tak bohong, maknanya memang betullah dia tak bohong. Begitu?" Aku cuba bertanya untuk kali kedua sebagai kepastian.

"Tepat sekali." Jawabnya lagi.

Oh, tidak! Katakan aku hanya bermimpi. Tolong... aku rasa hendak pengsan. Waktu ini bagaikan sudah kekurangan oksigen di dalam dapur rumah Mar Iskandar ini untuk aku gunakan dalam proses pernafasan. Aku perlukan udara bersih. Udara bersih... Lantas aku meninggalkan Kaduk lalu segera pergi ke balkoni. Aku tarik nafas dalam-dalam. Kemudian, dilepaskan perlahan-lahan.

Kawalan emosi, kawalan emosi... Aku mengingatkan diri aku berkali-kali.

"Syah."

Aku tersentak. Bila aku berpaling...

"Mar!" Kataku separuh menjerit.

"Kenapa ada luar ni? Sejuk... Duduklah kat dalam." Bicaranya dengan suara lembut.

Oh, tidak! Jangan kau nak berbaik-baik dengan aku, Mohd Ammar Iskandar. Tak perlu kau lunakkan suara kau. Aku takkan tergoda. Kawalan emosi...

"Tak apa. Awak masuklah dulu." Balasku tanpa memandang wajahnya.

"Sedap juga angin di luar ni ya. Dapur tadi terasa bahangnya." Kata Mar Iskandar tanpa dipinta.

Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di atas kerusi malas yang ada di situ. Yang tak seronoknya, kerusi itu betul-betul mengarah kepada aku yang sedang berdiri. Jadi, fokus pandangan Mar Iskandar adalah aku. Lainlah kalau dia memusingkan kepalanya sebanyak sembilan puluh darjah dan ke atas.

Kaki aku sudah meronta-ronta untuk beredar dari sini. Aku pun mula membuka langkah. Tetapi...

"Nak ke mana tu?"

"Nak masuk dalam. Tak manis kalau orang lain nampak kita berdua macam ni." Kataku segan silu. Pandangan aku direndahkan. Lagakku tidah ubah seperti seorang ustazah lepasan Universiti Al-Azhar pula. (Aku namakan ini teori fleksibel).

"Kan cerah ni. Lagipun ramai orang boleh nampak dari dalam tu."

Aku memandang ke dalam rumah. Memang benar katanya itu. Bahagian dalam sliding door ini sahaja sudah berapa orang yang sedang bersantai dan sesekali mereka memerhatikan kami yang berada di luar. Maknanya kami tidaklah berduaan sahaja di sini kerana ada mata-mata yang menjadi saksi secara tidak rasmi.

"Dah lama saya tak sembang dengan awak. Yalah... sejak Kak Zie tak ada, kita pula sama-sama sibuk.... dan, yang paling penting sejak Kaduk datang ke Jepun ni, awak dah tak mesra macam dulu. Seolah-olah cuba jauhkan diri dari saya. Saya ada buat salah lagi ke?" Kata Mar Iskandar tiba-tiba. Perlahan.

Aku tersentak.

"Tak adalah. Perasaan awak aja kot."

Aku jadi hairan.

Kenapa perlu tiba-tiba sahaja Mar Iskandar yang pendiam ini menjadi ramah-tamah? Adakah dia sengaja menukar sikapnya semata-mata mahu menguji aku? Aku akan katakan dia telah melakonkannya dengan baik. Tahniah! Jadi hentikanlah sandiwara ini. Aku lebih suka kalau dia senyap saja. Aku mahu Mar Iskandar yang pendiam. Oh Tuhan, kembalikan dia pada yang asal. Aku merayu padaMu. Aku berjanji takkan marah-marah lagi. Aku takkan perli-perli dia lagi. Aku juga takkan kata dia lelaki yang membosankan lagi. Aku...

"Kak Zie, ada cakap apa-apa pada awak?" Katanya perlahan, langsung mematikan lamunanku.

"Cakap pasal apa?" Soalku kembali. Aku berfikir sejenak."Haa... dia dah pregnant. Tahu?"

"Ya ke?"

"Baru tiga minggu."

"Yang awak ni pula bila lagi?"

"Sejak bila pula awak begitu ambil berat tentang saya ni, Mar?"

"Memang sejak dari dulu lagi saya ambil tahu pasal awak. Cuma awak aja yang tak tahu atau mungkin pura-pura buat tak tahu..."

Berderau darahku apabila mendengarnya.

"Kan saya tengah berdua dengan awak sekarang ni." Balasku, cuba menyembunyikan rasa gemuruhku.

Mar Iskandar ketawa kecil.

"Awak ni memang pandai cakap pusing-pusing. Sama macam Kaduk." Tempeleknya.

"Ke mana lagi tumpahnya kuah kalau tak ke nasi..."

Kami sama-sama tersenyum.

"Saya bukannya apa. Risau tengok awak ke sana ke mari seorang diri. Kalau awak tu lelaki, saya tak kisah sangat. Balik dari lab dahlah jauh malam. Nak temankan balik sama, rasa tak elok pula. Lagipun kita bukannya ada ikatan sah. Jadi, saya cuma boleh perhatikan dari jauh sampailah awak selamat ke rumah."

Aku terkasima. Padanlah aku selalu rasa ada orang perhatikan aku. Rupanya dia jadi guardian angel aku dalam diam. Mar Iskandar, kau buat aku terharu.

"Mar, saya dah bertahun duduk kat Jepun ni. Tak perlulah nak risau yang bukan-bukan. Lagipun saya bukannya budak kecil lagi. Saya tahu jaga diri aku sendiri."

"Sebab awak dah lama duduk sini yang buat saya makin risau tu. Awak rasa selamat jalan ke hulu ke hilir seorang diri. Sedangkan kat luar sana ada macam-macam manusia. Yang baik, yang tidak... Kalau apa-apa jadi pada awak, saya rasa bertanggungjawab. Sebab dari Malaysia dan muslim di daigaku (universiti) ni, cuma kita berdua aja. Lagipun awak dah saya anggap macam saudara perempuan saya sendiri. Awakkan tahu saya tak ada adik-beradik perempuan. Salah ke saya cuba ambil berat?"

Aku terdiam. Tidak pernah aku tahu dia begitu risau tentang aku. Memang aku cukup berterima kasih di atas keprihatinan dia.

"Arigatou..." Kataku sambil melirikkan senyuman.

Sebenarnya aku sendiri lebih suka pergi bersendirian. Takkanlah aku nak ke mana-mana mesti berteman? Menyusahkan orang pula. Aku diamkan sahaja.

"Ammar, awak dah jumpa ke sesiapa yang berkenan di hati?" Soalku, cuba mengalihkan topik perbualan. Sambil itu, mataku asyik memerhati Wawa yang sedang berbual dengan Conni.
Sopan santun orangnya. Sesuai sangat dengan Mar Iskandar. Macam mana aku nak padankan mereka berdua ni? Bisikku dalam hati.

"Ermm... tak ada orang yang sudi." Jawabnya perlahan.

"Bukannya tak ada orang sudi. Cuma ciri-ciri pilihan awak tu susah nak cari. Satu dalam juta."

"Awak ni main teka aja. Mana awak tahu taste saya?"

"Adalah... Saya ada buat research sikit."

"Pasal saya?"

"Tentang lelaki macam awak."

"Wow! Jadi apa hipotesis research tu? Teringin juga nak tahu." Ujarnya sambil tersenyum lebar.

Aku cuba mengutip semula tiga teori aku yang berterabur tadi. Susun mengikut keutamaan. Teori persamaan, daya tarikan dan geseran. Rasanya aku perlu catatkan di mana-mana sebagai rujukan masa akan datang.

"Tak ada apa yang menarik pun." Kataku dengan suara mendatar. Rasanya teori itu tidak perlu dikongsi dengan sesiapa. Cukup sekadar menghiburkan aku di kala bosan.

Keadaan menjadi hening semula.

"Betul Kak Zie tak ada cakap apa-apa awak, Syah?" Soalnya sambil merenung ke dalam mataku.

Aku cepat-cepat berpaling ke arah lain. Aku kunci mulutku rapat-rapat. Tidak sekali-kali aku akan memberitahunya yang aku sudah tahu tentang rancangan Kak Zinnirah untuk kami berdua.

"Kalau tak ada, tak apalah." Dia menjawab sendiri setelah melihat aku hanya membisu. Daripada suaranya, dia seolah-olah kecewa.

"Cuti Golden Week nanti ke mana? Markaz?" Sekali lagi aku cuba mengalihkan perhatiannya pada topik lain.

Oh ya! Markaz yang aku maksudkan adalah markaz tabligh yang berada di Tokyo ini. Yang menjadi rumah kedua lelaki janggut sejemput di hadapanku ini menghabiskan masa terluangnya.

"Ke mana lagi." Jawabnya sambil tersenyum. "Ada apa-apa ke cuti nanti?"

"Macam biasalah. Ada program macam tahun lepas tu. Kumpulan Raihan pun akan datang buat persembahan. Oleh sebab tahun lepas awak tak pergi, jadi saya harap sangat awak dan Kaduk datang. Saya dah beritahu pada dia minggu lepas."

"Kaduk, awak beritahu minggu lepas. Yang saya, hari ni baru nak beritahu ya. Memang pilih kasih betul. Kan saya dah kata tadi." Katanya seperti merajuk.

"Mana ada."

Tapi kenapa dia perlu cemburu aku melebihkan temannya itu? Mungkin dia sekadar bergurau.

"Tak nak mengaku lagi tu. Selalu aja jumpa saya kat surau. Bukannya nak tegur. Sombong!"

"Bukan sombonglah. Awak pun bukan nak tegur saya dulu. Semua kena tunggu kita yang mula dulu. Pelik betul. Siapa yang perempuan kat sini? Awak ke saya?" Balasku, memulangkan paku keras.

Mar Iskandar ketawa kecil.

"Jadi, dah tahu awak tu lelaki, saya ni perempuan... kalau dah nampak tu tegur ajalah. Susah betul lelaki zaman sekarang ni. Dunia dah terbalik agaknya."

Senyumannya kian melebar. Matanya yang sememangnya sepet semakin mengecil. Dia nampak comel apabila ketawa dan tersenyum begitu.

Aku turut tersenyum sama. Waktu ini terimbas semula kenangan bermusim yang lalu. Kala itu, aku memang gila bayang dengan Mar Iskandar. Hampir setiap petang aku akan study di pohon bambu berdekatan dengan astrotuf tempat dia berlatih hoki. Dan hari itu merupakan detik pertama pertemuan kami secara rasmi.

"Kenapa baru hari ni awak nak tegur saya?"

"Oh! Awak tunggu saya tegur ke?"

"Mana ada saya tunggu. Awak jangan nak perasan. Saya cuma tanya saja."

"Saya pun tanya saja."

Aku tersenyum lagi. Jika dahulu, sehari tidak dapat menatap wajah Mar Iskandar rasa hidup serba tak kena. Setiap kali mendengar suara Mar Iskandar melaungkan azan, aku senyum sampai ke telinga. Apabila dia menjadi imam, aku yang syahdu menghayati bacaannya. Tetapi kini, segalanya sudah berubah. Aku seperti tidak menghargai kehadiran dia di sini. Hanya kerana Carl Duke Adam.

Ah! Sebelum Kaduk datang, aku rapat juga dengan Mar Iskandar. Tetapi apabila kami selalu sangat digosipkan oleh semua orang lantas aku mula menjauhkan diri daripada dia.

"Ammar itu baik orangnya kan, Syah. Dia pun rapat sama kamu. Kamu berdua berpacaran ya?" Tanya Anding padaku.

"Ngak. Mana ada dong. Udah... kamu jangan bikin sensasi." Balasku.

"Tapi kamu berdua ada keserasian. Secocok!" Kata Anding.

Aku sudah bulat biji mata mendengarnya. Keserasian yang bagaimana mereka semua nampak?

"Sungguh... aku ngak bohong. Ammar juga seperti menyenangi kamu. Lagipun antara kita semua, kamu berdua aja yang masih single." Kata lelaki dari Yogjakarta itu lagi.

Bukan Anding seorang sahaja yang membangkitkan isu "Dua pelajar Malaysia di Tokyo Universitas, Akasyah dan Mar Iskandar. Keduanya masih single lalu mereka ini harus disatukan secepat yang mungkin". Boleh dikatakan hampir semua, bapak-bapak dan ibu-ibu warga Indonesia seperti sudah membentuk satu pakatan atau kesatuan di antara mereka dalam soal menjodohkan aku dan Mar Iskandar. Bagaikan ianya satu agenda dunia!

Ada suatu hari itu, waktu jamuan makan di rumah Pak Agus. Aku sendukkan nasi untuk semua. Giliran aku menyerahkan pinggan berisi nasi kepada Ammar, ada yang mengusik kami.

"Waduh, kamu berdua ini bapak lihat seperti suami isteri. Bajunya aja sudah sama warna. Semacam sudah berjanji dari awalan lagi." Tegur Pak Agus tiba-tiba.

Aku dan Mar Iskandar saling berpandangan antara satu sama lain. Waktu itu Kak Zinnirah pun ada bersama. Aku lihat dia pun tumpang senyum sekaki. Aku hanya tersenyum manis, menunjuk rasa hormat pada Pak Agus yang menjadi Presiden Komuniti Pelajar Islam di universiti kami.

Aku mengeluh panjang. Sebenarnya memang aku hampir sahaja menyukai Mar Iskandar semula. Mungkin perasaan itu lebih lagi daripada dahulu lantaran masing-masing sudah dewasa. Apalagi kami seringkali digosip bersama. Mar Iskandar pula sememangnya pernah mendapat tempat di hati aku suatu ketika dahulu. Bukan satu masalah besar untuk kembali menyukainya.

Tetapi kehadiran Carl Duke Adam nyata merubah segalanya. Aku fikir dia tidak mungkin akan berada di bumi sakura ini dalam tempoh aku di sini. Aku fikir dia datang dan mahu mempamerkan kekasih hatinya kepada aku. Dan mengatakan, lupakan kisah kita kerana aku telah kembali bersama seseorang yang pernah aku sayangi suatu ketika dahulu. Meskipun dua insan yang berbeza, namun wajah mereka masih serupa. Aku juga fikir untuk melupakan Carl Duke Adam dan berhenti menantinya dan memberi peluang pada Mar Iskandar. Sehingga pagi yang indah itu...

Saat itu rasa cinta yang baru hendak disemai untuk lelaki yang bernama Mar Iskandar terus hilang. Lalu diganti dengan sesuatu yang jauh lebih indah. Jauh lebih syahdu. Saat kau memanggil aku dengan nama Ainul Mardiah. Saat itu cinta yang hilang kembali menyinari jiwaku yang sudah hampir suram kerana berhenti mengharapkan cintamu, Carl Duke Adam.

Kadangkala aku rasakan diri kau terlalu misteri. Aku tidak bisa menyelami laut hatimu. Aku bukanlah sahabat sejatimu. Mungkin kita bukan sahabat apabila berbicara tentang hati dan perasaan yang wujud antara kita. Mungkin aku tidak berani dan tidak pernah sekali-kali mencuba melangkaui batas agama yang sentiasa wujud di antara kita daripada membicarakan tentangnya secara terbuka. Mungkin atas dasar persahabatan kita, aku hormati permintaanmu dahulu lalu aku biarkan cinta itu berlalu. Dan ia hilang dipukul badai. Aku hanya mampu memandang sayu.

Walau apapun kita tetap teguh di sini sebagai sahabat walau apapun jua perasaan antara kita. Kerana persahabatan ini sumber kekuatan hubungan kita. Tanda utuhnya ikatan kita. Biarpun cinta ini pernah hilang, dengan takdirNya ia kembali mewarnai hidup kita. Tetapi aku tidak pasti kali ini ia bertahan untuk berapa lama. Terpulang kepada tangan-tangan kita untuk mencorakkannya.

Aku membuang pandangan pada kerusi malas yang sudah kosong tidak berpenghuni. Aku sendiri tidak sedar bila Mar Iskandar meninggalkan aku mengelamun sendiri. Biarlah...

Mata aku mencari kelibat Carl Duke Adam dalam tetamu yang ramai. Dari jauh aku dapat lihat dia tersenyum manis. Aku yang rasa bahagia. Aku juga turut tersenyum. Entah bagaimana pandangan kami menyatu. Aku cuba menghadiahkan senyuman yang paling manis untuk tatapan dia. Dia membalas. Hatiku dipalu hebat rasa rindu.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Bagaikan aroma cinta menyerbu masuk ke dalam dadaku saat ini. Aku tersenyum lagi. Saat ini hanya satu nama yang bertakhta di hati. Dan aku benar-benar pasti kali ini. Hanya dia di hati.


Episod 74: Tak Bisa Memiliki
"Comelnya dolphin putih tu. Rasa nak bela satu." Kataku sambil menepuk Wawa yang duduk di sisiku. Mataku tidak lepas daripada memerhatikan dua ekor mamalia putih itu beraksi bersama pelatih mereka. Walaupun ini sudah masuk kali keempat aku menonton "Aqua Stadium Marine Animal Show". Pertunjukan haiwan laut dari sekecil pengiun sehinggalah ikan paus seperti dalam filem 'free willy'. Setiap kali melihat ikan-ikan dengan aksi yang mengkagumkan, aku pula berasa ingin berenang-renang bersama-sama mereka.

"Kau kena beli akuarium yang besar kalau nak bela ikan yang comel macam tu." Bisik Kaduk yang duduk di belakang kami. Selamba.

Aku menghadiahkan jelingan tajam pada Kaduk Si Pengacau. Mataku beralih pada Mar Iskandar yang nampaknya begitu khusyuk memerhatikan pertunjukan.

"Carl Duke Adam, boleh tak kau senyap untuk setengah jam ni je. Mulut tak boleh diam. Kadang-kadang mengalahkan makcik-makcik bergosip tepi pagar." Mulut sudah becok berleter. "Cuba tengok Mar. Macam tu baru bagus. Senyap. Cakap bila perlu saja. Berbudi bahasa. Contoh lelaki melayu terakhir. Bukan macam kau." Sambungku lagi.

Mar Iskandar yang duduk selang dua tempat dari Kaduk memandang kami berdua apabila terdengar namanya disebut. Aku menghadiahkan senyuman paling manis untuk dia.

"Ammar lelaki melayu terakhir? Erk... tolonglah..." Katanya sambil senyum mengejek.

"Jealous!"

Aku segera memandang hadapan semula.

"I am not!"

Aku tidak mempedulikan Kaduk Si Pengacau lagi. Tumpuan diberikan pada aksi tiga ekor singa laut yang sedang memainkan alat musik. Lagak mereka seperti kumpulan okestra pula. Akhirnya aku boleh melihat ikan-ikan kesukaan aku dengan aman damai. Tiada lagi gangguan daripada Kaduk Si Pengacau.

"Betul aku tak ada ciri lelaki melayu terakhir?" Tanya Kaduk. Dia mengekori aku dan Wawa sebaik sahaja selesai pertunjukan sebentar tadi.

"Ermm..." Aku mengerutkan dahiku. Pura-pura berfikir. "Adalah sikit. Tapi bukan yang terakhir. Mungkin kedua terakhir. Atau... yang kesepuluh, dua puluh, seratus lima puluh enam..." Jawabku selamba.

"Seratus lima puluh enam? That's a lot of numbers."

"Comelnya ikan tu senyum..." Aku masih taksub dengan dolphin putihku yang dikurung di dalam sangkar bersama-sama ikan lumba-lumba yang lain.

Kasihan memikirkan nasib ikan-ikan ini. Andainya mereka bisa bersuara. Pasti mereka akan menjerit minta dibebaskan. Mereka ingin hidup bebas di laut. Bukannya di dalam kolam dan bekas kaca.

"Ikan boleh senyum?" Soal Kaduk sambil tersenyum kelucuan.

"Sibuk. Rasanya kau tak boleh jadi lelaki melayu terakhir. Tak sesuai. Tak layak." Kataku lalu meninggalkan dia terpinga-pinga.

Aku sibuk menunjukkan pada Wawa kawasan Sea Paradise yang dikelilingi oleh perairan air masin. Kedudukan tempat ini sangat unik. Ia terletak di Hakkeijima atau dalam bahasa Melayunya pulau Hakkei. Selain jalan raya, ia juga dihubungkan dengan landasan keretapi elektrik, Seaside Line. Dari sini boleh nampak bot-bot dan perahu layar yang membelah lautan.

"Kenapa?" Tanya Kaduk. Suaranya datang entah dari mana.

"Kaduk... perlu ke kau tanya semua ni? Sebab pertama, muka kau tak ada ciri lelaki melayu langsung. Betul tak Wawa?" Aku memandang Wawa, cuba meminta pendapatnya.

Wawa hanya diam. Mungkin dia segan untuk mencampuri urusan kami berdua.

Kenapalah Kaduk begitu bersungguh-sungguh hari ini? Bisik hatiku kehairanan.

"Tapi Ammar pun tak ada muka melayu." Pintas Kaduk.

"Tapi dia orang jawa. Dan paling penting, dalam diri dia penuh sifat... kesopanan dan kesusilaan." Kataku dengan penuh yakin.

"Mama aku orang banjar. Maknanya aku half melayu. Kesopanan dan kesusilaan? Itu rukun negaralah, Syah!" Balas Kaduk. Dia sudah menyerigai ingin ketawa.

"Apa-apa ajalah. Kau.... mungkin boleh jadi lelaki belanda terakhir."

"Belanda? Pandailah kau bercanda. Belajar dari aku ya." Katanya sambil ketawa kecil.

"Kau kan memang guru pakar dalam subjek canda-bercanda ni." Jawabku sambil mengenyitkan mataku padanya.

Sambil itu, aku melihat jam di tangan. Waktu sudah menunjukkan pukul sebelas pagi.

"Apa kata kita berpecah? Kami, gadis-gadis anggun jelita nak masuk Aqua Museum. Tengok ikan-ikan yang comel. Kau dan cowok-cowok yang lain... ikutlah nak pergi mana. Pukul dua nanti kita kumpul kat seats depan Blue Fall. Solat Zohor sama-sama. Itupun kalau semua setuju?" Kataku memberikan cadangan.

Conni dan Wawa mengangguk setuju.

"Okey..." Kaduk juga memberikan kata sepakat.

"Cuma hati-hati... jangan obses sangat dengan ikan-ikan. Takut -takut ada yang bertukar jadi ikan duyung pula. Pergi berenang dengan ikan-ikan yang comel." Kata Kaduk sebelum mendapatkan Mar Iskandar, Anding dan Adam yang sudah menunggu di pintu keluar.

Aku menjegilkan mataku besar-besar. Kaduk berlalu dengan ketawa berderai.

Conni sudah menarik tanganku. Kami bertiga melangkah masuk ke dalam bangunan yang mempunyai bumbung tidak ubah seperti piramid yang terletak Mesir. Masih segar di ingatan waktu aku membawa Kaduk dan teman-temannya datang ke sini dua tahun lepas. Bagaimana dia asyik mengusik aku yang begitu asyik dengan hidupan laut yang terdapat dalam muzium ini.

"Kalau tengok tu, macam nak tembus masuk dalam akuarium." Tegur temanku itu apabila dilihatnya aku begitu rapat dengan cermin akuarium melihat dolphin putih kesukaanku berenang-renang di hadapanku.

Seperti biasa, aku tidak akan mempedulikan usikan dia. Yang menarik pada aku waktu itu hanyalah dolphin yang pandai mencuri perhatianku. Menunjukkan aksi akrobatiknya di hadapanku. Sesekali ia betul-betul berada di hadapanku. Mulutnya yang tirus menyentuh cermin kaca yang memisahkan kami. Manjanya dia. Aku tidak lepaskan peluang merakamkan aksinya dengan telefon bimbitku yang mempunyai fungsi kamera dan video.

Wawa dan Conni sibuk menghayati keunikan makhluk ciptaan tuhan. Sedangkan aku pula sibuk mengimbas semula kenangan aku bersama Kaduk di sini. Sekarang kami bertiga tiba di tempat pameran tapak sulaiman. Pengunjung diberi peluang itu memegang sendiri haiwan berbentuk bintang lima itu.

Aku menolak ajakan Conni apabila dia meminta aku turut sama memegang objek lembut itu. Sayang sekali sehingga ke hari ini aku masih takut-takut hendak memegang tapak sulaiman. Setiap kali aku memasukkan tangan dalam kolam berair cetek itu, pasti aku akan menjerit kecil. Apabila jari-jemariku makin mendekati objek itu, makin menjadi-jadi jeritan aku. Padahal kadang-kadang aku baru menyentuh batu-batuan dan sebagainya. Akasyah, jeritnya sahaja yang lebih.

Budak-budak Jepun yang lain pasti merenung aku. Pasti dalam hati mereka mengejek. Harap saja badan besar tapi penakut! Dan pasti aku membalas dengan menunjukkan muka "Memang aku takut, ada masalah?".

Masih ingat lagi, bagaimana dengan megahnya Kaduk menayangkan tapak sulaiman itu di hadapanku. Kononnya nak tunjuk dia macho.

"Berlagak!" Kataku sambil menarik muncung panjang.

Dia akan ketawa setiap kali aku kata begitu.

Kami singgah di Center House, antara tempat menjual souvenir. Sekadar jenguk sahaja kerana ada banyak lagi kedai souviner di bahagian lain. Terus sahaja menyusuri laluan beratap sehingga ke Carnival House. Kami disambut oleh patung Sonic The Hedgehog dan temannya yang berwarna perang. Bukan pakcik rambut perang. Tapi curve rambutnya memang iras Kaduk semasa dia berada di SERATAS dahulu. Aku ketawa dalam hati. Pasti Kaduk akan tersedak kerana aku mengejeknya.

"Syah nak pergi wash room sekejap. Conni dengan Wawa pergilah jalan-jalan dulu."

"Tak apa. Kami tunggu." Jawab Nur Jannatul Na'wa lembut.

"Takut lama pula nanti. Rugi buang masa. Pergi jalan-jalan kat luar sana. Nanti Syah call ya." Kataku sambil menunjukkan pintu keluar di sebelah kanan kami.

Sepuluh minit kemudian...

Aku keluar dari bangunan Carnival House yang dipenuhi pelbagai permainan arked. Tempat ini memang antara tarikan utama pengunjung kanak-kanak. Sampai sahaja di Pericans Square, aku ternampak Lelaki Melayu Terakhir dan Lelaki Belanda Terakhir sedang duduk bersantai di bawah payung kanopi yang mengadap laut.

Aku bercadang hendak menegur mereka sebelum pergi mendapatkan Conni dan Wawa. Dari jauh aku lihat bukan main rancak lagi mereka bersembang. Lagak Kaduk tidak ubah seperti seorang debater. Tangannya bergerak sana sini bagai sedang memberikan hujah. Sengaja aku perlahankan langkahku supaya mereka tidak perasan kehadiran aku. Aku memilih satu tempat kosong di belakang mereka.

"Ana tak boleh terima cadangan enta ni. Enta dah fikir masak-masak? Jangan buat keputusan mendadak begini." Aku dapat mendengar Mar Iskandar bersuara dengan jelas.

"Ammar, enta sahabat ana yang paling siqah... yang paling ana percayai. Tiada siapa yang paling layak untuk dia kecuali enta."

"Tapi... bukankah selama ni dia sukakan enta. Dan rasanya enta pun sukakan dia. Enta tak boleh mainkan perasaan dia begitu."

Dia? Siapa 'dia' yang mereka maksudkan? Fikirku.

"Ana tak pernah mainkan perasaan sesiapa. Ana memang sukakan dia. Tapi setakat suka sebagai sahabat, kawan dan teman aja... tak lebih dari itu. Sebenarnya selama ini ana cuma anggap dia kawan. Macam adik. Enta jangan salah faham. Walaupun kami berkawan rapat, itu bermakna ana ada perasaan pada dia. Setakat perasaan sebagai kawan. Khalas. Lagipun ana tak mahu hati dia terluka sebab ana. Ana tak boleh nak ada-adakan perasaan yang memang ana tak ada. Ana tak boleh tipu diri sendiri."

Masakan mereka sedang berbicara tentang aku? Kawan? Akulah tu. Kaduk anggap aku hanya kawan? Sebagai adik? Bohong! Bukankah selama ni dia seperti memberi harapan pada aku? Atau adakah hanya aku seorang sahaja yang memintal buih impian sendiri? Menganyam jaluran kasih yang rupanya ilusi pelangi semata-mata? Kalau hanya kawan, kenapa perlu permainkan perasaan aku begini? Apa salah aku pada dia? Bentak hatiku.

"Enta dah dekat dengan dia sekarang. Jadi, ambil peluang ni kenal hati budi dia dengan lebih dalam lagi. Dia baik. Dah ada kefahaman tentang islam. Dia juga faham tentang jalan dakwah yang kita lalui sekarang. Jadi, memang tak ada masalah nak bawa dia bersama berjuang atas jalan ni. Ana tengok dia sesuai sangat dengan enta. Percayalah... Insya-Allah, enta dan dia mampu lahirkan generasi Islam yang mantap. Masya-Allah..." Tambah lelaki kacukan Melayu-Belanda itu lagi.

Aku yakin sangat mereka bercakap tentang aku. Aku dan Mar Iskandar seuniversiti. Kaduk mahu Ammar rapat dengan aku. Patutlah selama ini dia tak habis-habis mengusik kami berdua. Rupanya dia ada agenda tersendiri.

"Ana tak yakin dia boleh terima ana..." Balas Mar Iskandar dengan suara mendatar.

"Ammar, dengar sini. Ana akan tolong enta. Ana akan cakap pada dia tentang diri enta. Jangan risau... Kena banyak-banyak doa pada Allah. Minta petunjuk dari Dia. Yang lain, enta jangan khuatir. Ana dah kenal hati budi dia. Tahulah bagaimana ana nak pujuk dia nanti. Selama ini enta tak pernah pertikaikan keputusan ana. Adakah enta ragu-ragu dengan kata-kata ana sekarang?" Kata Kaduk sambil menepuk-nepuk bahu Mar Iskandar.

Aku rasa tak dah tak boleh dengar semua ini. Mereka ingat aku ini apa? Patung?

"Tak.... Tapi kenapa enta buat semua ni, Adam? Macam mana dengan perasaan enta?"

"Macam ana katakan tadi, ana memang tak ada perasaan istimewa pada dia. Percayalah... Sebagai kawan, ana cuma mahukan yang terbaik untuk dia dan terbaik untuk enta. Dan, tak ada orang yang paling layak untuk dia melainkan enta seorang. Begitu juga sebaliknya. Ana yakin enta boleh jaga dia dengan baik. Enta boleh berikan apa yang ana tak mampu berikan pada dia. Enta mampu didik dia dengan baik.

Lagipun... sebelum ana datang ke Jepun ni, ummi enta dah pesan suruh ana carikan seorang untuk enta. Supaya dapat jaga enta di sini. Ana cuma laksanakan amanah ummi enta juga. Bukan orang lain. Ammar, kita kenal dah lama. Berkawan sejak sekolah sampai ke saat ini dan dengan izin Allah kita tetap sahabat di 'sana' juga."

"Ana tak tahu nak kata apa..." Kata Mar Iskandar, seperti terharu.

"Ana tak bermaksud untuk memaksa. Sekadar mencadangkan calon yang terbaik untuk enta. Bukannya baru hari ni ana cakap tentang hal ni, sejak dari dulu lagi kan? Cuma enta saja yang suka mengelak. Benda yang baik begini, tak elok dilengah-lengah. Apapun sekarang ni terpulanglah pada enta. Kalau enta setuju, bila-bila masa ana boleh tolong uruskan..." Kata Kaduk dengan penuh yakin.

Aku di sini rasa mahu menangis. Kenapa Kaduk lakukan semua ini untuk aku? Kenapa? Kalau dia tak ada perasaan untuk aku, tak perlu dia sibuk-sibuk menjodohkan aku dengan orang lain. Aku bukannya terdesak sangat untuk berumahtangga dalam masa terdekat ini.

Aku segera beredar dari situ. Hatiku sudah disayat rasa pilu.

"Syah!"

Bahu aku ditepuk dari belakang. Segera aku berpaling.

"Apa kamu buat di sini? Wawa sudah menanti kita di sana. Mari..."

Aku mengangguk perlahan.

Conni merenung wajahku. Mungkin dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Aku pula rasa tidak selesa ditenung sedemikian rupa.

"Kamu menangis? Kenapa sih?"

"Ngak ada apa-apa. Mataku dimasuki habuk." Bohong aku.

"Sungguh?" Tanya Conni, seolah-olah ragu-ragu dengan jawapan aku.

Aku mengiyakan kata-katanya. Aku tidak mahu dia pula risaukan tentang diri aku.

Kenapakah tempat ini seperti selalu meninggalkan kenangan pahit dalam diri aku? Pasti ada sesuatu yang tidak diingini berlaku. Sesuatu yang melukakan hatiku.

Selama ini aku sudah cuba berikan yang terbaik untuk dia. Jadi sahabat yang paling memahami. Tidak cukupkah itu? Aku diminta lupakan tentang perasaan yang hampir dicurahkannnya pada aku dua tahun yang lalu. Aku akur dengan kehendak dia. Aku tidak pernah sekali-kali mendesak dia menerima diri aku. Baru-baru ini dia seperti meluahkan perasaanya pada aku. Tetapi sekarang... lain pula jadinya. Kenapa kita mesti berakhir begini, Carl Duke Adam...

"Sudah hampir jam dua. Mungkin ada baiknya kita ke Blue Fall saja." Cadang Conni.

Aku dan Wawa hanya menurut tanpa membantah. Kami bergerak menuju ke Blue Fall, tiang yang setinggi seratus tujuh meter. Siapa yang punya keberanian boleh mencuba. Kalau aku, sampai bila pun aku tidak akan mempertaruhkan nyawa aku. Apatah lagi waktu ini, aku rasa berpijak di awang-awangan. Bagaikan bermimpi...

Kami bertiga merupakan orang yang paling awal tiba di situ. Kemudian disusuli oleh Kaduk dan Mar Iskandar. Dan akhir sekali, dua cowok ganteng dari Indonesia. Siapa lagi kalau bukan si Anding dan si Adam. Semua sudah sedia dengan wuduk masing-masing. Aku menghamparkan kain nipis yang biasanya aku bawa ke mana-mana. Kain yang menjadi alas tempat sujud kami yang perempuan. Kali ini Kaduk menjadi imam di antara kami semua.

Selesai solat berjemaah, kami makan bersama-sama dengan bekal yang telah dibawa dari rumah tadi. Anding yang memasak bekal nasi goreng untuk kami semua, katanya tadi. Masing-masing sibuk makan dengan penuh selera. Cuma aku seorang sahaja rasa seperti mengunyah pasir. Seleraku mati. Sesekali pandangan aku jatuh pada Carl Duke Adam. Hati aku jadi pilu.

Aku hanya diam sepanjang perjalanan kami ke tempat lain di sekitar Sea Paradise. Wawa yang perasaan dengan perubahan diri aku lantas bertanya.

"Kenapa senyap aja?" Soalnya lembut. Dia sememangnya seorang yang prihatin.

"Penat..." Jawabku ringkas.

Wawa mengangguk. Aku tidak pasti sama ada dia boleh menerima jawapan aku itu ataupun tidak. Mataku tertancap pada Kaduk yang ketawa riang bersama Mar Iskandar. Entah mengapa aku rasa kecil hati. Merasa seperti gelak tawanya itu ditujukan untuk aku. Menyindir aku.

Tepat jam lapan, kami bergerak pulang dengan menaiki train Seaside Line. Aku hanyut dalam lamunanku. Memerhatikan lampu neon yang menghiasi taman tema itu. Piramid yang berwarna biru. Satu dalam seribu. Sekali lagi aku pulang dari tempat seindah taman tema itu dengan membawa bersama kesedihan. Mencatat memori duka. Seperti satu sumpahan pula!

"Kami berdua turun di sini. Ammar, jaga Syah tu baik-baik." Kata Kaduk sebelum melangkah keluar dari perut train. Wawa mengikut langkahnya.

Aku memandangnya dengan hati yang sayu. Mungkinkah Kaduk tidak menceritakan perkara yang sebenarnya pada aku? Kadangkala aku dapat rasakan dia melayan Wawa dengan layanan istimewa. Sanggup hantarkan gadis cantik itu sehingga pulang ke hostelnya. Wawa sendiri yang memberitahu aku betapa baiknya lelaki pada dia.

Train meluncur laju meninggalkan Yokohama Station. Aku makin dihimpit kesedihan. Mungkin kami saling tak bisa memiliki. Aku yang tidak bisa memiliki cintanya. Walau apapun aku cuba lakukan, aku tetap seorang sahabat pada kau. Sahabat yang paling baik. Mungkin ini takdir Tuhan untuk kita, Carl Duke Adam. Takdir kita hanya bersatu atas nama sahabat.


Episod 75: Qudwah Hasanah
"Di sini ana ulang semula sembilan point penting dalam jalan menuju qudwah (teladan) yang kita dah bincangkan tadi. Yang pertama, menjaga kesesuaian antara lahiriah dan batiniah. Kedua, komitmen dengan akhlak Islami baik dalam perkataan dan mahupun perbuatan. Memperdalam wawasan keislaman, tidak meremehkan amal kebajikan sekecil manapun. Para da'ie mesti sedar dirinya sebagai pewaris para nabi. Keenam, memahami hakikat dakwah Ilallah. Selalu bergaul dengan orang-orang yang salih. Berpenampilan bersih. Dan akhir sekali selalu mengingati azab Allah." Terang Nur Jannatul Na'wa dalam pengisiannya yang tajuk "Kepentingan Qudwah Dalam Dakwah". (untuk penerangan lanjut boleh rujuk di sini)
Gadis bertudung labuh itu petah benar berbicara. Dia berjaya membuat aku dan para naqibah yang lain begitu khusyuk mendengar pengisian yang cuba disampaikannya.
"Setelah kita faham betapa pentingnya qudwah dan tahu sedikit sebanyak bagaimana cara atau jalan menuju qudwah ni, ana harap kita semua dapat jadikan panduan. Teringat dalam firman Allah dalam surah As-Saff, ayat 2 hingga 3: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Maknanya di sini, sebagai da'ie, kita kena faham yang Islam yang kita nak bawa ni adalah manhaj (methodology) yang berbentuk aplikasi, bukannya belajar teori semata-mata. Mungkin kita nampak benda ni berat. Sememangnya kerja dakwah ni bukan sesuatu yang mudah. Hendak menjadi qudwah juga sulit. Tapi kita kena usaha dan terus usaha. Di samping itu mesti selalu minta pertolongan dari Allah." Kata Nur Jannatul Na'wa lagi dengan penuh kesungguhan.
Pengisian dari Wawa berakhir di situ. Sebelum pulang, aku menjamu teman seusrah dengan hidangan mee hailam. Jam sudah menunjukkan angka lapan. Teman seperjuangan beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing. Yang hanya tinggal sekarang adalah aku dan Wawa.
"Syah... malam ni Wawa nak tidur sini boleh?"
"Boleh je..." Kataku sambil melemparkan senyuman. Malam minggu begini elok juga berteman. Sudah selalu benar aku berseorangan sahaja.
Wawa nampak keletihan. Aku segera membuka oshire lalu mengeluarkan futon dan bantal. Kemudian aku hamparkannya di atas carpet.
"Syah rapat ya dengan Adam." Ujar Wawa sambil menatap gambar kami semua di Sea Paradise tempoh hari yang terpapar pada screen saver laptop kesayanganku.
"Biasa aja..." Balasku acuh tak acuh.
Mataku melirik pada gadis manis itu. Nampaknya dia masih menatap paparan pada skrin monitar laptop Dynabook aku itu.
"Antum berdua ada apa-apa ke?" Kali ini mata bundarnya bersatu dengan pandangan aku.
"Tak adalah." Jawabku pantas.
Lantas bibir merah delima milik gadis manis itu melirik senyuman penuh makna. Dadaku dipalu debar. Masakan 'bakal tunang' Kaduk ini sudah mengetahui rahsia hati aku. Walaupun Wawa mahupun Kaduk tidak pernah membuat kenyataan rasmi tentang hubungan mereka. Tetapi aku dapat mengagak sesuatu antara mereka berdua.
"Wawa jangan salah faham. Kami berdua kawan aja." Kataku sedkit gusar. Mana tahu Wawa bimbang melihat bakal tunangnya rapat dengan aku.
Senyumannya semakin melebar. Aku menjadi hairan.
"Kalau lebih daripada kawan pun apa salahnya. Adam tu baik." Kata gadis manis itu.
Aku tersentak.
"Cuma... ada sesuatu aja Wawa nak tegur. Harap Syah tak ambil hati. Anggaplah ini teguran dari seorang sahabat." Tambahnya lagi.
"Apa dia?"
Dadaku semakin berdebar.
Nur Jannatul Na'wa menarik nafasnya dalam-dalam.
"Pada pandangan Wawa... pergaulan kalian nampak agak mesra, banyak gelak-gelak, usik-mengusik... Dengan Ammar pun Syah nampak mesra juga. Wawa nampak antum berdua berbual di balkoni hari tu." Dari air muka gadis kacukan Melayu-Petani-Arab itu, aku tahu dia serba salah untuk berterus-terang.
"Syah perlu faham... kita semua duduk dalam jemaah, walaupun jemaah yang berbeza-beza. Tapi sepatutnya Syah dah sedia maklum tentang batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ni." Katanya lagi dengan jujur.
Aku cukup kagum dengan keberanian dia dalam menyatakan kebenaran ini. Meskipun pahit untuk aku menerima dan mengakuinya.
"Wawa faham yang Syah memang dah rapat dengan mereka sejak sekolah lagi. Tapi... sepanjang Wawa kenal Adam, dia tak pernah pula usik Wawa macam Syah."
"Memang dari sekolah lagi kami macam tu..." Kataku dengan suara mendatar. Perasaan aku bercampur baur. Tetapi aku cuba berfikir secara rasional. Menanti penjelasan yang lebih lanjut.

"Syah ingat lagi tentang qudwah hasanah yang Wawa bentangkan tadi?"

Sudah! Aku terjerat! Hati kecilku menjerit.

"Sebagai seorang muslim dan da'ie, kita mesti jadi qudwah hasanah (teladan yang baik) pada orang lain. Segala tindak tanduk kita jadi terjemahan terhadap semua prinsip-prinsip Islam... dalam apa jua keadaan. Jadi, sebelum kita nak berdakwah pada orang lain, kita mesti aplikasikan terlebih dulu dalam kehidupan seharian kita. Macam mana kita nak betulkan masyarakat yang dah kucar-kacir sekarang kalau kita tak betulkan diri kita terlebih dahulu? Orang akan menilai perbuatan kita. Nak tak nak kita kena terima hakikat ni." Ujarnya, tenang.

"Akhlak yang baik cermin peribadi muslim." Tambah aku.

"Tengok... Syah sendiri tahu kan. Wawa yakin dengan Nurul Akasyah yang sudah dan sedang diberikan pentarbiyahan khusus. Kita sekarang ni sedang lalui proses tarbiyah tahap kedua dalam konteks dakwah, marhalah takwin (peringkat pembentukan). Wawa lihat Syah dihormati di kalangan adik-adik di sini. Wawa takut orang lain pandang serong pada Syah.

Sebelum orang lain menegur, ada baiknya Wawa yang tegur dulu. Sebab... selalunya orang akan nampak kesalahan pada perempuan. Wawa tak nak mereka kata Syah yang meyebabkan Adam dan Ammar bergaul bebas dengan perempuan. Apa yang Wawa harapkan, Syah cuba kawal pergaulan dengan mereka berdua. Awal-awal memanglah susah nak ubah. Apalagi dengan orang yang kita dah rapat. Insya-Allah... lama-lama kita akan biasa." Kata Wawa dengan panjang lebar.

Lidahku kelu untuk berkata-kata. Apalagi hendak membalas. Mungkin sebab yang menasihati aku seseorang yang aku kagumi dan hormati.

"Jazakillah... sebab nasihatkan Syah." Kataku perlahan.

Wawa merapati aku lalu dipegangnya erat jari-jemariku.

"Bukankah orang-orang yang beriman dan beramal soleh berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (Al-'Asr:3). Wawa cakap semua ni pun atas permintaan seseorang juga." Katanya lagi.

"Siapa?" Soalku kehairanan.

Wawa tidak pantas menjawab. Dia diam sejenak.

"Adam... Katanya, Syah mungkin boleh terima kalau Wawa yang nasihat."

Aku terkebil-kebil mendengarnya. Adam? Carl Duke Adam?

"Apa yang buat dia fikir macam tu?" Soal aku.

"Entahlah... Dia cuma kata, Syah susah sikit nak terima kalau lelaki yang nasihat. Adam takut kena marah dengan Syah. Dia ada juga cerita pada Wawa, Syah tu dalam gelak-gelak dia... garangnya macam mak tiri." Ujar Wawa lagi sambil tersenyum.

Aku ketawa kecil. Mesti ada kena mengena krisis aku dengan Mar Iskandar.

"Selalunya orang yang sayangkan kita, mereka inginkan yang terbaik untuk diri kita. Macam tu juga dengan Adam. Dia terlalu ambil berat tentang diri Syah. Kadangkala tu sampai Wawa sendiri cemburu!"

Aku terkejut.

"Tak ada benda yang perlu Wawa cemburu. Wawa dah ada segala-galanya. Lainlah Syah ni, banyak sangat kekurangan." Kataku merendah diri.

Wawa menggelengkan kepalanya.

"Janganlah kata macam tu. Wawa pun ada kekurangan dan kelemahan diri. Kalau Syah nak tahu, Wawa sendiri pun bukan macam ni dulu. Sejak Kak Ain 'pergi'..." Nur Jannatul Na'wa berhenti seketika. Riak wajahnya yang ceria tadi berubah menjadi mendung.

Aku segera memeluk bahunya. Dia kembali ceria.

"Kemudian Wawa kenal Adam, dari situlah Wawa cuba berubah perlahan-lahan sehingga jadi Wawa yang Syah nampak sekarang. Adam banyak bantu Wawa. Dia selalu beri semangat pada Wawa... seperti mana dia beri semangat yang sama pada arwah Kak Ain. Adam selalu cakap... kalaulah dia boleh buat benda yang sama pada Syah, alangkah bagusnya. Sebab dia tahu Syah baik. Dalam diri Syah ada kemahuan ke arah itu. Cuma... macam Wawa dah cakap tadi, Syah susah nak terima kalau lelaki yang beri nasihat. Tapi alhamdulillah... dia cukup seronok tengok perubahan diri Syah sekarang." Wajah Nur Jannatul Na'wa terpancar sinar keceriaan.

Aku rasa sedih. Memang Kaduk selalu nasihatkan aku. Cuma aku yang tidak mendengar. Mesti dia kecewa dengan aku. Akasyah yang degil. Akasyah yang defensive.

"Dulu... Wawa selalu cemburu dengan Kak Ain. Ummi dan walid selalu puji dia. Kak Ain baik... Kak Ain sopan-santun... Dia jadi contoh pada kami adik-beradik yang lain. Dia selalu nasihatkan Wawa supaya contohi Qudwah Hasanah Nabi Muhammad SAW. Wawa selalu harap, suatu hari nanti Wawa pun akan jadi macam Kak Ain. Jadi kebanggaan keluarga." Kata Nur Jannatul Na'wa sambil mengesat hujung matanya yang sudah basah.

"Wawa kan dah jadi macam dia sekarang. Mesti Ain gembira..."

Aku memandang wajah lembut kembar Nur Jannatul Adnain di sebelahku saat ini. Sedih benar dia. Aku faham perasaan dia. Bagaimana rasanya jika cuba diri dibandingkan dengan adik-beradik yang lain. Aku juga selalu cemburu dengan abang sulungku yang sentiasa mendapat perhatian mak dan ayah. Apatah lagi, Wawa dan Ain yang kembar seiras ini. Pasti akan ada sekelumit rasa cemburu di hatinya terhadap Arwah Ain.

"Sebelum Kak Ain nak fly ke US dulu, Ummi dan Auntie Sufiah nak tunangkan dia dengan Adam. Tapi si Adam tolak. Dia tak mahu Kak Ain rasa terikat dengan dia. Yalah... masing-masing belajar jauh. Mana tahu jumpa yang lebih baik di tempat masing-masing. Tapi... tak sangka pula Kak Ain pergi dulu." Katanya lagi dengan nada sedih.

Tiba-tiba kami dikejutkan oleh deringan telefon. Wawa segera mendapatkan beg sandangnya di bilik sebelah. Aku kembali meneruskan tugasku tadi.

"... Wawa dah cakap pada dia... alhamdulillah... rasanya dia boleh terima dengan baik...." Aku dapat mendengar suara Wawa tenggelam timbul.

Aku memerhatikan paparan pada laptop aku. Rasa bersalah menghantui diri.

"Adam... Dia nak bercakap dengan Ainul Mardhiahnya. Tapi Syah tutup keitai (handset) kan. Sekejap lagi dia akan cuba call Syah semula." Lancar Wawa menutur kata sebaik sahaja dia muncul semula di hadapanku.
Lantas aku jadi kaget. Ainul Mardhiah? Kenapa Kaduk terlalu lepas bicara? Apa pula kata Wawa nanti? Soalku bertubi-tubi.

"Syah tahu kan... dalam marhalah takwin, kewujudan baitul muslim (rumah tangga Islam) sebagai nukleus terpenting dalam gerakan Islam adalah satu tuntutan." Katanya sambil tersenyum penuh makna.

Debaran di dadaku makin menjadi-jadi.

"Syah dan Kaduk... i mean... Adam... Kami tak seperti yang apa Wawa fikirkan."

"Syah boleh baca fikiran Wawa?" Soal gadis manis itu sambil tersenyum kelucuan.

Aku tidak menjawab.

"Macam Wawa kata tadi, ni antara salah satu sebab yang buat Wawa cemburu dengan antum berdua..." Bisik Wawa di telingaku sebelum dia berlalu ke dapur.

Aku mencapai telefon bimbitku. Baru sahaja aku menekan butang "on", beberapa saat selepas itu giliran telefon aku pula yang menjerit.

"Jangan lupa apa yang Wawa nasihat tadi." Jerit Wawa dari dapur.

"Yalah..." Balas aku menggunakan nada yang sama.

Aku dan Kaduk memulakan bicara kami seperti biasa. Saling bertanya khabar antara satu sama lain. Kali ini aku cuba sedaya upaya mengawal diri aku.

"Thanks..."

"Untuk apa?"

"Untuk apa-apa yang kau lakukan. Aku terharu..." Kataku. Sambil itu, aku mendengar percikan air dari bilik air. Tidak lama selepas itu, Wawa masuk semula ke dalam bilik.

"Jangan sembang lama sangat." Kata gadis manis itu separuh berbisik.

Aku mengangguk perlahan.

Masing-masing seperti kehilangan kata. Pertama kali kami begini. Aku jadi serba salah. Kata-kata Wawa tadi bermain di fikiran.

"Kaduk... Kadangkala aku rasa... kau terlalu meletakkan harapan tinggi pada aku." Kata aku tiba-tiba.

Dada aku menjadi sebak. Aku tahu betapa beratnya beban dakwah yang tersandar di bahu ini. Selalu merasa diri aku tidak layak dan sebagainya. Tetapi Kak Zinnirah sentiasa mengingatkan aku tentang hal ini. Katanya, kalau bukan kita, siapa lagi meneruskan tugas para anbiya'.

"Aku tahu kau mampu jadi lebih baik lagi. Dalam diri kau dah ada potensi tu. Jangan anggap ini satu bebanan tapi satu peluang. Ingatlah... Allah Ta'ala hanya memberikan taufik dan hidayah petunjuk kepada golongan yang telah diketahuiNya sedia berusaha untuk beriman dan beramal salih (as-sajdah:13). Jadi, jangan sia-siakan peluang ni. Dan, Allah takkan bebani seorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (al-baqarah:286). Apapun, segalanya terpulang pada kau, sama ada mahu atau tak." Tuturnya lembut.

Lidahku menjadi kelu. Saat ini, suara merdu Nur Jannatul Na'wa memenuhi ruang rumahku. Hatiku dilanda kesyahduan. Salah satu sebabnya kerana aku tahu maksud ayat yang sedang diperdengarkannnya itu.


Episod 76: Jawapan Kasih
"Syah... sebenarnya banyak benda yang perlu kita bincang dan yang perlu aku jelaskan pada kau. Maaf kalau selama aku biarkan kau keliru, hidup dalam teka-teki."

Bicara lelaki itu mengejutkan aku. Baru sebentar tadi aku diberi teguran. Tiba-tiba dia pula ingin mengheret aku dalam teka-tekinya. Tentang apa...

"Kaduk, aku tak boleh cakap lama-lama. Baru tadi Wawa tegur aku. Aku tak mahu ditegur untuk kali kedua. Aku rasa kau tahu. Sebab Wawa kata kau yang minta dia buat begitu, kan."

"Takkan baru kena tegur dah sombong dengan aku." Katanya seakan merajuk.

Aduh! Sememangnya aku tak faham. Bila tegas dianggap sombong. Bila melayan dianggap tidak tahu jaga batas pergaulan. Bingung aku begini!

"Cakaplah. Apa dia?" Kataku acuh tak acuh.

Kaduk hanya membisu di hujung talian. Mungkin memikirkan dari mana dia harus mulakan. Aku sendiri sebenarnya ingin bertanyakan sesuatu. Tentang apa yang dia bincang dengan Ammar tempoh hari. Siapakah 'dia' yang mereka maksudkan.

"Rasanya aku tak pernah tanya kau tentang hal ni. Harap kau tak terkejut." Katanya perlahan.

Aku kehairanan.

"Bila kau bercadang nak...?"

"Nak apa?" Pintasku.

"Nak berumahtangga." Sambungnya lagi.

"Aku?"

Kali ini aku benar-benar rasa mahu ketawa.

"Tak fikir pun lagi." Jawabku ringkas.

"Kalau begitu, apa kata aku kenalkan kau pada seseorang. Dia baik. Mahu?"

Aku berfikir sejenak. Perbualan Ammar dan Kaduk di Sea Paradise dahulu bermain-main di fikiran. Berdasarkan cadangan Kaduk itu seolah-olah membenarkan apa mereka bualkan tempoh hari. Jadi, memang sahlah mereka maksudkan perempuan itu adalah aku.

Entah mengapa aku rasa kecil hati. Apa perlunya dia memadankan aku dengan orang lain sedangkan bukankah beberapa minggu lalu dia seperti memberikan harapan pada aku.

"Tak mahulah. Kawan-kawan kau mesti macam Ammar tu. Aku mana layak."

"Sejak bila Akasyah yang aku kenal seorang yang pesimis? Setahu aku, kau sentiasa bersemangat. Tapi dalam hal ni... belum apa-apa dah kata tak layak. Aneh."

Sememangnya aku seperti sudah putus harapan. Bagaikan sedang mendaki puncak gunung yang tinggi. Aku takut memandang ke bawah. Bimbang aku akan jatuh. Sama perasaan aku sekarang. Aku rasakan Kaduk seperti memberikan harapan demi harapan melalui perkataan dan perbuatannya. Semakin lama buat aku makin takut. Bimbang segalanya hanya angan-angan.

"Siapa kata kau tak layak?" Tegasnya.

"Akulah..." Lemah sungguh balasanku.

"Hati-hati... setiap apa yang kita fikir dan ucap ni juga satu doa. Sebab itu kena fikir yang baik-baik. Cakap yang baik-baik."

Memang betul katanya. Seperti mana semasa berada di tahun kedua Universiti Malaya dahulu, aku pernah terfikir untuk menghafaz al-quran. Semangatnya seminggu cuma, kemudian terus beku. Mungkin kerana aku terlalu gopoh menghafal banyak ayat sekali. Entah bagaimana, tahun lalu aku meminta petua dari Mar Iskandar dan alhamdulillah kini aku sedang proses menghafaz. Benarlah seperti dalam firman Allah s.w.t:" Berdoalah kepadaKu nescaya Aku akan mengabulkan doamu." (al-mukmin:60)

Tetapi cepat atau lambatnya doa dikabulkan oleh Allah bergantung pada keputusan Allah. Dan ia juga ditentukan oleh baik buruknya, ketaatan dan tidaknya hamba itu sendiri dalam mengabdikan diri pada Tuhan. Atau mungkin kesopanan adab dalam berdoa belum terpenuhi, seperti minta agar doa kita cepat untuk dikabulkan. Ini adalah salah satu sebab tanda melanggar kod etika adab dalam berdoa!

"Allah pasti kabulkan doa semua hamba-Nya, akan tetapi menurut hakikatnya dan bukan menurut selera dan kehendak orang yang berdoa. Sebab kita tahu bahawa manusia tidak mengetahui manfaat dan mudaratnya tentang akibat dari sebab yang dilakukannya sendiri." Tambah Kaduk lagi.

Aku yang mendengar rasa sejuk hati. Bertuahnya siapa yang menjadi isterinya nanti.

"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. Al-Baqarah ayat 216." Tutur 'Ustaz' Carl Duke Adam dengan lembut.

"Kaduk... aku cukup suka kalau kau begini. Macam bercakap dengan seorang ustaz pula."

Dalam hati aku sempat berdoa, moga-moga suatu hari nanti aku akan dipertemukan lelaki seperti Carl Duke Adam. Baik sepertinya. Supaya dapat membimbing aku.

Kenapa tak doakan saja dia sebagai suamimu? Bukankah lebih jelas maksud doamu itu. Kenapa perlu ada 'seperti-seperti'? Kau mahu dipertemukan lelaki sebaik dia padahal 'dia' yang kau maksudkan sudah berada di hadapan matamu.

Satu suara menerjah fikiranku. Buat aku berfikir akan kebenarannya.

"Suka? Suka banyak ke suka sikit?" Soalnya tiba-tiba. Mematikan lamunanku.

Kaduk kembali kepada sifatnya yang suka mengusik.

Aku segera mengetam bibir. Lelaki yang satu ini bijak benar mencetuskan debar di dalam hatiku. Aku tahu dia sengaja kata begitu. Kali ini aku tidak mahu ambil pusing. Aku hanya diam membisu.

Tidak semena-mena aku terdengar seseorang berdehem beberapa kali. Aku segera mengangkat muka. Nur Jannatul Na'wa sedang berdiri sambil memerhatikan aku. Cepat-cepat aku mengakhiri perbualan aku dengan Kaduk. Mujur lelaki itu faham.

Aku beralih mengadap skrin komputer pula. Bibirku tersenyum lebar apabila membuka kantung emel pada malam ini. E-mel yang terpampang di mata, dibaca perlahan.

"Konnichiwa (Hello)! Lama betul tak dengar berita dari Jepun. Maklum sajalah, sejak Adam terbang ke sana, kau pun senyap juga. Sampai hati lupakan teman di Malaysia ni. Aku kecil hati tahu. Ingatkan nak belanja nasi lemak kegemaran kau. Tapi rupanya orang tu balik bercuti senyap-senyap. Takut aku minta omiyage (souviner)? Oh ya, bagaimana dengan rancangan kau nak pergi umrah ke Mekah? Bukankah dulu kau kata nak ke sana lepas graduate? Sekarang macam macam mana? Kau masih tak dapat cari muhrim untuk temankan kau ke sana agaknya. Aku ada cadangan. Apa kata kau nikah sahaja cepat-cepat. Dan honeymoon nanti, ajaklah suami kau sekali. Idea yang bagus kan? Akhir kalam, sampaikan salam sayang pada Nur Jannatul Na'wa. Katakan dari abang Firdausnya."

Mr. Firdaus Aliff

Aku tersenyum membaca e-emel tersebut. Sememangnya aku rasa bersalah pada Firdaus. Sebelum ini aku yang berjanji akan menziarahi dia apabila aku pulang bercuti. Tetapi bukannya cuti yang baru lepas. Entah dari siapa dia tahu aku pulang cuti musim bunga bulan Mac yang lalu. Pantas aku menekan papan kekunci dan membalas e-mel Firdaus.

"Konnichiwa, Dr. Firdaus. Maafkan aku. Sebenarnya sengaja tidak mahu sensasikan berita kepulangan aku hari tu. Aku mahu habiskan masa dengan keluarga sahaja. No offense. Insya-Allah, aku akan serbu Hospital Selayang cuti yang akan datang ;) Kau mesti belanja aku okey! Berkenaan tentang rancangan aku yang satu tu... hingga ke hari ni masih tak kesampaian. Susah betul nak cari masa yang sesuai. Ada saja masalah yang timbul. Memang molek benar cadangan kau tu. Macam tahu-tahu saja. Sememangnya aku sudah berhajat untuk ke sana dengan suami aku nanti. Apapun, kena tunggu sahaja masa 'itu' tiba. Doakan aku ya!"

Miss Arisa Akasyah

Aku membaca sekali lalu e-mel yang sudah siap ditaip. Kemudian aku menekan butang 'send'. Aku berharap Firdaus tidak benar-benar kecil hati.

"Sepupu Wawa, Firdaus.... dia kirim salam." Kataku pada Wawa yang sedang berbaring.

"Sepupu? Firdaus yang mana ni?" Gadis manis itu menyoal aku kembali. Dahinya berkerut memikirkan 'Firdaus' yang aku maksudkan.

"Mohd Firdaus Mohd Aliff." Balasku.

Gadis itu tersenyum panjang.

"Itu angah Wawa. Mana Syah kenal?" Katanya sambil terketawa kecil.

Angah? Aku terkejut besar.

"Tak percaya. Kan nama penuh Wawa... Nur Jannatul Na'wa Mohd Aliff."

Ya Allah! Masakan mereka berdua adik-beradik. Kenapa aku tidak pernah terfikir. Kenapa?

"Rupanya yang angah sebut-sebut kawannya dari Jepun tu, Syahlah orangnya. Ingatkan siapa." Kata Wawa sambil tersenyum kecil.

Aku sedikit keliru di sini. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Masakan selama ini Firdaus berbohong pada aku. Tentang apa yang diceritakan tentang Wawa pada aku dahulu, apakah semuanya palsu?

Aku bercerita pada Wawa tentang detik perkenalan aku dengan 'angah'. Tetapi sedikitpun aku tidak beritahu dia tentang gosip yang dibawa abangnya itu. Nampaknya aku perlu minta penjelasan yang sejujurnya dari Firdaus. Apa motifnya bersandiwara dengan aku? Fikirku.

"Harap Syah tak cerita apa-apa pada Angah. Dia rapat dengan Adam. Dia, Abang Salaam dan Adam tu satu geng sejak kecil lagi." Kata Wawa lagi.

Memang nak kena Si Firdaus. Aku masih ingat katanya di Tasik Varsiti dahulu.

"Akhirnya dapat juga jumpa dia. Sebelum ni nampak dia dari jauh je."

Padanlah dalam surat Kaduk dahulu ada menyebut nama Firdaus. Aku sahaja tidak tahu mereka sudah berkawan sejak kecil lagi.

"Dalam ketawa raut wajahmu menyimpan secebis duka. Duka yang kau tidak pernah kau kongsi denganku. Kau hanya luahkan pada Firdaus Alif. Aku sedikit terkilan. Kau sudah pandai berahsia denganku."

Aku memadamkan lampu bilik lalu mengambil tempat di sebelah Wawa. Fikiranku merewang-rewang entah ke mana. Akhirnya aku dibuai lena.

Seawal jam tiga pagi aku sudah duduk berteleku di atas sejadah. Mataku tertumpu pada naskah Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Menghayati ayat hafazanku seperti pagi-pagi sebelumnya. Selesai ulang baca beberapa kali langsung aku mendirikan solat berjemaah dua rakaat bersama Nur Jannatul Na'wa. Usai solat dan menyemak semula bacaan hafalan tadi, telekung dan sejadah dilipat elok dan kemudian disangkut pada bangku. Mataku tertarik pada telefon bimbit yang berkelip memancarkan cahaya. Mesej agaknya, bisik hati kecilku.

Bulat mataku apabila membaca mesej yang tertera itu. Jantungku berdegup kencang. Masakan dia tahu. Mungkinkah Firdaus...

"Ainul Mardhiah, sudikah kau menemaniku mengunjungi Baitul Haram - C.D.A"

Saat ini bibirku bergetar. Perasaan sukar dimengertikan. Kelopak mata sudah berat. Akhirnya aku mengorak senyuman dan hatiku berbunga bahagia.

Carl Duke Adam, adakah ini jawapan segala teka-tekimu selama ini? Bisik hati kecilku.


Episod 77: Destinasi Cinta Ini
Mei 2007
Hari berganti hari. Sekali lagi bertemu dengan cuti Golden Week. Insya-Allah ini merupakan tahun akhir buat aku bermukim di bumi sakura. Rasanya sudah terlalu lama aku hidup merantau di negeri orang. Sudah tiba masanya untuk pulang berbakti demi tanahair tercinta.
Hari ini merupakan hari kemuncak acara program "Malaysian Festival 2007", iaitu persembahan kumpulan nasyid Raihan pada sebelah malam nanti. Warga Malaysia yang berada di Jepun berkampung di bandar Tokyo sejak dua hari lalu. Masing-masing tidak melepaskan peluang menghadiri program ini sejak diperkenalkan sejak dua tahun. Waktu itu aku menjadi pengarah program. Kali ini segala-galanya sudah diambil alih oleh adik-adik pula. Mereka pula akan meneruskan perjuangan di bumi bertuah ini.
Hujung ubun-ubunku kembali berdenyut. Tadi ia terluka sedikit kerana terhantuk pada pintu toilet. Darah merah pekat mengalir pantas. Berpinar mataku sebentar.
"Kak Syah, ada orang nak jumpa kat sana tu." Satu suara mematikan lamunanku.
Aku segera mengangguk. Sempat menghadiahkan sekuntum senyuman pada tuan empunya suara sebentar tadi. Setelah itu, mataku terarah pada insan yang dimaksudkan. Dia sedang berdiri di muka pintu bersama teman baiknya, Mar Iskandar. Sejak peristiwa tempoh hari, aku tidak putus-putus memohon petunjuk dari-Nya. Moga-moga dia adalah insan yang terbaik untukku.
Pandanganku jatuh pada Mar Iskandar. Aku kembali teringat cadangan Kak Zinnnirah tempoh hari. Lalu aku jadi buntu. Entah mengapa aku rasakan dia juga menanti jawapan dariku. Sinar matanya yang sayu itu meresahkan hati.
Beberapa hari yang lalu, aku telah menelefon mak di rumah. Ingin meminta pendapatnya. Aku khabarkan tentang kedua lelaki itu, Carl Duke Adam dan Mohd Ammar Iskandar. Mak tidak banyak soal. Dia menyerahkan segala keputusan pada aku. Katanya, aku sudah cukup dewasa.
"Terserahlah pada Kak Ngah. Dua-dua elok agamanya. Memang bagus dah tu. Cuma... kawan kamu yang sorang tu anak Dato' Datin, ya. Seeloknya biarlah pilih yang sekufu." Kata mak dengan suara perlahan. Dia terdiam agak lama. "Tapi... apapun terpulang pada kamu. Fikirlah elok-elok. Mak dengan ayah doakan yang terbaik untuk kamu." Sambung mak lagi.
Pilih yang sekufu... maknanya Mar Iskandarlah yang dimaksudkan. Aku dan Mar memang berasal dari keluarga sederhana. Kak Zinnirah pula menambah dengan mengatakan dua sifat yang berlainan ini daya tarikannya lebih kuat. Mar yang pendiam dan alim, manakala aku pula gila-gila bahasa. Bingung aku bingung!
"Syah, sihat hari ni?" Kaduk memulakan bicara.
Aku menjawab perlahan," Alhamdulillah..." Dengan kepalaku bagai hendak pusing. Aku rasa hendak pitam. Bertahan Akasyah!
"Ammar..." Sapaku sambil tersenyum pada lelaki berpakaian serba putih itu.
Perbualan kami terganggu apabila Kaduk terpaksa menjawab panggilan telefon dari pejabatnya. Dia meminta diri beredar. Kini hanya aku dan Mar Iskandar. Aku menjadi kaku di hadapan lelaki ini.
"Awak nampak pucat." Kata Mar Iskandar perlahan.
"Ya ke?" Sahutku.
"Dan nampak keliru." Tambahnya lagi.
Mataku membuntang. Rasa di awang-awangan... mungkin. Keliru?
"Syah. Kalau cadangan Kak Zie tu yang buat awak serba salah, lupakan ajalah. Saya mahu awak gembira. Kaduk gembira. Dan jangan risau... dia takkan tahu tentang itu." Kata Mar Iskandar. Dia langsung tidak memandang wajahku.
"Ammar..." Aku cuba mencelah. Hendak khabarkan pada dia yang aku rasa hendak pitam.
"Listen..." Pintasnya. "Selama ni Kaduk jadi seorang sahabat yang baik untuk saya. Awak pun macam tu, Syah. Awak layan saya dengan baik sepanjang saya di Jepun ni. Saya cuma nak dua orang sahabat saya bahagia. Tu saja." Katanya lagi.
Mataku sudah bergenangan. Rasa bersalah makin menghimpit diri. Mar Iskandar terlalu baik padaku selama ini. Cuma aku yang acuh tidak acuh dengan kehadirannya di sini. Maafkan aku, Mar Iskandar.
"Kenapa dengan kepala awak tu? Macam... berdarah." Katanya tiba-tiba. Suaranya penuh kerisauan.
Aku segera meraba-raba dahiku. Hujung jariku dicemari darah merah. Aku tersentak. Bukankah aku membersihkannya sebentar tadi. Kenapa boleh jadi begini? Soalku tertubi-tubi.
"Syah... Syah..." Mar Iskandar memanggil namaku berkali-kali.
Aku mengangkat muka lalu memandang wajahnya. Kepala digeleng pantas. Rasa sakit makin menyucuk dari setiap sudut. Rasanya aku tidak mampu bertahan lagi. Aku segera meminta diri, meninggalkan Mar Iskandar dalam keadaan terburu- buru. Tetapi baru sahaja menapak beberapa langkah, aku sudah rebah. Yang ada hanyalah kegelapan.
Aku membuka mata perlahan-lahan. Bau ubat menusuk hidung. Agaknya aku berada di hospital sekarang ini. Kepala terasa ringan sedikit berbanding tadi. Syukur!
"Syah..." Suara Nur Jannatul Na'wa menyapa telingaku.
Aku segera memandang ke arah suara itu. Bibir mengukir senyuman.
"Adam ada kat luar. Dia dengan Ammar. Tadi dia minta Wawa beritahu pada dia kalau-kalau Syah dah sedar. Dia risau sangat." Kata Wawa perlahan. Tangannya mengenggam erat jari-jemariku.
"Wawa panggilkan dia, okey?" Tambah gadis itu lagi.
Aku mengangguk perlahan. Wawa segera mengambil tudungku. Lalu dipakaikannya untuk aku. Aku malu sendiri diperlakukan begitu.
"Tunggu ya..." Kata Wawa sebelum meninggalkan aku sendirian.
Aku termangu di birai katil. Mata memandang keluar. Rona merah mula mewarnai dada langit. Ah! Sudah hampir senja rupanya. Bagaimana dengan rancangan malam nanti? Sepatutnya aku yang menguruskan hal berkenaaan pentas dan tempat yang akan digunakan untuk persembahan Raihan. Mungkin orang lain yang mengambil alih tugasku itu. Harap-harap begitulah.
Aku mengimbas kembali peristiwa sepanjang hari ini. Seawal jam sepuluh pagi aku sudah berada di gymnasium bersama-sama AJK yang lain. Beberapa jam kemudian dua lelaki itu datang menyapa. Kaduk pergi dan tinggal Mar Iskandar dengan aku. Dia bercakap tentang... Aku cuba mengingati butir perbualan kami tadi. Segala-galanya seperti samar-samar. Bahagia, gembira... Ammar mahu aku bahagia dengan Kaduk. Mungkin begitulah lebih kurang. Selepas itu, aku sudah tidak sedar apa-apa. Tahu-tahu sahaja aku berada di atas katil ini.
"Assalamualaikum. Macam mana sekarang? Pening-pening lagi?" Tanya Kaduk bertalu-talu. Dia berdiri di sebalik langsir yang mengelilingi katilku.
Aku melirik senyuman. "Waalaikumussalam. Dah okey sikit," jawabku perlahan.
Keadaan menjadi hening seketika. Nur Jannatul Na'wa kembali mengambil tempat di sisiku.
"Syah, jangan buat macam ni lagi. Kau betul-betul buat aku risau. Kalau tak sihat, beritahu aja tak sihat. Jangan diamkan. Kalau jadi apa-apa pada kau..." Kata-kata Kaduk berhenti di situ. Matanya merenung tepat mataku. "... i will never forgive myself." Ujarnya lembut.
Aku meleretkan senyuman. Wajah lelaki berdarah kacukan itu aku tatap dengan penuh kasih sayang. Mengapa pula dia harus merasa bersalah dalam hal ini. Kaduk... Kaduk... Bukannya salah kau aku pengsan siang tadi, bisik hati kecilku.
"Janganlah kau pula yang rasa bersalah. Semua ni terjadi di luar kawalan kau. Aku yang tak hati-hati tadi." Kataku.
"Tapi aku sepatutnya jaga kau." Balasnya pantas. Nada suaranya perlahan tetapi aku mendengarnya dengan jelas. Aku rasa bahagia.
Nak jaga macam mana, Carl Duke Adam? Lainlah kalau kita ni adik-beradik ataupun suami isteri, boleh juga tolong tengokkan sakit pening, jawabku dalam hati.
"Apapun, saya minta maaf sebab dah menyusahkan semua orang." Kataku sambil memandang wajah teman satu-persatu. Wawa, Ammar dan akhir sekali...
Renunganku berhenti pada Carl Duke Adam. Wajahnya penuh kesayuan. Pandangan matanya yang redup itu bagaikan cuba menyampai sesuatu. Namun begitu, aku tidak bisa menafsirkannya. Aku tidak tahu apa yang sedang difikirkannya saat ini.

Carl Duke Adam, andai kutahu isi hatimu...
Aku mengeluh dalam hati.
Sampai bila agaknya kita harus begini? Kadangkala aku jadi takut dengan harapan demi harapan yang kau berikan. Aku takut terus diburu angan-angan palsu. Aku mahu hentikan semua ini. Oleh itu, aku perlukan kepastian dan penjelasan darimu. Tapi... bagaimana aku harus katakan semua ini? Aku tidak punya kekuatan.
Ya Allah! Jika benar dia tercipta untukku, hilangkanlah kegelisahan hati ini. Berikanlah ketenangan dan petunjuk-Mu itu padaku. Kau tahu bahawa hati ini hanya mengharapkan redha-Mu. Jika benar dia yang kucintai, biarlah cintanya itu membawa aku kepada cinta-Mu, ya Rahiim. Jika benar dialah yang kucari selama ini, Kau satukanlah hati-hati kami supaya menjunjung amanat dakwah-Mu. Pintaku dalam hati.
Walaupun mataku tidak pada Carl Duke Adam. Hatiku masih memandangnya. Sesuatu yang aneh kurasai saat ini. Ya! Perasaan kasih sayang aku padanya bertambah kuat!
Nurul Akasyah, lelaki yang wara' tidak mahu bermain cinta. Kerana dia tahu apa tujuan perhubungan lelaki dan perempuan... yakni pernikahan. Oleh itu jagalah pandanganmu, jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu dan kuatkanlah pendirianmu. Andai kata tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah menyinar dan memenuhi jiwamu. Biarlah hanya cinta ibu bapamu yang memberi kehangatan kebahagiaan buat dirimu. Cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang akan membahagiakanmu. Akasyah, cintailah Allah di kala susah dan senang, kerana engkau akan memperolehi cinta dari insan yang juga mencintai Allah. Cintailah kedua ibubapamu kerana kau akan memperolehi keredhaan Ilahi. Cintailah keluargamu kerana tiada cinta selain cinta keluarga. Ingatanku yang terakhir... biarlah tangan yang menggoncang buaian ini dapat menggoncangkan dunia dalam mencari keredhaan Ilahi. Demikianlah bisik satu suara yang sangat halus jauh di sudut kalbu.
Aku serta-merta insaf. Memang benar... hidup ini sememangnya untuk mencari keredhaan Ilahi. Lantas jiwa aku kembali tenang. Hilang segala kegusaran. Carl Duke Adam adalah seorang lelaki yang baik dan aku yakin selama ini dia tidak membiarkan cinta nafsu menguasai kami berdua. Mungkin atas sebab itu juga dia tidak pernah terlalu berterus-terang dalam menyatakan perasaannya. Cuma sejak kami sama-sama berada di bumi sakura ini sahaja perubahannya agak ketara. Tetapi masih dalam keadaan yang terkawal.
"Macam mana boleh jadi begini, Syah?" Kata lelaki itu tiba-tiba. Entah kenapa aku dapat rasakan dia seolah-olah menanggung kesakitan yang amat sangat. Bagai dia yang menanggung sama kesakitan aku ini.
Aku menghela nafas panjang. Dalam hati kupanjat syukur yang tidak terhingga kerana dipertemukan seorang lelaki yang cukup mengambil berat. Waktu susah dan senang. Dia teman ketawa dan menangis. Mungkin memang benar dia untukku, bisik hati kecilku.
Cintailah Allah di kala susah dan senang , kerana engkau akan memperolehi cinta dari insan yang juga mencintai Allah...
Suara itu bergema lagi. Dalam diam aku berharap dan berdoa, moga-moga insan yang pernah menyatakan kesediaannya menemani aku mengunjungi Baitul Haram milikMu itu adalah seorang insan yang juga mencintai-Mu, ya Allah. Amin ya rabb. Perkenankanlah doa hamba-Mu...


Episod 78: Kembali Tersenyum
Julai 2007
Aku memerhatikan Nur Jannatul Na'wa yang berkerut wajahnya sejak dari tadi. Mulutnya berkumat-kamit seperti membaca mentera semerah padi. Oh, silap! Itu lagu M. Nasir. Sebenarnya gadis itu sibuk menghafal perkataan Bahasa Jepun untuk ujiannya Isnin minggu hadapan. Sejak sejam yang lalu buku teks Bahasa Jepun itu tidak lekang dari tangannya.
"Wawa."
Gadis manis itu berpaling.
Mulutku bagai terkunci. Rasa malu menebal dalam diri. Perlukah aku bertanya pada dia? Nanti apa pula kata Wawa.
"Syah?"
Aku mengangkat muka. Wawa mengangkat keningnya yang tersusun rapi bagai dilukis. Dia memang sangat cantik. Baru beberapa bulan dia berada di sini, ramai yang sudah bertanyakan tentang dia. Jenuh juga aku membuat proses penapisan dan penyaringan untuk ucapan salam yang ditujukan padanya. Nyata sekali gadis itu bukan jenis yang mudah melayan sebarang godaan dan rayuan yang datang.
Agaknya dia tunggu Kaduk, bisik hati kecilku. Terselit rasa kecewa apabila hatiku berkata begitu.
"Wawa tahu Adam pergi mana? Syah cuba c-mel dia tapi tak dapat-dapat." Kataku dengan suara tersekat-sekat. Tetapi masih dalam kawalan.
Gadis yang mempunyai wajah persis orang dari Tanah Arab itu tersenyum lebar.
"Rindu ke?" Usik Wawa.
Aku jadi kalut.
"Tak adalah. Tanya aja." Jawabku ringkas lalu kembali menatap kertas-kertas yang bertaburan di hadapanku waktu ini.
Waktu itu telingaku menangkap ketawa kecil dari gadis itu. Aku mengetam bibir menahan malu.
Suasana menjadi senyap sunyi. Hanya kedengaran alunan suara dari kumpulan Hijjaz memenuhi ruang bilik. Si Wawa minat benar dengan suara vokalis utama kumpulan itu.
"Kalau tak silap, dia pernah kata nak ke Korea. Seminggu. Ada urusan kerja." Kata Wawa tiba-tiba.
Aku yang asyik bermain dengan segala macam nombor dan data tadi berhenti seketika. Seminggu ke Korea? Tanpa sedikit pun dikhabarkan pada aku, Ainul Mardhiahnya?
Ainul Mardhiah... Perasan sungguh aku ni!
Tidak semena-mena aku rasa jauh hati. Kenapa sejak akhir-akhir ini perangainya sudah tidak lagi seperti dulu? Dia masih mengambil berat seperti mana biasa dia lakukan. Cuma bagai ada sesuatu yang hilang dari dirinya. Rasanya kami tidak pernah bertengkar. Perubahannya itu aku sedari selepas kejadian aku jatuh sakit beberapa bulan yang lalu. Ah! Mungkin perasaan aku sahaja.
"Syah tak tahu?" Tanya Wawa.
Aku menggeleng perlahan.
"Syah gaduh dengan dia ke?" Soalnya lagi.
Aku mencongak-congak. Rasanya sudah lama kami tidak bergaduh. Kalau waktu sekolah dahulu, ada juga perang mulut dengan debater pencen itu. Sekarang ini usik-mengusik adalah sekali-sekala. Tetapi tidaklah seperti dahulu kerana kami masing-masing sibuk dengan kehidupan masing-masing. Tiada banyak masa untuk semua itu.
"Entahlah... rasanya Syah tak ada buat silap pada dia." Balasku perlahan.
Wawa datang merapati aku. Buku teks Bahasa Jepunnya diletak tepi. Wajahnya bertukar menjadi lembut. Dia merenung tepat mataku.
"Pernah tak dia tanya apa-apa pada Syah?" Soalnya lembut.
"Tanya? Tanya apa?" Aku menyoalnya kembali.
"Apa-apa saja. Sesuatu yang serius. Yang perlukan jawapan... untuk segala persoalan tentang masa depan Syah dan dia."
Aku terpinga-pinga.
"Syah tak faham..."
Wawa menarik nafas panjang.
"Pernah tak Adam tanya sesuatu pada Syah. Tetapi sampai sekarang Syah masih tak berikan jawapannya." Adik kepada Dr. Firdaus itu menyoal lagi. "Mungkin sebab itulah, dia berubah sikap. Mungkin dia fikir Syah tak ambil berat tentang apa yang dia rasa." Sambungnya.
Aku jadi semakin keliru. Soalan apa yang Kaduk pernah tanya pada aku? Fikirku. Aku mengimbas kembali peristawa yang berlaku sejak lelaki itu datang ke bumi sakura ini. Satu demi satu. Bermula dengan hari pertama dia tiba sehinggalah seterusnya.
Semacam tiada apa yang membuat dia marah. Tetapi... mungkinkah pertanyaannya pada pagi itu. Hati aku berdetik.
Jadi, siapakah insan istimewa yang bertakhta di hatimu sekarang, Ainul Mardhiahku? Yang kau tunggu untuk menyunting hati bidadari kecil yang satu ini? Setelah kau sanggup menolak lamaran tidak rasmi dari lelaki sebaik Mohd Ammar Iskandar, siapakah jejaka yang kau tunggu wahai bidadariku yang manis? Siapa yang kau tunggu, Nurul Akasyah?
Dan kemudian...
Ainul Mardhiah, sudikah kau menemaniku mengunjungi Baitul Haram.
Ya Allah! Bagaimana aku boleh terlupa! Aku menjerit dalam hati.
Mungkin kerana aku cuba mengelakkan dari menjawab semua itu lalu kini dia pula mengelakkan diri daripada aku. Mungkinkah dia menanti jawapan aku selama beberapa bulan ini?
"Syah?"
Aku kembali tersedar.
"Dia ada tanya satu, dua perkara. Tapi... Syah tak pasti pula yang dia serius atau tak." Kataku tidak yakin.
"Adam tak pernah main-main kalau ia melibatkan perasaan seseorang. Lebih-lebih lagi bila kita masing-masing dah dewasa macam ni. Itu yang pasti."
Jawapan yang cukup pendek tapi sangat berkesan di hati aku.
"Sekurang-kurangnya jangan biar dia ternanti-nanti. Wawa kenal Adam orang yang bagaimana. Kalau padi katakan padi, tidak dia tertampi-tampi. Kalau sudi katakan sudi, tidak dia ternanti-nanti." Sempat gadis itu berpantun malam-malam begini.
Aku ketawa kecil.
"Wawa sendiri rasa dan nampak Syah terlalu sibuk dan serius dengan kerja Syah. Sampai lupa fikir tentang diri Syah sendiri. Sebab itulah sampai sakit-sakit jadinya. Wawa nampak Syah dah berubah. Tak seperti Nurul Akasyah yang Wawa jumpa buat pertama kali. You look so serious and not happy. Jangan paksa diri sangat. Rileks. Try slow down a little bit. Syah kena fikirkan sesuatu untuk diri Syah. Untuk kebahagiaan Syah. Sampai bila Syah nak terus macam ni?" Kata Wawa panjang lebar.
Aku menghela nafas panjang. Memang ada benarnya kata Wawa. Aku semakin lupa akan impian aku untuk hidup bahagia bersama orang tersayang. Oleh kerana aku terlalu memberikan tumpuan pada study dan lab, rupanya hati yang merasa terpinggir dan terluka. Belum ditambah dengan persatuan dan aktiviti pelajaran yang aku sertai.
"Tapi pelik... mustahil Adam tak beritahu pada Syah. Kamu berdua kan kawan rapat. Betul ni Adam tak beritahu apa-apa pada Syah?" Wawa menyoal lagi. Dia memandang aku dengan wajah simpati.
Aku hanya diam.
"Tak apalah. Sekurang-kurang dia beritahu Wawa." Kataku sedikit cemburu.
Dia beritahu pada Wawa tapi dia lupa beritahu pada aku, kata hatiku lagi.
"Tak adalah. Ammar yang beritahu beberapa hari lepas."
"Ammar? Sejak bila pula Wawa dengan dia..." Kataku sambil merenung Wawa dengan penuh curiga. Ammar yang susah bercakap dengan perempuan itu?
Gadis itu sudah merah padam menahan malu.
Sah! Ada sesuatu sedang berlaku di luar pengetahuanku. Rupa-rupanya dalam diam Ammar dan Wawa menjalinkan hubungan diplomatik bersama. Padanlah sejak akhir-akhir ini aku nampak lelaki melayu terakhir itu bukan main lagi cerianya.
"Wawa dapat tahu dari Ammar rupanya." Aku mengulang kata-kata Wawa tadi.
Gadis itu pantas melarikan pandangannya dari aku. Cuba menyembunyikan wajahnya dari aku. Lagaknya seperti tiada apa yang berlaku sebentar tadi.
"Sebenarnya... kami dalam proses mengenal hati budi masing-masing." Kata Wawa dengan nada perlahan. "Dan insya-Allah cuti summer nanti, kalau tak ada aral melintang kami akan..."
"Bertunang?" Pintasku.
Wawa menggeleng. Dia masih malu menatap wajahku.
"Kahwin?" Kataku sedikit excited.
Gadis itu mengangguk.
Aku seperti tidak percaya. Adakah aku orang yang terakhir tahu tentang ini?
"Tahniah." Itu sahaja yang mampu keluar dari mulut aku waktu ini. Terkejut. Sangat terkejut.
Rasanya bagaikan baru semalam aku menelefon Kak Zinnirah. Setelah berfikir panjang dan mendapat petunjuk dari-Nya, aku terpaksa menolak cadangannya menyatukan aku dan Mar Iskandar. Aku tidak mahu membeban perasaan dia dan juga perasaan aku. Yang paling penting aku tidak mahu Mar Iskandar menanti terlalu lama.
"Terima kasih." Jawab Wawa malu-malu. "Wawa sendiri tak sangka. Sebenarnya dah lama Adam kenalkan Ammar pada Wawa. Dia selalu bercerita tentang Ammar. Malah Ammar sendiri pernah datang ke Melbourne waktu Wawa final year dulu. Dia datang travel dengan Adam dan beberapa orang lagi kawan mereka. Ammar memang baik. Cuma waktu itu hati Wawa tak terbuka untuk terima orang lain. Lebih-lebih lagi kawan kepada Adam." Matanya yang redup itu menikam pandanganku.
Aku faham akan maksudnya itu. Memang benarlah dia pernah menyimpan perasaan pada Kaduk sebelum ini. Jelaslah di sini yang Firdaus bukan mereka-reka cerita. Cuma kesilapan Firdaus adalah dia memberitahu aku tentang harapan adiknya itu terhadap Carl Duke Adam.
"Mungkin jodoh kami kuat. Sampai saja di Jepun, Wawa jumpa Ammar semula. Dan seperti yang Wawa kata sebelum ni, Adam banyak mainkan peranan dalam menyatukan kami berdua. Mula-mula memang Wawa marah pada Adam sebab dia pandai-pandai saja aturkan semua ni. Wawa malu sangat pada Ammar. Tapi jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan. Makin kita cuba tolak, makin dekat pula dia pada kita."
Aku tersenyum sendiri.
"Wawa akan bahagia. Percayalah... Dia akan jaga Wawa sebaik mungkin." Aku memberi keyakinan pada gadis manis itu.
"Syah dan Adam bila pula? Jangan lama-lama sangat."
Aku tidak terkejut dengan pertanyaannya itu.
"Doakan kami..." Kataku sambil menggenggam erat jari-jemarinya.
Wawa tersenyum meleret. Perlahan-lahan dia mengangguk.
"Tumpang guna internet, boleh?"
"Nak buat apa?" Soalnya.
"Adalah..."
Aku melabuhkan punggung di atas kerusi. Pantas jari-jemariku mengetuk papan kekunci.
Assalamualaikum wbt. Adam san, ogenki desuka? Harap semuanya okey. Sekarang ni aku kat bilik Wawa. Datang mengacau dia yang dok sibuk menghafal kanji untuk shiken Isnin minggu depan. Erm... pergi Korea tak beritahu ya. Baru cadang nak pesan kain sutera kalau ada kawan-kawan yang ke sana. Mana tahu nak berbaju sutera korea pula raya tahun ni. Aku bergurau aja. Apapun, shigoto no hou... ganbatte ne! Rasanya lama kita tak sembang. Aku busy, kau pun busy. Tak macam dulu-dulu. Kita selalu ada masa for each other. I missed all those days. Semoga selamat kembali ke Nihon.
Arisa Akasyah
p/s: tak sabar tunggu kau balik. bila agaknya?
Aku membacanya berkali-kali. Berpuas hati dengan emel aku itu.
"Send." Kataku perlahan sambil menekan butang "send".
Aku kembali mengadap fail yang berkaitan dengan eksperimen yang baru aku jalankan siang tadi. Sesekali mataku menangkap kelibat Wawa yang menyanyi-nyanyi kecil di hadapan laptopnya. Bahagianya gadis itu, bisik hati kecilku.
"Syah, emel!" Jerit Wawa tiba-tiba.
Wawa bangkit lalu memberi peluang pada aku duduk. Kantung emel dibuka dengan perasaan yang berdebar-debar. Apabila melihat nama pengirimnya, aku tersenyum lebar.
Waalaikumussalam. Miss Arisa Akasyah... Sejak bila pula tukar nama dan jadi orang Jepun ni? I'm okey. Kerja pun okey. Baru nak masuk tidur tadi. It has been a busy day for me. Tapi... lepas dapat emel dari kau tadi, I can't keep smiling. Hilang segala penat. Rasa tak sabar pula nak balik semula ke Jepun hari Ahad ni sebab dah tahu ada yang tunggu (senyum lagi). Tentang sutera korea tu, rasanya sempat lagi aku carikan untuk kau (i'm not joking). Anyway, all the best for your kenkyuu. Ganbatte kudasai! Walaupun sibuk, kesihatan kena jaga. Ingat tu. Tak nak dengar lagi ada yang masuk hospital dan sebagainya. Kalau ada apa-apa masalah, beritahu aja pada Wawa atau Ammar. Mereka akan jaga kau sementara aku tak ada. Ma'assalamah.
Your Adam
p/s: sebelum tidur ambil wuduk, baca surah al-Mulk and... you know the rest.
Mataku masih terpaku pada skrin monitor. Sekarang, aku pula tidak boleh berhenti tersenyum!

Episod 79: Kau Yang Kurindu
"Masya-Allah! Terlupa lagi!" Aku menjerit kecil apabila mendapati handset aku tidak berada di dalam beg sandangku seperti sepatutnya. Kelalaianku makin menjadi-jadi. Aku selalu begini. Kali ini tertinggal handset di bilik hostel Wawa pula. Pagi tadi keluar dalam keadaan tergesa-gesa. Beginilah jadinya.
"Macam mana nak jemput Kaduk nanti?" Bisikku perlahan.
Kaduk akan pulang dari Korea hari ini. Begitulah katanya lewat emelnya Jumaat yang lalu. Hari yang beredar dirasakan terlalu lambat. Lamanya menanti hari Ahad kunjung tiba. Rasa bagaikan setahun. Sudah terlalu lama aku tidak begini ceria. Hati berdebar tidak keruan. Akhirnya tiba juga hari yang dinanti.
Menurut kata Wawa semalam, Kaduk akan pulang petang ini. Aku sudah bercadang untuk menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita. Tidak aku khabarkan pada lelaki kacukan Melayu-Belanda itu rancangan aku ini. Sengaja mahu memberi kejutan padanya.
Tetapi sebelum itu, aku terpaksa pergi ke lab terlebih dahulu. Yamamoto Sensei ingin berjumpa pagi ini. Ada satu, dua perkara yang dia ingin bincangkan dengan aku tentang research yang aku lakukan. Entah apalah agaknya, aku berbisik dalam hati.
Suasana pagi Ahad dalam kawasan Universiti Tokyo agak berbeza daripada minggu-minggu sebelumnya. Mungkin kerana makin menghampiri musim peperiksaan. Jadi, semua pelajar-pelajar akan mula sibuk dengan persiapan peperiksaan yang akan menjelma dalam dua minggu lagi. Kelihatan beberapa kumpulan pelajar yang melangkah masuk ke dalam perpustakaan universiti.Waktu itu jarum panjang jam sudah menunjukkan angka sepuluh. Manakala jarum pendeknya pada angka dua.
Aku menyusuri kawasan pohon sakura yang letaknya di hadapan perpustakaan tadi. Laluan biasa aku untuk sampai ke bilik lab. Kelihatan orang lalu-lalang di sana-sini. Aku melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja yang aku temui. Kenangan manis dua hari yang lalu masih berlagu di sudut kalbu. Aku benar-benar merasa bahagia kala ini.
Tak sabarnya nak jumpa dia, bisik hati kecilku.
"Syah."
Tiba-tiba ada suara lelaki yang menegur. Aku segera berpaling ke kanan. Masakan dia sudah berada di sini. Bukankah sepatutnya petang ini?
"Kaduk?"
"Assalamualaikum." Ujarnya lagi sambil meleretkan senyuman.
Aku berhadapan dengan lelaki itu saat ini. Jantungku bagai berhenti berdegup. Mataku terpaku pada seraut wajahnya yang kurindui sejak dua hari yang lalu. Suara aku seperti tidak terkeluar dari kerongkong. Cuma bibirku sahaja bergerak-gerak menjawab salamnya.
"Genki kai? (sihat)" Tanya lagi.
Aku mengangguk perlahan.
"Aku ingat kau balik petang ni." Kataku separuh berbisik.
Lelaki itu masih tersenyum lagi. Dengan menyarung kemeja, t-shirt dan jean serba putih, dia nampak sangat kacak pada aku saat ini.
"I canceled that flight. Aku balik malam tadi." Jawabnya dengan nada yang sama.
"Kenapa?" Soalku pantas.
"Aku ada appointment penting pagi ni." Jawabnya ringkas.
Rasa kecewa hadir dalam diri. Aku fikir dia balik awal semata-mata untuk aku. Rupa-rupanya aku seorang sahaja yang berangan-angan jauh.
"Oh! Pukul berapa appointmentnya tu?" Tanyaku agak hambar.
"Sekarang."
Apabila mendengar jawapan itu, mata aku terus membuntang merenungnya. Saat itu darahku berderau dan rasa menyerbu ke segenap sudut tubuhku. Cepat-cepat aku tundukkan pandanganku.
"Kalau macam tu, tak apalah. Aku tak nak ganggu. Bye!" Kataku, sekadar mahu menguji dia. Walaupun hati ini kuat mengatakan appointment yang dimaksudnya itu adalah pertemuannya dengan aku saat ini, namun sengaja aku berkata begitu. Kaki aku sudah ingin melangkah meninggalkannya.
"Syah, tunggu!"
Aku segera mematikan niatku.
"That important appointment is with you, Syah. Right here. Right now. Itupun kalau tak menganggu..."
"Rasanya aku tak ada buat sebarang appointment dengan kau pagi ni." Kataku sekadar ingin menguji. Sambil itu aku tersenyum panjang. "Kau sepatutnya call aku terlebih dulu, Kaduk. Sensei nak jumpa aku kejap lagi." Kataku lagi sambil memeluk tubuh.
"Aku dah call." Balasnya separuh menjerit. "Tapi 'secretary' kau, Wawa yang jawab. Dia kata kau ke lab pagi ni. So, aku terus aja datang ke sini. Cadangnya nak breakfast sama dengan kau. Harap masih ada masa lagi untuk itu, kan?" Katanya lagi seperti mengharap.
Mataku mengerling pada muka jam di tangan. Memang masih ada banyak masa untuk bersamanya. Apakah pilihanku sekarang? Hatiku berbisik.
Kami melabuhkan punggung di atas permaidani rumput di bahagian slope yang mengadap Bangunan International Student Center. Walaupun waktu masih awal pagi tetapi sudah kelihatan beberapa orang Jepun berjemur di sekitar kami. Cuaca cerah dan sederhana panas seperti hari ini sememangnya sesuai untuk bersantai dan merehatkan minda.
"Syah." Sapa Kaduk lalu menyuakan satu kantung kertas pada aku. "Hati-hati. Panas sikit ni." Katanya lagi memberi ingatan.
Aku menyambut perlahan-lahan.
"Arigatou."
Kami berbalas senyuman. Suatu perasaan aneh menyelinap di dalam diri waktu itu. Indah. Bahagia. Rasanya terlalu lama aku menanti saat ini menjelma. Benar kata Wawa, aku terlalu sibuk dengan cita-cita aku sehingga lupa memikirkan impian cinta yang hampir terkubur.
"Mahu donut?" Dia bersuara lagi.
Sebungkus plastik Mister Donut diletakkan di sisi aku. Bau enaknya menusuk ke hidung. Senyuman aku menjadi jawapan untuk pertanyaannya itu.
Kami menjamu selera tanpa berbicara lagi. Aku menghirup Cafe Latte perlahan-lahan. Pandangan difokuskan pada bangunan berada di hadapan kami saat tetapi fikiran aku melekat pada lelaki yang duduk tidak berapa jauh daripada aku ini semenjak dari tadi lagi.
"Syah."
Aku berpaling dan mendapati dia masih tersenyum seperti mana kali pertama aku bertemunya tadi. Fikiran aku melayang pada emelnya tempoh hari. Aku turut sama tersenyum bahagia.
"Kenapa kau senyum aja ni?" Tanya aku, pura-pura tidak tahu.
Dia ketawa kecil.
"Dua hari ni aku tak boleh berhenti tersenyum, Syah. Dan rasanya... aku pernah beritahu kau sebabnya, kan." Ujarnya.
Aku tidak berani menyoal lagi. Suasana dibiarkan sepi tanpa bicara.
"Kenapa dari dulu kita tak begini, Syah? Kenapa baru sekarang?" Soal Kaduk tiba-tiba.
Aku terkedu.
"Maksud kau?"
Carl Duke Adam menghela nafas panjang. Matanya terarah ke hadapan.
"Aku rasa kau tak pernah beri peluang pada diri kau. Seolah-olah... kau dah tutup pintu hati kau untuk terima seorang lelaki lebih daripada seorang kawan dalam hidup kau. Sebab itu kadangkala aku rasa terlalu sukar nak dekati kau. Sentiasa ada benteng itu antara kita. Hubungan kita tak mampu pergi jauh kalau kau tak beri peluang pada kita." Jelasnya panjang lebar.
Aku terpinga-pinga memandang lelaki itu. Aku tidak mengerti. Apa maksudnya dengan berkata sedemikian? Aku dah tutup pintu hati aku? Biar benar. Hatiku berbicara lagi.
"Cakaplah sesuatu, Syah. Sesuatu yang boleh buat hati aku tenang." Katanya dengan puitis sekali.
Aku meleretkan senyuman. Tidak pernah sekali-kali kami berbicara soal hati dan perasaan masing-masing secara terbuka seperti ini. Ah! Bukankah kami sudah dewasa. Masing-masing sudah menjangkau usia dua puluh lima tahun.
"Kau nak aku cakap apa, Kaduk? Aku tak pandailah." Kataku cuba mengelak lagi. Donut bersalut coklat di dalam kotak dicapai lalu disuap ke mulut.
Dia ketawa kecil tetapi kedengaran seperti dibuat-buat. Merajukkah dia?
"Sebelum terlupa..." Dia mengeluarkan sesuatu dari belakangnya. "Hadiah dari aku." Sambungnya lagi lalu menyuakan paper beg berwarna merah jambu yang dihiasi corak berbentuk hati berwarna merah.
"Dalam tu dua pasang kain sutera Korea." Dia memberitahu. "Nanti bolehlah buat baju raya. Ataupun untuk waktu terdekat ni, baju untuk kenduri kawan kita nanti." Katanya lagi.
"Buat susah aja. Aku minta main-main ajalah, kau beli betul-betul." Ujarku sambil ketawa kecil.
Aku membelek beg berisi hadiah yang diberikannya.
"Tapi pertanyaan aku yang dulu bukannya main-main, Syah." Tegasnya.
Aku tertunduk malu. Rasanya dia bercakap tentang hal lain.
"Bila kenduri Wawa dengan Ammar tu?" Soalku, cuba mengalih topik perbualan kami.
"Kau akan selalu begini kan, Syah. Pandai mengelak. Sebab tu aku kata tadi... susah betul dekati kau." Katanya sambil tersenyum. Aku tidak tahu sama ada senyumannya itu ikhlas dari hatinya atau sekadar mahu mengaburi mata aku.
"Hantar aja wakil pihak kau ke rumah aku. Nanti baru boleh nak bincang tentang kita." Kataku perlahan.
Kaduk membeliakkan matanya besar-besar.
"Betul ni?" Soalnya seperti tidak percaya.
"Tadi kau minta aku beri peluang untuk kita. Nah! Sekarang aku dah berikan jawapannya. Aku tidaklah semoden yang kau sangkakan, Carl Duke Adam. Soal jodoh ni... aku lebih suka kalau kita ikut cara yang Islam ajar. Jadi, tak perlu kita nak berbual panjang tentang hal ni."
"I know i choose the right girl." Katanya lembut.
Wajahku merona kemerahan.
"Aku bersyukur sangat. Sebab dikurniakan seorang perempuan yang boleh menjaga diri aku dalam masa yang sama. Memang dari dulu aku cukup suka dengan cara kau ni. Terima kasih, Syah. Sebab selama ni sikap kau tu yang buat aku sentiasa rasa selamat bila bersama-sama dengan kau." Ujarnya perlahan.
"Ya ke? Kiranya ada juga manfaatnya aku belajar Control And System selama bertahun-tahun ni. Aku boleh belajar mengawal emosi dan sistem otak aku supaya tidak terpedaya dengan kata-kata indah yang dilontarkan oleh debater pencen macam kau ni." Tempelek aku.
Aku cuba mengawal suasana supaya kami tidak hanyut dengan perasaan yang sedang membara sekarang. Walaupun sebenarnya aku terharu sangat dengan ucapannya sebentar tadi.
"Ha... mulalah tu nak aplikasi apa yang kau belajar. Kadang-kadang aku rasa kau ni kelakarlah, Syah. Macam ada suis pada kau. Pandai aja putar ayat sana sini." Usik Kaduk.
"Well, I learn from the best." Balasku sambil menjuihkan bibir.
Kaduk ketawa lagi. Dia tahu aku hanya bergurau.
Aku teringat kata-kata Wawa malam tadi. Aku sendiri tidak pernah terfikir untuk berbicara soal jodoh dan pertemuan pada saat seluruh tumpuanku hanyalah untuk memperolehi kejayaan dalam akademik. Tetapi Wawa yang masih dalam mood 'bakal pengantin baru' mengheret aku menyelami dasar hatiku sendiri. Sesuatu yang tidak terlintas di fikiran aku selama ini.
"Syah sepatutnya rasa beruntung. Syah dah kenal Kaduk sejak Form Four lagi. Sekarang ni umur kita dah nak masuk dua puluh lima, kan. Maknanya dah hampir sembilan tahun Syah kenal hati budi dia macam mana. Jadi, memang tak ada masalah besar bagi Syah untuk terima dia dalam hidup Syah."
Aku tekun mendengar cerita Wawa. Nyata gadis ini petah bicaranya. Tidak seperti aku yang lebih suka menjadi pendengar yang setia.
"Macam Wawa dulu, payah juga nak buka hati untuk berkenalan dengan Ammar. Kami ambil masa agak lama semata-mata nak saling mengenali diri dan hati budi masing-masing. Ammar pula bukannya jenis yang mudah mesra dengan perempuan. Dia memang cukup jaga batas pergaulan. Lebih-lebih lagi bila Adam nak kenalkan Wawa pada dia sebagai calon isteri.
Wawa pun bukan senang nak terima orang macam tu aja. Alhamdulillah, lama-kelamaan Allah beri kelapangan jiwa pada Wawa. Wawa cuba yakin diri dengan pilihan yang Allah dah berikan ni. Setelah berbincang dengan keluarga masing-masing, akhirnya kami buat keputusan untuk bernikah." Terangnya panjang lebar dengan nada ceria.
"Jadi, lepas ni apa plan antum berdua? Maksud Syah, lepas dah bergelar suami isteri nanti. Wawa kan baru datang Jepun, sedangkan Ammar dah nak habis Mac tahun depan."
Wawa menarik nafas panjang.
"Insya-Allah Ammar bercadang nak sambung phD. Dia tengah cuba apply sekarang ni. Di Todai (Tokyo Daigaku) juga katanya. Jadi, dapatlah dia temankan Wawa di sini. Kalau tak, kena ikut plan B pula." Katanya sambil tersenyum meleret.
Aku turut tersenyum. Jelas pasangan bahagia sudah merancang masa depan mereka berdua.
"Syah berilah peluang pada Adam. Dari tindak-tanduk dia selama ni, Wawa dapat rasakan yang dia cukup sayangkan Syah. Lebih daripada sayang seorang sahabat. Mungkin Syah aja yang tak nampak sebab Syah selalu anggap dia sahabat Syah. Noktah."
Aku mengiakan kata-kata gadis itu.
"Sebab tulah Syah kena cuba open-minded. Lihat persahabatan kalian dari skop yang lebih luas. Kemungkinan yang akan berlaku jika Syah beri sedikit ruang pada dia sebagai calon teman hidup Syah. Give him a sign. Tak salah untuk mencuba. Kalau tak menjadi sekalipun, kalian akan kekal sebagai sahabat sampai bila-bila." Tutur Wawa lagi.
Aku memerhatikan seraut wajah manis itu dengan perasaan berbaur. Situasi kita beza Wawa, bisik hati kecilku.
Bukannya aku tak pernah cuba membuka hati aku untuk menjalinkan suatu hubungan yang lebih kukuh. Cuma waktu itu mungkin masanya tidak sesuai. Keadaan tidak begitu mengizinkan. Kaduk baru sahaja lepas ditimpa kemalangan yang hampir mengorbankan nyawanya. Lantaran itu dia perlu menjalani terapi hampir enam bulan lamanya di Malaysia.
Sepanjang tempoh itu juga aku terus memberikan kata-kata semangat melalui poskad kiriman aku dari bumi sakura ini. Hanya itu sahaja yang mampu menjadi pengganti diri di kala dua jasad terpisah jauh beribu-ribu batu. Tetapi tidak pernah sepatah perkataan tentang hati dan perasaan yang aku diluahkan pada dia, Wawa. Apa lagi sebaris ayat menyatakan betapa aku rindu padanya lebih daripada seorang sahabat. Aku simpan perasaan ini jauh di dalam hati. Aku kunci rapat-rapat agar tiada siapapun tahu isi hatiku. Harapan aku waktu itu cuma satu. Hanya satu. Aku mahu dia sembuh. Itu sahaja.
Dalam diam aku berharap dan terus berharap. Menanti dan terus menanti akan tiba satu ketika dia akan membuka kisah kami semula, tentang maksud warkahnya dahulu. Tetapi tiga tahun adalah satu jangka masa yang panjang untuk aku, Wawa. Selama itu juga cinta ini aku telah dibiarkan sepi tanpa disirami balasan kasih seorang lelaki yang bernama Carl Duke Adam. Sehinggalah aku perlahan-lahan melupakan sesuatu yang pernah wujud di antara kami. Lagipun dia sendiri pinta aku berbuat demikian. Aku masih ingat lagi kata-katanya yang meminta aku berjanji padanya. Dan sampai ke saat ini aku masih berpegang pada janji kami itu. Aku juga insan lemah. Lama-kelamaan aku berhenti berharap. Akhirnya aku mengambil keputusan membiar dan merelakan perasaan yang pernah wujud itu terkubur begitu sahaja.

Episod 80: Bukan Semudah Itu
"Kau menangis Syah?" Tiba-tiba aku ditegur. Segera aku kembali ke alam nyata. Jauh juga aku mengelamun. Cepat-cepat aku mengesat hujung mata yang basah.
"Tak adalah. Habuk..." Kataku sambil mengesel-gesel mataku dengan hujung jari. Konon-kononnya memang sungguh mataku dimasuki habuk. Beria-ia aku melakonnya.
"Tak payah nak berlakon. Aku tahu..."
Aku terbatuk. Pantas aku menyedut baki Cafe Latte dengan rakus. Kasyafkah dia? Bisik hati kecilku.
"Apa yang kau tahu?" Soalku pantas.
Dia hanya tersenyum. Enggan menjawab soalanku.
Aku terus menghitung waktu. Masih ada lagi masa untuk berbicara tentang kami. Tetapi aku yang sudah kehabisan kata.
"Kaduk."
"Hmm..." Dia menyahut.
"Semua yang kau kata tadi... Kau tak main-main kan?" Aku menyoal seperti anak-anak.
Pandangannya jatuh tepat pada wajahku. Kemudian cepat-cepat dia melarikan matanya dari terus merenung aku.
"Kau nak aku kata macam mana,Syah? Aku memang serius. Lepas benar-benar yakin, baru aku cakap semua ni. Baru aku cakap tentang kita. Aku benar-benar maksudkan semua tu. Kalau tak, aku diam saja dan terus padan-padankan kau dengan Ammar. Tapi aku tanya sama ada kau sudi jadikan aku teman kau untuk pergi ke tempat impian kau, Mekkah. Buat umrah." "Mungkin boleh buat haji terus."
Aku mengetam bibir. Malu mendengar pengakuannya itu.
"Aku tahu selama ni aku banyak main-main. Kita banyak bergurau. Aku tak habis-habis usik kau dengan Ammar. Mungkin dari situ kau nilai diri aku. Serius atau tidak."
Aku menjungkitkan bahu.
"Tapi kita dah kawan hampir sembilan tahun, Syah. Selama sembilan tahun ni kau tentu boleh bezakan sama ada aku berkata jujur..." Dia menghela nafas panjang. "Atau sekadar kata-kata indah yang dilontarkan oleh debater pencen."
Aku menguntumkan senyuman.
"Aku nak kau fikir sebaiknya. Buat solat istikharah. Doa sungguh-sungguh. Moga-moga dapat petunjuk yang baik dengan bantuan pengetahuan Allah. Semoga kau akan tahu sama ada pilihan yang ada di depan kau sekarang... adalah baik atau tidak.
Aku dah diberi petunjuk bahawa pilihan yang ada di depan mata aku saat ni adalah yang terbaik. Dan aku terima pilihan Allah itu. Sekarang ni aku sedang beritahu apa yang sepatutnya dia tahu... buat masa ini." Bibirnya tidak putus-putus menguntumkan senyuman. "Dan selepas dari hari ini, segala-galanya terpulang pada pilihan dia. Aku akan terima dan redha apa jua pilihan yang dia akan ambil."
Aku jadi kelu.
"Okey." Aku cuba mencuri nafas. "Kalau kau dah begitu, aku harap ini pertemuan terakhir kita."
Lelaki itu memandang aku tidak berkelip.
"Kenapa?" Tanya separuh berbisik.
Air mukanya terus berubah. Mendung. Sedih. Suram.
"Aku tak faham. Tadi kau sendiri kata nak beri peluang untuk kita. Tapi sekarang.... dalam masa tak sampai satu minit... kau buat keputusan macam ni."
Dia menekup muka dengan sebelah tangan.
"Kau yang tak serius dengan kata-kata kau, Syah. Bukannya aku..."
Aku terpinga-pinga. Dia dah salah faham...
"Bukan macam tu. Maksud kata-kata aku tadi tu.... aku tak mahu selepas dari hari ini kita berdua bertemu dalam keadaan begini. Berdua begini."
Dia masih nampak keliru.
"Carl Duke Adam, bukankah lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya. Kerana dia takut memberi kesempatan pada syaitan untuk menggodanya." Setelah aku berkata demikian, riak wajah lelaki itu kembali tenang seperti sedia kala.
"Aku cuma elak diri kita dari tu semua. Tu saja. Sebab sekarang kita bukan lagi macam waktu sekolah dulu. Kita dah lain.
Oh Tuhan! Bagaimana aku hendak katakan yang aku dan dia sudah perasaan lebih dari seorang kawan. Lebih mudah kalau dia dapat mendengar bisikan hati aku ini.
"Kau fahamkan maksud aku ni?"
Akhirnya dia mengangguk.
"Sekarang baru aku faham." Katanya sambil tersenyum meleret. "Sebab dari mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, dari salam cenderung kepada pertemuan. Takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri." Sambungnya.
Aku mengangguk. Dalam diam aku memanjat rasa syukur kerana dia memahami. Mungkin inilah kelebihan memilih seseorang yang beragama kerana yang beragama itu sempurna Islamnya dan sempurna ihsannya. Semoga kami berdua terus dalam lindungan-Mu, pintaku dalam hati.
Pilihlah yang beragama dan pasti Syah akan beruntung, pesan ayah sewaktu aku membuka bicara tentang jodoh buat pertama kalinya.
Aku kembali memandang wajah lelaki berdarah kacukan itu. Dadaku tiba-tiba rasa berat. Sesak. Hatiku jadi sedih tidak semena-mena.
"Tapi Kaduk..." Aku melepaskan keluhan kecil. "Semua ni tak boleh selesai dalam masa setengah jam ni. Tak semudah itu."
Kaduk mengangkat muka. Dahinya berkerut sambil matanya melirik padaku.
"Kenapa baru sekarang kau datang dan beritahu aku semua ni? Kenapa selama tiga tahun ni kau hanya diam membisu? Kau fikir dalam sehari... kau boleh ubah segala-galanya?"
"Syah..."
Dadaku jadi makin sebak. Fikiranku bercelaru.
"Kadang-kadang aku terfikir juga yang kau sengaja nak main-mainkan aku. Perasaan aku. Saja nak uji aku agaknya. Bila nak, kau datang pada aku. Tapi...bila aku dah mula rasa 'perasaan' tu, kau pergi. Just like that. Seolah-olah tak ada apa yang berlaku. Dah berkali-kali kau buat aku rasa begitu. Macam tu ke sikap kau, Carl Duke Adam?" Kataku melepaskan keresahan yang sekian lama terpendam.
Lelaki itu hanya diam. Matanya tunduk memandang tanah.
"Kau selalu kata aku sahabat baik kau. I'm your bestfriend ever... selain dari Ammar. Tapi sahabat baik takkan buat sahabat dia. Seperti apa yang kau buat pada aku." Kataku lagi sambil tersenyum sinis. Hatiku rasa pedih bagai dihiris-hiris. Seperti disiat-siat.
"Kau terlalu sibuk tentang Ammar dan Wawa. Nak jodohkan mereka berdua. Tapi kau terlupa kawan kau yang sorang lagi. Kau biarkan dia terus hidup dalam teka-teki. Tiga tahun.... tiga tahun aku tunggu kau, Carl Duke Adam. Tapi kau tak pernah terangkan apa-apa yang aku perlu tahu selama tiga tahun tu. Yang perlu aku faham tentang kau dan sikap kau selama tempoh tu."
Akhirnya aku berjaya meluahkan segalanya yang terbuku di hati. Air mata sudah mengalir tanpa segan silu. Rasa terlepas sedikit bebanan yang aku pendam selama tiga tahun ini.
"Tapi... lepas apa yang terjadi, tiba-tiba aja kau datang dengan tindakan mendadak macam ni. Kau nak kita kahwin. Kau nak temankan aku ke Mekah. Ainul Mardhiah..."
Kesedihan makin menghimpit perasaan. Makin menebal di dada.
"Banyak yang perlu kau terangkan, Kaduk. Aku perlukan penjelasan untuk tiga tahun tu. Bukan setakat cakap lebih kurang. Kemudian terus suruh aku balik dan fikir." Kataku sambil tersengguk-sengguk menahan sebak.
Dia masih membisu. Mungkin sedang mencari jawapan yang terbaik untuk aku.
Aku dah tunggu tiga tahun untuk dengar jawapan kau, Kaduk. Tapi aku tak fikir aku mampu tunggu lagi sekarang. Walaupun hanya untuk tiga saat... atau tiga minit lagi, bisik hati kecilku. Lalu aku perlahan-lahan bangun. Hadiah yang diberikannya tadi aku pandang sepi. Aku biarkannya di situ. Kaki aku berundur setapak demi setapak.
"Maknanya... selama ni kau tunggu aku, Syah." Matanya yang redup itu melirik padaku. Pandangannya lembut tetapi sayu.
Aku terhenti. Baru aku tersedar yang aku telah berterus-terang rahsia hati yang aku simpan selama ini. Entah mengapa tadi aku meluahkannya. Tiba-tiba sahaja kemarahan ini datang lalu aku hamburkan padanya.
Dia bingkas bangun lalu memeluk tubuh.
"Kenapa kau tak pernah beritahu pada aku, Syah? Kenapa kau pendamkan saja selama ni? Kalau kau tak beritahu, sampai bilapun aku takkan tahu." Tuturnya lagi.
Sebab kau sendiri tak pernah tanya. Bagaimana aku nak beritahu, balas aku dalam hati. Waktu aku bertanya suatu ketika dahulu, kau pinta aku melupakannya. Jadi, peluang itu dah kau tutup.
"Kau masih marahkan aku?" Soalnya kemudian. Matanya merenung sayu bungkusan hadiah yang berada di tangan saat itu. "Tapi takkanlah sampai tak sudi terima hadiah aku ni? Aku beli ni khas untuk kau, Syah."
Marah benarkah aku padanya? Tak sudikah aku pada pemberiannya itu? Aku bertanya pada diri sendiri. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku tiba-tiba sahaja merajuk begini. Padahal tadi aku bukan main gembira lagi.
"Aku kena pergi sekarang. Thanks for the breakfast." Kata aku tidak lama kemudian.
Tanpa berkata apa-apa dia menyuakan bungkusan berisi kain sutera korea itu. Aku masih lagi teragak-agak untuk mengambilnya.
"Please..." Katanya separuh berbisik.
Demi menjaga hati seorang sahabat, aku tidak dapat menolak lagi. Dia sudah bersusah payah membelikannya untukku, pasti akan berkecil hati jika aku terus berkeras dengannya.
"Syah, aku sangat sayang pada hubungan kita. Bukan senang kita berdua nak kekal sampai ke hari ni. Jangan disebabkan hal yang remeh-temeh kita jadi musuh. Aku tak nak persahabatan kita putus begitu aja. Lebih baik kita perkukuhkannya dengan ikatan yang lebih murni. Itu impian dan matlamat aku, Syah."
Aku tersenyum hambar.
Carl Duke Adam, impianmu itu juga adalah impianku. Tapi buat masa ini aku lebih senang sendiri. Hati kecilku berbisik.
Kaki pun melangkah meninggalkan dia dan segala kenangan manis yang baru diukir tadi. Dan lelaki itu hanya mampu mengiringi langkahku dengan pandangan sayu.

Episod 81: Seindah Impian
"Baru nak balik?" Soal Mar Iskandar selepas memberi ucapan salam. Dia datang menyapa semasa aku sedang menanti densya di noriba eki (station's platform) untuk pulang ke rumah. Waktu itu jam sudah mencecah jam sepuluh malam.
Aku menjawab salamnya lalu mengangguk. Sempat mataku memerhatikan wajah lelaki itu yang tampak makin nampak berseri-seri. Maklum sajalah bakal pengantin tak lama lagi. Bahagianya dia, bisik hati kecilku.
Hujan lebat yang turun sejak petang tadi masih belum reda. Entah kenapa ia membawa kenangan aku tiga tahun yang lalu. Mengingatkan peristiwa itu buat hatiku sayu. Waktu Kaduk dan teman-temannya bertolak pulang dari Tokyo dan bagaimana akhirnya van yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kejadian yang paling meninggalkan kesan dalam hidup aku tentunya. Aku hampir sahaja kehilangan seorang sahabat. Namun begitu, Tuhan masih memanjangkan usianya. Syukur!
Lewat akhir Mac lalu buat sekian kalinya dia kembali ke sini. Sepertimana dalam suratnya dahulu, dia pernah menyatakan niatnya itu. Cuma aku tidak sangka dia akan datang waktu ini. Sudah hampir empat bulan lebih dia berada di bumi sakura ini dan hari ini secara rasminya dia meluahkan niatnya untuk melamar aku. Benarkah kata-katanya itu berbentuk lamaran itu atau aku yang tersilap menafsir maksudnya? Yang peliknya aku menolak setelah pada awalnya aku yang meminta dia menghantar wakil ke rumahku. Lalu aku pun pergi dan segalanya berakhir di situ. Noktah.
"Pagi tadi Kaduk datang ya?" Soal Mar Iskandar tiba-tiba.
Aku mengiyakannya. Baru aku tersedar yang aku mengelamun jauh tadi. Selalunya aku akan bertanya khabar lebih kurang. Tetapi tidak malam ini. Malam ini aku kurang berminat untuk berbual dengan dia. Pendek kata segala mood aku telah diragut dek pertemuan pagi tadi.
"Kenapa ni? Nampak sedih aja?" Soal Mar Iskandar prihatin. "Sepatutnya saya yang sedih sebab kawan baik saya balik-balik terus datang jumpa kau. Kaduk dah pandai pilih kasih sekarang." Tambahnya lagi.
Amboi! Petah pula dia malam ni. Selalunya senyap aja. Aku tanya satu perenggan, dia jawab sepatah aja. Nak buka mulut pun susah macam ada emas di dalamnya. Paling-paling kurang dia akan senyum aja. Tapi beza benar perangai dia malam ni, aku mengomel dalam hati.
"Tak ada apalah. Penat sikit hari ni." Jawabku mudah.
Tidak lama kemudian, densya pun tiba. Mar Iskandar melangkah masuk. Aku mengikutnya dari belakang. Kebetulan malam ini malam minggu. Jadi, densya tidaklah sesesak sangat seperti hari-hari biasa. Kalau tidak, pasti bau sake (arak jepun) naik ke hidung. Masam. Aku selalu tidak selesa dalam keadaan itu. Tetapi aku sudah tiada pilihan lain lagi. Takkan aku hendak jalan kaki. Mahu subuh nanti baru aku sampai!
Kebetulan ada satu tempat kosong dan Mar Iskandar dengan penuh gentlemannya mempersilakan aku duduk. Dia berdiri sambil bersandar pada pintu densya di kiri sebelahku.
"Akan tiba suatu masa pilihan akan terbentang di depan mata kita. Cuma tinggal nak ambil atau tak. Tu je. Dan membuat pilihan yang baik adalah penting. Sangat penting." Kata Mar Iskandar tiba-tiba.
Aku berpaling.
"Kau cakap dengan aku, Mar?"
"Ada sesiapa lagi ke yang faham Bahasa Melayu dalam densya ni?" Soalnya dengan nada lucu.
Spontan aku ketawa kecil. "Mar, terima kasih sebab buat aku ketawa tapi aku memang tak ada mood nak bersembang malam ni."
"Pelik. Selalunya ada je topik yang keluar dari mulut kau."
"Mungkin bukan malam ni."
"Kenapa?"
Aku merengus marah.
"Sejak bila kau banyak tanya ni, Mar? Sekarang bukan masa yang sesuai untuk jadi peramah." Aku mencerlangkan mataku padanya. "Haa... mungkin 'dia' yang suruh kau cakap, kan. 'Dia' memang selalu macam tu. Suruh orang lain nasihatkan aku bagi pihak 'dia'. Pasang spy semata-mata nak korek rahsia aku. Nak tahu impian aku. Dan 'dia' fikir 'dia' tahu segala-galanya tentang aku. Apa yang aku nak..."
"Kau tengah cakap pasal siapa ni? Dia?" Pintas Mar Iskandar.
"Abaikan..."
"Syah?"
"Aku kata abaikan!" Balasku sedikit keras.
Serentak itu, beberapa orang Jepun yang berada di situ memandang ke arah kami. Aku segera mengeluarkan naskah Juz 'Amma yang sentiasa berada di dalam beg aku.
"Maaf sebab buat awak marah. Saya tak berniat pun..." Kata Mar Iskandar perlahan.
Aku menggelengkan kepala perlahan. "Bukan salah kau, Mar. Emosi aku yang tak berapa stabil sekarang ni. Hormons..."
Dia tersenyum kecil.
"Saya bukan cakap bagi pihak Adam atau sesiapa. Bukan dia yang suruh." Lelaki berjanggut sejemput itu menarik nafas panjang. "Memang dia ada call pagi tadi lepas jumpa awak. Tengahari tadi kami lunch sama-sama kat syokudou (kafeteria). Banyak benda yang kami bualkan... termasuklah pasal pertemuan antum berdua pagi tadi. Dan percayalah... apa yang saya akan cakap nanti atas kehendak saya sendiri bukan atas permintaan Adam. Saya kena cakap juga atas dasar awak dan Adam adalah sahabat baik saya. Untuk kebaikan antum berdua."
"I'm listening..."
"Okey... Tiga tahun lepas adalah masa yang paling krikital untuk dia dan kau sendiri tahu, kan. Dia baru lepas accident. Hilang ingatan. Tulang patah sana-sini. Sampaikan ada part yang kena masukkan besi. Terpaksa duduk pula atas kerusi roda. Pergi ke hospital tiap-tiap minggu untuk terapi. Dalam masa yang sama dia terpaksa bersusah payah cuba ingat semula apa yang dia lupa."
Aku menekur kepala. Dadaku kembali sebak. Aku tahu betapa payahnya Kaduk waktu itu tetapi dia tidak pernah mengeluh walau sedikitpun.
"Dia selalu beritahu... betapa bertuahnya dia sebab ada kawan seperti awak, Syah. Selalu ada sama-sama dia waktu tu... dan sampailah sekarang. Bila sekali lagi Auntie Sufiah cadangkan nak kahwinkan dia dengan Nur yang kebetulan masa tu baru graduate supaya Nur boleh jaga dia. Tapi Adam terus tolak. Sebab dia baru aja sihat dan dah boleh berjalan macam biasa, walaupun ingatan dia masih lemah.
Dan dia juga beritahu... ada orang tunggu dia. A very good friend. Yang paling buat dia terharu, bila dapat tahu rupa-rupanya selama ni orang tu tunggu dia sampailah saat ni. Adam sendiri tak sangka. Dia tak terfikir awak akan tunggu, Syah. Dia fikir awak dah lupa. Sebabnya awak tak pernah ungkit apa-apa janji dengan dia. Kau tak pernah cakap apapun pada dia.
Memang aku sendiri memilih untuk diam. Waktu itu kesihatan sahabatku itu lebih penting daripada segala-galanya.
"Syah, masa Kak Zie cadangkan tentang kita tu. Saya sendiri pun ragu-ragu sama ada awak boleh terima saya atau tak. Sebab saya dapat rasakan awak tunggu Adam. Saya sendiri boleh nampak awak lebih gembira sejak dia datang ke Jepun ni. Dan memang dari dulu saya harap antum berdua bersatu. Dah tiba masanya, Syah.
Mungkin awak tak tahu... dia datang ke Jepun semata-mata sebab awak. Dan salah satu sebab saya pilih universiti ni dulu sebab dia pernah minta saya tengok-tengokkan awak. Tapi tak sangka betul-betul dapat satu U dengan awak." Katanya sambil tersenyum. "Adam tu nampak aja suka main-main tapi dalam diam dia memang cukup ambil berat tentang awak. Mungkin awak aja yang tak tahu isi hati dia yang sebenarnya." Sambungnya.
"Kiranya awak ni pun jadi spy dia. Macam tu?" Celah aku.
Mar Iskandar mengangguk. "Saya, Firdaus... Nur pun sama juga."
"Amboi! Ramainya dia pasang spy." Kataku perlahan. "Tapi 'Nur' ni siapa pula? Tak kenal pun."
Mar Iskandar yang tadinya tersenyum akhirnya menggaru-garu kepala.
"Wawa... Saya panggil dia dengan nama Nur." Katanya malu-malu.
"Mungkin lepas ni kau boleh start panggil aku Nurul pula." Usikku. "Satu lagi Mar... aku lebih suka dengar kau beri taklim atau tazkirah daripada apa yang kau cakap tadi. Macam tak sesuai. Tak kena dengan jiwa kau."
"I know. Saya sendiri rasa pelik." Katanya lalu tersengih. "Cuma nak ingatkan, antum berdua dah kawan lama. Kawan lama-lama ni tak berapa elok. Banyak dugaannya."
Aku mengangguk tanda faham.
"Kau nikah di mana nanti? Kenapa tak tunggu tahun depan aja? Rasanya kita tak ada masa nak ambil cuti nak balik Malaysia, kan. Aku sendiri dah sangat sibuk sekarang ni."
"Insya-Allah kami nikah kat sini aja. Parents Nur akan datang nanti. Ummi pun akan datang juga. Nur tak beritahu semua ni pada kau?"
"Aku tak tanya details lagi. Apapun, aku still tak sangka kau akan kahwin secepat ni."
"Macam saya kata tadi... kawan lama-lama ni tak elok. Lagipun saya sendiri rasa lebih selamat kalau hal ni dipercepatkan. Alhamdulillah Nur pun faham."
"Kau bertuah sebab Wawa seorang yang memahami."
"Adam pun."
Memang dia memahami. Cuma aku yang mungkin tak memahami dia, Mar. Aku baru saja menghampakan dia tadi. Seorang sahabat yang baik takkan buat begitu. Tetapi aku telah melakukannya. Aku telah melukakan hati seorang sahabat yang setulusnya menyayangiku. Aku marahkan dia tapi aku sendiri melakukan perkara yang sama. Setidak-tidak dia berterus-terang dalam hal berkaitan hubungan kami. Dia memang mahukan ianya terjalin dengan akad nikah. Kami dimeterai sebagai suami isteri. Dia dengan rasminya telah menyatakan hasrat untuk mengambil aku sebagai isteri. Dan aku memang pasti dan yakin dia bukan main-main. Tetapi entah apa yang terjadi pada aku siang tadi. Tiba-tiba sahaja aku berkata perkara yang tidak sepatutnya.
"Saya dah nak dekat turun ni. Oh ya! Sebelum terlupa... ni ada surat dari Adam. Dia minta sampaikan pada awak. Dan ini sekali..." Kata Mar Iskandar sambil menyerahkan sepucuk surat dan sebuah kotak kecil pada aku. "Katanya baca surat dulu baru buka hadiah."
Aku mengangguk. Mar Iskandar pun turun sebaik sahaja memberikan salam. Mataku terus merenung pemberian yang kini berada di tangan.
Sampai sahaja di rumah, aku terus membuka surat yang diberikan. Dengan tangan yang menggeletar dan hati yang berdebar-debar, aku membacanya.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Assalamualaikum Waratullah,
Salam yang teristimewa buat gadis yang sentiasa bertakhta di hati. Semoga sentiasa berada dalam lindungan kasih Rabbul Jalil. Harap dirimu dalam keadaan sihat sejahtera walaupun aku tahu kesibukan dan tuntutan duniawi melingkari hidupmu. Tetapi jangan dilupa laksanakan tuntutan buat bekalan akhirat kelak.
Nurul Akasyah yang dikasihi,
Pertama kali aku memanggilmu begitu, bukan. Sebelum ini cuma 'yang manis'. Percayalah kau tetap manis pada pandanganku. Aku tidak tahu bagaimana ingin aku mulakan warkah ini. Oh ya! Waktu menulis warkah ini, aku sedang menunggu Ammar untuk makan tengahari bersama. Pada mulanya aku berfikir untuk pulang sahaja ke rumah selepas bertemu denganmu awal pagi tadi. Tetapi memikirkan aku telah mendahulukan pertemuan dengan kau, jadi aku tidak mahu sahabatku yang seorang lagi berkecil hati.
Lagipun selama ini dia adalah penasihat dan pendengar setia aku. Dia yang mencadangkan aku supaya berterus-terang dengan kau tentang hasrat hati aku itu. Katanya, jangan melengah-lengahkan perkara baik begini. Dan akhirnya aku telahpun menyatakannya pada kau. Tetapi mungkin kerana antara kita masih berada di dalam kekeliruan yang tidak berkesudahan, jadi ia tidak berlaku seperti sepatutnya.
Nurul Akasyah yang dikasihi,
Aku dapat lihat garis-garis kesedihan di wajah manismu. Maafkan aku kerana buat kau menanti terlalu lama, gadisku. Aku tahu penantian itu satu penyiksaan. Dan ketahuilah aku juga merasainya kerana sejak bertahun yang lalu aku sendiri menanti hari ini kunjung tiba. Cuma suatu ketika dahulu waktu yang tidak mengizinkan untuk aku berbuat demikian. Kita masing-masing terikat dengan situasi.
Alhamdulillah, akhirnya Allah Rabbul Ikram memberikan aku kelapangan dada dalam membuat keputusan untuk mendirikan baitul muslim pada usia baru mencecah dua puluh lima tahun ini. Dan rasanya aku sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan sahabat pada bakal isteriku nanti.
Walaupun sebenarnya aku memang gusar hal ini mungkin akan memberi kesan buruk pada persahabatan kita. Tetapi aku serahkan segalanya pada Yang Maha Esa. Dia yang berkuasa atas setiap yang di langit dan bumi. Dan hanya dengan izin-Nya juga impian aku ini akan terlaksana. Aku cuma mampu berusaha dan berdoa moga-moga ia menjadi kenyataan.
Nurul Akasyah yang dikasihi,
Ketahuilah bahawa aku memang benar-benar ingin perkahwinan kita ini kerana Allah. Aku impikan akan lahirnya keturunan yang salih. Lahirnya keluarga yang mampu menunaikan amanah serta memastikan pelaksanaan Allah yang berterusan. Dan aku juga berharap dengan perkahwinan ini akan lebih terpelihara diriku. Dapat menjaga pandangan dan kehormatanku serta makin bertambah ketakwaanku pada Allah swt. Dan begitu juga untuk dirimu.
Aku ingin memilihmu sebagai bakal suriku. Kerana yakin dengan kau akan aku berkongsi hidup dan menjadi teman dalam perjuangan aku nanti. Aku memilih seorang wanita yang aku yakin baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun mungkin tidak mempunyai harta kekayaan dan kecantikan kerana sabda Rasululllah saw yang bermaksud:
"Jangan kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya..."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Dalam erti kata lain, aku memilih dirimu kerana kecantikan akhlak dan agamamu. Dan harapan aku juga jika kau bersetuju dengan perkahwinan ini atas dasar yang sama juga. Insya-Allah hujung bulan ini aku akan menghantar wakil ke rumahmu. Aku ingin melamarmu sebagai permaisuri hatiku secara rasmi. Ambillah sebanyak mana masa untuk berfikir. Aku akan menanti jawapan darimu.
Nurul Akasyah yang dikasihi,
Terimalah cincin ini sebagai tanda kasih aku padamu. Sebagai tanda apa yang aku katakan ini adalah benar. Ketahuilah cincin ini sudah berada bersama-sama dengan aku sebaik sahaja aku menjejakkan kaki semula di bumi sakura ini. Dan aku membawanya ke mana sahaja aku pergi. Tetapi hari ini cincin itu telah aku temukan dengan pemiliknya. Mulai saat ini ia akan menjadi milikmu, Ainul Mardhiah.
Kalau kau menolak hajat aku sekalipun, kita tetap sahabat dan simpanlah cincin itu sebagai tanda kenangan persahabatan kita. Ingat itu... Aku tidak mahu kita jadi seteru. Kerana aku cukup sayangkan persahabatan kita. Persahabatan yang sudah kita dibina selama sembilan tahun. Aku tidak ingin melihat ia hancur berkecai.
Akhir kalam, maaf jika ada tutur kataku yang mengguris perasaan, mengganggu emosimu dan sebagainya. Sesungguhnya aku tidak berniat begitu. Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang buruk dari kelemahan diriku sendiri walaupun hakikatnya dari Allah jua. Semoga kita bertemu kebahagiaan yang dicari.
Yang Ikhlas,
Carl Duke Adam Carel Soufi Akbar
Aku letakkan surat itu di atas meja. Tanganku mencapai kotak kecil berwarna merah hati itu. Perlahan-lahan aku membukanya. Mataku terpaku pada sebentuk cincin yang indah. Tidak semena-mena air mata pun mengalir.

Episod 82: Bersama Akhirnya



April 2008
Aku menyisir rambut yang panjang melepasi bahu. Dari tadi aku menanti kehadiran dia, namun masih belum muncul lagi. Sebelum masuk ke dalam bilik tadi, aku lihat dia begitu rancak bersembang dengan ayah. Entah apa yang mereka bualkan. Aku hanya mengerling padanya. Tidak semena-mena pandangan kami bersatu. Aku tunduk malu dan segera mengalihkan pandangan ke arah lain. Debar di hati usah ditanya. Bagaikan tiada henti. Aku jadi tidak keruan. Terus sahaja aku meminta diri masuk ke kamarku.

Kamar raja sehari ini dihias begitu indah. Tampak romantik dengan gabungan warna putih dan biru laut. Putih adalah warna kesukaan dia, lambang cintanya yang suci murni. Biru pula lambang cintaku yang damai dan tenang. Haruman mawar memenuhi ruang atmosfera bilik ini. Sememangnya sengaja aku letakkan jambangan mawar merah dan putih kesukaan suamiku di suatu sudut. Cahaya malap dari lampu sisi meja katil pengantin menambahkan lagi suasana yang lebih romantik. Sesuai benar dengan mood pengantin baru aku saat ini.
Jantungku berhenti berdegup apabila terdengar daun pintu bilik dikuak. Aku segera menoleh. Dia berdiri di muka pintu. Senyuman memekar di bibirnya yang merah. Pintu ditutup semula dan dikunci. Debaran hati kian memuncak kerana hanya kami berdua sahaja waktu ini dan saat ini. Seharian kami sibuk melayan tetamu yang hadir. Mana sempat hendak berbual mesra dengan lelaki yang baru kunikahi itu.
"Assalamualaikum." Sapa dia sambil tersenyum manis.
Salamnya kujawab dalam hati. Rasanya hendak kusorokkan muka ini di bawah meja atau di mana sahaja. Segannya bukan kepalang.
"Dah ambil wuduk?" Soalnya lembut.
Aku mengangguk. Cuba berlagak tenang walhal bagai hendak luruh jantungku apabila dia melunakkan suaranya begitu.
"Kita solat dulu ya." Katanya sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik air.
Aku mengangguk tanpa banyak soal. Solat Maghrib tadi beramai-ramai di luar. Dia yang menjadi imamnya setelah ayahku meminta berbuat demikian. Aku dapat rasakan dia akan jadi menantu kesayangan ayah. Mak dan saudara-mara perempuanku semuanya memuji suamiku itu. Kata mereka, aku bertuah sebab dapat suami yang baik.
Budi bahasanya elok. Rupa parasnya pun menawan. Bisa buat hati cair, tambah Kak Syidah, sepupuku sebelah emak.
Kak Su yang juga merupakan sepupu yang paling rapat denganku turut mengusik. Kak Su atau nama penuhnya Noor Suraya Adnan Sallehudin merupakan pensyarah di Kolej KDU kampus Penang. Dia sanggup berulang-alik dari Penang ke Kampar semata-mata untuk menunaikan janjinya menggubah bunga telur sempena hari pernikahanku ini.
"Tunang Syah tu macam orang putih!" Seloroh Kak Su sambil tangannya sibuk mengayam bunga telur untuk diberikan pada para tetamu yang hadir.
Aku cuma ketawa kecil. Padahal semua sedia maklum yang suamiku itu lahir dan membesarnya di Malaysia. Kami satu sekolah. Dia ketua pelajar merangkap sifu aku suatu ketika dahulu. Manakala aku pula anak muridnya yang nakal. Mengenangkan kisah zaman persekolahan aku tersenyum sendiri. Siapa sangka suatu hari nanti kami akan berkongsi kehidupan.
Aku segera menyarungkan kain telekung yang dibeli khas bersempena pernikahan aku ini. Lalu aku duduk berteleku menanti dia di atas sejadah. Detik-detik indah yang berlangsung siang tadi kembali membuahkan senyuman lebar di bibir. Majlis perkahwinan kami ringkas sahaja. Upacara akad nikahnya berlangsung pada jam sepuluh pagi Jumaat nan indah di rumahku. Dengan sekali lafaz, aku dengan rasminya menjadi isteri kepada Carl Duke Adam Carel Soufi Akbar. Aku menangis kegembiraan.
Walaupun kami memilih untuk tidak bersanding, namun majlis tetap meriah dengan kehadiran saudara-mara dan teman-teman terdekat. Mujur keluargaku memahami. Selesai akad nikah tadi diadakan kenduri kecil. Esok barulah dibuat kenduri yang besar sedikit. Mahu tak mahu aku terpaksa jua makan beradap nanti.
Cincin yang tersarung di jari manis dibelek dengan rasa syukur. Segala penantian berakhir juga. Alhamdulillah, Rabbul Izzati memudahkan urusan pernikahan kami. Sebaik sahaja aku bersetuju dengan lamarannya, kami saling mengikat janji seminggu sebelum Mar Iskandar dan Wawa diijab-kabulkan. Cincin tanda kasih yang dihadiahkannya suatu ketika dahulu menjadi bukti aku sudah menerima lamaran cintanya. Majlis pertunangan kami secara rasmi hanya berlangsung sebaik sahaja aku kembali ke Malaysia pada akhir Mac yang lalu. Dia juga turut pulang kerana tugasannya di Jepun telah tamat.
"Dah sedia?" Tiba-tiba dia menegur.
Aku mengangkat muka. Dia mengenakan pakaian yang serba baru. Berbeza dengan yang tadi. Segak benar dengan baju melayu putih dan berkain pelekat. Hatiku makin terpikat.
"Solat Isya' dulu... kemudian baru solat sunat dua rakaat." Katanya sebelum mengangkat takbir.
Dari awal sehingga habis solat, air mata tidak berhenti mengalir. Perasaanku bercampur-baur. Apabila menadah tangan berdoa, makin deras air mata ini menghambur keluar. Selesai sahaja berdoa, dia datang merapatiku.
"Kenapa ni, sayang?" Tanya dia separuh berbisik. Bahuku dipeluk erat.
Aku menggeleng. Apabila mendengar perkataan 'sayang' keluar dari mulut, makin bertambah hiba jadinya. Mata yang basah aku kesat dengan hujung jari.
"Kita tadarus ya." Tambahnya lagi. Wajahnya jelas tampak risau dengan keadaan aku ini.
Kami duduk bertentangan antara satu sama lain. Aku masih lagi menundukkan wajahku. Cuba menyembunyikan kesedihan ini. Dia menyuakan naskah al-Quran. Air mataku tidak berhenti mengalir tatkala mendengar alunan suaranya yang menusuk kalbu. Tiba sahaja giliran aku membaca, dadaku makin berombak hiba. Sedih bercampur gembira. Kini aku yakin dialah lelaki yang akan memimpin di hidupku menuju redha Ilahi. Malam pertama kami sebagai suami isteri yang sah ini dirasakan memenuhi impianku selama ini.
Ya Allah, inilah kebahagiaan yang kucari, bisik hati kecilku.
"Kenapa menangis? Menyesal bersuamikan abang?" Soal dia sebaik sahaja mendapati aku masih lagi menangis teresak-esak. Segera dia memberhentikan bacaannya.
Aku tidak menjawab. Lalu dia segera mengambil Al-Quran dari tangan aku lalu diletakkan kedua-dua naskah itu di atas rak kayu di sebelah kanan kami. Kemudian dia beralih semula padaku. Dicapainya jari-jemariku lalu digenggam erat.
"Kenapa sedih sangat ni? Cuba cakap dengan abang." Pujuknya lembut.
Teringat usikannya pagi tadi iaitu selepas akad nikah, aku bertanyakan nama panggilannya selepas ini. "Jangan panggil Kaduk lagi sudahlah, " katanya sambil ketawa. Selepas itu aku tidak berani bersuara lagi. Malu diusik sedemikan rupa.
Genggam dirasakan semakin erat. Dia menarik aku ke dalam dakapannya.
"Janganlah sedih macam ni. Abang tak pandai nak pujuk." Katanya perlahan. "Abang sayang sangat pada Syah. Ingat tu... Bila abang lafaz akad tadi, maknanya abang dah berjanji dengan Allah yang abang akan jaga sayang sebaik mungkin. Percayalah..."
Tangisanku masih tidak berhenti. Malah makin menjadi-jadi. Sudah terlalu lama aku menanti kata-kata sayang dari bibirnya itu.
"Waktu abang datang ke Jepunlah waktu yang paling sukar untuk abang. Sebabnya... waktu tulah abang rasa dekat sangat dengan sayang. Tapi tak dapat luahkan perasaan rindu abang ni." Dia mula membuka rahsia hati.
Aku memandang dia dengan wajah penuh tanda tanya. Aneh sungguh bicaranya.
"Cuma suatu pagi tu... abang betul-betul harap yang sayang akan jawab sayang tunggu abang. Tapi sayang pula tak mahu jawab..." Katanya sedikit merajuk. "Lepas abang datang jumpa kat U barulah sayang cakap yang sememangnya sayang tunggu abang selama ni. Masa tu gembiranya tak terkata." Wajahnya terus bertukar menjadi ceria.
Aku tersenyum sendiri. Malu mengenangkan tindakan aku waktu itu. Sampaikan Mar Iskandar terpaksa di'utus'kan untuk memujuk hatiku yang kononnya berduka. Walhal sebenarnya aku bukannya marahkan Adam. Tidak sama sekali.
"Akhirnya kita bertunang secara tak rasmi." Katanya sambil membelek 'cincin tanda kasih'nya yang juga tersarung di jariku. "Lepas tu Tuhan saja tahu betapa rindunya abang pada sayang. Nak sembang macam orang lain bukan prinsip kita, kan. Jadi terpaksalah pendam perasaan sorang-sorang. Tak pernah abang rasa macam tu dengan orang lain. Sayanglah gadis pertama yang berjaya buat abang rindu sampai begitu sekali." Sambungnya lagi dengan penuh romantis sekali.
Aku jadi terharu. Bukan abang saja rasa macam tu. Syah pun sama rindu, getus hatiku.
Setiap kali tibanya hujung minggu merupakan saat yang paling aku nantikan. Pada hari-hari biasa, kami akan sibuk dengan tuntutan kerja masing-masing. Kami akan berbual di Yahoo Messenger. Walaupun sekejap dan butir perbualan tidaklah seperti sebelumnya, namun begitu sudah cukup untuk melepaskan rindu tatkala mendengar suaranya itu. Kalau bertentang mata sekalipun hanya dapat bertanya khabar lebih kurang sahaja. Hendak bersembang lama-lama sudah menjadi suatu perkara asing bagi kami berdua.

"Sebelum-sebelum ni kita berutus poskad dan emel aja, sembang pun jarang-jarang sebab masing-masing sibuk. Masa tu boleh tahan lagi. Bila dah sama-sama dekat ni dan sayang dah terima lamaran abang, dugaan dan tarikannya makin kuat. Jadi bila teringat kat sayang, abang selalu doa.
Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu. Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindukan syurga-Mu. Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirmu. Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu." Bisiknya ke telinga aku.
Sejuk hati aku mendengar pengakuannya yang penuh syahdu itu. Dalam hati aku bersyukur kerana dipertemukan lelaki sebaiknya. Moga-moga pernikahan kami ini dilimpahi cahaya barakah-Nya yang tidak kunjung malap, doaku dalam hati.

"Agaknya sayang menangis sampai macam ni sekali sebab sedih tak dapat lelaki Melayu terakhir kot." Katanya tiba-tiba.
Aku tersentak. Masakan dia mahu menguji aku. Bukankah dia tahu Mar Iskandar sudah luput dari ingatanku sebaik sahaja dia kembali muncul di bumi sakura. Lelaki itu hanyalah kenangan zaman silam. Kalau benar aku sukakan Mar Iskandar, pasti sudah lama aku menerima cadangan Kak Zinnirah. Kata-katanya itu buat aku rasa jauh hati.
"Kusangkakan intan, rupanya kaca. Kusangkakan lelaki Melayu terakhir, rupanya lelaki Belanda terakhir. Apalah nasib badan." Katanya dengan nada bergurau.
Spontan ketawa aku berderai. Dia berguarau rupanya. Cepat-cepat aku menggelengkan kepala. Tidak mahu dia menaruh sangsi yang aku tidak bahagia bersama-samanya.
"Habis tu? Kenapa menangis sampai merah-merah hidung ni? Bila tengok sayang macam ni, abang pun nak menangis juga." Katanya sambil mencuit hidungku. Pelukannya makin erat.
"Tak ada apa-apa." Balasku perlahan.
Dia memandang aku dengan wajah yang bercahaya.
"Ha... boleh pun cakap." Katanya sambil memaut daguku. "Ingatkan abang kahwin dengan gadis bisu tadi. Main angguk-angguk, geleng-geleng aja. Dari siang tadi lagi sayang abang macam ni." Giatnya lagi.
Pantas tangan aku menolak tangannya lalu renggangkan diri dari pelukannya. Senyumannya kulihat makin melebar. Tanganku lincah menanggalkan kain telekung tanpa memperdulikan dirinya lagi. Matanya yang nakal itu terus-menerus memerhati tingkahku. Sesekali tangannya yang karas mengusap lembut pipi dan menguis juraian rambutku. Aku membiarkan sahaja perlakuannya itu. Aku telah jadi hak miliknya. Dia berhak berbuat demikian, fikirku.
Dia bangkit melipat sejadah. Setelah itu, dia menarik tanganku dan kami bersama-sama melangkah ke jendela. Sambil mengadap antara satu sama lain, dia merangkul pinggangku. Pandangannya yang redup itu membuai perasaan. Namun aku tidak tegar merenungnya. Akhirnya baju kurung kain sutera korea pemberiannya dahulu yang aku pandang sebagai ganti. Lama kami begitu tanpa sebarang kata. Dia sekali lagi menarik aku ke dalam pelukannya.
"I love you, Syah. I love you so much..." Katanya perlahan lalu diraihnya jari-jemariku dan dikucup lembut .
Aku sudah kehabisan kata-kata. Rasa bahagia menyelinap dalam jiwa. Lelaki itu sekali lagi mengulangi kata-kata keramat itu. Dan kali ini bibir kami pula menyatu.Lama.

"Sayang..."

Aku merenung matanya.
"Abang rasa bahagia sangat sekarang ni." Bisiknya lagi.
Sayang tahu... Hatiku pula yang menjawab. Mulut bagaikan terkunci saat ini. Mahu menyatakannya namun aku masih diselubungi rasa malu.
"Cakaplah sesuatu. Abang nak dengar pula. Dari tadi asyik abang aja bercakap, penatlah macam ni," Katanya separuh merayu.
Aku membenamkan wajahku di dadanya yang bidang.
"Tak tahu nak kata apa. Syah tak pandai cakap macam abang." Bisikku perlahan.
"Perlilah tu. Yalah... abang nikan debater pencen. Kan sayang juga selalu cakap macam tu." Katanya seperti sudah merajuk.
Ketawa aku pecah. Aku renggangkan pelukan kami. Aku memberanikan diri menatap wajahnya dalam kesamaran malam.
Tiba-tiba sahaja dia meleraikan pelukan kami lalu meninggalkan aku terpinga-pinga. Merajukkah dia? Hatiku diburu kerisauan.
Aku lihat dia mengambil sesuatu dari dalam almari. Setelah itu dia kembali di sisiku dan membuka sebuah kotak barang kemas. Di dalamnya ada sebuah kalung berwarna perak. Dan terukir pada loketnya nama kami berdua "Adam Akasyah". Di antara dua nama itu ada lambang hati dan di dalamnya sebutir permata kecil. Lalu dipakaikannya pada leherku.
"Cantik?"
Aku mengangguk. Dia tersenyum puas.
Tangannya kembali mendakap erat tubuhku yang kecil. Aku rasa selamat begitu. Suasana kembali sunyi. Yang kedengaran hanyalah hembusan nafasnya yang hangat pada cuping telingaku.
"I'm in love with you, Carl Duke Adam. And I will always love you..." Kataku perlahan dan seraya itu aku membalas pelukannya dengan lebih erat.
"I know..." Jawabnya lembut.
Hatiku lantas menjadi tenang.
"Sayang tahu bila waktu abang sedar yang abang jatuh cinta pada gadis manis ni?" Ujarnya lalu mengucup keningku.
Aku menggeleng. Dalam hati aku menyenangi tindakannya tadi. Dia menunjukkan perasaan sayangnya kepadaku sepenuh hati.
"Kali pertama... waktu abang terbaca nota yang sayang beri pada abang. Carl Duke Adam yang baik, hadirmu bagai mentari yang membakar semangat diri.... yang tu. Masa tu barulah abang mula sayangkan gadis manis ni lebih dari seorang kawan." Senyumannya makin lebar. "Dan kali kedua..."
"Kali kedua?" Cepat-cepat aku memotong.
"Yalah... sebelum dan selepas abang accident." Jelasnya.
Hatiku dijentik hiba apabila mendengar perkataan 'accident' itu. Namun segera kutepis kesedihan yang mencuit naluri.
Dia menarik nafas panjang.
"Kali kedua pula... masa sayang tuangkan air untuk abang. Waktu abang sakit dulu..." Katanya sambil tersenyum-senyum. "Rasa dilayan bidadari syurga. Dan... masya-Allah... sayang nampak cantik sangat waktu tu." Pujinya lagi.
Aku tersenyum sipu-sipu.
"Tapi sekarang ni lagilah cantik. Tergoda abang..." Panahan matanya yang tajam itu juga sedang menggoda aku. Lantas aku mengetam bibir menahan malu.
Dia membelai lembut rambutku lalu memegang ubun-ubunku sambil menyebut nama Alllah Azza Waajalla dan dia bersuara, "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebajikan dari isteriku dan kebaikan fitrah tabiatnya yang telah Engkau tentukan, dan akupun berlindung kepada-Mu dari keburukan isteriku serta keburukan fitrah tabiatnya yang ada padanya."
Serentak itu kucupannya yang hangat singgah di ubun-ubunku. Saat itu makin bertambahlah rasa cinta aku padanya. Dia sentiasa di hati... dan akan selamanya bertakhta di jiwa, getus hatiku.
"Hujan..." Bisiku apabila mendapati cermin jendela mula dibasahi oleh titik-titik air. Mungkin ini hujan rahmat, bisik hati kecilku.
Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta pada-Mu, telah berjumpa pada taat pada-Mu, telah bersatu dalam dakwah pada-MU, telah berpadu dalam membela syariat-Mu. Kukuhkanlah ya Allah ikatannya. Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya. Penuhilah hati-hati ini dengan nur-Mu yang tiada pernah pudar. Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu dan keindahan bertawakal di jalan-Mu. Amin Ya Rabb...
... TAMAT.

2 comments: